BBB, 12 Rajab 1437 = 20
April 2016 (Rabu):
Berikut dari pembicaraan terhadap konsep
fitrah sebagaimana telah dibicarakan Tuan Haji Said mebicarakan akidah tauhid
yang menjadi inti utama bagi falsafah tauhid di dalam Islam, maka dibicarakan.
Akidah tauhid ialah ilmu yang berkaitan dengan kepercayaan terhadap
ketuhanan, kerasulan dan sam`iyyat dengan dalil-dalil akliah dan naqliyyah.
Dan akidah tauhid ialah akidah tentang keesaan
Allah yang bersifat dengan Kamalat dan Maha
Suci dari kekurangan.
Akidah menurut Haji Said amat penting bagi
seorang Islam, lantaran segala amalan dan penerimaan amalan di sisi Allah
bergantung kepada akidah yang betul. Dengan akidah yang betul menyatu-padukan
umat.
Akidah yang sahih menurut Haji Said ialah akidah yang betul dari segi kepercayaan
terhadap rukun iman yang enam. Manakala akidah yang batil ialah akidah yang tidak
menepati dengan akidah Islam yang benar sebagaimana terkandung di dalam
Al-Qur`an dan Al-Hadith. Dalam kata lain
akidah yang batil ialah akidah-akidah yang menyeleweng dari Islam seperti Mu`tazilah, Qadariyyah, Jabariyyah dan
sebagainya.
Satu yang membezakan pendekatan di dalam buku
Aqidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah yang merupakan kelainan dari kitab-kitab
atau buku-buku akidah biasa, bahawa pada setiap akhir sesuatu fasal diberi
kesimpuan-kesimpulan secara bernombor. Tujuan menyediakan kesimpulan ini ialah
bagi mengingatkan kembali kandungan bagi sesuatu fasal sebagai rumusan apa yang
telah dibicarakan. Kecuali Fasal Satu (tanpa rumus kesimpulan), maka jumlah
rumusan bergantung pada banyak atau sedikit kandungan yang telah dibicarakan.
Jumlah rumusan ialah antara sepuluh rumusan bagi satu fasal hinggalah
jumlah tiga puluh, bahkan empat puluh.
Meneliti kepada jumlah rumusan bagi sesuatu
fasal ini didapati setengahnya terlalu panjang, sehingga ianya seolah-olah
bukan rumusan, tetapi adalah sebagai bahan tambahan bagi kandungan bagi fasal
yang diberi rumusan. Jika demikian sepatutnya ianya dijadikan bahagian daripada
huraian bagi fasal-fasal berkenaan. Rumusan kesimpulan sepatutnya bersifat
padat sebagai intisari bagi fasal yang dibicarakan. Cukup rumusan secara point
bernomber berjumlah antara lima hingga sepuluh point.
Misalnya rumusan bagi Akidah tauhid dan
keistimewaannya terdapat 18 rumusan
Antara yang penting: ialah:
1) Ilmu tauhid adalah paksi
keyakinan bagi setiap orang Islam
2) Ilmu tauhid ialah ilmu membicarakan tentang rukun iman secara sahih
untuk dipelajari
3) Ilmu tauhid bersumberkan Al-Qur`an dan Al-Hadith
4) Menjadi ukuran sejauh mana kesahihan iktikad seseorang Islam.
5) Ilmu tauhid benteng kekuatan diri dan menyatukan umat
Bagi fasal tiga, iaitu kepentingan akidah
dalam Islam, kesimpulannya terlampau panjang iaitu 28. Sebahagian patut menjadi
kandungan huraian. Dan dirumuskan kepada intisari bagi fasal berkenaan.
Umpamanya
1) Amalan seseorang bergantung pada kesempunaan akidah
2) Dengan akidah mengenal diri, alam dan Pencipta secara sebenar
3) Memberi ketenangan diri dengan keyakinan akidah
4) Membentuk peribadi dan jati diri ummah
5) Mendidik diri dengan cara berfikir teratur dengan hujah dan dalil
Bagi fasal empat bagi akidah yang sahih
kesimpulan dibuat adalah padat. Namun daripada 10 rumusan dapat dikecilkan bagi
mengelakkan perulangan. Rumusan kesimpulan:
1) Akidah yang sahih ialah berasaskan rukun iman
2) Berdasarkan dalil Al-Qur`an dan Al-Hadith
3) Sah amal ibadat bergantung kepada kesahihan dari segi akidah
4) Akidah sahih bersifat yakin, tiada syak dan ragu
5) Kejayaan dakwah Rasulullah adalah dengan kekuatan akidah
Bagi akidah yang batil pula dirumuskan kepada
18 perkara. Antara yang penting:
1) Akidan yang bertentang dengan Al-Qur`an dan Al-Sunnah akidah batil
2) Akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah adalah yang betul
3) Akidah menyeleweng seperti Mu`tazilah,, Qadariyyah, Jabariyyah adalah
batil.
Walau apa pun format yang disusun oleh Tuan
Haji Said bagi bukunya adalah baik. Kebagusan ini tentulah berkait dengan pihak
Hal Ehwal Islam , Jabatan Perdana Menteri. Kini JAKIM) yang menyusun kurikulum
yang seharusnya diikuti. Pembaca dan pengaji diberi huraian permulaan berikut
dari muqaddimah mengenai konsep fitrah, iaitu mengenai konsep tauhid,
kepentingan akidah dan bagaimana akidah yang sahih dan akidah yang batil
memberi persediaan kepada pembaca sebagai persediaan mempelajari aspek akidah
yang berhubung dengan rukun iman. Walau bagaimana didapati kandungan, antaranya
tidak berfokus kepada judul bagi sesuatu fasal dan rumusan kesimpulan pula
seharusnya rumusan terhadap kandungan bagi fasal yang dibicarakan sepatutnya
bersifat padat dan tidak berulang dan bertindih.
Sekian.
No comments:
Post a Comment