Persoalan Islam dan iman adalah dua bidang
yang berkait rapat dan tidak dapat dipisahkan. Keislaman seseorang hendaklah
dengan beriman dan tiada Islam tanpa iman. Islam ialah pengakuan seseorang
bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad ialah
Rasulullah di samping mengamalkan rukun-rukun yang lain ialah mendirikan solat,
mengeluarkan zakat, puasa bulan Ramadhan dan menunaikan haji bagi yang
berkemampuan. Amalan keislaman lebih termanifestasi secara lahir. Adapun Iman ialah `Engkau Percaya`
(an tu`mina) dengan keyakinan yang putus (jazam), bahawa beriman dengan Allah,
Rasul, Malaikat, kitab, kiamat dan dengan qadha` dan qadar. Keimanan lebih
merupakan elemen dalaman yang merupakan keyakinan yang penuh tanpa belah
bahagi, tanpa zan, syak atau waham.
Iman dari segi bahasa berasal dari kata amana
bererti , aman dan iman (percaya). Aman bererti tenang, tenteram, percaya
sepenuh tanpa ragu, percaya secara yakin.
`Iman dari segi istilah ialah tasdiq
(membenarkan) dengan hati, iqrar dengan
lisan dan beramal dengan rukun-rukun`
Kesempurnaan iman selepas tasdiq ialah
dilengkapkan dengan pengakuan dengan lisan dan amalan dengan rukun-rukun –
khususnya yang diwajibkan seperti solat, zakat dan puasa.
Rukun Iman pada hakikatnya ialah inti bagi
keimanan menyeluruh yang melihat kesegalaan wujud dari perspekti Islam.
Sebagai contoh keimanan akan cacat, walaupun
seseorang beriman dengan rukun iman yang enam, sedang dia misalnya mempercayai
bahawa alam ini kekal dan tidak binasa sebagaimana pendapat golongan
al-Dahriyyin atau mana-mana pendapat yang seumpamanya. Demikianlah dengan
pendapat-pendapat yang lain yang bercanggah dengan Islam. Pokoknya kesempurnaan
rukun iman tanpa dicanggahi kepercayaan yang lain yang mencacatkan keimanan.
Jika Islam mempunyai significant dari segi
makna `Selamat` dan ia adalah manifestasi kewujudan yang secara tab``i dan
fitri menurut aturan adalah Islam – termasuk manusia pada hakikat dalam
keseluruhan adalah Islam (Ali `Imran: 83), kecuali yang enggan, maka
significant dari segi keimanan, ialah berhubung hakikat, keilmuan dan
kepercayaan yang menatijah dan menghasilkan keimanan yang menjadikan yang
beriman itu aman, tenteram, tidak ragu, menerima dan menempuh masa depan dengan
penuh yakin dan tenteram. Dan di akhirat kelak insya Allah lebih aman dan
tenteram bila mendapat balasan syurga.
Sebagaimana terhasil keselamatan bagi Islam
ialah dengan mempraktikkan dan mengamalkan Islam menurut acuan keislaman,
demikian terhasilnya keamanan dan ketenteraman, dicapai melalui tasdiq, iqrar
dan juga amalan. Faktor utama keberhasilan ialah dengan ilmu. Seseorang tidak dapat
mencapai keyakinan, sekiranya ianya jahil dengan sesuatu yang hendak diyakini
dan jahil itu sebagaimana diungkapkan adalah musuh utama bagi manusia. Jahil
bererti gelap, bererti sesat dan bererti tidak mencapai maksud dan tujuan.
Dalam kata lain bagi meletakkan diri dalam keimanan
dan keamanan hendaklah mempelajari segala yang bersangkutan dengan keimanan.
Keimanan di dalam Islam selengkapnya, haruslah
mengetahui sewajarnya tentang rukun Islam dan mengamalkan, juga seharuslah
mengetahui tentang rukun iman sedalamnya dan mengamalkan. Ada
keperluan-keperluan yang lain yang mengukuhkan kedalaman maklumat yang berhubuing
dua rukun kewajipan (Islam dan iman). Harus mengetahui keilmuan-keilmuan yang
berkait dengan rukun Islam seperti dari segi fiqh, dan akidah dan keilmuan-keilmuan bantu yang
lain. Pendek kata makin luas ilmu yang
dikuasai menurut perspektif keislaman, makin mendalam dari segi kefahaman terhadap
keislaman, dan sewajarnya makin bertambah keimanan.
Adalah diibaratkan, bahawa orang jahil, tanpa
sebarang ilmu ibarat orang yang sesat di dalam pelayaran di lautan yang tidak
tahu tepi dan tidak tahu ke mana arah pelabuhan atau destinasi yang hendak
dituju. Baginya di tengah lautan dari perahu yang dinaiki segala arah
kelilingan adalah sudut-sudut ragu dan tidak tahu, dengan situasi sedemikian
menjadikannya keciwa, putus asa dan tidak ada matlamat yang hendak dituju dan
akhirnya ianya tewas dalam keraguan dan tidak mengetahui ke masa destinasi yang
hendak dituju. Orang sesat dan ragiu dan tiada ketahui arah dituju adalah orang
yang tidak mungkin mencapai keamanan.
Adalah diibaratkan dengan beriman dan mengetahui
keperluan-keperluan keimanan dan mempunyai sudut pandangan menyeluruh memberi keamanan
bagi seorang yang beriman, sebagaimana dikatakan seorang patut menguasai ilmu
bukan saja aqidah dan fiqh, tetapi banyak bidang kalau dapat semuanya
diketahui. Orang yang berilmu sedemikian adalah orang yang mengetahui semua
arah dan kedudukan. Dia tidak ragu. Jikalau dia sebagai pelaut dia ada ilmu
pelayaran dan ketahui mana pelabuhan yang dituju, walaupun menghadapi berbagai
gangguan dan halangan. Tiada erti keciwa, kerana dia tahu arah yang dituju.
Di dalam kehidupan diyakini tentang ketentuan
dari Allah, kesementaraan alam, kewajipan sebagai seorang muslim terhadap
Allah, Rasul, masyarakat dan
umat. Individu muslim sedemikian yang berada di tengah masyarakat yang
memahami Islam dan keimanan dan mengamalkannya, maka individu berkenaan bersedia menghadapi masa depan berdasarkan ilmu dan pengetahuan yang
ada. Dalam menghadapi hidup dan berusaha
melakukan kebaikan dan kebajikan ia bersedia menghadapi kematian bila-bila
kiranya ajal ditentu dan tiba masanya dengan tenang, kerana ianya sesuatu yang
perlu dihadapi dengan keimanan yang kukuh.
Keilmuan dan kepercayaan meletakkan seseorang,
bahkan masyarakat berada pada paksinya yang sebenar, Ia berada di dalam kebenaran,
keyakinan, keamanan dan kesejahteraan yang situasi sedemikian dialami sama
mereka yang seumpamanya.
Iman adalah sesuatu yang amat berharga dan
tidak ternilai. Sejarah umat adalah
sejarah mempertahan dan mengukuhkan keimanan. Rasulullah s.a.w. diutuskan ialah
bagi menyampaikan keimanan kepada Allah dan Rasul dan keimanan-keimanan yang
lain. Para sahabat seperti Bilal bin Rabah dan Ammar bin Yasir sanggup menempuh
penderitaan lantaran kerana mempertahankan keimanan. Para sahabat berjihad dan
berpereang kerana mempertahan dan mengukuhkan keimanan. Perjuangan mempertahan
dan mengukuhkan keimanan bereterusan hingga kini dan adalah manifestasi
ubudiyyah kepada Allah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment