BBB, 30
Jmadil Akhir 1437 = 08 April 2016 (Jumaat):
Buku Pertama:
Berjudul,
I`tiqad Ahlussunnah Wal Jama`h oleh Kiyai Haji Sirajuddin Abbas seorang
ulama` terkenal di Indonesia. Buku beliau ini telah dicetak di Indonesia sejak
1969 dan telah berkali-kali diulang cetak. Buku ini juga telah diizin terbit
oleh pengarang kepada pihak Pustaka Aman Press Sdn. Bhd. Kota Baharu,
Kelantan untuk diterbitkan dan telah
diterbitkan oleh Pustaka Aman Press dalam tulisan rumi sejak cetakan pertamanya
pada tahun 1978 dan sejak itu sehingga tahun
2013 telah dua belas kali diulang cetak. Ini mencerminkan bahawa buku
ini begitu mendapat sambutan pembaca di Malaysia, Singapura, Brunei dan
Thailand. Ini bermakna buku luas tersebar di Nusantara atau di Alam Melayu.
Buku Kedua:
Berjudul `Aqidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah
oleh Tuan Haji Said bin Haji Ibrahim, Bekas Mufti Negeri Sabah yang diterbitkan oleh Dar al-Ma`rifat, Kuala
Lumpur di dalam tulisan Jawi yang pertama kali dicetak (1995) dan sejak itu telah mengalamai beberapa kali
percetakan. Menurut Pengarang kitab `Aqidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah ini
pada asalnya buku ini disusun berdasarkan kurikulum Kelas Pengajian Ta`mir
Masjid dan Surau yang diterbitkan oleh Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan
Perdana Menteri dalam tajuk-tajuk penting yang berkaitan dengan akidah seperti
keistimewaan akidah, kepentingan akidah, akidah yang sahih dan ciri-cirinya,
akidah yang batil dan ciri-cirinya, masalah-masalah yang berkaitan dengan
Uluhiyyah (Ketuhanan), masalah-masalah yang berkaitan dengan Rububiyyah
(Pentadbiran Allah terhadap makhlukNya), masalah-masalah yang berkaitan dengan
keimanan, dan juga perkara-perkara yang merosakkan iman dan yang menyebabkan
kekufuran dan yang lain-lain yang berkaitan dengan akidah. (Penulis telah
menggunakan buku ini mengajar di Surau al-Umm sekitar 2006-2007M). Jelas buku
ini diterbitkan bersesuaian dengan kurikulum yang disediakan oleh Bahagian Hal
Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri (kini dikenali sebagai JAKIM) bertujuan
untuk dijadikan panduan pengajaran ilmu akidah di seluruh negara dan buku ini
meluas digunakan hingga kini.
Buku
Ketiga
Berjudul `Perbandingan Akidah Dan Fahaman Umat
Islam` juga hasil karangan Tuan Haji Said bin Haji Ibrahim, Bekas Mufti, Negeri
Sabah, Malaysia, juga diterbitkan oleh Dar al-Ma`rifat, Kuala Lumpur. Buku ini
lebih kemudian daripada `Aqidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah, cetakan pertama
buku Perbandingan Akidah Dan Fahaman Umat Islam ini ialah pada tahun 1997.
Kedua-dua kitab Tuan Haji Ibrahim adalah dicetak oleh Percetakanm Yayasan Islam
Terengganu Sdn. Bhd.
Buku kedua Tuan Haji Ibrahim ini boleh
dianggap sebagai pelengkap bagi buku pertama `Aqidah Ahlu al-Sunnah wa
al-Jamaah dan merupakan peringkat lebih tinggi dari buku pertamanya.
Dalam buku pertamanya iaitu `Aqidah ahlu
al-Sunnah wa al-Jama`ah yang dibicarakan ialah tentang rukun iman yang enam
yang pendekatannya ialah secara langsung dan satu persatu. Ia adalah sebagai
kurikulum yang ditujukan kepada pelajar-pelajar serta pengaji-pengaji peringkat
permulaan dan sesuai digunakan bagi mengajar jamaah-jamaah di masjid-surau dan
orang ramai. Sebaliknya buku keduanya tidaklah dituju kepada khalayak jamaah
umum, kerana yang dibicarakan pertikaian pendapat antara umat Islam selepas
zaman Khulafa` al-Rashidin yang melahirkan firqah-firqah di kalangan umat
Islam, bahkan melahirkan aliran fikiran
sebagai mazhab seperti Shi`ah,
Mu`tazilah, Qadariyyah, Jabariyyah, Murjiah, Najjariyaah , Mushabbahah, faham
Salaf dan Khalaf. Di tengah-tengah kelahiran berbagai firqah ini pengarang
menonjolkan Aliran Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah sebagai aliran yang dominan.
Kalau dilihat kepada kandungan buku I`tiqad Ahli al-Sunnah wa
al-Jamaah karangan oleh Kliyai Haji Sirajuddin Abbas, beliau tidak mengasingkan
antara aliran Sunni dan pertumbuhan dan percanggahan pendapat di dalam akidah seperti
yang dilakukan oleh Tuan Haji Said Ibrahim yang mana dalam buku pertama beliau
`Aqidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah, khusus membicarakan aliran murni yang
tidak dicampurkan dengan persoalan perpecahan umat dan kelahiran berbagai
aliran dan mazhab dan pada buku dua Perbandingan `Akidah dan Fahaman Umat Islam
diasingkan untuk pengajian peringkat khusus, bukan pada peringkat awam yang jika digunakan boleh membawa kekeliruan
dan mungkin terpengaruh dengan setengah hujah mereka.
Sebaliknya di dalam buku I`tiqad Ahlu
al-Sunnah wa al-Jama`ah oleh Kiyai Haji Sirajuddin adalah mengambil pendekatan
sebagaimana ianya berlaku di dalam sejarah pertikaian di kalangan umat Islam,
termasuk akibat dari politik yang melahirkan Ahlu alSunnah dan berbagai-bagai
firqah, khususnya di dalam akidah umat Islam. Baiknya pendekatan ini
membolehkan pengaji memahami sebab musabbab yang mencetuskan perbalahan politik
yang mencetuskan pula perbalahan idea dan falsafah yang melahirkan
firqah-firqah seperti Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah, Mu`tazilah, Qadariyyah,
Jabariyyah, Murjiyah, Shi`ah dan sebagainya. Pendekatan ini selain dari
bimbingan guru maka pelajar-pelajar dan pengaji-pengaji membvuat kesimpulan, mengapa timbul
berbagai-bagai firqah, khususnya berhubung dengan akidah.
Sebelum daripada buku-buku mutakhir ini,
pembicaraan sebelumnya melalui berbagai kitab dari segi pendekatannya semuanya
menyokong dan memperkukuh aliran Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah dan segala aliran
yang lain sebagai aliran menyeleweng, bahkan tidak diberi perhatian di dalam
pembicaraan. Kita kira selepas membicarakan tentang aliran Ahlu al-Sunnah wa
al-Jama`ah menerusi berbagai kitab yang mendukung aliran Ash`ari dan Maturidi,
bahkan ada yang membawa pendekatan salaf, maka wajar dibicarakan berbagai-bagai
aliran akidah yang timbul di dalam sejarah pergolakan politik dan pemikiran
umat Islam, agar pelajar dan pengaji dapat berkenalan dan membezakan antara
aliran Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah berbanding dengan aliran-aliran yang lain
yang tidak digalak bagi pendudkung Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah berpihak kepada
mereka, kerana dianggap bercanggah dengan akidah Sunni yang dipegang oleh majoriti
umat Islam.
Sekian.
No comments:
Post a Comment