April 13, 2016

Kesan Politik: Khawarij Radikal Dan Murjiah Skeptis


BBB, 03 Rajab 1437 = 11 April 20-16 (Isnin):


Telah dibicarakan konflik politik pada akhir pemerintahan Khulafa` al-Rashidin yang melibatkan Sayyiduna Ali k.w. dan Mu`awiyah dan turunan mereka terutama Saydina Hussain – Yazid telah melahirkan golongan Shi`ah yang simpati, ta`assub dan mengagung dan mengangkat keturunan Ali yang dijelmakan ke dalam konsep kepimpinan imamah.
Kesan dari konflik politik ini juga melahirkan antaranya ialah golongan Khawarij dan Murjiah.
Khawarij bererti mereka yang keluar dalam maksud golongan yang menentang kepimpinan yang menyebabkan sengkita, peperangan dan memecahbelahkan umat. Mereka menegakkan falsafah dan sikap tersendiri yang radikal sifatnya. Pihak Khawarij mengecam tindakan A`ishah yang bersekongkol dengan Zubair dan Talhah memerangi Ali (Peperangan al-Jamal). Mereka menentang tindakan `Tahkim` antara Abu Musa al-Ash`ari mewakili Sayyidina `Ali dan Amr Ibn al-As mewakili Mu`awiyah dan berikutnya persengkitaan yang membawa kepada  pembunuhan Saydina Hussein di Padang Kerbala`. Mereka tidak berpihak kepada semua, bahkan mengambil sikap radikal sebagaimana dilambangkan di dalam slogan mereka, ``Tiada berhukum melainkan dengan Kitab Allah` dan `Wajib Mengubah Kebatilan`. Mereka bertindak membunuh secara serentak `Ali, Mu`awiyah dan Amru Ibn al-`As, tetapi hanya berjaya membunuh Sayyidina `Ali.  Mereka  dengan mudah menjatuhkan hukum `kufur` terhadap mereka yang dianggap melakukan kesalahan besar termasuklah terhadap A`ishah, Talhah, Zubair, Muawiyah,  Amru Ibn al-As,  Abu Musa al-Ash`ari dan Yazid.
Sikap mereka terhadap khalifah-khalifah yang dilantik, bahawa mereka bersetuju dan menerima perlantikan Khalifah Abu Bakar dan Umar. Pandangan ini bersamaan dengan pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah, tetapi bagi Khalifah `Uthman bin `Affan mereka menerima pada bahagian awal, tetapi menolaknya pada peringkat akhir kerana dianggap `Uthman telah menyeleweng.  Manakala perlantikan Ali diterima oleh kaum Khawarij, tetapi Ali dianggap melakukan kesalahan yang besar dengan penerimaan `Tahkim`, lantaran ini Ali juga dicop sebagai kafir.
Bagi kaum Khawarij yang bersifat radikal berpendapat bahawa keimanan sebagaimana dikata oleh Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah, iaitu qasad dihati, iqrar dengan lisan dan beramal dengan rukun-rukun, tetapi bagi kaum Khawarij bahawa dalam semua aspek itu amalan adalah bukti keimanan yang utama, bahkan bagi Khawarij yang keras itu mengatakan orang yang tidak solat, puasa dan zakat juga dikatakan sebagai kufur.
Walaupun kelihatan pihak Khawari bersifat radikal dari segi sikap dan pendapat, namun tidak tertonjol tidakan radikal mereka, kecuali membunuh Sayyidina `Ali  kepada tindakan fizikal dan radikal  yang mengubah suasana politik dan pemerintahan seperti yang dilakukan golongan Shi`ah. Mereka juga mempunyai pimpinan yang juga menghadapi perpecahan.
Pada dasarnya Khawarij tidaklah subur berkembang. Ini mungkin diakibat oleh sikap keras mereka dari segi pendapat dan mudah menghukum. Pertapakan mereka  bertempat di negara Arab seperti di Yaman, Iraq, Hadhramaut dan Taif. Sebahagian berkembang di Parsi. Tokoh-tokoh mereka juga tidak begitu terkenal, tetapi antara mereka ialh Nafi` bin Azraq yang disifatkan sebagai Khalifah bagi golongan Khawarij. Pimpinan-pimpinan lain ialah: Abu Thaluf, Najdah bin Amin, `Urwah bin Hudair, Najdah bin Uwaimir, Mustaurid bin Sa`ad, Hautarah bin As`ad, Qurrab bin Marrah, Najdah bin Amir, Ubaidillah bin Bashir, Zubir bin Ali, Qathari bin Fujaah dan Abdu Rabbih.
Menurut K.H. Sirajuddin, faham radikal yang berasal dari protes kepada berpandangan radikal ini menjadi satu cabang sikap politik membawa kepada satu aliran pendapat. Walaupun ianya tidak terbina sebagai satu faham falsafah yang kuat dan pengaruhnya bagai telah hilang, tetapi rangka fikirannya meninggalkan kesan dan masih diperkatakan sebagai  aliran yang telah tumbuh dalam pemikiran Islam.
Satu lagi golongan yang lahir akibat dari politik adalah golongan yang dinamakan `Golongan Murjiah, Kelahirannya ialah sebagai respond terhadap situasi semasa akibat persengkitaan yang berlaku di kalangan umat Islam  pada pertengahan abad pertama Hijrah. Respond dimaksudkan berlainan cara. Kita melihat Khawarij mengambil sikap radikal dan keras, sedangkan glongan Shi`ah bersikap menentang dan mendirikan konsep keimamiah dan pemerintahan, walaupun di tengah tekanan dan penindasan. Namun di sana ada satu sikap lagi yang kita namakan sikap `Skeptis`   yang diambil oleh pihak yang mendukung pendekatan ini. Sikap ini diambil melihat penentangan pihak Shi`ah yang dianggap berlaku ketidakadilan terhadap keturunan Ali yang merupakan turunan dari Rasulullah. Ini mengeciwakan golongan ini. Lebih mengeciwakan berlaku perselisihan antara `Aishah bersama Talhah dan Zubair menentang Sayyiduna Ali yang sepatutnya peristiwa ini tidak berlaku. Lebih mengeciwakan dari pertelagahan politik berlaku pertukaran khalifah dari Ali kepada Mu`awiyah, kemudian berlaku pembunuhan terhadap Sayyiduna Hussein. Kekacauan juga akibat timbulnya puak-puak yang tidak berpuashati terhadap situasi yang berlau seperti lahirnya Shi`ah dan Khawarij. Namun bagi pihak ini, walaupun tidak menyenangi, tetapi puak ini berpendapat tiada daya bagi mereka untuk menolak segala kekacauan dan dalam keterpaksaan menerima situasi sedemikian. Walaupun tidak puas hati mereka menyerahkan kepada Allah dan mengharapkan sesuatu yang positif akan menjelma. Golonganm inilah yang dinamakan Murjiah yang bermaksud adalah menangguh segala permasalahan kepada Allah dan mengharapkan dapat terselesai. Segala permasalahan jika dihadapkan kepada mereka tentang pendapat mengenai pertikaian Ali-Muawiyah dan apa sepatutnya tindakan , dengan pesemis dan skeptis mereka menagguhkannya kepada penentuan di hadapan Allah. Begitulah dengan berbagai-bagai persoalan yang lain.
Pendirian Murjiah berbanding dengan Khawarij tidak mengancam kedudukan masa-mana pihak politik, kerana mereka tidak bertindak atau sekurang-kurang melahirkan pendapat yang mengancam pihak berkuasa.
Kelahiran puak-puak seperti Khawarij dan Murjiyah dari satu segi dapat dilihat sebagai benih permulaan bagi melahirkan pandangan yang bersifat falsafah di dalam aspek aqidah Islam. Misalnya dengan pendirian Khawarij, bahawa manusia harus merubah situasi ketidakadilan yang dihadapi, seolah-olah menjadi benih kepada faham Qadariyyah dan Mu`tazilah. Demikian sikap skeptis dan menyerah oleh golongan Murjiah dapat dilihat sebagai benih permulaan bagi pertumbuhan faham Jabariyyah yang menyerahkan semua kepada Allah.
Dengan keduidukan sedemikian, semua golongan yang lahir ini, walaupun antaranya dilihat kecil dan tidak menmggugat, di samping yang menggugat seperti Shi`ah dan Khawarij, sebenarnya mempunyai impak dan pengaruh yang lebih penting dari sengketa yang berlaku. Bermaksud peperangan dan mana-mana episod sejarah pertikaian yang berlaku ianya berakhir setakat itu dan menjadi fakta sejarah, tetapi perkembangan idea dan falsafah serta berkait dengan akidah, ianya lebih lama dan terus diperkatakan di dalam konteks aliran akidah yang berlaku seperti Shi`ah, Khawarij, Murjiah, Mu`tazilah, Jabariyyah dan sebagainya.

Sekian.                                                    


No comments:

Post a Comment