April 8, 2016

Penutup: Harapan Dua Pengarang - Penggubah Matan Dan Sharih


BBB, 29 Jamadil Akhir 1437 = 07 April 2016 (Khamis):
Ada dua harapan bagi pengakhiran karangan Jauharat al-Tauhid, harapan dari Penggubah Matan dan harapan bagi Sharih. Penggubah  Matan, iaitu  Shaykh Abdul Amdad Burhanuddin Ibrahim bin Hasan bin Ali bin Abdul Quddus al-Maliki al-Laqani (m. 1041H.) berasal dari Mesir. Manakala Sharih sebagaimana disebutkan tidak diketahui namanya, tetapi ada sedikit maklumat pada akhir Sharh Matan Jauharat al-Tauhid ini yang pengarangnya adalah dari Sambas, Kalimantan yang telah menyelesaikan sharh pada 1292H.
Bagi pengakhiran bagi gubahan Matan Jauharat al-Tauhid, kata Penggubah:
Dengan ini kupohon kurniaan dari Allah  *    Menjadi hujah kelak bila disoal di Akhirah
Penggubah telah berusaha menampilkan sebaik mungkin pendekatan akidah menurut aliran Ash`ari-Maturidi. Semoga ianya menjadi panduan dan pengukuhan bagi mereka yang mempelajari. Semoga dengan pegangan akidah yang betul memudahkan perkembalian di akhirat bagi semua pihak. Seterusnya menutup gubahannya tambah Penggubah:
Kemudian salawat dan salam berterusan  *   Ke atas Nabi yang  mengukuh persaudaraan
Nabi Muhammad, sahabat dan pengikut    *  Jalan kebenaran dibentang tiada bengkok
Kata penggubah apa yang dihasilkan adalah menurut perintah Allah dan galakan dari Rasullullah s.a.w. yang menyuruh umatnya supaya menuntut ilmu, khususnya keilmuan akidah yang membetulkan pegangan dan menyelamatkan dari kesyirikan yang merupakan dosa paling besar yang setiap kita berusaha menjauhinya, termasuk kesalahan dari segi akidah. Semoga Allah mengkabulkan permohonan Penggubah.
Manakala pihak Sharih yang difahamkan bahawa beliau mensharah terhadap Matan Jauharat al-Tauhid adalah, ``Sebab terlebih sangat memintakan faqir itu saudara faqir yang salih lagi budiman yang sangat tam`ah menuntut ilmu dalam agama, maka faqir kabulkan akan dia dengan menta`lifkan sharh ini, kemudian  daripada istikharah ia kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala dan barang yang kusebutkan dalam sharh itu, maka engkau peganglah perkataan ini, kerana bahawasanya demikian itu telah kutahqiqkan ia dalam qaul `ulama` yang rajih.``
Pihak Sharih juga menampilkan nazam menyebutkan betapa kitab-kitab yang ditinggalkan oleh  ulama, termasuk terhadap penggubah bahawa:
Penulisan kekal panduan menungkah zaman  * Biarpun penulisnya di dalam tanah dikebumikan
Andai terdapat di dalamnya nyata kesilapan   *  Baikilah tiada semua kita selamat dari kecelaan
Sharih merendah diri dan sebelumnya Sharih mengakui, ``Bahawasanya faqir ini tiada layak ia menjatuhkan qalam, sebab sangat bebalnya  dalam `Arab dan ilmu lughah, istimewa pada ilmu balaghah, lantaran itu sebarang kekhilapan harap diperbetulkan.
Seterusnya Sharih menampilkan segugus nazam terakhir dalam sharhnya:
Tubuhku dalam beribadat mashghul   *   Oleh dosa di dalam hati berkumpul
Harapan kepada Khaliq Maha Pencipta  *  Keampunan dariNya harap diterima
Kemarahan Tuhan kita jadi terpinggir  *   Rahmat dariNya pohom mengiringi zikir
Pujian pada Tuhan Pencipta Alam        *   Husnul khatimah pohon pengakhir kalam.

Setelah mengkaji dan menulis berbagai-bagai teks yang berhubung dengan akidah Sunni sebelum ini adalah didapati bahawa Matan Jauharat al-Tauhid dan Sharh yang dibuat adalah merupakan karangan yang mempunyai keistimewaannya tersendiri.
Antara keistimewaan yang didapati bahawa Penggubah matan iaitu Shaykh Ibrahim al-Laqani dapat membicarakan aspek akidah menurut aliran Sunni  dalam gubahan yang ringkas dan padat. Lengkapnya persoalan di dalam matan dan padatnya kandungan mengundang  beberapa sharih mensharhkan Matan Jauharat al-Tauhid ini sama ada di dalkam bahasa Arab seperti yang dilakukan oleh Shaykh Ibrahim al-Bayjuri (L. 1198H.) juga dari Mesir - `Ulama al-Azhar dengan karangan Hashiahnya yang berjudul Tuhfat al-Murid `ala Jauharat al-Tauhid.
Sebagaimana maklum Matan Jauharat al-Tauhid di Sharah juga oleh `ulama dari Sambas (1292 H.) dan mutakhir matan berkenaan dihurai secara ringkas oleh Hj. Mujiburrahman (L. 1969M.) dari Mataram Barat, Indonesia dan diterbitkan oleh Pustaka Jiwa, Sdn. Berhad, Kuala Lumpur (2000M.).
Walaupun Matan  Jauharat al-Tauhid sebagaimana disebut ringkas dan padat, didapati pihak Sharih berusaha menghuraikan kandungan matan dengan merujuk kepada berbagai pendapat dari Imam Ash`ari-Maturidi dan pengikut-pengikut mereka, juga dirujuk pendapat-pendapat yang kontra terutama Mu`tazilah, Qadariyyah dan Jabariyaah sehingga pengaji-pengaji mendapat gambaran menyeluruh tentang akidah benar, iaitu Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah, kandungan di dalam Sharah Jauharat al-Tauhid tak kurang  dari kandungan yang disharah oleh Shaykh Ibrahim al-Bayjuri (juga al-Bajuri) yang berjudul Tuhfat al-Murid. Di dalam Tuhfat al-Murid sebahagian dari sharh adalah dari segi nahu.
Barangkali satu halangan yang terpaksa didepani apabila mempelajari Sharh Jauharat al-Tauhid ini ialah masalah bahasa – Maksud bahawa bahasanya ialah bahasa Melayu lama yang amat terpengaruh dengan gaya susunan bahasa Arab, tetapi adalah satu yang biasa bagi pengaji-pengaji tradisi yang pengajaran juga terpengaruh dengan gaya susunan bahasa Arab. Ejaan juga iaitu di dalam tulisan jawi yang menggunakan kaedah ejaan lama agak menyukarkan. Walau bagaimana ini adalah merupakan kebiasaan bagi pengaji-pengaji kitab.
Sebagai kesimpulan bahawa Sharah Jauhat al-Tauhid adalah sebuah kitab akidah yang lengkap yang dapat dimanfaatkan oleh pengaji-pengaji akidah menurut aliran Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment