April 28, 2016

Kepercayaan Hari Kiamat Dan Qadha` Dan Qadar


BBB, 19 Rajad 1437 = 27 April 2016 (Rabu):


Tuan Haji Said bin Haji Ibrahim membincangkan dua rukun iman itu dengan panjang lebar. Pendekatannya adalah lebih kurang sama dengan kitab-kitab yang lain yang membicarakan persoalah Hari Kiamat dan juga Qadha` dan Qadar.
Mengenai percaya kepada hari kiamat, bahawa, ianya adalah satu kepastian yang tidak dapat dinafikan akan datang dan akan berlaku, Cuma waktu tepat tidak diketahui melainkan Allah jua yang tahu. Namun fenomena dan bukti-bukti mengukuhkan bahawa kiamat itu  akan berlaku. Alam fizikal yang terdiri dari cakrawala dengan planet-planet tidak mustahil akan berlaku kemusnahan dengan berlaku perlanggaran antara satu sama lain menyebabkan pecah dan bertaburan. Jika tidak berlaku perlanggaran, tidak mustahil, kekuatan yang menggerakkan cakrawala dan planet akan terhenti disebabkan oleh kekurangan tenaga dan menyebabkan kehilangan keimbangan dan berlaku kerosakan yang teruk yang membawa kepada kemusnahan yang disifatkan sebagai kiamat.
Pertanda kiamat juga boleh dilihat kepada tempat yang dekat dengan manusia – di muka bumi ini, iaitu berlakunya kerosakan-kerosakan seperti berlakunya siri gempa di sana sini yang menyebabkan berlaku kerosakan kecil dan besar. Kerosakan besar  bukan mustahil berlaku dengan berlaku berbagai-bagai kerosakan dari gempa, banjir, taufan, kebakaran, kehilangan cahaya, kehilangan udara dan berbagai-bagai faktor lagi yang membawa kemusnahan..
Sesungguhnya kiamat akan berlaku dan benarlah firman-firman Allah Ta`ala berkenaan dengannya.
Seperti firman Allah bermaksud:
``Aku bersumpah dengan hari kiamat. Dan aku bersumpah dengan `al-Nafs al-lawwamah (bahawa kamu akan dibangkitkan sesuadah mati). (Al-Qiyamah: 1 -2).
Dan pertanda hari kiamat firman Allah bermaksud:
``Apabila langit terbelah, Dan apabila bintang-bintang gugur bertaburan.
Dan apabila lautan pecah bercampur baur. Dan apabila kubur-kubur dibongkarkan
(Setelah semuanya itu berlaku) mengetahuilah tiap-tiap diri akan apa yang telah dikerjakannya dan ditinggalkannya.`` (Al-Infitar: 1 -5).
FirmanNya lagi bermaksud:
``Wahai sekalian manusia bertakwalah kepada Tuhan kamu sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar`` ( (Al-Hajj: 1)
Dan firmanNya lagi bermaksud:
``Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya, serta bumi itu memngeluarkan segala isinya.``
Semua gambaran di atas adalah gambaran yang benar dan merupakan peningkatan kerosakan dari siri kerosakan yang selama ini dinisbahkan adalah kecil.
Kita menerima berikut dari kiamat tentang Hari Kebangkitan dan Hari Pembalasan dimana dihitungkan amal yang baik dan buruk pada hari mahshar yang membawa kepada balasan bagi yang baik masuk ke syurga dan yang jahat dibalas ke neraka.
Berhubung dengan qadha` dan qadar kata Tuan Haji Said, adalah mempercayai  bahawa Allah Subhanahu wa Ta`ala adalah Dhat Yang Maha Kuasa. Dialah menentukan dan mengatur sesuatu yang ada di alam ini dengan kebijaksanaan dan kehendakNya sendiri tanpa diganggui oleh sesuatu kuasa asing.
Firman Allah bermaksud:
``Dia amat melakukan sesuatu mengikut kemahuanNya.`` (Al-Buruj: 16).`
Sebagaimana firmanNya lagi yang bermaksud:
`Dan setiap sesuatu ditentukan dengan kadar` (Al-Ra`d:  8).
Dan firmanNya yang bermaksuid:
Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir.` (Al-Qamar; 49).
Manakala Hadith Rasulullah s.a.w. diriwayatkan oleh Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:
``Aku hairan perkara orang mu`min, bahawa Allah Ta`ala tidak mengqadha` kepadanya qadha`, melainkan ada baginya kebaikan.``
Namun berpegang dan i`tiqad dengan qadha` dan qadar yang ditentu Allah tidak menghalang hamba dari ikhtiar dan berdo`a.  Pada hakikat manusia tidak mengetahui apa yang ditentu Allah kepadanya. Ia seharusnya berada di atas landasan hidup yang betul, meneruskan kehidupan dengan yakin di atas penentuan Allah, kerana apa yang diusahakan secara bersungguh-sungguh dan berdo`a sepenuh harap. Maka  apa yang dicapai adalah  mohonan dan penentuan takdir Allah. Seseorang tidak seharusnya mempersoalkan masa depan yang tidak diketahui, tetapi mengusahakan mengisi masa depan dengan kemahuan-kemahuan semoga  permohonan dan apa yang dipohonkan dikabulkan Allah Ta`ala.
Seseorang itu hendaklah menerima apa yang berlaku ke atas dirinya sesudah berusaha dan berikhtiar sedaya upaya, dalam mana kejayaan atau sebaliknya adalah terserah kepada Allah, maka di situlah terletak qadha` dan qadar Allah Ta`ala.
Berusaha, bekerja untuk mencari rezeki yang halal adalah merupakan suruhan Allah Ta`ala.`  (Al-Juma`at: 10).
Kita tak perlu mempersoalkan persoalan-persoalan hakikat yang kita tak ketahui melainkan Allah. Membuatkan andaian dan memungut pendapat-pendapat bercanggahkan merumitkan persoalan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment