April 10, 2016

Pendekatan Permulaan Buku I`tiqad Ahlussunnah Wal-Jama`ah: Ash`ari-Maturidi


BBB, 01 Rajab 1437 =  09 April 2016 (Sabtu):
Membaca  judul buku di atas oleh K.H. Sirajuddin Abbas ini memberi tanggapan kepada kita bahawa buku ini membicarakan akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah sebagaimana kitab-kitab aqidah yang telah kita bicarakan sebelum ini, tetapi pendekatan yang diambil sebenarnya ialah  Aqidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah di dalam kelahiran berbagai-bagai akidah di dalam Islam. Pendekatan buku I`tiqad Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah ini mengambil pendekatan sejarah bagi pertumbuhan dan perkembangan berbagai-bagai akidah di dalam Islam dan boleh juga dikatakan adalah mengambil pendekatan perbandingan dengan lebih penonjolan bagi Akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.   
Dari segi format pembicaraan tentang Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah Penulis – K.H. Sirajuddin tidak mengambil pendekatan tradisional sebagaimana yang dilakukan oleh pengarang-pengarang kitab tradisi iaitu dengan membicarakan pada peringkat permulaan tentang konsep mukallaf dan rukun akal, iaitu wajib, mustahil dan harus yang menjadi neraca pertimbangan bila membicarakan tentang yang wajib, mustahil dan harus bagi Allah dan Rasul, bahkan tidak dibicarakan tentang sifat-sifat bagi Allah dan Rasul dan pembahagian dan pengelompokan sifat-sifat berkenaan.
Bagi mengukuhkan pembicaraan dan sesuai dengan judul I`tiqad Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaahm sebagaimana disebut bahawa pengarang memberi keutamaan pembicaraan tentang akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah, biarpun aliran Ahlu al-Sunnah secara formalnya bukan aliran pertama yang lahir  (Namun bukti dari ayat-ayat Al-Qur`an dan Hadith tertentu terdapat seawal Islam lahir).
Kelahiran Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah sebenarnya bagi mempertahankan kemurnian Islam iaitu setelah lahir berbagai-bagai aliran mendahuluinya seperti Shiah, Mu`tazilah, Qadariyyah dan Jabariah. Secara formal kelahiran Aqidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah ialah dengan penentangan  Abu Hasan al-Ash`ari (m. 324H.) terhadap gurunya al-Jubai (m.303H.) pendukung Mazhab Mu`tazilah terhadap beberapa masalah yang tidak disenangi. Mazhab Mu`tazilah didukung oleh kerajaan Abbasiyyah terutama pada zaman Khalifah Ma`mun bin Harun al-Rashid (198-218H.), Al-Mu`tasim (218-227H.) dan Al-Wathiq (m.227-232H.).
Jadi Aliran Aqidah Ash`ari yang dinisbahkan kepada aliran Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah lahir di tengah-tengah ketajaman perbahasan akidah yang antaranya diakibatkan oleh pertelingkahan politik di kalangan umat Islam terutama antara Ali-Mu`awiyah, berikut dari peperangan Siffin melahirkan golongan Khawarij.  Antara slogan `Wajib Mengubah Kebatilan`. Selanjutnya lahir pula golongan Mu`tazilah yang dipimpin oleh Wasil bin Ata` (80-113H.) yang terkenal dengan konsep `Tempat Antara Dua Tempat` dan menggelarkan diri mereka sebagai Ahlu al-Adl wa al-tauhid berhubung dengan pegangan akidah mereka. Berikut dari itu lahir pula Kaum Qadariyyah yang berfaham,  mereka bertindak dengan kuasa dan pilihan sendiri, dan sebagai kontra bagi kaum Qadariyyah lahir faham yang dikenali sebagai Jabariyyah yang berpendapat bahawa manusia tidak mempunyai daya upaya, segala perlakuan dan tindakan adalah dari Tuhan. Di tengah kekacauan pendapat dan pegangan ini Abu Hasan Ash`ari yang menentang pendapat-pendapat yang ektrim dan meletakkan akidah Ahlu al-Sunnah bersesuaian dengan unsur-unsur akidah yang terdapat di dalam al-Qur`an dan Al-Sunnah.
Dari munculnya Ash`ari K.H. Sirajuddin mengolah tentang perkembangan Aliran Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah. Beliau menggalurkan tentang Aliran Ahlu al-Sunnah yang dikaitkan dengan Ash`ari. Pendekatan Ash`ari berdasarkan akal dan naqal (Qur`an dan Hadith)  dan bagi mengukuh dan menentang aliran Mu`tazilah Ash`ari telah menghasilkan karangan-karangan yang menjadi induk dan rujukan aliran Ash`ari iaitu kitab:
1)       Al-Ibanah fi Usul al-Diyanah  (3 jilid).
2)      Maqalat al-Islamiyyin
3)       Al-Mujaz (tiga jilid)
4)      Beberapa yang lain.
Kekukuhan aliran Ash`ari, kerana kemantapan dari segi pendekatan yang berasaskan Al-Qur`an dan Al-Hadith dan aliran ini mendapat dokongan ulama`ulama` besar yang mendukung aliran ini  berterusan. Antara mereka yang disenaraikan oleh K.H. Sirajuddin Abbas ialah Imam Abu Bakar val-Qaffal (m.365H.),Imam Abu Ishaq al-Asfaraini (m. 411H,)m, Imam al-Hafiz al-Baihaqi (m.458H.), Imam al-Haramayn al-Juwaini (m. 460H)., Imam Abu al-Qasim al-Qushayri (m. 485 H.), Imam al-Baqillani (m. 408 H.), Imam Al-Ghazali (m. 505 H.), Imam Fakhruddin al-Razi (m. 606 H.), Imam Izzuddin bin Abdul Salam (m. 660 H.). Pendukung pada peringkat yang lebih kemudian ialah   Shaykh Abdullah al-Sharqawi (m. 1227H.), Shaykh Ibrahim al-Bajuri (m. 1272 H.),, Shaykh Muhammad Nawawi  Bantan (m. 1315 H.), Shaykh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fatani (m. Akhir abad ke 19M.), Dan lain-lain.
Aliran Sunni diperkukluhkan dengan dukungan Imam Abu Mansur al-Maturidi berasal dari Maturid, di Samarqand (m. 333H.), meninggal satu dekad selepas meninggalnya Abu Hasan al-Ash`ari. Beliau juga menghasilkan belasan buah kitab antaranya memperkukuhkan aliran Sunni seperti
1)      Kitab Ta`wil al-Qur`an atau Ta`wil Ahl al-Sunnah
2)      Kitab al-Usul (Usul al-Din)
3)      Kitab al-Tauhid
4)      Kitab al-Jadal
5)      Kitab al-Maqalat
Dan kitab-kitab yang lain.
Sebagaimana Ash`ari mempunyai pendukung-pendukungnya, maka demikianlah dengan al-Maturidi (Tidak diberi huraian oleh K. H. Sirajuddin) antaranya Al-Taftazani dan pengikut-pengaruhnya  tersebar luas di berbagai-bagai negara Islam.
Ada perbezaan-perbezaan kecil antara Ash`ari dan Maturidi di dalam pendekatan akidah Sunni misalnya ma`rifat Allah menurut Ash`ari adalah diwajib oleh Shara`, sedang bagi Maturidi adalah diwajib akal. Sesuatu perbuatan itu menurut Ash`ari  tidak mempunyai baik dan buruk, baik dan buruk ditentu oleh Shara`, sedangkan bagi Maturidi pada sesuatu perbuatan itu sendiri ada nilai baik dan buruknya. Perbezaan juga tentang kewajipan mengetahui sifat Allah bagi Ash`ari ialah 13 sifat dengan wujud adalah Dhat bukannya sifat dan bagi Maturidi 20 sifat dan baginya ada kelompok yang diistilahkan sebagai Ma`nawiyyah dan perbezaan-perbezaan yang lain yang bersifat furu`. Kedua-dua tokoh menggunakan hujah-hujah naqal dan akal di dalam membahaskan terutama tentang sifat-sifat Allah. K.H.Sirajuddin memberi bukti-bukti ayat Al-Qur`an dan Al-Hadith di dalam membahaskan tentang sifat-sifat Allah dan Rasul juga tentang rukun-rukun iman yang lain sebagaimana pendekatan kitab-kitab yang lain yang mendukung aliran Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment