BBB, 05
Rajab 1437 = 13 April 2016 (Rabu):
Dari pergolakan politik pada pertengahan abad
pertama Islam telah melahirkan kelompok-kelompok penentangan seperti Shi`ah,
Khawarij, Murjiah, termasuk Qadariyyah dan golongan yang dikenali dengan Jabariyyah.
Dilihat dari segi positif, pertikaian di
kalangan umat mencetuskan daya gerak intelektual, membahaskan persoalan
falsafah yang berhubung dengan akidah yang dengan keilmuan berkenaan melihat di
mana seharusnya batas-batas kemanusiaan, hak dan kedudukan ketuhanan dalam
rangka falsafah dan akidah keislaman. Antara
kelompok yang lahir, maka Mu`tazilah adalah kelompok menonjol dalam bidang
akidah yang sebahagian dari pegangannya
adalah kontra dengan akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah. Dalam pendekatan
Mu`tazilah tidak lagi digerak oleh penentangan yang bersifat politik, tetapi
lebih kepada bersifat rasional dan boleh dikatakan juga bersifat intelektual.
Ia merupakan pancaran ilmu hasil dari pengajian dan dialog keilmuan yang
berlaku.
Namun ciri keilmuan dan intelektual yang
berlaku, khususnya dari segi akidah bukanlah bersifat tersendiri, bermaksud
kelahiran tradisi intelektual ini adalah diiringi, bahkan bersekali dengan
perkembangan bidang-bidang keilmuan yang lain yang berlaku sebelum dan semasa
dengannya. Misalnya sebelumnya telah tumbuh pengajian yang berhubung dengan
Al-Qur`an yang tokohnya seperti Abdullah bin `Abbas (m. 687H.), dan
murid-muridnya seperti Sa`id bin Jubayr (m. 713M.), Mujahid (m. 721M.), dan
`Ikrimah (m. 724M.).
Tradisi mencatat Hadith Rasulullah s.a.w.
bermula antaranya dilakukan oleh Al-Sha`bi (m.721M.), `Urwah bin al-Zuhayr (M.
712M.), `Asim ibn `Umar Ibn Qatadah (m. 737M.), dan Al-Zuhri (m. 742). Keilmuan
Hadith kemudian berkembang dengan ciri dan identiti tersendiri sebagai sumber
keilmuan dan keislaman.
Bidang fiqh juga berkembang sejak awal lagi Di
Madinah dua tokoh ulama` terkenal, iaitu Abdullah bin `Unar dan juga Abdullah
bin `Abbas yang juga mendalami di dalam bidang Al-Qur`an. Antara tokoh terawal
terkenal yang lain ialah Ibrahim al-Nakha`i (m. 714M.). Pada akhir pemerintahan
Umayyah di Madinah terdapat 7 orang peguam Islam terkenal. Mereka ialah Sa`id
ibn al-Musayyab, `Umar ibn al-Zubayr, Abu Bakar ibn Abdul Rahman, `Ubaidillah
ibn `Abdullah ibn `Utbah, Kharija ibn Zayd ibn Thabit, Sulayman Ibn Yasar dan Qasim ibn Muhammad ibn Abu Bakar.
Manakala bidang tasawuf lahir tokoh-tokoh yang
menghasilkan penulisan bidang tasawuf seperti Abdullah al-Mubarak (m. 181 H.) menghasilkan
- Kitab al-Zuhd wa al-Raqa`iq,
Al-Harith bin Asad al-Muhasibi (243H.)
menghasilkan kitab Al-Ri`ayat li Huquq Allah dan beberapa yang lain lagi
pada peringkat awal. Sebelum kelahiran kitab-kitab tasawuf sudah tentulah sudah
ada pengamal-pengamal tasawuf pada peringkat yang lebih awal.
Apa yang hendak ditekankan di sini, bahawa
perkembangan akidah dan kelahiran tokoh-tokoh dan aliran-aliran sepert Shi`ah,
Khawarij, Murjiah, Qadariyyah dan Jabariyyah adalah bersama dengan perkembangan
keilmuan yang lain dan pengajaran keilmuan-keilmuan berlaku secara popular dan
terbuka.
Asas utama akidah Islam, khususnya bagi Ahliu
al-Sunnah wa al-Jama`ah adalah bersumberkan Al-Qur`an di samping akal, tetapi
Mu`tazilah dalam bahasan mereka berhubung dengan akidah meletakkan keutamaan rasional
akal, kadang-kadang mengkesampingkan sumber naqal.
Tentang kelahiran dan istilah `Mu`tazilah
banyak pendapat mengenainya. K.H. Sirajuddin mengemukakan pendapat yang
mengaitkan Istilah ini lahir dari isu yang berhubung dengan akidah, bahawa pada
masa tradisi pengajian giat berlaku antaranya di Masjid Kota Basrah. Imam Hasan Basri (m. 110H.) mengajar di Masjid
Basrah yang antara mereka yang mengikuti pengajaran ilmu tauhidnya ialah muridnya bernama Wasil bin `Ata` (m. 131H.).
Suatu isu pengajaran yang disebut Hasan Basri bahawa mereka yang berdosa besar
adalah dikira sebagai muslim yang berdosa, kelak ia dihukum masuk neraka
sebelum ianya layak masuk ke syurga.
Pendapat yang diutarakan oleh Hasan Basari ini
dikatakan tidak disetujui oleh Wasil bin `Ata` yang memisahkan diri dan
mengadakan pengajaran pada bahagian lain di masjid dengan pengikut-pengikutnya.
Tetapi ada pendapat lain seperti di dalam
Jauharat al-Tauhid mengatakan dialog berlaku
antara Hasan Basri dengan gurunya Al-Jubai berhubung dengan balasan orang
yang berdosa besar di atas, Hasan bertanya bagaimana dengan anak yang mati
kecil, dijawab al-Jubai , bahawa dia tidak berdosa dan dimasukkan dalam syurga.
Ini dihujahkan Hasan sebagai tidak adil
kepada yang mati tua berdosa dan masuk neraka. Dari segi keadilan adalah lebih
adil bagi yang berdosa itu dimati kecil supaya dapat masuk syurga. Wasil bin
Ata` berpendapat, untuk keadilan diwujudkan `Satu Tempat Antara Dua Tempat
(syurga dan Neraka) bagi anak kecil, persoalannya`, bagaimana yang mati tua
yang masuk neraka, tidakkah wajar dia dimatikan kecil, dia dimasukkan ke dalam
tempat antara dua tempat. Begitu juga ditimbulkan dari segi keadilan,
bagi anak kecil dihujahkan, bahawa jika dia dimatikan tua secara patuh kepada
Allah dia dapat masuk ke syurga – tidak berada di tempat antara dua tempat.
Dikatakan Al-Jubai tidak dapat memberi
jawapan, maka Hasan Basri yang asalnya pengikut Mu`tazilah itu mengasingkan
diri dengan pengikut-pengikutnya dan mengajar akidah yang kemudian dikenali
sebagai Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah. Dikatakan peristiwa berlaku pada zaman
pemerintahan Khalifah Hisham bin Abdul Malik pada (100-125H.) zaman kerajaan
Umawiyyah.
K.H. Sirajuddin juga mengemukakan pendapat
yang lain bahawa puak pengasing diri ini pada asalnya bermazhab Shi`ah, tetapi
mereka keciwa apabila Hasan bin Ali menyerahkan kekhalifahan kepada Mu`awiyah.
Kerana kekeciwaan mereka mengasingkan diri dan tidak terlibat dengan politik
dan kekacauan. Mereka mendirikan pengajian yang dikenali dengan Mu`tazilah,
kerana pengasingan diri mereka dari masyarakat dan politik semasa. Pemgasingan
diri kelompok ini adalah sekitar tahun 40H. kerana penyerahan kekhalifahan
Hasan kepada Mu`awiyah adalah pada tahun 40H. Selain dari pendapat-pendapat di
atas, ada beberapa pendapat kecil yang lain yang mengaitkan peristiwa-peristiwa
tertentu yang menyebabkan berlakunya pengasingan yang melahirkan kelompok yang
mempunyai pendekatan yang antaranya berlainan dan bertentangan dengan pendapat
Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah.
Pokoiknya sekitar awal abad kedua Hijrah,
telah berlaku perkembangan ilmu pengetahuan di dalam berbagai bidang keilmuan
yang disebutkan di atas, lantaran itu berlaku dialog-dialog keilmuan
termasuklah di dalam bidang akidah. Perkembangan ini adalah sesuatu yang sihat dan
positif bagi perkembangan ilmu-ilmu keislaman termasuklah di dalam bidang
akidah. Melalui dialog dan pengajian dapatlah dimurnikan keilmuan dan diikuti
mana yang benar dan menjadi pegangan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment