K.H. Sirajuddin memasukkan Ibn Taimiyah
sebagai seorang tokoh yang membawa aliran khusus dalam akidah dan keilmuan
Islam. Nama Ibn Taimiyah ialah Taqiyuddin Ahmad bin Abdul Halim bin Taimiyah
yang dikenali dengan Ibn Taimiyah. Beliau dilahirkan pada awal tahun (661H.) menjelang Baghdad dan Timur Tengah diserang
tentera Tartar (667). Dia dan keluarganya dibawa ayahnya menyelamatkan diri ke
Damshiq, Syria. Jadi Ibn Taimiyah hidup dalam keadaan negara, politik dan sosial
tidak tenteram. Namun Ibn Taimiyah yang keluarganya mempunyai kesedaran
pengajian yang tinggi menghantar Ibn Taimiyah belajar di pengajian di Damshiq di dalam
bidang-bidang keilmuan akidah, fiqh, tafsir, Hadith, Usul al-Fiqh dan lain-lain.
Akhirnya Ibn Taymiyah menjadi tokoh rujukan dalam bidang Hadith, fiqh dan
berbagai-bagai fatwa.
Dalam suasana umat Islam yang tidak stabil,
Ibn Taimiyah amat menekankan soal jihad
dan beliau terkenal berani dan bercita-cita syahid fi sabilillah. Ibn Taimiyah
adalah pengikut Mazhab Hanbali. Beliau banyak mengarang kitab-kitab sejumlah
ratusan buah. Antaranya:
1. Ma`alim al-Usul – sanggahan terhadap falsafah
2. Al-Tibyan fi Nuzul al-Qur`an
3. Al-`Aqidah al-Wasitiyyah
4. Risalah fi al-Qadha` wa al-Qadr
5. Al-Kalam `ala al-Fitrah
Dan banyak lagi.
dan
pada masanya terdapat ulama-ulama terkenal seperti Imam Nawawi (L. 630H.) seorang
ulama besar pendukung mazhab Shafie, Ibn Hajar al-Haitami (L. 883H.) lahir di
Mesir (banyak memperbaiki kesilapan-kesilapan di dalam kitab-kitab Ibn Taimiyah.
Ibn Taimiyah melihat banyak penyelewengan dan
khurafat yang terjadi pada zamannya dan berusaha memperbaikinya. Tetapi kata
K.H. Surajuddin:
``Akan tetapi sangat disayangkan bahawa beliau
(Ibn Taimiyah) terpengaruh dengan fahaman kaum Mushabbihah dan
Mujassimah yang menyerupakan
Tuhan dengan makhluk dan juga banyak mengeluarkan fatwa-fatwa dalam fekah yang
berbeza jauh dengan fatwa-fatwa dalam mazhab Hanbali sendiri dan juga dari
mazhab-mazhab Hanafi, Maliki dan Shafie.``
Di dalam karangannya yang berjudul
al-Munazarah fi al`Aqidah al-Wasitiyyah dan Al-`Aqidah al-Hamiwiyyah al-Kubra
Ibn Taimiyah menjelaskan tentang dasar mazhabnya ialah menjelaskan ayat-ayat
Al-Qur`an dan Hadith-Hadith Nabi yang berhubung dengan sifat Tuhan menurut erti
lafaznya yang zahir, yakni secara
harfiyyah sahaja.
Dengan maksud lahir ini menurutnya, Tuhan
mempunyai muka, tangan, mata, rusuk, duduk bersila, datang dan pergi dan cahaya
langit dan bumi kerana maksud yang sedemikian terdapat di dalam Al-Qur`an.
Dia mengatakan Tuhan berada di atas langit dan
boleh ditunjuk dengan jari dan sebagainya. Dengan ini menurut K.H. Sirajuddin
Ibn Taimiyah boleh digolongkan di bawah
Mujassimah dan mushabbihah. Pasndangannya dibawa di dalam pengajaran dan
ucapan-ucapan. Beliau turut menentang pendapat-pendapat imam-imam mazhab yang
empat.. Kononnya ia akan memperbaharui pengajian ulama-ulama terdahulu dan
mengembalikan mereka kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasul. Ia menegaskan akan
memerangi khurafat dan bid`ah ulama-ulama terdahulu. Beliau menentang taqlid
kepada mazhab.
Dalam khutbahnya di Masjid di Damshiq beliau
menerangkan tentang sebuah Hadith yang memaksudkan Tuhan turun dari langit
dunia tiap-tiap malam.
Dicatatkan bahawa pada tahun 705H. Raja Mesir yang menguasai Syria pada
masa itu memanggil Ibn Taimiyah, beliau dibawa ke mahkamah dan dituduh membawa
pengajaran sesat dengan ungkapan-ungkapannya tentang Tuhan. Beliau tidak mau diadili
dengan hujah yang mengadilinya adalah musuh-musuhnya. Beliau ditahan dan dipenjarakan
selama 18 bulan. Selepas bebasnya, ia melanjutkan pendapatnya tentang Tuhan
bertempat dan bersifat sebagai manusia, bahkan beliau menyerang pengajaran
tasawuf dan guru-guru sufi yang mendapat tempat di Mesir. Beliau sekali lagi
dibawa ke muka pengadilan dan ditahan.
Pada tahun 709H. beliau dibuang dan diasing ke Iskandariah selama 7
bulan oleh kerana fatwa-fatwanya yang aneh dan bercanggah dengan pegangan
akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah dan beliau menyerang terhadap ulama` mazhab
empat dan juga `ulama` usuluddin dari kalangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.
Pada tahun 712H. beliau kembali ke Damshik. Sikap
Ibn Taymiyah tidak berubah, bahkan makin bertambah. Di Damshiq beliau
bukan saja mengeluarkan pengajaran berkenaan akidah yang bercanggah dengan
akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah, tetapi melancarkan serangan terhadap
imam-imam mazhab empat – termasuk Mazhab Hanbali yang diikutinya selama ini.
Ingatan-ingatan dari sultan pemerintah di Syria pada masa itu disampaikan.
Tetapi perintah dan larangan terus dilanggarnya. Maka melalui persidangan
ahli-ahli hukum, pada 22 Rajab tahun 720
beliau dikenakan tahanan. Beliau dilepaskan pada tahun 721H., tetapi beliau
tidak berhenti dari meneruskan sikapnya yang bertentangan sehingga terpaksa
ditahan dan meninggal dalam tahanan di
Damshik pada 27 Syawal 728H.
Antara pengajarannya yang tidak menyenangkan
1) Tuhan duduk di atas `arash
sebagai gambaran duduknya manusia
2) Tuhan turun dari langit tiap-tiap malam serupa turunnya Ibnu
Taimiyah dari mimbar.
3) Ibn Taimiyah mengharamkan menziarah kubur Nabi Muhammad s.a.w. di
Madinah dan perjalanan kepadanya dianggap maksiat.
4) Menghukum kafir atau syirik terhadap orang berdoa secara bertawassul
5) Mengharamkan tarikat-tarikat sufi yang banyak dilakukan pada zamannya.
Demikianlah sikap
Ibn Taimiyah yang keras dan mudah mengkafirkan orang yang tidak bersetuju
dengan pendapatnya. Untuk mencegah dari kekacauan akibat dari pendapat dan
fatwa-fatwanya ulama dan pemerintah pada zamannya mengambil tindakan menahannya,
agar tidak menimbulkan kekeliruan dan kekacauan dari berlaku.
Sekian.
No comments:
Post a Comment