BBB, 28 Jamadil Akhir 1437 = 06
April 2016 (Rabu):
Dengan ini aku mengharapkan Allah
keikhlasan * Jauh
dari riya` kemudian mendapat kelepasan
Dari syaitan direjam dan kekejian hawa-nafsu *
Siapa cenderung kekejian itu dia
tertipu.
Pada asasnya sebagaimana dimaksudkan oleh
Nazim sebagai disharh oleh Pengsaharah, bahawa Penggubah Nazam mengharapkan apa
yang dihasilkan dalam karangan Jauharat al-Tauhid ianya adalah sebagai kerja
ikhlas yang tidak disertai sifat riya`, selamat dari godaan syaitan yang
direjam dan terlepas dari unsur nafsu.
Sharih mengulas panjang lebar terhadap kandungan
dua bayt ini dengan elemen-elemen ketasawufan. Misalnya menerangkan erti raja`,
ikhlas dan riya` yang disebut di dalam bayt-bayt di atas. Raja`
adalah merupakan antara tahap-tahap perjalanan kualiti kerohanian di dalam
tasawuf. Raja` menurut Sharih bahawa:
Raja` itu mengharap hasil barang suatu dalam
zaman mustaqbal serta mengerjakan sebabnya.
Manakala ikhlas, ialah mengkasadkan kerana
keredaan Allah Ta`ala dengan ibadat yang dilakukan.
Kedua-duanya adalah elemen positif di dalam
tasawuf. Manakala riya` adalah sebahagian dari elemen negatif yang meruntuhkan
kualiti kerohanian. Kata Sharih:
`Dan erti riya` yang mazmumah itu mengerjakan
barang suatu adat kerana mengqasadkan bagi manusia atau lainnya seperti
melakukan sadaqah bagi mendapat pujian yang menghilangkan pahala.
Riya` adalah sebahagian dari nafsu yang Sharih
menerangkan nafsu terbahagi secara minimum kepada dua iaitu:
Pertama:
Nafsu ammarah, iaitu nafsu yang cenderung kepada kejahatan seperti
mengumpat, mencuri dan sebagainya.
Kedua:
Nafsu lawwamah.
Nafsu lawwamah ada kalanya cenderung ia bagi ibadat kepada Allah, maka
dinamai nafsu mutmainnah.
Dan ada
kala cenderung ia kepada pekerjaan yang mubah, maka iaitu nafsu lawwamah jua
namanya.
Manakala hawa cenderung kepada sesuatu yang
dikasihi tanpa memikir akibat perbuatannya yang biasanya bersifat negatif dan
merosakkan.
Sesungguhnya selepas membicarakan tiga perkara
di atas yang ada di dalam matan Sharih masuk kepada pembicaraan khusus tentang
tasawuf sebagai tambahan bagi penutup
dengan agak panjang lebar (8 hlm.)
Dalam membicarakan tentang tasawuf Sharih
mentakrifkan ilmu tasawuf berdasarkan pendekatan Imam al-Ghazali iaitu ilmu
yang mengingatkan hati kepada Allah Ta`ala dan melupakan yang lain dariNya.
Sebagaimana Imam Al-Ghazali membicarakan sifat muhlikat bagi diri, demikian
Sharih menyebutkannya sebagai sifat mazmumah, iaitu tujuh sifat:
1) Hubb al-dunya
2) tamak 3)
Hasad
4) `Ujub 5)
Riya` 6) Takabbur
7) Sum`ah
Setiap satu diberi
takrif. Contoh sum`ah, iaitu mengerjakan ibadat supaya didengar oleh manusia.
Al-Imam Al-Ghazali
juga memecahkan pembicaraan kepada sifat-sifat positif disebut Munjiyat. Sharih
juga membicarakannya dengan menamakannya sebagai sifat-sifat mahmudah
(terpuji). Menurut Sharih sifat-sifat mahmudah ini ada sembilan sifat, iaitu:
1) Zuhud 2)
Qana`ah 3) Sabar
4) Tawakkal 5)
Reda 6) Shukur
7) Ikhlas 8) Khawf 9)
Raja`
Sebagaimana
sifat-sifat keji diberi takrif, maka demikianlah juga dengan sifat-sifat
terpuji, sebagai contoh:
Qana`ah itu, iaitu
berkifayah dengan barang yang ada ia
dalam tangannya dan tiada mengharap-harap barang yang tiada ia di dalam
tangannya lainnya. Maka zuhud dan qana`ah itu terlebih afdal daripada sekalian
sifat yang mahmudah dan iaitu kelakuan segala nabi dan rasul dan sekalian
auliya` Allah Ta`ala.
Namun Sharih membuat
kesimpulan bahawa:
Shahadan bermula
sifat yang mazmumah dan sifat yang mahmudah itu terlebih banyak daripada barang
yang telah tersebut itu..
Menurut Sharih: Dan
asal jalan orang yang ahl al-tasawwuf itu lima perkara:
Pertama: Takut kepada Allah di dalam zahirnya dan
batinnya.
Kedua: Reda ia daripada hukum Allah Ta`ala dan
kenyataan reda itu dengan tafwid kepada Allah Ta`ala dan qana`ah.
Ketiga: Ittiba` shara` Rasulullah s.a.w. pada
zahirnya dan batinnya
Keempat: Membuangkan sekalian sifat yang mazmumah
Kelima: Ruju` ia kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala
halnya semata-mata.
Memasukkan unsur
tasawuf pada bahagian akhir Matan Jauharat al-Tauhid bagi memantapkan pendekatan akidah yang
biasanya mengambil pendekatan rasional, iaitu menekankan kepada logik dan
kefahaman dan tidak bercanggah antara
hukum dan sifat antara satu sama
lain. Dapat dikatakan kering dari elemen rohani, maka dengan memasukkan tasawuf
pada hujung karangan, ianya melengkapkan pendekatan. Contoh yang mempelajari
ilmu akidah ialah bagi memahami akidah dan menjauhi dari elemen syirik. Dengan
kefahaman secara rasional sahaja tidak menimbulkan rasa khudu`, mesra, patuh
setia, takwa dan kasih cinta yang
elemen-elemen berkenaan terdapat di dalam tasawuf. Dengan memasukkan elemen
tasawuf yang mempelajari ilmu akidah tidak saja memahami, tetapi mempunyai
elemen patuh setia, kasih cinta dan taqwa terhadap Ilahi. Lantaran jika dua
pengajian dipelajari, bahkan tiga
bidang, iaitu akidah, tasawuf dan fiqh dipelajari melengkapkan kefahaman,
memupuk kepatuhan dan menyuburkan rasa kasih dan mesra Ilahi.
Sekian.
No comments:
Post a Comment