April 5, 2016

Akidah Juga Melibatkan Politik Pentadbiran: KewajipanPemerintahDanRakyat


BBB, 26 Jmadil Akhir 1437 = 04 April 2016 (Isnin):



Meskipun pembicaraan mengenai akidah lebih tertumpu kepada persoalan rukun iman yang enam, tetapi keberadaan seorang muslim-mu`min dan masyarakat umat semestinya berada  di dalam satu-satu kawasan yang melibatkan negara dan negeri dan bagi negara dan negeri melibatkan kepimpinan, dan kepimpinan yang baik memungkinkan individu dan masyarakat umat dapat berpegang dengan akidah tanpa diganggu gugat dan pengembangan akidah dan dakwah bergantung pula dengan suasana pemerintahan yang mungkin menggalakkan perkembangan akidah dan dakwah atau melarang atau tidak mengambil kisah dan perhatian, lantaran itu dilihat kepimpinan mempunyai kaitan dan kepentingan dari segi akidah dan dakwah, bahkan kepimpinan dianggap berada pada lapisan terkedepan dari segi kedudukan akidah kepimpinan selepas Rasulullah s.a.w. seperti kalangan Khulafa` al-Rashidin, para sahabat, tabi`in, ulama`, auliya`, muttaqin dan para salihin.  Dari segi kepimpinan ini kata Penggubah Nazam Jauharat al-Tauhid Shakh Ibrahim al-Laqani:
Wajib melantik imam yang adil  memerintah    *     Secara shara` bukan atas akal dibantah
Bukan sebagai rukun wajib agama  seperti  fardu *  Jangan menentang perintah patuh perlu
Kecuali  perkara yang melibatkan kekufuran   *  Hilang patuh tumpuan kepada Allah  Ketunggalan
Jika tidak menghalang patuhlah pada pemerintahan * Tidaklah hilang kepatuhan semata kurang keadilan
Sharih mengulas tentang perlantikan kepimpinan bahawa:
Wajib atas tiap-tiap orang yang mukallaf atas kifayah menegakkan atau melantik imam yang adil dari segi shara`. Pendapat ini berlainan dengan pendapat Mu`tazilah yang berpendapat wajib melantik imam yang adil itu atas pertimbangan akal. Kewajipan ini tidak sebagaimana kewajipan yang fardhu seperti wajib mendirikan solat lima waktu, puasa, zakat dan sebagainya. Kewajipan ini menghendaki masyarakat umat patuh dengan pemerintahan yang benar, kecuali perintah dan larangan yang menggugat ugama Islam seperti melibatkan perkara-perkara kufur maka tidaklah diberi kepatuhan. Selain daripada itu kata Sharih tidaklah menghilangkan kepatuhan dan kesetiaan kepada pemerintah, walaupun kelihatan makin menghilang keadilannya. Tetapi hendaklah berusaha membaikinya.
Syarat seseorang layak menjadi imam atau pemimpin:
Ialah:  Islam, baligh, akil, adil, shuja` (berani) dan kamil (sempurna) akalnya.
Faktor diangkat seorang menjadi imam atau pemimpin disebut Sharih tiga faktor:
1)      Dengan `aqad daripada ahli `aqd seperti ulama` dan sebagainya dan daripada Ahli al-Halli, yakni orang yang kuat dalam pekerjaan menjadikan imam seperti mendahuli kematangan (baligh) dan berkebolehan.
2)      Sebab wasiat imam kepada khalifah sebagai penggantinya
3)      Sebab mengalih atau berubah kesetiaan dan jikalau fasik sekalipun, bahkan kata Sharih dan jikalau kafir sekalipun atas kata setengah ulama yang rajih.
Manakala kewajipan Imam yang terpilih atau dilantik:
a)      Wajib atas imam  menyuruh akan rakyatnya daripada mengerjakan barang yang disuruhkan Allah Ta`ala akan hambanya dan menegahkan barang yang ditegahkan oleh Allah Ta`ala atas hambanya.
b)      Wajib Imam menolakkan sebarang kezaliman yang menimpa rakyat dan masyarakat dan memberi pembelaan jika berlakunya kezaliman.
c)       Melaksanakan berbagai-bagai program kebajikan kepada rakyat
Di samping kewajipan pada pihak kepimpinan, maka bagi umat, rakyat, masyarakat juga mempunyai kewajipan, lantaran pemerintahan tidak akan berlaku, tenpa kesetiaan rakyat. Kesetiaan rakyat membolehkan zakat dan cukai dipungut bagi menjalankan pentadbiran dan kemajuan rakyat.
Kata Shaykh Ibrahim al-Laqani:
Menyuruh berbuat baik dan jauhi umpat dendam *   mencegah mungkar elemen merosakkan
Ujub, takabur dan berbagai jenis hasad dengki  * Tinggi diri, berbantah, mengkritik segala segi
Sebagaimana pihak pemerintah (Imam) mempunyai kewajipan di dalam pentadbiran, khususnya mempastikan pembetulan akidah, perjalanan akhlak dan memelihara kebajikan umat, maka kewajipan juga  berada pada setiap umat di dalam sesebuah negara, negeri atau pemerintahan. Antara kewajipan ialah menyuruh berbuat baik dan meninggalkan kejahatan sesama di dalam masyarakat. Untuk mengelak dari berlaku perpecahan di dalam masyarakat hendaklah menjauhkan dari sifat mengadu domba dan mengumpat. Individu pula tidak bersifat ujub, takabbur, hasad dengki, berbantah, sentiasa mencari kesalahan, mengkritik  berterusan dan bersifat perseteruan, sebaliknya hendaklah bersifat ukhuwwah dan ihsan sesama masyarakat dan umat.
Dari penerangan di atas dapatlah dilihat, bahawa skema ilmu akidah dan pendekatannya tidaklah berfokus kepada akidah tentang ketuhanan sahaja, tetapi mempunyai pendekatan menyeluruh mulai dari mempastikan `Pandangan Wujud` yang betul dari  kefahaman dan akidah pada peringkat tertinggi yang dihurai secara detail dan sistematik agar difahami betul-betul rangka akidah pada peringkat tertinggi melibat dan berkait dengan segala yang wujud dengan pandangan yang menyeluruh. Kemudian kefahaman tentang alam sebagai fenomena kejadian ciptaan Allah sebagai manifestasi dari kemahuan dan kekuasaanNya. Selepas itu dikuti dengan peranan insan  di alam ini bermula dari Adam sebagai khalifah Allah yang pertama memimpin manusia, membawalah kepada rasul-rasul seterusnya hingga kepada Nabi Muhgammad s.a.w.
Manusia sebagai kelompok masyarakat bukan saja memerlukan bimbingan dan kepimpinan, tetapi panduan-panduan. Dilihat dari aspek akidah sahaja, maka kepimpinan adalah budaya warisaan umat secara berterusan. Kepimpinan dari peringkat rasul-rasul kepada peringkat khalifah, sahabat, tabi`an , tabi` al-tabi`n, ulama, imam-imam dan apa juga nama kepimpinan yang diberi, bahawa penerusan di atas nama Islam hendaklah berlandaskan ajaran Islam yeng telah diatur dan diikuti oleh kepimpinan, di samping kreativiti di dalam kepimpinan mereka terutama dari segi keadilan, kebajikan  dan keselematan mereka. Di dalam hal ini umat dan masyarakat mempunyai peranan bagi melangsungkan penerusan kepimpinan yang baik yang diredhai Allah dan didukung umat.

Sekian.






No comments:

Post a Comment