BBB,
02 Rajab 1437 = 10 April 2016
(Ahad):
Walau bagaimana dengan membicarakan sebahagian
besar firqah-firqah bukan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah, dipersoalkan bahawa
judul dan kandungan dirangkum di bawah judul akidah Ahlu al-Sunnah wa
al-Jama`ah. Lebih tidak wajar apabila dimasukkan beberapa firqah yang
terang-terang bukan dari firqah dan bukan dari Islam seperti agama
Baha`iyyah yang diasaskan oleh Mirza Ali
Muhammad dari Shiraz, Iran (m. 1853M.) yang mengaku sebagai Imam Mahdi, khalifah
bagi Nabi Musa, Isa dan Nabi Muhammad dan menolak ketiga-tiga Nabi Musa, Isa
dan Nabi Muhammad dan tidak ada lagi
agama Yahudi, Nasrani dan Islam dan yang ada hanya Din Ilah (Agama Tuhan) yang
dibawa oleh Mirza Ali Muhammad tersebut.
Juga dipersoalkan mengapa dimasuk dan
dikaitkan agama Qadyani yang diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad (m. 1908M.)
berasal dari Qadyan, Punjab – kini di bawah Pakistan. Beliau mendakwa (1890)
sebagai nabi terakhir selepas Nabi Muhammad s.a.w yang juga sebagai Imam Mahdi
dan Mujaddid yang ditunggu-tunggu. Pihak penjajah British yang menjajah India
pada masa itu memang menggalakkan
kelahiran agama baharu ini yang
dapat memecahbelahkan penduduk dan agama di India pada masa itu, lebih-lebih
lagi ajaran Qadyani (dikenali juga Faham Ahmadiyah – Pengasas Qadyani, mengambil
nama tempat asal Qadyani), tidak menggalakkan peperangan yang secara langsung
menguntungkan British.
Dengan memasukkan kedua-dua aliran di atas,
iaitu Baha`iyyah dan Qadyani, seolah-olah ada pengakuan bahawa mereka adalah
belahan dari Islam, seperti Mu`tazilah, Qadariyyah dan Jabariyayh. Kedua-dua
aliran, Baha`iyyah dan Qadyani jelas bertentang dengan Islam dan kufur.
Dari segi pendekatan dan kandungan buku
I`tiqad Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah ini selepas membicarakan tentang Ahlu
al-Sunnah wa l-Jama`ah yang ditumpukan dua pimpinan utama iaitu Ash`ari dan
Maturidi, maka dibicarakan apa yang diistilahkan sebagai firqah-firqah, iaitu:
Firqah-Firqah Dikaitkan Dengan Ahlu al-Sunnah
wa al-Jama`ah Dan Pertentangan:
1) Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah
2) Shi`ah
3) Khawarij
4) Murjiyyah
5) Mu`tazilah
6) Qadariyyah
7) Jabariyyah
8) Najariyyah
9) Mushabbahah
10) Ibn Taymiyyah
11) Wahabiyyah
12) Baha`iyyah
13) Qadyani (Ahmadiyyah).
Mengapa begitu banyak timbulnya aliran-aliran
yang dikaitkan dengan akidah Islam ?
Ada beberapa faktor penting, antaranya:
a) Mempertahankan Kemurnian Islam
Ia adalah tujuan murni. Ini
melahirkan pihak Salaf yang mau mempertahankan keaslian dan kemurnian Islam.
Mereka mengelak dari menggunakan pendekatan takwil dan memahami sumber Islam,
iaitu Al-Qur`an dan Al-Hadith dengan keasliannya. Golongan ini dikenali
golongan Salaf.
Tetapi bagi golongan yang
cuba memahami Islam dengan maksud sepatutnya. Antaranya mereka menggunakan
kaedah takwil dan tafsiran menurut kesesuaian dan tafsiran yang releven seperti
pendekatan Sunni dalam bidang akidah yang menggunakan pendekatan naqal dan
akal.Pada dasarnya kedua-dua pendekatan tidak menimbulkan masalah yang ketara
dan tidaklah mengakibatkan perpecahan di dalam umat.
b) Faktor Politik
Faktor ini amat memberi kesan
dan menjejaskan kesatuan ummah.. Ekoran konflik politik antara Ali-Mua`wiyah
dan bereterusan kepada Sayyiduna Hussein – Yazid dan berterusan memberi kesan
kepada kelahiran berbagai-bagai firqah di dalam Islam seperti Shi`ah,
Qadariyyah, Mu`tazilah, Jabariyyah, Murjiyah dan sebagainya. Bukan setakat
lahirnya jenama firqah-firqah, tetapi melahirkan pandangan yang bersifat
falsafah bagi mengukuhkan pegangan dan pandangan masing-masing. Dengan demikian
memecahbelahkan persatuan dan fikrah umat Islam dan melemahkan mereka. Akibat
perpecahan ini negara-negara Islam yang mendukung berlainan akidah dan fahaman
tidak mempunyai hubungan yang rapat, bahkan setengahnya mengambil sikap bermusuhan.
c) Bersikap Musailamah al-Kazzab Moden – Ambil Kesempatan
Setengahnya mengambil
kesempatan yang antaranya bersifat seperti Musailamah al-Kazzab moden` seperti
Mirza Ali bin Muhammad dengan Baha`iyyahnya yang membawa faham dan pegangan
bercanggah dengan Islam dan jelas kufurnya.
Begitu juga dengan Qadyani yang didukung
oleh Mirza Ghulam Ahmad yang mendakwa sebagai Nabi akhir zaman selepas Nabi
Muhammad s.a.w.
d) Dakwaan Membawa Tajdid
Dengan dakwaan sedemikian
perubahan yang dilakukan yang antaranya menggugat kemantapan pegangan Islam.
Dengan anjuran dan pengikut-pengikut mereka makin memacahkan perpaduan umat
Islam.
e) Bagi Melemahkan Umat Islam
Merupakan gerakan teratur bagi
melemahkan umat Islam. Jenama-jenama tertentu dinamakan yang membuka ruang
mengadudombakan kalangan umat yang memecahbelahkan mereka.
Dan berbagai faktor lagi
yang merosak dan memecahbelahkan umat.
Perkembalian kepada kemurnian dan kesatuan
umat terus diperkatakan, tetapi tiada kesungguhan dan tiada tindakan peringkat
umat usaha ke arah penyatuan. Yang nyata api sengkita terus menyala
memecahbelahkan mereka..
Sekian.
No comments:
Post a Comment