April 18, 2016

Wahabi: Melihatnya Dari Segi Akidah Secara Hati-Hati


BBB, 09 Rajab 1437 =  17 April 2016 (Ahad): 


Wahabi ada persamaan dengan fahaman Ibn Taimiyah dan asalnya sama mendukung mazhab Hanbali. Masing-masing mendakwa bagi mengembalikan kepada Al-Qur`an dan Al-Hadith.  Jika Ibn Taimiyah bergerak di Syria, tetapi Wahabi yang jauh kemudian daripadanya bergerak di Najd di dalam kawasan `Arab Sa`udi sekarang. Nama pengasas bagi aliran yang dikenali dengan Wahabi dinisbahkan kepada Muhammad bin Abdul Wahhab lahir di Ainiyah (1115-1206H = 1702-1787M) dan meninggal di Najd berasal dari Bani Tamim. Muhammad Abdul Wahhab mendapat pelajaran  antaranya dengan ayahnya dan abangnya bernama Sulaiman dan beberapa guru yang lain.  Mereka sekeluarga adalah pendukung aliran Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.  Namun Abdul Wahhab meminati pemikiran Ibn Taimiyah dan berkesempatan membaca buku-buku Ibn Taimiyah lantaran itu pemikiran Ibn Taimiyah banyak mempengaruhinya.
Muhammad bin Abdul Wahhab kemudian ke Makkah dan Madinah – selepas datang kali pertama menunaikan haji dan kali ini lama beliau bermukim di kedua tanah suci itu kerana menuntut ilmu    Selama di Madinah beliau tidak menyenangi melihat amalan yang disifatkan bid`ah dan khurafat orang Islam  di makam Nabi.
Ada dua fasa penting dilalui oleh faham wahabi, iaitu fasa menentang bid`ah dan khurafat dan fasa kedua penguasaan politik pemerintahan dari turunan.
Fasa menentang apa yang disifatkan bid`ah dan khurafat:
Sebagaimana Ibn Taimiyah menyibarkan fahamannya secara mengajar, memfatwa dan mengarang, maka pada tahap pertama ialah menyebarkan fahaman yang boleh disifatkan dakwah baginya.
Bagi menyampaikan dakwah beliau berpindah ke Basrah. Di sini beliau mengeluarkan fatwa-fatwanya yang dianggap ganjil sehingga beliau diusir oleh pehak penguasa pada masa itu. Beliau berpindah ke Hassa dan ke Hunaimalah satu desa kecil dekat dengan Najd. Begitu juga bergerak  di Ainiyah tempat lahirnya. Menyedari fatwa-fatwa beliau yang pelik beliau tidak disenangi, bahkan ada usaha dari pihak berkuasa untuk membunuhnya.
Kemudian ia berpindah ke Dur`iyah. Penguasa (Raja) Dur`iyah bernama Muhammad bin Su`ud menolong Muhammad bin Abdul Wahab menyiarkan fahamannya. Kedua-dua Muhammad yang mempunyai  tujuan dan kepentingan masing-masing itu bekerjasama. Muhammad bin Abdul Wahab memerlukan perlindungan pihak pemerintah, sedangkan Muhammad bin Su`ud memerlukan ulama yang keras bagi mengukuhkan kedudukan dan pemerintahan. Keduanya bekerjasama yang menyebabkan mereka menjadi gugatan kepada pemerintah Khalifah Turki yang menguasai Timur Tengah, termasuklah Makkah dan Madinah. Mereka berdua pernah menghubungi dan menghantar perwakilan kepada  Sharif Makkah – Wakil Khalifah dan mengeluarkan fatwa-fatwa yang ganjil. Sebahagian dari perwakilan ditangkap dan dibunuh dan sebahagian pulang dan melaporkan kepada Muhammad Abdul Wahhab.
Mulai daripada itu berkobarlah semangat Wahabi dan pendukung-pendukung menentang Sharif-Sharif Makkah dan menuduh mereka melakukan pembunuhan di Tanah Suci, pada hal cukup dengan pengusiran.
Bagi tahap dua ialah pengusaan politik pemerintahan
Dengan sokongan pengikut-pengikut pihak wahab, menurut K.H. Zainuddin pihak Wahabi pernah menguasai Hijaz pada  1803-1813 dari pihak Turki, tetapi penguasaan muktamad hingga kini iaitu selepas kejatuhan Turki kalah dalam Perang Dunia Pertama kepada pihak Tentera Berikat Barat 1920an dan negara-negara Islam yang pernah di bawah kerajaan Turki dibahagi-bahagikan kepada kuasa Berikat seperti British, Perancis dan sebahagian dikuasai Komunis Rusia. Mulai 1925 Semenanjung Arab berfaham Wahabi berkuasa dengan dikenali Kerajaan Suudi dengan kerajasama pihak yang mengalahkan Turki. Kekuasaan mereka berterusan hingga sekarang.
K.H.Sirajuddin yang pada 1927, berada di Makkah iaitu selepas dua tahun Kerajaan Su`udi menguasai Makkah mencatat pengalamannya menyaksikan kelainan praktis di Tanah Suci Makkah mengenai 20 perkara antaranya: 
1. Larangan merokok
2. Dilarang melakukan banyak azan sebagaimana sebelumnya  diazankan di atas 7 menara dengan berlainan lagu.
3. Tidak dibenarkan menggunakan radio dan gramophone
4. Dilarang melagukan qasidah
5. Tidak boleh melagukan Qur`an dengan lagu fuqaha`
6. Tidak boleh membaca Dala`il al-Khairat dan lagu Burdah
7. Tidak boleh mengaji sifat 20 sebagaimana di dalam kitab Kifayat al-`Awwam.
8. Tidak dibenarkan imam berlainan solat di Masjid al-Haram. Mereka disatukan di bawah satu imam yang dikenali `Abu Samah`.
9. Mewajibkan solat berjamaah di Masjid al-Haram, jika didapati tidak solat dirotan.
10. Kubah-kubah di atas maqam sahabat-sahabat di baqi`, Ma`la dan Uhud diruntuhkan, tapi kubah hijau Masjid Nabawi tidak diruntuhkan kerana banyak bantahan dari kalangan umat terhadap tindakan yang mau diambil
11. Qubah di atas tempat Nabi dilahirkan dirubuhkan.
12. Menyambut Maulid al-Rasul setiap tahun dilarang kerana bid`ah
13. Perayaan Isra` Mi`raj pada 27 Rajab dilarang kerana bid`ah
14. Pergi untuk menziarahi maqam Nabi dilarang. Dibolehkan pergi untuk bersolat di Masjid Madinah.
15. Berdoa menghadap ke Makam Nabi dilarang, hendaklah mengadap Kiblat
16. Berdo`a dengan bertawassul dilarang –Syirik
Di atas disaksi oleh K.H. Sirajuddin pada pemergian pertama. Tahun 1959 K.H. Sirajuddin datang lagi ke Makkah, tapi bukan musim Haji – Penyaksian tambahan
17.  Amalan-amalan tarikat dilarang
18. Membaca zikir beramai-ramai seperti La ilaha illa Allah  selepas solat sebagaimana diamalkan d kalangan umat Islam Nusantara dilarang.
19. Tidak membaca Bismillah awal surah di dalam solat dan tidak membaca qunut solat subuh.
20.  Dan lain-lain. 
Aspek-aspek yang bertentang dengan akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah sebagaimana disusun oleh K.H. Sirajuddin Abbas:
1)       Berdoa dengan bertawassul adalah syirik
2)      Beristighathah juga syirik
3)      Ziarah kubur haram
4)      Membina kubah di atas kubur haram
5)      Menghisap rokok haram dan syirik
6)      Kubah maulid Nabi diruntuh
7)      Larang mempelajari sifat 20, galak  mempelajari tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah
Oleh kerana penganut Islam di Alam Melayu bermazhab Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah, sedangkan pegangan Wahabi banyak bertentang dengan akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah, maka penganut-penganut Islam di Alam Melayu berwaspada terhadap pegangan Wahabi. Jika sebelum Wahabi dulu, pusat pengajian Islam utama ulama` dari Alam Melayu belajar di Makkah (juga Madinah) seperti Nuruddin Al-Raniri, Shaykh Abdul Rauf Singkel, Shaykah Abdul Malik bin Abdullah, ulama-ulama Fatani, Kelantan dan lain-lain belajar di Makkah, tapi kini pusat pengajian Islam luar negara lebih kepada Mesir, Jordan dan Syria. Pengajian di universiti di Madinah misalnya bukan menjadi rebutan. Makkah dan Madinah dilihat lebih kepada tempat menunaikan haji dan ibadat.
Ada semacam berlaku kepupusan dari kelahiran ulama` dan intelektual dari Makkah-Madinah, tidak seperti silam ianya menjadi pusat pengajian Islam. Buku-buku keilmuan Islam yang bermutu tiada dihasilkan di Makkah-Madinah. Sepatutnya Makkah-Madinah sebagai tempat pusat ibadat keislaman seharusnya juga menjadi pusat keilmuan Islam.
Pada masa dulu  Makkah Madinah juga dilihat sebagai pusat kepimpinan Islam, kini tidak jelas dari segi paksi kepimpinan bagi negara-negara Islam.
Walaupun kini persoalan mazhab dan pertentangan pegangan akidah ahlu al-sunnah wa al-Jamaah dan Wahabi  tidak begitu ditonjolkan bila beribadat di tanah suci, tetapi bagi pengikut-pengikut Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah selalu waspada dan hati-hati.

Sekian.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                

No comments:

Post a Comment