BBB, 25 Jamadil Akhir 1437 = 03
April 2016 (Ahad):
Kata Shaykh Ibrahim al-Laqani di dalam
gubahannya:
Dan memelihara agama, diri, harta dan nasab *
Seumpamanya akal dan kehormatan adalah wajab
Sharih menghuraikan bahawa, ``Yakni wajib atas
setiap mukallaf itu memelihara lima perkara yang dikenali dengan `Al-Kulliyyat
al-Khams` atau `Al-Kulliyyat al Sitt``
Al-Kulliyyat al-Khams` lantaran Sharih
menyebutnya lima perkara, tetapi juga dikenali sebagai `Al-Kulliyyat al-Sitt`,
lantaran sebenarnya yang disebut di dalam matan ialah enam perkara. Semua
perkara ini adalah penting bagi perjalanan shari`at, menegakkan akidah, bahkan
bagi pembangunan ummah. Kata Sharih:
!)
Memeliharakan agama
Erti ugama itu barang suatu yang memerintahkan
Allah Ta`ala bagi hambanya daripada
sekalian hukum, maka tiada harus sekali-kali, membinasakan ia akan ugama dan
sebab demikian itu diwajibkan oleh Allah Ta`ala perang sabil dengan orang kafir
atas sekalian mukallaf.
2)
Memeliharakan tubuh kita daripada perkara yang membinasakan dia
Maka
tiada harus membinasakan tubuh sendirinya atau lainnya yang ma`sum
darahnya dan hartanya dengan dalil nass
yang putus. Dan sebab demikian itu diwajibkan Allah Ta`ala hukum qisas atas
orang yang membinasakan tubuh.
3)
Memelihara harta sendirinya atau lainnya
Erti nama harta itu sekalian barang yang halal
miliknya pada shara`, dan jikalau sedikit sekalipun, maka tiada harus
membinasakan itu dengan dicuri atau ghasab (rampas) atau sebagainya dan sebab
demikian itu diwajibkan Allah Ta`ala atas mukallaf hukum had sariqah (mencuri)
dan had bagi orang yang qati` tariq (perompak) dan had orang yang hirabah (Penderhaka
negara).
4)
Memeliharakan nasab, ya`ni bangsa yang kembali ia kepada wiladah yang
hampir bagi pihak bapa. Maka tiada harus ia
dengan zina dan barang sebagainya
dan sebab demikian itu diwajibkan oleh Allah Ta`ala akan hukum had zina
dalamnya.
5)
Memeliharakan akal daripada barang yang membinasakan akal
Dan sebab demikian itu diwajibkan oleh Allah
Ta`ala hukum had bagi orang yang membinasakan akal seperti minum arak dan sebagainya.
6)
Wajib memeliharakan kemuliaan manusia
Maka tiada harus ia mendakwakan seorang zina
dan memaki akan seorang dan barang sebagainya dengan sebab demikian, iaitu
diwajibkan oleh Allah Ta`ala atas
mukallaf hukum qazaf dan sebagainya.
Al-Kulliyyat al-Sitt (Kuliyyah Enam) ini bukan
tertentu kepada maqasid al-Shari`ah sahaja, tetapi dapat diaplkikasikan kepada
akidah.
Kulliyyah pertama, iaitu menjaga agama jelas
berkait rapat dengan akidah, bahawa setiap orang Islam wajib menjaga agamanya
dalam maksud mesti berpegang kepada akidah yang betul, supaya ianya benar-benar
menjadi seorang Islam yang tulin yang beramal dengan syariat dan bergaul dengan
masyarakat dengan nilai-nilai akhlak yang digariskan oleh Islam yang demikian
dirinya dan masyarakat sesama Islam atau dengan bukan Islam selamat.
Gesaan supaya menjaga kuliyyah kedua, iaitu
menjaga diri fizikal supaya tidak terjerumus ke dalam bahaya dan kerosakan
ialah tuntutan universal dan perundangan. Individu walaupun tubuh badannya
adalah miliknya dia tidak boleh bertindak sewenang-wenang hingga merosakkan
dirinya. Ini sesuai dengan tuntutan dan ajaran Islam. Firman Allah yang
bermaksud;
``Jangan
kamu campakkan dirimu di dalam kebinasaan,` (Al-Baqarah: 195).
Sebagaimana undang-undang agama, demikian juga
undang-undang negara yang boleh mengambil tindaklan undang-undang terhadap
siapa yang cuba merosakkan dirinya seperti cuba bunuh diri atau melukakan orang
lain dan sebagainya.
Demikian juga menjaga harta ada hubungan
dengan akidah yang mereka yang mempunyai harta dan sumber penghidupan boleh
menghindar dari kemiskinan yang pernah disifatkan kefakiran mendekatkan diri
dengan kekufuran. Menjaga nasab keturunan melalui perkahwinan dan permakanan
yang halal dan baik, membersihkan fizikal dan jiwa di dalam beribadat dan
mendekati diri kepada Allah. Sebaliknya nasab yang tidak bersih menjerumus
individu ke dalam permasalahan sosial dan memasalahkan masyarakat. Menjaga akal
amat penting bagi diri, ianya menjadi piawaian yang melayakkan diri sebagai
mukallaf. Dengan akal membolehkan seseorang mempelajari tuntutan-tuntutan syara`
dan kehidupan dengan mempelajari keilmuan yang dapat mengelak seseorang dari
kejahilan. Dengan ilmu mengangkat diri indivudu di sisi Allah, dan masyarakat.
Seterusanya bagi kulliyyah keenam iaitu, betapa pentingnya seseorang menjaga
maruah diri, keluarga dan masyarakat. Mereka yang tidak menjaga maruah, mereka
yang tidak mempunyai integriti diri, tidak diterima masayarakat dan Allah.
Kulliyyah Enam di atas sebenarnya boleh
diaplikasikan kepada warga negara dan masyarakat yang perlu mempertingkatkan
mereka dengan tuntutan enam yang dapat meningkat diri sebagai warga negara yang mempertahankan kedaulatan negara dan
maruahnya.
Seterusnya
Penggubah matan membicarakan persoalan:
Siapa yang maklum menentang jelas hukum * Perintah
agama atau kufur keras dihukum
Demikian mereka yang jelas menafi hukum * Atau mengharus seperti zina sama dihukum
Aturan syariat dan hukum-hukum agama tidak
boleh dipermainkan, siapa yang menentang hukum yang jelas atau kufur maka ia
adalah jenayah yang boleh dihukum hingga ke peringkat boleh dibunuh jika
thabit. Demikian juga tidak boleh menafikan hukum yang telah ditetapkan atau
mengubahnya dari hukum wajib, larang kepada harus misalnya berhubung dengan
zina, maka hukuman berat perlu dikenakan, bagi memelihara aturan hukum dan
perjalanannya. Jika tidak ianya menjadi kacau dan anarkis.
Sekian.
No comments:
Post a Comment