BBB, 17
Rajab 1437 = 25 April 2016 (Isnin):
Selepas membicarakan tentang konsep dan agama
Islam adalah agama fitrah, akidah
tauhid, kepentingan akidah, akidah sahih dan akidah batil dan mengenai
Uluhiyyah dan Rububiyyah barulah pengarang buku Akidah Ahlu al-Sunnah Tuan Haji
Said bin Haji Ibrahim memasuki pembicaraan mengenai rukun iman iaitu bermula
dari fasal 8 (hlm. 84 - ) hinggalah
kepada fasal ke 15 (hlm. 323). Format pendekatan ialah menurut susunan seturut
rukun imam yang enam secara formal, iaitu beriman kepada Allah `Azza wa Jalla,
malaikat, rasul-rasul, kitab-kitab, hari akhirat dan qadha` dan qadar.
Penelitian ini tidak menmgulangi pembicraan rukun iman secara detail, kerana
perkara ini telah dibicara dan disentuh oleh berbagai kitab yang telah dibicarakan.
Pembicaraan juga adalah menurut format yang digunakan oleh Tuan Haji Said,
iaitu selepas membicarakan sesuatu topik, maka diikuti dengan perbincangan dan
kesimpulan. Dalam pembicaraan Tuan Haji Said adalah banyak menggunakan
dalil-dalil naqli, iaitu ayat-ayat Al-Qur`an dan sejumlah Hadith-Hadith bagi
mengukuh perkara-perkara yang dibincang yang berkait dengan rukun iman. Haji
Said dengan sengaja tidak menggunakan kaedah-kaedah logik sebagaimana biasa
digunakan oleh kitab-kitab baik di dalam bahasa Arab dan kitab-kitab jawi.
Saebagaimana telah disebutkan beliau tidak membicarakan tentang hukum dan rukun
akal yang sebagaimana lazim digunakan sebagai permulaan bagi kitab-kitab
akidah. Haji Said menyatakan tentang iman
dan Islam bahawa:
``Iman dan Islam tidak berasingan, dan tidak
boleh dipisahkan. Dan iman adalah menjadi syarat sah Islam. Tidak beriman
mereka yang tidak Islam dan tidak Islam mereka yang tidak beriman.`` (Haji Said
juga menggunakan istilah `ma`rifat yang memaksudkan beriman).
Berhubung dengan keimanan dengan Allah kata
Haji Said:
``Beriman dengan kewujudan Allah adalah
bermakna beriman dengan RububiyyahNya, beriman dengan UluhiyyahNya dan beriman
dengan asma` dan sifat-sifatNya.
Beriman dengan `Rububiyyah Allah`, ialah
mempercayai bahawa kewujudan Allah Ta`ala adalah mentadbirkan semua benda dan
perkara yang ada di dalam alam ini – tiada wujud Pentadbir yang lain untuk
mentadbir alam ini selain daripada Allah Subhanahu wa Ta`ala Yang Maha Esa dan
Maha Berkuasa.
Beriman dengan `Uluhiyyah Allah` ialah
mempercayai bahawa kewujudan Allah Ta`ala bahawa Dialah yang layak dan berhak disembah. Dan tiada Tuhan yang
disembah dengan sebenarnya melainkan
Allah Ta`ala.
Beriman dengan `Asma` Allah dan
sifat-sifatNya`, ialah mempercayai bahawa kewujudan Allah Ta`ala adalah
mempunyai nama-nama Yang Agung (Asma` al-Jalal) dan mempunyai sifat-sifat kesempunaan (Sifat al-Kamal) dan Maha Suci
daripada sifat-sifat kekurangan.``
Di dalam membicarakan tentang Allah dengan
nama-namaNya yang Indah dan sifat-sifatNya yang sempurna Haji Said tidak
mengambil pendekatan membicarakan sifat-sifat yang berjumlah 20 yang dikenali
dengan sifat 20 dan tidak pula dibicarakan soal kelompok sifat nasiyyah, salbiyah,
ma`ani dan ma`nawiyah. Dalam hal ini beliau adalah menyimpang dari pendekatan
yang dibuat oleh seperti Ash`ari, Maturidi, Muhammad Yusuf al-Sanusi bahkan
Ibrahim al-Bayjuri. Penyimpangan ini tidak dapat dinisbahkan kepada Tuan Haji
Said sepenuhnya, kerana kurikulum yang menjadi panduan ialah disediakan oleh
pihak Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri (kini JAKIM).
Walau bagaimana pendekatan mengenai
kepercayaan kepada Allah secara Uluhiyyah, Rububiyyah dan ditambah dengan
Ubudiyyah adalah merupakan sebagai alternatif bagi memahami rukun iman pertama
iaitu percaya kepada Allah. Pendekatan secara Uluhiyyah-Rububiyyah sebenarnya
lebih ringkas dan padat dan lebih mudah difahami, berbanding dengan pendekatan
tradisi berasaskan sifat dua puluh lebih rumit dan menyukarkan, apalagi bila
sifat-sifat berkenaan dikategorikan kepada nafsiyyah, salbiah, ma`ani dan
ma`bawiyyah dan berbagai ta`alluq sifat-sifat berkenaan.
Berhubung dengan rukun iman kedua menurut
susunan yang dibicarakan, tidak ada kelainan dari pembicaraan dan pendekatan
kitab-kitab yang lain bahawa malaikat adalah diciptakan dari cahaya yang patuh
dan tidak pernah derhaka kepada Allah dan tidak pernah membantah apa jua yang
disuruh Allah. Banyak ayat-ayat Al-Qur`an yang merujuk kepada malaikat. Antaranya
merujuk kepada peranan malaikat Jibril bermaksud:
``Sesungguhnya Al-Qur`an adalah diturunkan
oleh Allah Tuhan sekalian alam. Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang
amanah ke dalam hatimu supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang dari
pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia) (Al-Shu`ara` 192-194).
Antara peranan disebut oleh Al-Qur`an,
bermaksud:
``Dan malaikat-malaikat (ditempatkan) mengawal
segala penjuru langit dan `arash TuhanMu, pada saat itu dipikul oleh delapan
malaikat di atas malaikat-malaikat yang mengawal itu.`` (Al-Haqqah: 17).
Jumlah malaikat tidak terkira banyaknya dan
tidak diketahui banyaknya melainkan oleh Allah Ta`ala.
Berhubung dengan keimaman dengan rasul
pendekatan yang dilakukan oleh Haji Said tidak berbeza dari pendekatan yang
lain yang bilangan rasul yang wajib diketahui adalah 25 orang berdasarkan
maklumat daripada Al-Qur`an. Nabi Muhammad adalah penghulu bagi rasul-rasul.
``Rasul-rasul yang diutus oleh Allah ke alam dunia
ini adalah manusia dari golongan
mereka sendiri yang dipilih oleh Allah daripada keturunan-keturunan orang-orang
yang mulia yang mempunyai kebijaksanaan dalam pemikiran dan suci kerohaniannya.``
Sesungguhnya perutusan rasul bukan setakat
menyampaikan risalah yang berhubung dengan keagamaan, tetapi berbagai maklumat
tentang masa sebelum dan sezaman dengannya, bahkan pada masa akan datang.
Maklumat sebelum dan pada zaman rasul-rasul membolehkan manusia mengetahui
tentang manusia peringkat awal dari zaman Nabi Adam hingga ke zaman Nabi
Muhammad. Tanpa rasul-rasul sudah tentulah zaman sebelum itu dan sezaman dengan rasul-rasul
menjadi gelap dari maklumat, tetapi melalui rasul-rasul dan kitab-kitab yang
dibawa membuka maklumat tentang segala kejadian, sejarah manusia, pembinaan
tamadun dan peradaban. Kini adalah penerusan dari zaman tradisi dan nilai kerasulan berkenaan. Sejak dari dahulu
tiap-tiap rasul ada pengikut dan pendukung-pendukung dan ada
penentang-penentang, pola berkenaan juga berterusan hingga kini, tetapi tugas
dakwah dan menyibarkan kebenaran adalah diteruskan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment