BBB,
06 Rajab 1437 = 14
April 2016 (Khamis):
Semua pendekatan akidah dan al-Kalam adalah
menggunakan akal dan pertimbangan rasional, Cuma ada di sana batas-batas
pertimbangan yang perlu dilihat dari segi bukti dan dalil yang bersifat naqal
dan akal. Cuma di dalam perbahasan bagi
setengah aliran ada yang bersifat melampau dan melanggar batas-batas.
Muktazilah adalah aliran akidah yang terlampau berpegang pada rasional akal
yang terhad pada kemampuan fizikal otak
yang alamiah, terhad dan lemah itu. Pengagungan terhadap kemampuan otak yang
bersifat rasional terhad begitu diagung-agungkan.
Demikianlah Mu`tazilah yang bertapak di
Basrah diketuai Wasil bin Ata` (m.
131H.) dan Umar bin `Ubaid (m.144H.)
memperkembangkan aliran mereka di Basrah, manakala satu lagi tempat
perkembangan Mu`tazilah ialah di Kota Baghdad yang diketuai oleh Bashar bin
al-Mu`tamad yang pindah dari Basrah ke
Baghdad dan dan mendapat dokongan
pembantu-pembantunya seperti Abu Musa al-Murdar, Ahmad bin Abi Daud (m.
240H.), Ja`afar bin al-Mubashshar (m. 234H.) dan Ja`afar bin al-Harb al-Hamdani
(m. 236H.).
Sebagaimana telah diperkatakan bahawa era
berkenaan adalah era pertumbuhan dan perkembangan ilmu pengetahuan. Salah satu
yang menyemarakkan pengagungan akal dan sifat rasional termasuklah berlakunya
pertembungan budaya dengan tradisi Yunani yang mula masuk melalui terjemahan
terhadap karya-karya logik Aristotle dan juga pemikiran Plato. Antara pengajian yang dipelajari ialah ilmu
lagik. Kaedah logik ini diguna sebagai pendekatan keilmuan akidah dan al-kalam
termasuklah oleh pendekatan Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah, khususnya oleh Abu
Hasan Ash`ari dan Abu Mansur al-Marifdi. Tetapi di dalam masa pendekatan Sunni
menggunakannya sebagai dalil dan burhan
bagi membicarakan aspek-aspek akidah, tetapi bagi Muktazilah mereka terlampau
terpesona dengan rasional akal dan meletakkan perbahasan, hatta tentang
ketuhanan di bawah tempurung akal.
Ada lima prinsip yang menjadi dasar pengajian
Muktazilah yang mempengaruhi pula pandangan-pandangan tentang yang lain.
1. Mentauhidkan Allah
2. Tuhan wajib Adil
3. Tuhan wajib membalas yang baik (wa`ad) dan yang jahat (wa`id)
4. Menyediakan tempat Antara Dua Tempat sebagai balasan
5. Wajib menyuruh membuat baik dan melarang membuat kejahatan
Muktazilah amat menekankan dari segi
ketauhidan dan keadilan Tuhan sehingga mereka menggelarkan diri dan perjuangan
mereka sebagai `Ahlu al-`Adl wa al-Tauhid`. Bagi menunjukkan pegangan mereka
bahawa Tuhan wajib adil, maka sebab itu Allah wajib menyediakan tempat bagi dua
tempat, sebagai tempat khas bagi anak-anak yang mati kecil dan tidak berdosa, maka
disediakan tempat khas bagi mereka antara syurga dan neraka. Juga boleh
diaplikasikan bahawa Tuhan wajib membalas yang baik ke syurga dan yang jahat ke
neraka sebagai menandakan keadilkan Tuhan. Juga jastifikasi bahawa perlu
menyuruh membuat baik bagi mendapat keadilan balasan di syurga dan wajib
mencegah kejahatan supaya dapat menhendar balasan ke neraka. Bagi membuktikan bahawa Tuhan bersifat
tauhid, mereka berpendapat Tuhan tidak bersifat, kerana dengan bersifat akan
menggambarkan ada yang lebih dari Dhat. Tuhan melihat, mendengar, berkuasa dan
sebaginya adalah dengan Dhat.
Banyak peyimpangan Muktazilah dari pegangan
Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah seperti:
1) Baik dan buruk ditentukan oleh
akal
2) Allah tidak mempunyai sifat
3) Al-Qur`an adalah makhluk – diciptakan
4) Mereka yang melakukan dosa besar dan tidak taubat dihukum ke dalam
neraka sebelum ianya layak ke syurga.
5) Tuhan tidak dapat dilihat
6) Menerima Isra` dan tidak meyakini Mi`raj
7) Manusia menjadikan pekerjaannya dan bertanggungjawab
8) Tidak meyakini adanya `arasy dan kursi
9) Tidak mengakui adanya Raqib dan `Atiq (Kiraman Katibin). Ilmu Allah
meliputi semuanya
10) Sifat neraka tidak kekal
11) Tidak menerima adanya timbangan, hisab, titian, kolam dan shafa`at
12) Tiada azab kubur
13) Adanya salah dan aslah
14) Wajib membalas baik dan buruk
15) Tuhan wajib Adil
Demikianlah pegangan Muktazilah yang menilai
sesuatu berasaskan rasional Akal, meskipun bercanggah dengan Al-Qur`an, Hadith,
syari`at dan akhlak. Bagi mereka tiada takwilan. Pendapat mereka perlu dinilai
dan dipastikan kesalahan-kesalahan agar tidak merosakkan akidah yang dipegang
oleh Ahli al-Sunnah wa al-Jama`ah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment