May 16, 2016

Tuhan Dari Dimensi Falsafah


BBB, 08 Sha`ban 1437 = 15 Mei 2016 (Ahad):
Satu yang agak berlainan dan berbeza di dalam buku `Aqidah al-Muslim` oleh Muhammad Al-Ghazali, bahawa beliau memberi ruang kepada pembicaraan Ketuhanan dari segi falsafah. Persoalan ketuhanan adalah persoalan tertua telah dibicarakan sewujud manusia.  Dalam masa tersebut  tentulah sudah  ada yang mulhid dan kufur sebagaimana dirakamkan oleh Al-Qur`an seperti Qarun,  Haman, Namrud. `Aad, Thamud  dan Fir`aun. Tetapi di tengah pertentangan sedemikian menyerlah kelahiran rasul-rasul yang membawa risalah tauhid.
Di dalam sejarah pemikiran falsafah, khususnya tentang ketuhanan, demikianlah ada ahli-ahli falsafah yang membicarakan tentang ketuhanan  sama ada yang  mengukuhkan tentang ketuhanan atau sebaliknya. Demikianlah bersama dengan  membicarakan tentang ketuhanan `Allah`,  Muhammad Al-Ghazali menampilkan pandangan-pandangan tentang ketuhanan dari segi falsafah.


Kata Muhammad Al-Ghazali, ``Banyak tokoh falsafah yang membicarakan tentang ketuhanan, sebagaimana juga tokoh-tokoh kealaman kini membicarakan tentang ketuhanan hingga keufuk-ufuk sempadan rahsia kewujudan dan aturan-aturan. Ahli-ahli falsafah silam menamakan Allah dengan Pencipta, Akal Pertama, Wajib al-Wujud, Sebab Bagi Sebab-Sebab, dan lain-lain istilah dinama mereka itu. Sedang pemikir mutakhir menamakan tasawwur mereka tentang ketuhanan dengan Haq dan Batil.  Namun ada persetujuan tentang ada Pemula yang wajib, tetapi ada kesilapan-kesilapan dalam mentafsirkan tentang Pemula Yang Wajib ini.``  Menurut Muhammad Al-Ghazali:
``Dengan akal yang cerdas, perbahasan yang jelas, di atas manhaj yang betul membawa pemikir-pemikir berkenaan pengakuan tentang Allah berdepan dengan kebesaran Jalalnya Tuhan. Di samping tentulah terdapat pendapat-pendapat yang menyeleweng.
Memetik pendapat ahli falsafah bukan Islam, Muhammad Al-Ghazali memetik pendapat  Hegal (1770-1831)  yang berkata: makin meluas  pembicaraan keilmuan makin tahqiq dan banyak dalil-dalil tentang adanya hikmah Penciptaan yang mempunyai kekuasaan yang mutlak.``
Beliau juga memetik pendapat Socrates murid Plato – (menjelang  abad Masihi)  berkata:
``Tidak mungkin segala perjalanan kandungan alam semuanya berlaku secara kebetulan, bahkan setiap juzu` dari bahagian alam ini bergerak ke arah tertinggi, setiap tertinggi ini bergerak ke arah yang lebih tinggi, demikianlah akan tiba kepada kesempurnaan peningkatan kepada yang Esa dan Tunggal.``
Selanjutnya  dipersoalkan , ``Dari mana terbentuk dan tersusunnya peraturan yang sempurna ini dengan segala pecahan dan bahagian-bahagian ? Tidak mungkin semua bergerak kesemuanya  secara kebetulan. Dengan segala keteraturan ada wujud Yang Tertinggi, iaitu Pencipta Yang Tunggal yang meluluskan hukum dan aturanNya, tanpa kesilapan.                    
Muhammad Al-Ghazali  juga memetik pendapat Albert Einstein tentang  akurnya terhadap kuasa tertinggi yang mentadbir segala peraturan wujud. Bahkan beliau memetik pendapat dari Majalah Courier terbitan UNESCO (Tidak disebut bilangan dan tarikh pengeluaran) bahawa kalangan  tokoh-tokoh atom,  astronomi,  Sains Hayat,  Biologi dan matematik bersetuju dengan pendapat bahawa:
Dengan bukti-bukti di kalangan mereka,  mereka berpendapat ada dalil-dalil dan karinah yang banyak, yang membuktikan wujudnya  Pencipta Yang Maha Agung yang mengatur semua wujud dan memeliharanya dengan inayah dan rahmat dan ilmunya yang tiada had dan batas.
Dari perbincangan sama ada pendekatan secara akidah Islam sebagaimana telah dibincangkan dan pendapat tokoh-tokoh falsafah yang bukan Islam yang sependapat dengan Islam tentang ketuhanan Muhammad Al-Ghazali mengemukakan persoalan, kalau demikian, maka mengapa mereka kufur ?
Di dalam hal ini beliau mengambil pendapat Al-Ghazali dari kitabnya yang berjudul, Ihya` `Ulum al-Din`,
Bahawa Alam nyata jelas dari segi lahirnya membuktikan kekuasaan yang Maha Kuasa adapun berlakunya kekufuran oleh kerana terlindung kefahaman pada diri oleh kerana , tersembunyinya kefahaman pada diri dan ketidaksampaian capaian dirinya, kerana kelemahan-kelemahan yang ada pada diri, walaupun bukti terlalu nyata. Beliau memetik pendapat Al-Imam Al-Ghazali mengibaratkan kelawar yang  tidak mampu melihat pada siang hari oleh kerana kuatnya cahaya hingga menyebabkan dirinya tidak dapat melihat. Demikianlah bandingan  dengan akal yang lemah, pembuktian kekuasaan Allah ibarat cahaya yang kuat hingga melindungkan diri dan akal dari menerimanya.
Maha Suci Allah daripada orang yang terlindung oleh terangnya cahaya, tersembunyi penglihatannya dari melihat oleh kerana terlalu nyata.. Sebaliknya kita seharusnya mengambil iktibar dari bumi yang mendapat cahaya dari matahari, maka dengan cahaya itu dapat dilihat dan kelihatan sesuatu, sebaliknya bila gelap dan tidak mendapat cahaya, maka  gelap diri dan tidak dapat melihat sesuatu..


Sesungguhnya apa yang ditemui oleh tokoh-tokoh pemikir bukan Islam adalah sebagai suluhan yang membuka jalan rahmat dan hidayah, jika  diikuti dengan jalan penemuan, sedang bagi Islam dan penganut-penganut tidak perlu kepada pembuktian dari mereka. Berbagai-bagai bukti sedia ada pada Islam sebagai pembawa kebenaran. Mulai dari nama Islam yang bererti selamat, sejahtera,  jalan yang betul sudah dari awal lagi menunjukkan kebenaran dan jalan selamat. Ini dibuktikan dengan kehadiran rasul-rasul dan nabi-nabi  yang membawa kebenaran yang mereka bawa tidak lain dari agama Islam. Dan bagi kita penganut Islam melalui nabi dan Rasul akhir zaman, tiada lebih jelas bukti tentang kebenaran Islam adalah dengan apa yang terkandung di dalam Al-Qur`an. Cuma pengambilan pendapat dari mereka yang bukan Islam ini sebagai pengukuh pendapat bagi yang bukan Islam, kerana bagi orang Islam, apa lagi yang lebih utama bukti-bukti kebenaran Islam lain dari kerasulan, kandungan Al-Qur`an  sebagai ayat-ayat tertulis secara nyata dan bukti alam dan kandungan yang merupakan juga ayat-ayat  yang juga jelas bagi mereka yang memikirkannya.
Sesungguhnya penambahan pendapat secara falsafah tentang ketuhanan di dalam buku `Aqidah al-Muslim  memvariasikan lagi pendapat-pendapat tentang ketuhanan dan dapat memberi lebih keyakinan bagi yang bukan Islam.

Sekian.






No comments:

Post a Comment