February 1, 2018

MUHASABAH ANTARA CIRI TAKMILAH


BBB,  14 Jamadil-Awwal 1439H. = 31` Januari 2018M. (Rabu):
Dalam apa juga perkara sama ada pekerjaan, pelajaran dan kehidupan dilihat dari segi Takmilah perlu ada arah dan tujuan yang perjalanan kepadanya seharusnya terus meningkat dari segi kualitinya. Bagi proses ke arah Takmilah ini perlu ada muhasabah untuk menilai perjalanan yang dilalui ke peningkatan kualiti dan sepatutnya tidak berlaku sebaliknya, tetapi jika berlaku kebalikan, maka ianya hendaklah diambil tindakan memperbaiki supaya arah yang ditujui tidak terseleweng dan dapat mencapai kejayaan.
Di dalam hal pembinaan Masjid Al-Umm, apa yang dibicarakan setakat ini adalah tahap permulaan, iaitu tahap persediaan. Pada tahap ini ada kemajuan yang dicapai sebagaimana telah dibicarakan, iaitu kejayaan menubuhkan jawatankuasa Pembangunan Masjid Al-Umm, kejayaan mendapat gezet terhadap tanah bagi Masjid al-Umm, kejayaan mendapat kebenaran dari JAIS mendirikan masjid, kejayaan mendapat keizinan dari MAIS kebenaran memungut derma untuk masjid dan menghantar permohonan untuk mendirikan masjid dan mendapat sokongan dari berbagai pihak. Pada peringkat persediaan ini juga berjaya diadakan Majlis Pelancaran pemungutan derma bagi Masjid yang menjadi induk  derma bagi masjid.
Dalam masa peringkat persediaan ini pihak AJK telah mengadakan beberapa gotong royong bagi membersih tapak bagi masjid.
Dalam mesyuarat bulanan bagi bulan April 2010, mulai dibincangkan mengenai plan bagi Masjid Al-Umm, Tuan Haji Mohd Said bin Yunos sebagai ketua bagi plan dan landscaping membentang plan permulaan bagi Masjid Al-Umm dituruti dengan perbincangan tentang kewangan oleh Bendahari Tuan Haji Mohd. Nor Yasin yang target bagi mendapat kewangan pada peringkat permulaan ialah satu juta ringgit.
Manakala pada mesyuarat pada bulan Mei 2010 membincangkan berkenaan plan induk, soal dana, tapak dan geran.
Kesan dari muhasabah terhadap kedudukan jawatankuasa, maka timbul cadangan  pada 20 Mei 2010 bagi memasukkan  Encik Omar Ja`far sebagai salah satu AJK. En. Omar Ja`far adalah Pentadbir bagi pembangunan bagi UKM, khusus pembangunan fizikal bangunan-bangunan kampus UKM, beliau adalah ahli mewakili UKM di dalam mesyuarat-mesyuarat Majlis Daerah Hulu Langat dan juga selaku Yang Dipertua Persatuan Penduduk BBB. Dengan adanya beliau yang begitu berpengalaman, terutama dari segi pembangunan fizikal UKM diharap dapat membantu melicinkan pentadbiran dan pembangunan Masjid Al-Umm itu sendiri.
Dalam mesyuarat ini turut dibincangkan skop yang lebih luas seperti kedudukan Dewan Orang Ramai yang berdekatan dengan tapak Masjid BBB, Medan Selera (Medan Usahawan) dan kedudukan Padang Awam yang kemungkinan antaranya dapat meluaskan kawasan masjid atau sekurang-kurangnya masjid mendapat faedah daripadanya.
Hasil dari perbincangan di dalam mesyuarat pada peringkat persediaan ini juga difikirkan bahawa bagi perkembangan seterusnya dari perbincangan bahawa, walaupun ada setiausaha bagi AJK Pembangunan (Tuan Haji Hussin  bin  Yunos) , adalah difikirkan bahawa AJK perlu ada Setiausaha Kerja yang bekerja sepenuh masa dan perlu ada pejabat khas bagi pejabat Jawatankuasa Pembangunan Masjid al-Umm. Sememangnya pihak AJK Pembangunan Masjid selama ini tidak mempunyai pejabat. Mesyuarat-mesyuarat selama ini banyak diadakan di Pejabat ADUN Bangi no. 8, Jalan ¼, BBB. Apabila pihak Persatuan Penduduk menaikkan taraf dua unit warung yang disatukan sebagai Pejabat Persatuan Penduduk sekitar (2012) dan agak selesa, maka mesyuarat  lebih banyak diadakan di Pejabat Persatuan ini, di samping Pejabat Adun juga terus digunakan sebagai tempat mesyuarat. Bilik mesyuarat di Pejabat Persatuan itu lebih kerap digunakan apabila kompleks pendidikan Islam di Seksyen 16 siap dan digunakan sekitar 2012 dan Persatuan Penduduk mempunyai pejabat di sana dan kurang menggunakan pejabat di Medan Usahawan, maka msyuarat masjid lebih kerap menggunakan Pejabat Persatuan Penduduk di Medan Usahawan.
Sebagai disyorkan bagi mengendalikan kerja-kerja pentadbiran bagi pembangunan Masjid, maka seorang Setiausaha Kerja dilantik. Setiausaha yang dipilih ialah saudara Mohd. Adham bin Anwar yang mula berkhidmat dan berkuatkuasa  mulai  18 Julai 2012 dengan gaji permulaan RM1,500 sebulan. Pejabat bagi  Setiauasaha kerja ialah dengan menggunakan sebuah warung atas nama ADUN Bangi yang digunakan bagi  jawatankuasa Bertindak ADUN seperti Penerangan dan Kebajikan. Pejabat ini terus digunakan atas nama peribadi (Shafie Abu Bakar) hingga kini dan akan terus digunakan untuk bahagianPenerangan dan Publisiti masjid, walaupun Pejabat Pentadbiran Masjid berpindah berikut dari penggunaan Masjid pada 16 Disember 2017.
 Perubahan ialah bagi mengemaskan pentadbiran masjid yang makin bertambah. Sesungguhnya muhasabah menyedarkan kekurangan dan usaha dilakukan ke arah Takmilah.

Sekian.

1 comment:

  1. Assalamualaikum. Bagaimana saya boleh menghubungi doktor. Sy bercadang mendirikan masjid di selangor. Tkasih

    ReplyDelete