July 29, 2018

DUA PERISTIWA KECIL - PENTING BAGI MASJID AL-UMM


DUA PERISTIWA KECIL – PENTING BAGI MASJID AL-UMM
BBB, 15 Zulkaedah 1439H. = 28 Julai 2018M. (Sabtu):
Dua peristiwa kecil, tetapi penting bagi Masjid Al-Umm berlaku pada hari ini. Dua peristiwa berkenaan ialah:


1)      Penerusan Seminar Bulanan Masjid Al-Umm
2)      Penggunaan Dewan Serbaguna Masjid Al-Umm – Pertama kali
Penerusan Seminar Bulanan Masjid Al-Umm, bermaksud seminar yang bermula pada bulan Januari 2018 yang diadakan pada setiap Sabtu akhir bagi setiap bulan itu, bersambung kembali setelah  berlangsung – dari Januari hingga April 2018, ditangguhkan pada bulan Mei-Jun 2018 kerana menyambut Ramadhan dan sehingga berakhirnya sambutan Raya Eidul Fitri, maka seminar tersebut disambung untuk kali kelima pada hari ini Sabtu 28 Julai 2018. Seminar ini bersifat bersiri dan siri pertama mengambil tema `Masjid.


Seminar-seminar yang telah berlangsung:
1)      Bagi bulan Januari 2018 dibentang oleh Prof. Dato` Dr. Abdul Halim Tamuri Penaung Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm yang juga Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa, Seri Putera Bangi berjudul:
``Masjid Memartabatkan Masyarakat; Konsep dan Perlaksanaan (Rujukan Masjid Al-Umm).`
2)      Bagi Bulan Februari 2018 dibentangkan oleh Dr. Ideris Endut Timbalan Nazir Masjid Al-Falah, Sungai Ramal Dalam dengan kertaskerja berjudul, `Enakmen JAIS dan Kaitan Dengan Pembinaan Masjid Sungai Ramal Dalam.`
3)      Bagi Bulan Mac 2018 kertaskerja dibentabngkan  oleh Prof Emeritus Dato` Dr. Mohd. Yusof Othman Pengarah Institut Hadhari, Universiti Kebngsaan Malaysia dengan kertaskerja berjudul, ``Masjid Menjanakan Peradaban Ummah.`
4)      Bagi Bulan April 2018 dibentangkan oleh Prof. Madya Dr. Mastur Surat dari Jabatan Senibina UKM. dengan kertaskerja berjudul,  `Estetika Masjid`.


5)      Bagi Bulan Julai 2018 dibentangkan oleh Prof. Dr. Yusof Hussain Mantan Pensyarah Jabatan Komunikasi UIAM dengan kertaskerja berjuduL, ``Kominikasi Masjid: Satu Penilaian` – Kajian terhadap masjidi empat negara, iaitu, Malaysia (2 masjid), Indonesia, Singapura dan Brunei.
Setiap pembentangan ada pengulas-pengulas yang pakar dalam bidang berkenaan.
Sesungguhnya Masjid Al-Umm disamping mengadakan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara biasa sebagaimana diadakan di masjid-masjid lain, Masjid Al-Umm juga mengadakan penyampaian keilmuan mengikut pengajian di universiti-universiti, iaitu secara seminar.
Kini masjid masih lagi mengadakan seminar secara bersiri bertemakan masjid dan akan mengadakan seminar bersiri yang lain kelak contoh menurut tema pendidikan, ekonomi, sains, kekeluargaan dan sebagainya. Kertas-kertas kerja insya Allah akan diterbitkan dalam bentuk buku.
Mula Menggunakan Dewan Serbaguna Masjid Al-Umm
Setelah lebih dari setengah tahun Masjid Al-Umm digunakan (mula digunakan pada 16.12.2017) bagi bersolat berjama`ah, maka pada hari ini (28 Julai 2018) adalah pertama kali digunakan (disewakan) bagi Majlis Perkahwinan anak Tuan Ir. HajiRidhuan bin Saidin  dan isteri, iaitu Sakinah dan pasangannya En. Siraaj. Dewan ini telah ditempah sejak tiga bulan yang lalu. Persediaan tempat dilakukan sejak seminggu lepas  antara keluarga Tuan Ir. Haji Ridhuan dan pihak Masjid  Al-Umm. Fasiliti yang disediakan di dewan ini, selain dari dewan yang memuatkan 40 meja bulat x `10 orang secara serentak  termasuk bilik akad nikah dan persalinan adalah disifatkan bertaraf hotel lima bintang.


Untuk memastikan penggunaan dewan berjalan lancar, pihak jawatankuasa termasuk Penulis selaku Pengerusi meninjau persediaan dewan beberapa kali, termasuk pada har ini.  Selepas selesai seminar bulanan, kami ahli jawatankuasa atas jemputan sama menghadiri Majlis Jamuan pada tengahari ini. Akad dilakukan jam 10.00 pagi dibilik akad oleh Jurunikah  Tuan Syed Othman. Kedua mempelai tiba ke majlis jamuan jam 12.45 tengahari dan do`a selamat dibaca oleh Imam Rahmat, Imam bagi Masjid Al-Umm. Kehadiran kami juga untuk menyaksi dan mempastikan bahawa tempat yang disediakan tidak bermasalah dan perjalanan majlis berjalan dengan lancar.
Dengan kejayaan perjalanan majlis dan kesempurnaan tempat, kami menawarkan kepada orang ramai  boleh menggunakan Dewan Serbaguna ini, Dewan Seminar dan bilik-bilik kuliah untuk ditempah dengan kadar bayaran yang berpatutan bagi menampung kewangan Masjid Al-Umm.
Sekian.

No comments:

Post a Comment