SAMBUTAN EIDULFITRI DI MASJID AL-UMM MERIAH
BBB, 23 Syawal 1439H. = 08 Julai 2018 (Ahad):
Sambutan `Eidulfitri di Masjid Al-Umm bagi
kali pertama selepas enam bulan masjid itu digunakan adalah meriah. Majlis diadakan di ruang legar masjid itu yang dua hari
sebelumnya telah dihias dengan hiasan berimej Eidul Fitri oleh pihak muslimat
dengan menggantung hiasan bekas ketupat, ungkapan selamat Hariraya Eidul Fitri
dan sebagainya yang menceriakan pandangan. Semalam (Sabtu) kalangan pemuda pula
menganjurkan gotong royong membersihkan
ruang legar dan bilik air agar kelihatan bersih.
Seawal jam 8.00 pagi makanan-makanan telah
sampai dan diatur di atas meja panjang. Makanan tersebut termasuk yang
asas yang disediakan oleh masjid terdiri
dari lemang, nasi impit berkuah kacang, soto, sate dan buah-buahan. Banyak pula
makanan yang dibawa ahli jamaah dan kariah seperti mee goreng kasar dan halus, karipap, kek, nasi beriani, nasi `Arab dan buah-buah
tambahan yang lain.
Hadir sejak sebelum jam 10.00 pagi dan
disambut oleh Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan AJK Pembinaan dan Pengimarahan
Masjid Al-Umm. Mereka menyambut kehadiran Prof Dato` Dr. Halim Tamuri selaku
Penaung bagi Jawatankuasa, Dato` `Abdullah Mohd. Zain Nazir Masjid Al-Hasanah
bersama Setiausahanya Tuan Haji Kamaruddin Muhammad, beberapa pengiring ADUN
Sungai Ramal yang tiba terlebih dahulu sebelum ketibaan ADUN.
Majlis bermula jam 10.00 pagi dengan Pengacara
saudara Ah Feisal menjemput Imam Satu Masjid
Ustaz Rahmat membaca do`a. Penulis sebagai Pengerusi Pembinaan dan
Pengimarahan dalam kata-kata aluannya mengucap syukur kepada Allah , kerana sejak
Masjid Al-Umm digunakan setelah setengah
tahun lalu (mula digunakan 16.12, 2017) inilah pertama kali digunakan untuk
sambutan Hariraya Eidulfitri selepas mengimarahkannya sebulan Ramadhan diikuti
dengan solat Eidul Fitri. Beliau juga
mengucapkan terima kasih kepada semua hadirin. Pengerusi memaklumkan setakat
ini Masjid telah lulus pemeriksaan Bomba dan dijangka dalam masa terdekat akan
menerima CCC dan insya Allah mendapat keizinan dari JAIS bagi mendirikan solat
Jumaat. Pengerusi memaklumkan setakat ini pihak Masjid telah menggunakan dana
sebanyak RM19 juta bagi pembinaan dan baki hutang sebanyak RM2 juta, Pengerusi
mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor, Lembaga Zakat,
institusi-institusi kewangan dan orang ramai yang telah menderma hingga memungkinkan
Masjid Al-Umm yang indah ini dapat disiapkan. Beliau percaya orang ramai terus
menderma bagi melunaskan hutang masjid dan juga untuk kegiatan-kegiatan
mendatang.
Tugas paling utama, khususnya selepas mendapat CCC
nanti katanya, ialah mengimarahkan
masjid dan menarik jamaah berterusan dengan kegiatan masjid. Pihak masjid akan
meningkatkan kualiti ibadat, pengajaran dan kegiatan kemasyarakatan, agar jama`ah dan masyarakat tertarik untuk datang
berjama`ah. Kata Pengerusi, kita juga sedang melatih generasi muda untuk
mengambil alih pimpinan masjid. Beliau berharap pihak surau-surau yang dijangka
berada di bawah zon Masjid Al-Umm mengenalpasti pimpinan dari surau
masing-masing untuk sama memimpin Masjid Al-Umm. Mengakhiri ucapannya beliau
dan bagi pihak AJK memohon maaf zahir batin
di atas kesilapan berlaku dan bersedia menerima kritikan dan cadangan.
Prof. Dato` Dr. Halim Tamuri yang berucap
sempena sambutan Majlis `Eidul Fitri` mengucap terima kasih di atas kehadiran
para hadirin. Beliau berharap pihak masjid dan jama`ah mendalami
pengajian-pengajian ``Tafaqquh fi
al-Din. Beliau yang merupakan Rektor Kolej Islam Antarabangsa Selangor
(KUIS) sedia bekerjasama dengan masjid bagi melatih imam dan pegawai-pegawai
masjid bagi meningkatkan prestasi Masjid. Beliau mencadangkan juga pihak masjid
memberi perhatian terhadap pendidikan anak-anak istimewa. Menurut Prof Dato`
Dr. Halim bahawa dalam pertemuan-pertemuan dengan pihak JAIS-MAIS beliau sering
mengemukakan masalah Masjid Al-Umm yang belum dapat mendirikan solat Jumaat.
Pihak berkenaan menyatakan, kebenaran
akan diluluskan selepas pihak Masjid
Al-Umm mendapat CCC.
Berhubung dengan apa yang dibangkitkan oleh
Pengerusi, masalah untuk meningkatkan jumlah jamaah, bahawa tiap surau yang
banyak berdekatan Masjid Al-Umm mempunyai jamaah tersendiri, beliau
mencadangkan kepada jama`ah agar membuat giliran berselang hari datang ke
masjid dan ke surau masing-masing. Mengakhiri ucapan ringkasnya beliau juga
memohon maaf zahir batin kepada semua hadirin.
Selepas ucapan Penaung, majlis jamuan bermula
dengan hadirin lelaki pada sebelah kanan mengambil makanan dari meja-meja
bersambung pada sebelah kanan dan duduk bersila di atas tikar menikmati jamuan,
manakala hadirin dari kalangan wanita mengambil makanan dari meja-meja
bersambung dari sebelah kiri dan mereka juga menikmati jamuan i atas tikar yang
dibentang memanjang bersebelah meja. Makanan yang disediakan adalah banyak,
lantaran ramai daripada mereka yang datang membawa makanan tambahan.
Adapun tamu-tamu kehormat terdiri dari Penaung
Prof Dato` Dr. Halim Tamuri, Nazir
Masjid Al-Hasanah Dato` `Abdullah Mohd Zain, Setiausaha Masjid Al-Hasanah Haji
Kamaruddin Muhammad, beberapa pengiring ADUN Sungai Ramal yang tiba terlebih
dahulu dan beberapa AJK Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm diraikan dalam
bilik pentadbiran. Kira-kira setengah jam kemudian YB Mazwan Johar ADUN Sungai
Ramal baru tiba dan terus dibawa ke bilik pentadbiran menyertai jamuan. Namun
selepas itu beliau dibawa ke hadapan hadirin yang sedang menikmati jamuan
menyampaikan ucapan ringkas, beliau mengucapkan terima kasih dan memohon maaf
kerana lewat, kerana terpaksa mengejar belasan jemputan yang cuba ditunaikan. Beliau
dimaklumkan tentang kelulusan pemeriksaan Bomba dan akan sama berusaha bagi
mendapat kelulusan segera dari JAIS bagi mendapat keizinan bagi mendirikan
solat Juma`at.
Beliau juga memaklumkan kerajaan Negeri
menyediakan sejumlah bantuan kepada bakal haji tahun ini. Bagi bakal haji di
DUN Sungai Ramal boleh memohon bantuan (RM500) dengan menyampaikan butiran diri
(kad pengenalan) dan surat tawaran haji ke Pejabat ADUN di Seksyen 7, berdekatan
JPJ tidak lewat dari 11 Julai ini.
YB Haji Mazuan mengkagumi Masjid Al-Umm yang
telah dihadiri beberapa kali sebelumnya dan berpendapat ianya adalah masjid
tercantik kalau tidak di Selangor, sekurang-kurangnya di Hulu Langat dan ianya
katanya adalah satu mercu tanda bagi Bangi. Beliau berjanji akan memberi
kerjasama sebarang kegiatan yang dijalankan oleh Masjid. Beliau sekali lagi memohon
ma`af sebelum bertolak dengan isterinya
dan pengiring-pengiring untuk beredar ke jemputan-jemputan yang lain.
Sementara itu para pengunjung terus membanjiri
ruang legar Masjid Al-Umm untuk menyertai
Majlis jamuan raya. Walaupun tempoh rasmi berakhir jam 12.00, tengahari,
tetapi para hadirin terus datang
menikmati jamuan hingga waktu asar dalam mana pada petang itu Pengerusi
menyampaikan duit raya kepada 21 orang anak yatim dari Rumah Bakti Nur, Seksyen
Dua BBB. Turut diberi bantuan terhadap Pengurus Rumah Bakti. Beberapa orang
dermawan turut menyampaikan bantuan secara langsung kepada anak-anak yatim
berkenaan. Hingga ke petang jumlah hadirin yang datang dalam lingkungan 2,000 orang.
Sekian.
No comments:
Post a Comment