July 28, 2018

MIMBAR - PERSETUJUAN SELEPAS BEBERAPA PERUBAHAN

MIMBAR PERSETUJUAN SELEPAS BEBERAPA PERUBAHAN
BBB, 14 Zulkaedah 1439H. = 27 Julai 2018M. (Juma`at):
Mimbar ialah tempat khatib menyampaikan khutbah, khususnya khutbah bagi solat Juma`at, Hariraya Eidul Fitri, Eidul Adhha dan khutbah-khutbah yang lain. Khatib berkhutbah di depan jama`ah dan perlu berada pada tempat yang lebih tinggi agar dapat dilihat dan didengar oleh jama`ah terhadap khutbah khatib dengan lebih jelas. Penggunaan mimbar ini dilakukan sejak zaman Rasulullah s.a.w. di Masjid Madinah dengan menggunakan batang khurma. Mimbar kemudian dibuat dengan cara yang lebih canggih dan menjadi salah satu elemen estetika yang mempunyai ragamhias yang bersesuaian dengan  sesebuah masjid.
Bagi Masjid Al-Umm, mewujudkan mimbar adalah pada peringkat akhir setelah masjid hampir siap dari segi pembinaan.  Tetapi membincangkan tentang bentuk mimbar yang diperlukan oleh masjid  begitu lama dibincangkan bersama dengan plan masjid yang lain. Contoh-contoh lakaran mimbar sudah dilakarkan sejak awal 2015 lagi. Penyediaan plan bagi mimbar masjid tidak disediakan oleh Arkitek Urusbina yang menyediakan plan bagi bangunan fizikal masjid. Sebaliknya Majleza yang asalnya dipilih bagi membina kubah sahaja, tetapi kemudian terlibat dengan berbagai-bagai aspek seperti menara, kipas-kipas besar, pembinaan lengkungan bersama pintu gerbang bagi melindungi dari tempias, khat bagi ayat-ayat Al-Qur`an di dinding masjid, pembinaan skylight (Pelindung tempiasa bagi dua ruang airwell bersebelahan kawasan ruang legar, kelengkapan bilik air dan berbagai-bagai kelengkapan , termasuklah mimbar. Pendek kata Majleza yang asalnya diambil sebagai contract bagi membina kubah adalah sub kontrektor terbesar di bawah Kontrektor Tekad Nusantara.
Bagi penyediaan plan bagi mimbar pihak Majleza menyediakan plannya sejak awal 2015 dengan bentuk awalnya sebagai tergantung, tetapi tidak disetujui kerana terkeatas dan tinggi, kerana para jama`ah terpaksa menengadah ke atas. Plan kemudian diubah kepada  yang bertiang kontot yang dianggap tidak menarik. Masalah mimbar yang berada pada sebelah kanan mihrab itu sebagai sebahagian terlindung dari ma`mum kerana terlindung oleh tiang seri ditimbulkan. Mimbar hendaklah jelas kelihatan oleh ma`mun. Akhirnya mimbar berada dekat dengan mihrab dan  tidak sangat berdepan dengan  tiang seri, hingga dapat kelihatan dengan jelas. Tinggi ruang mimbar adalah 20 kaki tinggi dari kakinya di atas lantai dan dibawahnya ruang kosong yang dapat dimasukkan meja pengajaran guru bila tak digunakan. Meja ini kelihatan sebagai sebahagian dari mimbar apabila dimasukkan ke bahagian bawah mimbar. Ragamhias meja adalah bersamaan pola dengan ragamhias mimbar. Kesemua mimbar, meja dan segala binaan dengannya adalah daripada kayu  yang mudah diukir seperti kayu merbau.
Dari segi bentuknya pada bahagian atas adalah kayu berbentuk lengkung tunduk – satu daun. Di tengah daun ini terukir kallmah Allah di dalam tulisan Al-Qur`an - `Arab. Pada keliling daun  lengkung berkenaan pada sebelah tepi dari kanan ke kiri tertulis potongan ayat Kursi yang menyebut tentang keluasan Kursi Allah. Dia Amat Tinggi dan Amat Mengetahui.  Di bawah bagi daun ini  di atas tempat menyandar khatib ketika duduk terakam pada bahagian atas ialah kalimah Allah pada sebelah kanan dan kalimah Muhammad pada sebelah kiri. Keliling bagi bulatan bagi kalimah Allah dan Muhammad ini ialah ukiran yang bersifat fauna dan flora. Manakala pada bahagian tengah adalah kosong bagi ruang  khatib duduk. Kanan kiri ialah  tiang yang menjunjung kepingan yang tertulis kalimah Allah dan Muhammad. Pada bahagian depan ialah tempat bagi meletak bahan bacaan dan bersamanya microphone dan pada bahagian belakang adalah dinding bagi imam menyandar yang agak sedikit kasar dari segi tukangannya..
Di bawah restrum ialah papan panel yang tertulis kalimah Al-Umm pada bahagian tengah berlatarbelakangkan ragamhias yang berunsur tumbuhan dan bunga-bungaan. Pada bahagian kanan dan kiri ialah papan sedikit rendah dari penal Al-Umm berbentuk empat segi memannjang ke bawah juga bersifat sulur bayung yang kanannya bersamaan dengan kiri. Bahagian tengah adalah berukir bersifat geometrik dan bahagian ini dapat dikeluarkan , kerana ia adalah meja yang boleh digunakan oleh guru sebagai tempat pengajaran. Bila tidak digunakan dimasukkan kembali sepadan bagi ruang di bawah mimber berkenaan. Ia kelihatan kemas dan dapat menyelamatkan ruang.
Bagi menggunakan mimbar ini imam terpaksa masuk ke dalam dan naik dari bahagian belakang. Ianya agak jauh dan sedikit merumitkan, terutama bagi khatib jemputan yang mau bergerak dari bilik persediaan. Lebih baik ada ruang naik terus dari luar ke atas mimbar tanpa perlu berpusing ke belakang  dengan jarak yang lebih jauh.
Walau bagaimana bentuk mimbar dapat dikatakan standard dan bersesuaian dengan  taraf masjid. Nampak keseimbangan kedudukan dan Takmilah  dengan semua aspek yang lain pada bahagian depan – terutama dengan mihrab.
Sekian

No comments:

Post a Comment