July 11, 2018

PINTU GERBANG MASJID AL-UMM: JANGAN GANGGU ESTETIKA HADAPAN MASJID


PINTU GERBANG MASJID AL-UMM:  JANGAN GANGGU ESTETIKA HADAPAN MASJID PINTU GERBANG MASJID AL-UMM:  JANGAN GANGGU ESTETIKA HADAPAN MASJID
BBB, 26 Syawal 1439H. = 10 Julai 2018M. (Selasa):
Bermaksud pintu gerbang bagi Masjid Al-Umm ialah pintu utama bagi memasuki bangunan Masjid Al-Umm, kerana walaupun Masjid Al-Umm mempunyai dua pintu pagar utama bagi masuk-keluar ke kawasan Masjid Al-Umm, tetapi kedua-duanya adalah sebagai pintu biasa dan tidak dibina sebagai pintu gerbang. Ciri pintu gerbang adalah ada pada pintu masuk utama bagi  Masjid Al-Umm.
Walau bagaimana sebagaimana disebutkan, bahawa  pintu gerbang bagi Masjid Al-Umm tidaklah dapat dikatakan hasil kreativiti asli oleh arkitek bagi Masjid Al-Umm, ini ialah kerana bangunan masjid dapat dikatakan bersifat universal dan masjid begitu banyak di kalangan penduduk di negara-negara Islam. Sungguhpun senibina masjid dipengaruhi oleh cuaca, iklim dankesesuaian setempat, misalnya masjid di negara-negara yang beriklim panas dan kurang hujan bangunannya bersutuh, manakala di negara-negara yang iklimnya lembab dan sering hujan seperti di kawasan tropika seperti Malaysia, maka masjidnya berbumbung yang dapat melindungi dari hujan – juga panas.
Akan tetapi pintu gerbang adalah lebih bersifat universal, ianya tidak  bermasalah dengan hujan panas, tetapi lebih bersifat terbuka, lantaran  jika pada permulaan dan permukaan bangunan, ianya tidak perlu lindungan boleh bersifat terbuka dan tidak menjejaskannya oleh hujan panas. Di dalam hal ini pintu gerbang adalah bersifat universal. Pintu  -  termasuk pintu gerbang asalnya ialah ruang yang dibuka dan juga ditutup untuk kemasukan pengunjung berkedudukan di hadapan dan biasanya merupakan ruang terbuka pada benteng yang kukuh dan pintu gerbang ini selain dari kukuh, lantaran ianya perhatian terawal dan utama, biasanya dibina secara lebih menarik. Sebagaimana ianya bersifat universal, maka konsep pintu gerbang ini dapat ditelusuri dalam sejarah dan terdapat berbagai-bagai pintu gerbang yang telah dibina diberbagai-bagai masjid. Contohnya ialah pintu gerbang bagi Masjid Ibn Talun yang pada bahagian atas bagi pintu gerbang ini terbina kubah yang bersaiz besar di atas rangka binaan empat persegi. Pintu gerbangnya bersifat semi circle bujur yang memanjang ke bawah. Contoh pintu gerbang yang menarik ialah pintu gerbang pada Masjid  Jami` Isfahan – dua pintu gerbang pada kanan dan kiri yang bentuknya bersamaan. Termasuk berpintu gerbang ialah Masjid Nabawi di Madinah – banyak pintu.
Adapun pintu gerbang bagi Masjid Al-Umm adalah berpintu gerbang mirip kepada pintu gerbang bagi Masjid  Jami` di Isfahan. Sebagaimana pintu gerbang Masjid Jami` Isfahan dibina  bertembok empat segi memanjang ke bawah dengan pintu pada bahagian tengahnya berbentuk lengkung bujur memanjang ke bawah menurut saiz tembok yang sebagai dinding jika tanpa ruang pintu. Demikianlah dengan bentuk pintu gerbang Masjid Al-Umm. Bentuk ruang pintu (kosong ini) sebagai bentuk kubah yang selari dengan kubah sebenarnya pada bahagian belakang (lebih tinggi kedudukannya). Ruang tembok pintu tegak secara empat segi memanjang ke bawah dengan mempunyai ketebalan ke belakang bersambung dengan bahagian belakang kiri kanan yang pada bahagian kanan dan kirinya tegak dua buah menara yang tingginya 27.5 meter bersamaan 90 kaki. Pada bahagian kanan dan kiri pintu gerbang ini diapit oleh binaan empat segi memanjang ke bawah sebagai kelek bagi rangka pintu gerbang berkenaan. Dalam hal ini walaupun pintu gerbang Masjid Al-Umm ada mirip dengan pintu gerbang Masjid Jami` Isfahan, tetapi ada kreativiti dan kelainan. Misalnya ruang kosong ke atas sama ada Masjid Jami` Isfahan dan juga Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi sama ruang kosongnya sebagai bentuk kubah, tetapi bentuk kubah bagi Masjid Jami` Isfahan kurang tajam pada bahagian puncaknya berbanding dengan bentuk kubah bagi Masjid Al-Umm adalah lebih tajam dengan sedikit berkelok pada bahagian tengahnya. Sebagaimana pada bahagian atas bagi tembok empat segi memanjang ke bawah kosong dari hiasan pada bahagian atas, maka demikianlah dengan tembok pada bahagian atas bagi tembok Masjid Al-Umm adalah juga kosong. Sebagaimana pada ruang masuk Masjid Jami` Isfahan kosong dan tiada sekatan dengan pintu, demikianlah pada dasarnya bagi Masjid Al-Umm. Walau bagaimana untuk sekatan dari dimasuki oleh terutama binatang seperti kucing dan anjing pada permukaan pintu ini disekat dengan dua keping kaca seluas pintu gerbang yang boleh ditarik dan ditolak untuk dibuka dan ditutup. Kini kedua papan kaca ini bergerak secara automatik – bermotor, terbuka dengan sendiri apabila dimasuki dan tertutup dengan sendirinya.
Pada bahagian depan, bermula dengan pintu dan bentuk-bentuk binaan kanan dan kirinya  mempunyai elemen estetik yang tinggi, apalagi sekiranya kelak, dihiasi pada kiri kanan pintu hingga ke kaki menara dengan dua kolam air kiri kanan dan pancutan air pada setiap kolam. Ini bertambah cantik jika ditambah dengan hiasan pokok-pokok  menghijau berbunga dan bersaiz sederhana. Ini boleh diadakan bila kewangan mengizinkan.
Walau bagaimana suasana asli di atas dirosakkan dengan penambahan ruang lengkung plastik sebagai terowong ke pintu gerbang yang dibicarakan. Tambahan ini tidak diambil keputusan secara teliti menyebabkan ianya merosakkan keaslian dan pandangan. Tambahan berkenaan dikatakan untuk elak daripada berlakunya tempias. Sebenarnya ianya adalah kesengajaan untuk bersifat terbuka dan jika hujan, maka lantai dibawahnya sudah dibuat secara landai untuk air tempias mengalir ke luar. Tidak ada masalah dengan bentuk arkitek yang asal. Sebaliknya dengan penambahan lengkong terowong mengundang penunggang-penunggang motosikal parking motor mereka di ruang berkenaan, walaupun dilarang, menyebabkan menghalang keluar-masuk dan merosakkan pandangan.
Kita berharap penambahan lengkong terowong ini yang sebenarnya tidak kukuh dantiris adalah bersifat sementara dan akan dibuang dan ditambah dengan hiasan-hiasan yang dapat meninggikan daya estetika bagi bahagian hadapan Masjid Al-Umm ini. Misalnya pada bahagian atas ruang  kosong ditambah dengan lindungan sederhana berbentuk  V terbalik bersambung  – lima V melambangkan rukun Islam dengan V tengah dibesarkan. Tidak perlu bertiang ke bawah bagi mejimatkan ruang.  Dengan konsep bumbung, ianya mencerminkan unsur seninbina tempatan dengan dihiasi kepingan bata pada bentuk V terbalik berkenaan.
Sekian.

No comments:

Post a Comment