July 31, 2018

SEMINAR DAN PENGAJIAN DI MASJID AL-UMM: VISI DAN MISI


SEMINAR DAN PENGAJIAN DI MASJID AL-UMM: VISI DAN MISI
BBB, 17 Zulkaedah 1439H. = 30 Julai 2018M. (Isnin):
Sebelum pembentangan kertaskerja Seminar Bulanan Masjid Al-Umm, Penulis sebagai Pengerusi Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm dijemput oleh Pengerusi  saudara Ah. Feisal menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis Seminar yang berlangsung pada pagi Sabtu 28 Julai 2018 itu.
Penulis mengucap terima kasih kepada pembentang Prof. Dr. Mohd. Yusof Hussein yang sudi membentangkan kertaskerja berjudul, ``Komunikasi Masjid: Satu Penilaian`, iaitu satu topik yang bukan saja releven, tetapi penting difahami oleh kalangan muslimin, khususnya di kalangann jama`ah masjid.  Pembentang  mengambil pendekatan perbandingan antara masjid-masjid secara terpilih di empat buah negara, iaitu Malaysia (dua masjid), Indonesia, Singapura dan Brunei Dar al-Salam. Pembentang –Prof. Dr. Mohd. Yusof adalah Mantan Profesor di Jabatan Komunikasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Gombak. Sebelumnya beliau pernah berkhidmat selaku profesr di Jabatan Komunikasi di UPM, Serdang.
 Pihak masjid secara kebetulan dan bernasib baik, kerana mendapat Pengulas bagi kertaskerja, iaitu Prof. Dr. Mahyuddin Yahaya, Profesor di Universiti Islam Sultan `Ali (UNISSA), Brunei Dar al-Salam. Beliau pakar di dalam bidang Sejarah Islam, khususnya tentang Brunei. Sebelumnya beliau adalah Bekas Tenaga Pengajar di Jabatan Sejarah, UKM. Beliau adalah seorang yang berkelayakan bercakiap tentang masjid dan sejarah Islam.
Penulis menyebut bahawa Seminar Bulanan Masjid Al-Umm  bermula sejak Januari 2018. Seminar telah berlangsung selama empat kali dari Januari 2018 hingga April 2018. Seminar yang berlangsung pada setiap Sabtu akhir bulan itu telah ditangguh pada bulan Mei dan Jun, kerana menyambut Ramadhan dari raya Eidul Fitri dan kini seminar kembali bagi kali kelima.
Penulis memaklumkan kepada hadirin, ``Seminar yang telah diadakan, termasuk hari ini adalah merupakan salah satu kegiatan ilmiah yang diadakan di Masjid Al-Umm, iaitu sebagai tambahan bagi kegiatan keilmuan yang telah sedia ada seperti pengajian-pengajian kitab-kitab yang telah berjalan sejak Masjid Al-Umm digunakan mulai 16 Disember 2017 lagi. Ianya mengambil pendekatan pengajian sebagaimana di universiti dengan pembentangan kertaskerja dan pengulasan. Pembentang khususnya, juga pengulas  dikehendaki membuat penyelidikan bagi membentang kertas-kertaskerja yang dibentang. Adalah diharapkan para hadirin mendapat maklumat baru dari pembentangan yang dilakukan dan dapat berinteraksi dengan pembentang dan pengulas di dalam perbincangan dan soaljawab.
Penulis juga memaklumkan bahawa, siri seminar yang dijalankan adalah secara bersiri dan mengambil tema tertentu bagi siri-siri berkenaan. Buat permulaan tema bagi siri seminar adalah mengambil tema `Masjid`.  Pembentang-pembentang diminta dan dicadangkan dengan topik-topik yang releven dengan masjid. Apabila sejumlah kertaskerja dihasilkan berhubung dengan tema masjid, maka ianya akan dihimpun dan diterbitkan oleh pihak masjid di dalam bentuk buku atau monograph. Seminar seterusnya akan memilih tema-tema yang lain yang bersesuaian seperti pendidikan, ekonomi, sains dengan berbagai cabang, kekeluargaan, kesihatan, alam sekitar dari perspektif Islam dan berbagai tema lagi yang releven. Penulis-penulis akan dijemput dari kalangan pakar, terutama dari kalangan tenaga pengajar di universiti-universiti yang tokoh-tokoh berkenaan memang ramai di Bangi dan sekitanya atau dari tempat lain. Bagi himpunan keilmuan yang lebih besar konvensiom keilmuan turut diadakan. Dalam kata lain Masjid Al-Umm, bukan sahaja menganjur kelainan dari segi pengajian, tetapi menghasilkan buku-buku di dalam berbagai bidang menurut perspektif Islam.
Dari segi visi dan misi, Masjid Al-Umm yang dibangunkan antaranya menjadi pemangkin bagi Bangi Bandar Ilmu, bukan saja mengadakan seminar, tetapi menjadi pusat pengajian bertaraf tinggi yang menganjurkan berbagai-bagai kegiatan keilmun seperti pengajian berpekej, pengajian hujung minggu, bulanan dan tahunan. Kerjasama akan dilakukan dengan pengajian-pengajian tinggi yang ada di Bangi dan sekitarnya.
Kesedaran bagi mengadakan berbagai kegiatan keilmuan ini dilakukan sejak awal, misalnya dengan mengadakan dewan konvension, dewan seminar, bilik-nilik kuliah, perpustakaan, bilik IT dan bilik-bilik mesyuarat. Lebih dari itu, dalam perbincangan bagi plan pembinaan Masjid Al-Umm telah dibincang dan disediakan plan pembangunan jangka panjang bagi perkembangan keilmuan di Masjid Al-Umm, iaitu mengusahakan bagi mendapat tapak bagi kompleks pendidikan berhampiran masjid, seperti tanah kawasan Medan Selera (Usahawan) bagi rancangan mendirikan bangunan berpuluh tingkat sebagai  bangunan yang mengendalikan berbagai-bagai pengajian bagi Masjid Al-Umm.
Penulis memberitahu para peserta seminar, bahawa usaha ini akan dilakukan secara bertahap dan visi dan misi diharap akan diteruskan oleh pemimpin-pemimpin yang akan meneruskan pembangunan dan pengimarahan Masjid Al-Umm.
Sekian.

No comments:

Post a Comment