RUANG UTAMA PALING ISTIMEWA
BBB, 01 Zulkaedah 1439H. = 14 Julai 2018M.
(Sabtu):
Ruang utama adalah berkedudukan paling pentig bagi masjid, diibaratkan kepada badan
dia adalah hati bagi diri. Kedudukannya adalah pada bahagian hadapan masjid.
Bagi Masjid Al-Umm, maka selepas dari masuk ke ruang legar – serba guna,
melepasi daripadanya dengan melangkah tiga mata tangga membawa kepada pintu
tengah bercermin masuk ke ruang utama. Ianya juga berkedudukan tengah bagi dua
serambi kanan (sayap atau koridor) dan
juga bagi serambi sebelah kiri.
Pentingnya ruang utama, kerana di sinilah
tempat bagi jama`ah mendirikan solat – termasuk bagi muslimat pada bahagian
belakang, selain dari menggunakan ruang pada tingkat satu, jika jama`ah ramai
seperti pada bulan Ramadhan atau pada Hari raya Eidul Fitri dan Hariraya Eidul
Adhha. Ruang bagi muslimat pada tingkat satu ini juga digunakan bagi jama`ah
pada hari Juma`at, jika ruang yang lain telah penuh.
Terdapat pada ruang utama ini aspek-aspek
penting. Pada ruang terbuka yang dapat dihampar dengan 15 helai carpet panjang
sebanyak 15 carpet dengan jama`ah seramai lebih dari 120 orang sehelai, maka ianya memuatkan hampir
2,000 orang, manakala bagi ruang serambi kanan dan kiri 500 x 2 orang dan pada
ruang muslimat pada bahagian atas 500 orang. Jadi ruang jamaahnya memuatkan
lebih kurang 3,500 orang. Ruang utama
ini sepenuhnya ber aircond. Meliputi ruang
muslimat pada aras satu. Pada bahagian tengahnya tergantung lampu thurayya yang
gemerlap cahayanya bersama-sama lampu yang lain pada waktu malam.
Pada bahagian ruang utama ini terdapat
mijhrab, mimbar, bilik imam dan meja pengajaran bagi guru-guru. Ertinya pada
ruang ini selain dari tempat mendirikan solat, maka dari bahagian hadapan ruang utama ini guru-guru menyampaikan
pengajaran kepada yang hadir, biasanya masa antara maghrib dan `isya`dan juga
pada waktu-waktu siang seperti pada pagi Sabtu atau pada hari Ahad atau pada
bila-bila masa yang sesuai. Ruang jama`ah ini pernah digunakan sepenuhya –
bermaksud penuh dengan jama`ah seperti pada malam-malam Ramadhan, pada Hariraya
Eidul Fitri dan Hariyara Eidul Adhha.
Dari segi binaan fizikal, ruang utama ini
begitu luas dan lawas. Ruang ini berada di bawah daripada kawasan kubah yang
tinggi dari lantai lebih kurang 60 kaki tinggi. Membina ruang tengah berkubah
ini adalah paling rumit dan memakan masa yang lama. Pembinaan kubah oleh
Syarikat Majleza bermula dari akhir 2014. Rangkanya terdiri di atas 4 tiang seri
utama, yang di atas tiang utama dibina empat batang belira empat segi di atas
empat tiang berkenaan yang diperkukuhkan dengan batang-batang sendeng dari
lengkung dari bahagian kelilingnya sebagai penyokong keliling yang mengukuhkan kedudukan. Maka diatas bulatan
bagi bahagian tengah belira empat segi itu diangkat rangka kubah yang sedia dipasang pemidangnya ke
atas. Pengangkatan rangka kubah ini yang dipasang dibawah sejak 12.3.2015. Masa
diambil begitu lama bagi menyiapkan tapak dan kubah, kerana selepas dibina tapak
dengan konkrit semin sebagai tapak kubah terpaksa ditunggu masa mantap kering
dan kukuh memakan masa lebih dari setengah tahun dan apabila diangkat rangka,
pemasangan lengkap bagi kubah memakan
masa lebih dari setengah tahun. Sememangnya pekerja-pekerja kubah yang tinggal
(menginap) di atas pejabat penulis lebih dari setahun. Kos bagi pembinaan bagi
kubah adalah menghampiri RM2 juta. (Harga bagi kubah dan kipas besar adalah
sebanyak RM2,689,100).
Ruang solat utama ini selain daripada tegak
kubahnya di atas empat tiang seri yang tingginya lebih 60 kaki, ianya
dikukuhkan dengan tiang keliling sebanyak (5x 3dinding) tiang dengan bahagian
hadapan lebih banyak tiang, iaitu sekitar
8 tiang pengukuh. Selain daripada itu pada dinding-dinding bahagian hadapan
dihiasai dengan kerawang-kerawang awan larat yang bermotif geometrik design dan juga bersifat flora.
Kerja-kerja secara artistik ini dilakukan oleh pekerja-pekerja dari Orzabekistan
dan memakan masa yang agak lama. Pada bahagian dinding atas kanan dan kiri
tertera ayat-ayat Al-Qur`an. Namun ayat-ayat Al-Qur`an ini tidak jelas dibaca,
kerana terlampau kecil. Dari awal kerja yang tidak menepati spesikasi ini telah
ditegur, tetapi tidak diambil tindakan oleh Majleza. Tulisan ayat-ayat
Al-Qur`an ini pula tenggelam, kerana dicat dengan warna yang sama dengan
dinding dan tidak terang untuk dibaca.
Walau
bagaimana ruang utama ini menarik kerana kedudukannya yang lawas dan
terasa lapang dan rerbuka bila berada di
dalamnya. Ruang mihrab yang bersifat gua kecil dengan ukiran sebagai ruang lebah
bergantung itu amat menarik, begitu halus dan kudus. Ini ditambah menarik
dengan mimbar yang juga didekorasi dengan motif geometrik dan kerawang bersifat
flora. Banyak mereka yang memuji tentang keindahan ruang dan ragam senihias pada bahagian hadapan bagi ruang utama Masjid
Al-Umm, bahkan ada yang mengungkapkan berada pada ruang utama sebagai berada di
dalam Masjid il Haram Makkah !
Kita mengharapkan ruang utama ini sebagai
ruang barakah bagi sesiapa yang datang beribadah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment