KESEIMBANGAN: CIRI ESTETIKA DOMINAN MASJID
AL-UMM
BBB, 28 Syawal 1439H. = 12 Julai 2018M.
(Khamis)
Satu ciri estetika dominan bagi Masjid Al-Umm
ialah `Konsep Keseimbangan`. Sebagaimana telah disebut bahawa antara ciptaan
Allah ada yang bersifat berpasang atau bersifat dua-dua yang boleh diistilahkan
berpasangan, bertentangan, sebelah menyebelah, berlawanan dan bersamaan.
Sebagai tubuh jisim diri ada bahagian kanan dan kiri dan antara kedua belah
adalah bersamaan, iaitu antara sebelah kanan dengan sebelah kiri. Pada diri
juga ada elemen pasangan seperti tangan kanan dan kiri, mata kanan dan kiri dan
kaki kanan dan kiri. Elemen ini amat mempengaruhi kehidupan manusia.
Di dalam menyediakan plan arkitek bagi Masjid
Al-Umm, arkitek berkenaan iaitu Urusbina, sedar atau tidak adalah amat terpengaruh dengan konsep berpasangan dan
berkeseimbangan ini dan ianya menjadi ciri dominan bagi Masjid Al-Umm.
Selepas masuk ke dalam kawasan Masjid Al-Umm,
bermula dari hadapan seorang akan mula berdepan dengan konsep berpasangan dan
berkeseimbangan bermula dengan yang lebih jelas, bahawa berdiri tegak dengan
gagah dan kukuh yang mengawal kanan kiri bagi Masjid Al-Umm ialah dua menara
yang merupakan objek tertinggi dari segi bangunan Masjid Al-Umm (27.5 meter =
90 kaki tinggi). Menara yang berbentuk
bulat dengan bahagian atas menyerupai menara Masjidil Haram ini (Cadangan Dato`
Dr. Haron Din) adalah bersamaan bentuk antara menara kanan dan kiri dan sama
dari segi ciri-cirinya.
Konsep dua sebelah menyebelah bersamaan ini
adalah bersifat menyeluruh. Untuk perbandingan dan kefahaman, bahawa sebuah
Masjid Al-Umm dari atas ke bawah boleh dibelah dua dengan mengambil garis
tengah bagi belahan ialah dari pintu
gerbang dihadapan bergaris tengah kepada
mihrab sebagai sempadan belahan, maka akan dilihat antara dua belah, sebelah
kanan dengan sebelah kiri adalah bersamaan.
Kita belum mengambil contoh bandingan bagi
keseluruhan buat permulaan, tetapi sekadar membuat bandingan pada bahagian luar
hadapan sekitar `Pintu Gerbang` yang
telah kita bicarakan. Sebenarnya pintu gerbang berkenaan bukanlah semata-mata
sekeping dinding konkrit terdiri sebagai
satu yang berasingan, tetapi pintu gerbang adalah sebagai permukaan hadapan
bagi satu plan yang dindingnya mempunyai komponan tersendiri yang bersambung
dengan binaan ruang legar pada bahagian
belakang bagi pintu gerbang berkenaan.
Dilihat dari hadapan kelihatan konsep
berpasangan berlaku sebagaimana dua unit
menara. Pada bahagian kanan dan kiri ruang binaan bagi empat segi lebar ke
bawah. Pada dinding ini terhias dengan daun tingkap bercermin dan berkerawang
pada sebelah kanan (tiada daun pintu yang boleh dibuka dan ditutup), sebuah
daun pintu yang bersamaan bentuknya juga berada pada sebelah kiri bagi bentuk
kelek bagi dinding pintu gerbang. Ke belakang bagi dua bentuk kelek bagi pintu
gerbang ini adalah dinding ke belakang yang sebenarnya masih merupakan komponan
bagi dinding pintu gerbang. Pada sebelah kanan antara belakang bagi pintu
gerbang hingga bersempadankan bahagian bawah menara terhias dengan tiga ruang seperti
pintu membujur dari atas ke bawah secara seni dan indah. Tiga ruang sedemikian
juga terdapat pada sebelah kirinya secara seimbang. Jika sebelah kanan bagi
menara terdapat bangunan kecil tambahan bagi rumah kecil agak berasingan bagi
pengurusan jenazah, maka demikianlah juga pada sebelah kiri pada penghujungnya
ialah bangunan kecil bagi kolah – sebagai reserve air jika berlaku kekeringan
air. Pokoknya antara kedua belah pihak adalah bersamaan. Sebagai tambahan pada
sebelah kanan pintu gerbang ditanam sebuah pokok kecil rendang yang
bertingkat-tingkat kelompok daun, maka demikianlah juga pada sebelah kiri. Kita
telah sebutkan , bahawa pada bahagian antara pintu gerbang ke menara ini lebih
indah kiranya diwujudkan kolam air berpancut, demikian juga pada sebelah
kirinya. Nescaya dengan hiasan kolam air atau padanya ada blok batu yang mengalir
air di atasnya nescaya dapat menyejukkanb suasana dan menarik pandangan.
Sebagaimana disebut bahawa bentuk tambahan
terowong dari plastik yang baru ditambah itu merugikan ruang dan merosakkan
pandangan dan tiada ciri estetika. Untuk
masa depan wajar ditiadakan dan digantikan pada sebelah atasnya bentuk bumbung
beratap bata . Bumbung berbentuk 5V terbalik dengan bahagian V tengah
dibesarkan. Ianya merupakan ciri tempatan sebagaimana atap bahagian atas
beratap dan berbumbung yang bercirikan tempatan. Tambahan bumbun V ini tidak
perlu bertiang bagi menjimatkan ruang.
Pada bahagian luar dari pintu gerbang ini
dapat dinaikkan taraf seni taman dengan
elemen yang lebih menari dan estetik, sesuai dengan kedudukannya pada bahagian hadapan yang merupakan
pandangan awal bagi pengunjung-pengunjung dan para jamaah yang mengimarahkan
masjid secara berterusan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment