BBB, 16 Syawal 1439H. = 30 Jun 2018M. (Sabtu):
Tujuan mendirikan Masjid Al-Umm, bukan sekadar
untuk mendirikan solat-solat waktu dan Juma`at, tapi adalah lebih dari itu.
Telah disebutkan bahawa pada sambutan 30 tahun Bandar Baru Bangi (30 Julai – 1 September
2007) Penulis ketika itu selaku Ketua Pengarah Program di bawah Persatuan
Penduduk Bandar baru Bangi yang YDPnya ialah Dr. Tajul Ariffin Noordin
menampilkan slogan `Bangi Bandar Ilmu` (Tidak dapat dinafikan ada sama faktor politik
pada masa itu). Apabila Penulis menjadi ADUN Bangi (2008-2013, sebelumnya ADUN
Kajang 1999-2004) konsep Bangi Bandar Ilmu ini dirasmikan oleh YAB Tan Sri
Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor pada masa itu pada
22 Jun 2008 (Hari Ilmu Bangi) bertempat
di Kolej Universiti Islam Antarabangsa di Seri Putera, Bangi pada masa itu.
Mendirikan Masjid Al-Umm adalah salah satu pemangkin bagi Bangi Bandar Ilmu,
lantaran Penulis yang menjadi ADUN Bangi menjemput 30 orang pengerusi surau dan pemimpin semasa bermesyuarat bagi mendirikan Masjid Al-Umm
bertempat di Surau Al-Umm pada 4 Februari 2010. Dengan melihat kepada rentetan
peristiwa di atas usaha mendirikan Masjid Al-Umm mempunyai visi dan misi. Ianya bukan sekadar mendirikan
masjid sebagaimana biasa yang tidak dinafikan termasuk di dalam tujuan
mendirikan Masjid Al-Umm, tetapi mendirikan Masjid Al-Umm ada falsafah, tujuan,
visi dan misinya yang antara lain dapat disebutkan:
a) Sebagai Pusat Ibadat setempat dan menjadi induk
bagi surau-surau yang diletak di bawah persempadanan kawasan masjid yang
ditentukan oleh pihak Berkuasa.
b) Menjadi Pusat Pengajian bagi semua lapisan
masyarakat, termasuk kalangan intelektual yang Bangi adalah merupakan Bandar
Universiti dan lantaran itu menjadi salah satu faktor yang melayakkan Bangi
dipanggil sebagai Bangi Bandar Ilmu.
c) Menjadi Pusat Pendidikan bagi semua peringkat,
khususnya bagi kalangan anak-anak dan juga kalangan remaja.
d) Melalui penjanaan ilmu, maka Masjid Al-Umm diharap
akan mengeluarkan bahan-bahan pengajian seperti buku dankaedah-kaedah penerbitan
dan penyebaran keilmuan terkini.
e) Menjadi pusat kegiatan kemasyarakatan, khususnya
bagi penduduk setempat dan umumnya bagi penduduk Bangi seluruhnya.
f) Menjadi sebuah masjid yang sempurna dan indah dari
segi lahiri dan maknawi
g) Model Takmilah kemasjidan.
Dari falsafah, tujuan, visi dan misi di atas,
adalah diharap Masjid Al-Umm dapat membina imej dirinya dari segi fizikal (maksud
bangunan dan perluasan serta perkembangannya), keilmuan, tarbiah dan kegiatan
kemasyarakatan. Masjid Al-Umm diharap akan menjadi `Masjid Terindah` dari segi lahiri dan maknawi. Ia adalah Takmilah kemasjidan bagi Masjid Al-Umm.
Falsafah, tujuan, visi dan misi ini tidak dapat dicapai di dalam masa singkat
dan terdekat, tetapi hendaklah didukung oleh Masjid dan sesiapa yang akan terus
berganti mengendalikan pentadbiran dan pengurusan Masjid Al-Umm.
Falsafah, tujuan, visi dan misi mendirikan
Masjid Al-Umm ini memang disedari dari awal, iaitu sejak dari awal konsep `Bangi Bandar Ilmu` tercetus dan Masjid
Al-Umm dipersetujui untuk didirikan.
Apa yang diperkatakan di atas bukan setakat
percakapan lisan, tetapi adalah disokong dengan dokumen-dokumen bertulis
seperti:
1) Buku Program Sambutan 30 Tahun Bandar Baru Bangi,
Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, Julai-September 2007.
2) Buku Majlis Pelancaran Bangi Bandar Ilmu, 22 Jun
2008, Pejabat ADUN Bangi, 2008.
3) Buletin N26 Bangi, Bulan Julai 2008 – Siri Buletin Bulanan ADUN Bangi
(2008-2013).
4) Buku Bangi Bandar Ilmu, Sekretariat Bangi Bandar
Ilmu, Bangi, 2012.
5) Buku Gagasan Bangi, Sekretariat Bangi Bandar Ilmu, Bangi, 2012.
6) Buku Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu, Sekretariat
Bangi Bandar Ilmu, 2014.
7) Buku 40 Tahun (1977-2017) Bandar Baru Bangi,
Galeri Bangi Bandar Ilmu, Bangi, 2018.
Dan berbagai dokumen lagi yang mengukuhkan
tentang Falsafah, tujuan, visi dan misi pembinaan Masjid Al-Umm yang menjadi
salah satu pemangkin utama bagi Bangi Bandar Ilmu.
Sekian.
No comments:
Post a Comment