September 30, 2015

Mengadap Raja, Pembersihan Nama


BBB, 15 Zulhijjah 1436 = 29 September 2015 (Selasa):



Utusan yang dihantar oleh pihak istana bagi menemui Yusuf kembali dengan `Ta`wilan Nyata`. Apabila Raja diberi taklimat berhubung dengan ta`wilan mimpi Baginda, dan didapati kewajaran ketara terhadap mimpi Baginda. Sedang kandungan ta`wilan melibatkan persoalan masa depan negara dan rakyat, maka Baginda memerintah pegawai-pegawainya menjemput Yusuf ke istana, bagi membincangkan lebih lanjut berhubung dengan kandungan ta`wilan mimpi dan apakah cadangan dan tindakan yang patut diambil bagi jangka pendek dan jangka panjang bagi mengatasi implikasi yang akan terjadi.
Bagi Yusuf beliau tidak bermasalah dari segi mengadap Raja dan membincangkan dari segi kandungan ta`wilan, tetapi walaupun isu Zulaikha,  sudah beberapa tahun berlalu dibimbangi masih diperkatakan dan lebih daripada itu, beliau tidak mau dirinya dianggap turut bersalah. Sebagaimana pelayan yang menyediakan roti diraja dibersihkan dari tuduhan dan bebas bergerak, maka beliau mau dirinya dibebaskan dari kaitan dengan Zulaikha. Selama ini isu ini tidak dibawa kemuka pengadilan dan pembicaraan yang memutuskan siapakah yang sebenar pencetus angkara dan melakukan kesalahan. Beliau mau keputusan `clear cut` agar beliau dapat membersihkan namanya.
Lantaran itu sebagai syarat Yusuf telah memberitahu kepada wakil Diraja, sebagaimana yang terakam di dalam ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Dan (apabila mendengar ta`bir itu), berkatalah Raja Mesir, ``Bawalah dia kepadaku,``. Maka tatkala utusan Raja datang kepada Yusuf, (menjemput mengadap Raja), Yusuf berkata kepadanya, ``Kembalilah kepada Tuanmu dan bertanyalah kepadanya, ``Apa halnya perempuan-perempuan yang telah melukakan tangan mereka ? Sesungguhnya Tuhanku Amat Mengetahui akan tipu daya mereka.`` (12.50).
Menurut tafsiran oleh Abdullah bin Muhammad Basmih, bahawa tujuan pertanyaan yang diajukan oleh Yusuf kepada perutusan Diraja, bahawa Yusuf maukan `Isu Zulaikha` yang dituduh kepadanya seolah-olah beliau terlibat sehingga terpaksa berada di penjara bertahun-tahun lamanya perlulah disiasat dan keputusan pengadilan perlulah dibuat terlebih dahulu sebelum beliau keluar. Beliau tidak mau kehadiran beliau di dalam majlis dan di hadapan mata pegawai-pegawai dan orang awam sebagai orang yang dianggap bersalah dan berstatus `banduan`. Sebelum ini isu berkenaan hanya berada pada peringkat pegawai dan tidak sampai kepada tindakan rasmi. Yang diharap bahawa isu itu akan padam dengan kelamaan masa.
(Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur`an, diusahakan oleh Abdullah bin Muhammad Basmih, Jabatan Perdana Menteri, Bahagian Hal Ehwal Islam, Kuala Lumpur, 1985: 447).
Pihak istana nampaknya akur dengan kehendak Yusuf dan pembicaraan secara rasmi diatur dengan pihak terlibat, khususnya Zulaikha dan perempuan-perempuan isteri-isteri pembesar-pembesar yang telah hadir di dalam jamuan makan dan mengupas buah-buahan dengan pisau hingga terluka jari-jari mereka.
Sebagai rumusan dari pembicaraan Al-Qur`an merakamkan bermaksud:
``(Setelah perempuan-perempuan itu dipanggil), Raja bertanya (kepada mereka), ``Apa hal kamu semasa kamu memujuk Yusuf mengenai dirinya ?`` Mereka menjawab,, ``Jauhnya Allah dari cacat cela ! Kami tidak mengetahui sesuatu kejahatan terhadapnya. Isteri Al-Aziz (Zulaikha) pun berkata, ``Sekarang ternyatalah kebenaran (yang selama ini tersembunyi). Akulah yang memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya, (tetapi dia telah menolak), dan sesungguhnya dia adalah dari orang-orang yang benar.`` (12.51).
Dengan pengakuan salah Zulaikha secara rasmi dalam pembicaraan Diraja menjelaskan kebenaran dan kebersihan Yusuf dari sebarang kesalahan, walaupun dia telah digoda oleh Zulaikha dan perempuan-perempuan yang lain yang bersyubhat dengannya. (Tafsir Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur`an. Ibid.).
Yusuf juga amat memberi penekanan terhadap kepercyaan bapa angkatnya, iaitu Al-`Aziz, beliau juga  mau tujukan keputusan  secara ikhlas terhadap bapa angkatnya yang memberi kepercayaan penuh terhadapnya. Beliau terpaksa mengalami kesusahan yang sepatutnya tidak terjadi terhadap beliau sebagaimana dirakam oleh Al-Qur`an bermaksud:
``Yang demikian, supaya ia mengetahui, bahawa aku tidak mengkhianatinya semasa ia tidak hadir. Dan bahawa Allah tidak menjayakan tipu daya orang-orang yang khianat.``(12.52).
Beberapa maksud ditafsirkan terhadap ayat ini. Antara maksud, iailah seperti di atas, dimaksudkan bila Yusuf dimaklumkan dengan keputusan pembicaraan ia mengucapkan sedemikian yang ditujukan kepada bapa angkatnya yang memberi sepenuh kepercayaan terhadapnya dan ia sememangnya tidak pernah mengkhianati kepercayaan tersebut.
Juga dengan maksud pengakuan Zulaikha di atas kesalahannya yang bersifat penggoda mengaku kekhilapan dan ia menegaskan bahawa Yusuf adalah pihak yang benar dan bersih, bahawa Yusuf tidak mengkhianat dan pengakuan Zulaikha adalah bagi membersihkan Yusuf.
Juga ditafsirkan pengakuan Zulaikha juga dimaksudkan dituju kepada suaminya `Al-Aziz`, ia menegaskan bahawa Yusuf adalah sebenarnya bersih, dialah yang bersalah menggoda Yusuf yang menolak godaan tersebut.
(Tafsir Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur`an, hlm. 448).
Kisah Yusuf-Zulaikha ini merupakan satu-satunya cerita bertemakan `Cinta Wanita Terhadap Jejaka` yang digambarkan secara intim, tetapi terkawal. Dengan pengakuan Zulaikha di dalam pembicaraan Diraja, maka selesailah episod `Kisah Yusuf-Zulaikha` yang dari satu segi memperlihatkan pertarungan antara nafsu ammarah dan mutmainnah yang melambangkan sifat syaitan (ammarah) yang selalu menggoda insan yang sebenarnya sejak Nabi Adam a.s. lagi. Kisah Nabi Yusuf ini adalah menjadi contoh teladan yang patut diambil, bahawa perjuangan antara jahat dan baik adalah menjadi lumrah di dalam kehidupan. Bahawa diri seharusnya selalu dididk bagi membina benteng diri yang kukuh di dalam menghadapi pancaroba kehidupan yang seharusnya menjauhi dari sifat kesyaitanan dan menghiasi diri dengan sifat kebaikan.
Cerita  Nabi Yusuf ini juga adalah dalam rangka dakwah dirinya terhadap masyarakat dalam misi nubuwwahnya.

Sekian.

September 29, 2015

Kebolehan Menta`wil Mimpi Yusuf Dijemput Ke Istana


BBB,  14 Zulhijah 1436 = 30 September 2015 (Isnin):



Mimpi memainkan peranan penting di dalam Kisah Nabi Yusuf. Sungguhpun mimpi ada yang bersifat karut dan tidak memberi erti apa-apa, tetapi mimpi yang berlaku peda Rasu-Rasul adalah `Mimpi Benar` juga ta`wilannya benar. Mimpi-mimpi berlaku pada Nabi Allah Ibrahim a.s. yang bermimpi Baginda menyembelih anaknya Ismail (al-Saffat: 102-103) yang dari peristiwa ini bermulanya tradisi berqurban pada Hariraya Idul Adhha. Nabi Yusuf juga menyatakan mimpinya kepada ayahnya Ya`kub, bahawa baginda melihat dalam mimpinya yang beliau melihat (bermimpi) sebelas bintang, matahari dan bulan semuanya dilihat sujud kepadanya (12.4). Ayahnya (Nabi Ya`kub) merasa bimbang dan menasihati Yusuf agar tidak menceritakan tentang mimpinya kepada saudara-saudaranya, bimbang kiranya akan berlaku angkara-angkara yang akan dilakukan oleh saudara-saudara Yusuf terhadap dirinya (12.5). Di dalam kisah Nabi Yusuf ini, Baginda sendiri disebut diajar oleh Allah dan diberi kemahiran untuk menta`wilkan mimpi-mimpi dan  juga peristiwa-peristiwa (12.6).
Bagi orang biasa ta`wil mimpi menjadi satu kaedah keilmuan yang dipelajari bagi menta`wilkan mimpi-mimpi yang ta`wil berkenaan mungkin benar dan mungkin tidak benar. Bahkan perkembangan daripadanya melahirkan ilmu yang dikenali dengan ilmu qiafah dan firasat yang boleh memberi tafsiran sifat-sifat  fizikal seseorang dan kaitan dengan tingkah laku mereka (Taj al-Salatin, Selenggaraan Khalid Hussain, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1966: 187-191).
Nabi Yusuf mengalami mimpi pada zaman remajanya, Baginda juga diajar dan hasil dari pengajaran yang diterima dari Allah melayakkan Baginda menta`wil mimpi-mimpi. Demikianlah semasa Yusuf berada di dalam penjara, Al-Qur`an merakamkan ayat yang bermaksud:
``Dan masuklah bersama-samanya ke penjara dua orag khadam raja (seorang pelayan minuman raja, seorang pembuat roti diraja), salah seorang di antaranya (bertanya kepada Yusuf dengan ) berkata, ``Sesungguhnya aku mimpi melihat diriku memerah anggur`` dan berkata pula seorang lagi, ``Sesungguhnya aku mimpi melihat diriku menjunjung roti atas kepalaku, yang sebahagiannya dimakan oleh burung, (kemudian keduanya berkata), ``Terangkanlah kepada kami akan ta`birnya. Sesungguhnya kami memandangmu dari orang-orang yang berbuat kebaikan (untuk umum) – (12. 36).
Nabi Yusuf telah memberi jawapan ta`wil mimpi bagi kedua-duanya (keduanya dituduh meracun raja), bahawa seorang terselmat (pembuat roti), manakala seorang yang benar-benar melakukan usaha meracun raja melalui minuman dihukum bunuh (12.41).
Selepas takwilan yang dibuat terhadap mimpi kedua-dua pelayan diraja itu, Yusuf terus berada di penjara beberapa tahun lamanya (12.42).
Tersebutlah kisah tentang Raja Mesir pada masa itu bermimpi, bahawa Baginda bermimpi, tujuh ekor lembu yang gemuk memakan tujuh ekor lembu yang kurus, bersama mimpi itu juga Baginda melihat tujuh tangkai gandum yang subur menghijau dan tujuh tangkai lagi yang kering kontang. Mimpi itu diberitahu Baginda kepada pembesar-pembesar Baginda dan bertanya kiranya ada di antara mereka yang mahir berkenaan dengan ta`wil mimpi. Pembesar-pembesar berkenaan menganggap mungkin mimpi berkenaan sebagai teknan perasaan. Tidak ada antara mereka yang mampu memberi ta`wilan terhadap mimpi yang berlapisan itu (12. 43-44).
Berita berkenaan sampai kepada tukang masak yang menyediakan roti kepada raja yang terlepas dari hukuman dalam pembicaraan cubaan membunuh raja. Lantas beliau mengingati peristiwa yang berhubung dengan mimpi mereka ketika bersama di dalam penjara. Maklumat tentang Yusuf yang mahir berkenaan ta`wil mimpi itu, disampaikan kepada Baginda. Pekerja itu menawarkan diri untuk menemui Yusuf yang diharap dengan kemahirannya menta`wil mimpi akan dapat memberi jawapan terhadap mimpi yang dialami oleh Raja Mesir itu. Lantas pekerja itu dihantar menemui Yusuf yang masih di dalam penjara itu (12. 45)..
Pertemuan pekerja dengan Yusuf digambarkan oleh Al-Qur`an, bermaksud:
``(Apabila pekerja berjumpa dengan Yusuf berkatalah ia kepadanya),``Yusuf, wahai orang yang benar ! Ta`birlah kepada kami tentang mimpi, melihat tujuh ekor lembu yang gemuk, dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan tujuh tangkai biji-bijian (gandum) yang hijau, serta tujuh tangkai lagi yang kering, (ta`birkanlah supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku itu, semoga mereka mengetahui akan ta`birnya (12.46)..
Berhubung dengan mimpi berkenaan Yusuf menta`birkan, maksud:
``Yusuf menta`bir, ``Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu tuai, biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya, kecuali sedikit dari bahagian yang kamu gunakan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun yang bersangatan kemarau yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya,, kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (sebagai benih). Kemudian datang pula sesudah itu tahun  yang padanya orang ramai beroleh (rahmat) hujan dan padanya mereka dapat memerah hasil (anggur, zaitun dan sebagainya (12.47-49).
Pekerja yang telah diutuskan supaya menemui Yusuf di penjara, amat sukacita dan yakin dengan kebenaran ta`wilan Yusuf yang dari pengalamannya bersama Yusuf, bahawa dia adalah seorang yang jujur, berpengetahuan dan amat bijaksana. Bahkan penemuannya kali ini lebih mengkagumkannya dengan wataknya sebagai seorang yang warak yang terpancar darinya peribadi yang tinggi lagi mulia.
Pekerja berkenaan kembali ke istana dan melaporkan berhubung dengan ta`wilan yang dibuat oleh Yusuf dengan penuh rasa konfiden akan kebenarannya. Adapun Raja Mesir juga mendengar dengan penuh minat dan perhatian bersama pembesar-pembesarnya. Mereka dapati takwilan yang besar lagi penting bagi negara mesir dan rakyatnya serta masa depan mereka. Oleh kerana isu yang berhubung dengan mimpi baginda itu penting dan takwilan yang dibuat oleh Yusuf amat menyentuh masa depan negara dan rakyat Baginda, maka Baginda memerintah pegawai-pegawai Baginda pergi menemui Yusuf di penjara dan secara terhormat menjemput Yusuf ke istana bagi membincangkan persoalan yang berhubung dengan ta`wilan mimpi Baginda dan membincangkan kemungkinan-kemungkinan dan persediaan yang harus dibuat bagi menghadapi pertukaran musim yang akan berlaku.
Episod `Yusuf Dalam Penjara` memberi kewajaran jalan cerita dengan perubahan plot dari kehidupan sebagai anak angkat pembesar Al-Aziz, kepada Isu Zulaikha dan penjara adalah rentetatan kewajaran yang akan membersihkan nama Yusuf, bahkan dengan bakal pertemuan Yusuf dengan Raja Mesir akan lebih merubah kedudukan dan masa depan Yusuf.

Sekian.

September 28, 2015

Lebih Baik Di Penjara Dari Hidup Di Luar Tersiksa


BBB,  13 Zulhijjah 1436 = 27 September 2015 (Ahad):



Sedang Zulaikha berusaha membersihkan dirinya yang tercemar dan tidak semudah apa yang diharapkan, bahkan episod ini kekal dalam lipatan sejarah menjadi tatapan zaman, maka Yusuf, walaupun tidak bersalah, dan keduanya tidak diambil tindakan formal, tetapi Yusuf secara tidak langsung menerima kesan hukuman tidak langsung, iaitu pandangan serong terhadap dirinya dari pihak-pihak yang tidak menyenangainya. Dia juga tidak sebebas dahulu berada di rumah ibu-bapa angkatnya dalam mana pergerakannya dulu adalah dalam keadaan biasa dan tiada sebarang curiga di dalam jiwanya. Kini pergerakannya sebagai terhad dan perlu berhati-hati seolah-olah dirinya dalam perhatian. Pergaulannya dengan saahabat-sahabat menjadi sebagai tidak kena dan semacam tidak biasa, walaupun tiada sebarang keraguan daripada mereka dan bagi dirinya ada semacam mata tajam tersembunyi memerhati gerak gerinya. Akhirnya harapan dan masa depannya yang ia mendapat bimbiungan dari bapa angkatnya bagi mendapat tempat dalam pentadbiran negeri, sekurang-kurangnya terencat. Isunya dengan Zulaikha sekurang-kurangnya menghambat peluang berkenaan dan sudah tentulah dengan isu berkenaan, jika ia mengangkat Yusuf bagi satu-satu kedudukan tertentu di dalam pentadbiran, maka akan timbul cakap-cakap di kalangan kakitangan berhubung dengan isu Yusuf yang tidak menyenangkan dan menjadi tidak senang bagi semua pihak. Dalam keadaan sedemikian adalah lebih baik bagi Yusuf mengasing dan menyepikan diri. Alternatif yang terbaik baginya difikirkan bahawa lebih baik baginya memilih pengasingan diri di penjara. Ini sebagaimana digambarkan oleh ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Yusuf  (merayu ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta`ala dengan berkata),, ``Wahai Tuhanku, aku lebih suka kepada penjara daripada apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya.`` (12.33).
Doa dan munajat Yusuf dimustajab oleh Allah, sebagaimana dimaksudkan oleh ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Maka Tuhannya memperkenankan do`anya, lalu dijauhkannya daripada tipu daya mereka. Sesungguhnya Allah jualah Yang Amat Mendengar lagi Amat Mengetahui.`` (12.34).
Pemilihan Yusuf bagi mengasingkan diri di penjara, nampaknya ada kebetulan dengan setengah pendapat dari kalangan pihak berkuasa, bahawa lebih baik Yusuf di penjara bagi memisahkannya dari angkara perempuan, khususnya dari Zulaikha. Sesungguhnya pemilihan yang dibuat adalah pemilihan yang tepat.
Masuknya Yusuf ke dalam penjara bukan sebagai banduan, tetapi mempunyai beberapa fungsi.
Pertama ialah bertujuan untuk melarikan diri dari Zulaikha perempuan yang memulakan fitnah dan menjadi skendal yang diketahui bukan setakat kalangan ister-isteri pembesar-pembesar Mesir, tetapi menjadi heboh seluruh negara.
Kedua, ialah bagi menenangkan dirinya dari masalah yang dihadapi dalam hubungannya dengan masyarakat.
Ketiga yang paling penting, bahawa dengan mengasingkan diri, Yusuf dapat mendalami keilmuan dan menghayati aspek-aspek kerohanian dengan munajat diri kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala. Yusuf dalam kehidupannya meneruskan aqidah pegangan dari agama Hanif Nabi Ibrahim a.s. dan datuknya Nabi Ishaq dan ayahnya Nabi Ya`kub a.s. Dapatlah dikatakan bahawa dari dalam penjara inilah pertanda nubuwwahnya makin ketara dan konsisten, bermula sebagai anak yang baik yang taat dan mematuhi ibu bapa dan dikasihi ibu bapa, dan apabila menjadi anak muda, beliau tidak menyimpan  sifat tidak senang hati terhadap saudara-saudaranya , walaupun mereka mempunyai niat yang tidak baik terhadapnya, tatkala ia dipelihara oleh Tuan Al-Aziz sebagai bapa angkat dan ibu angkatnya Zulaikha sifat  mulia diteruskan dengan sifat amanah dan tidak mengkhianati amanah yang diharapkan oleh Tuannya.
Bagi setiap Rasul sebelum menerima wahyu bagi perlantikan diri sebagai Rasul, tidak sunyi dari mengalami berbagai-bagai ujian. Ujian penolak dari kaum sendiri terhadap dakwah yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. dan terus mengalami halangan dan sekatan sebelum dapat memperkembangkan agama Islam. Yusuf sebagai salah seorang Rasul, demikian juga tidak sunyi dari menghadapi ujian dalam kehidupannya dari zaman anak-anak membawa kepada zaman remaja dan dewasa dengan mengalami berbagai pancaroba.
Semasa Yusuf di dalam penjara – dia tinggal beberapa masa, sifat prihatinnya ketara, dia menziarah yang sakit di kalangan penghuni penjara, membantu mereka yang daif, menasihati mereka yang menderita, menyampaikan kepada mereka keilmuan mengiringi acara ibadat yang dipimpinnya dan menghormati mereka hinggalah jadilah Yusuf semasa di dalam penjara dikasihi oleh mereka yang di dalam penjara dan menenangkan jiwa mereka dengannya.
(Muhammad Ahmad Jad al-Maula wa Ashabuhu, Qisas al-Qur`an, Al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Misr, 1389/1969: 101).
Sesungguhnya Yusuf telah dimulia Allah dengan risalahnya, dikurnia Allah kepadanya apa yang dijanjikan, dia melalui proses nubuwwah sebagaimana yang pernah dilalui bapa dan neneknya sebelumnya. Mereka berdakwah kepada agama tauhid, menyalakan cahaya iman dan mengukuhkan keyakinan. Dari sejarah dakwah, bahawa dakwah adalah lebih mudah tiba kepada kalangan masyarakat awam yang hidup mereka di dalam kesusahan seperti yang dilalui oleh Rasulullah, bahawa selain dari sambutan dari kalangan keluarga dan sahabat-sahabat terdekat kalangan masyarakat susah adalah lebih segera memberi sambutan terhadap dakwah. Contoh sebahagian daripada kalangan muhajirin ke Madinah adalah terdiri dari mereka yang susah dan miskin. Sebahagian daripada mereka pada peringkat permulaan berlindung di Masjid al-Madinah yang mereka dikenali sebagai Ahlu al-Suffah. Bagi Yusuf beliau merapati golongan banduan , mengenali hati budi mereka dan membimbing mereka ke jalan keinsafan yang dapat membantu mereka mengendalikan kehidupan selepas keluar dari penjara.
Sesugguhnya bagi Yusuf, berada di dalam penjara adalah sebagai berada di Madrasah yang mendidik mindanya dengan keilmuan, mempertajamkan kehidupan dengan pengalaman  dan memperhaluskan jiwanya dengan kerohanian. Ini semua adalah bagi melengkapkan dirinya dengan keperluan-keperluan bagi  menerima risalah nubuwwah, khususnya bila menghadapi masyarakat secara terbuka. Sesungguhnya penjara madarasah yang  mendidik diri Yusuf ke arah tugas yang lebih besar – Nubuwwah.

Sekian.

September 27, 2015

Heboh Tentang Zulaikha ! Cuba Padam Berita Tersebar


BBB,  12 Zulhijjah 1436 = 26 September 2015 (Sabtu):



Kesah Zulaikha dan Yusuf tersebar luas, terutama di kalangan wanita-wanita atasan di Mesir. Bagaimana ianya boleh tersebar menjadi tanda tanya. Lantaran jika berita yang berlaku antara tiga individu, iaitu Al-Aziz, isterinya Zulaikha dan Yusuf tidak menjadi heboh, jika ketiga-tiganya tidak membocorkan persoalan kepada orang ramai. Untuk mengatakan Yusuf membocorkan persoalan kepada orang ramai tidak munasabah. Begitu juga Zulaikha takkan membocorkan rahsia, kerana akan memalukan dirinya sahaja. Begitu juga dengan Tuan Al-Aziz, kerana membenarkan isu yang bersifat skendal ini tersebar kepada orang ramai,  menjatuhkn reputasi dan kedudukan dirinya sebagai pembesar negeri. Besar kemungkinan berita ini disebarkan oleh pekerja atau orang gaji di rumahnya yang selama ini telah memerhati dan memahami gerak geri Zulaikha. Lantaran isu tiga segi ini  diketahui oleh individu keempat yang darinya mengalir maklumat. Lantas  ianya menjadi berita sensasi. Persoalan hubungan cinta lelaki-wanita adalah persoalan klasik sejak dari zaman bahari hingga kini. Persoalan menjadi buah percakapan, jika ianya tidak menurut batas susila yang normal. Ianya boleh membawa kepada pertumpahan darah seperti yang berlaku pada Qabil dan Habil. Ianya menjadi gandingan yang mapan, jika ianya berjalan menurut aturan, lebih-lebih lagi jika keduanya mengukuhkan perjuangan seperti berlaku pada Rasulullah s.a.w. dan Saydatina Khadijah.
Peristiwa yang berlaku antara Zulaikha dengan Yusuf  mencetuskan berbagai-bagai anggapan. Ada yang berpendapat ianya sebuah skendal yang seharusnya tidak terjadi di antara  isteri pembesar negara yang boleh menggoncang dan meruntuh kerajaan. Ada yang melihatnya sebagai yang memalukan, seorang isteri berkedudukan jatuh hati kepada `budak peliharaan sendiri`  kerana ini sesuatu yang memalukan . Walau macam mana ianya telah terjadi dan tersebar, terutama di kalangan isteri-isteri pembesar-pembesar Mesir. Sebagaimana ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di Bandar Mesir (mencaci hal Zulakha) dengan berkata.``Isteri Al-Aziz itu memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya. Sesungguhnya kami memandangnya berada di dalam kesesatan yang nyata.`` (12. 30).
Kisah yang tersebar di kalangan isteri pembesar-pembesar Mesir, bahkan sampai ke ceruk rantau Mesir amatlah tidak menyenangkan, bahkan menggelisahkan hati dan jiwa Zulaikha. Berbagai-bagai lintasan fikiran bermain di kepala Zulaikha antaranya hendak mengasing dan menyembunyikan diri dengan tidak menemui isteri-isteri pembesar-pembesar Mesir yang selama ini merupakan melalui majlis dan pertemuan sosial yang menghubung eratkan antara mereka. Jika tindakan ini diambil, bererti memusnahkan reputsi dan hubungan baik yang terjalin antara mereka. Namun ada majlis dan pertemuan yang menghendakinya hadir, khususnya sebagai pengiring bagi suaminya yang tak dapat dielakkan. Maka di dalam majlis-majlis seumpama ini, alangkah beratnya berpandangan dengan wajah-wajah teman-teman sesama isteri-isteri pembesar-pembesar Mesir, lantaran pandangan dan senyuman bagai pndangan dan senyuman mengejek terhadap dirinya, walaupun pada hakikatnya mereka tidak pun berniat sedemikian. Zulaikha benar-benar mau memadamkan episod hitam yang mengganggu hubungan mesra, gurau senda dan gelak ketawa antara mereka.
Dalam berhempas pulas mencari idea bagaimana memadamkan cakap-cakap orang ramai, terutama kalangan isteri-isteri pembesar-pembesar di Mesir, maka terlintaslah di kepalanya idea untuk mengadakan `Majlis mesra` antara wanita-wanita utama, yang memang majlis sedemikian sering diadakan di kalangan mereka, terutama bagi sambutan-sambutan hari tertentu, seperti terbuka,  hari jadi, ulangan tahun perkahwinan, meraikan kehadiran orang baru `Anak`, perkahwinan anak, meraikan kejayaan anak di dalam pelajaran dan sebagainya. Majlis bakal diadakan bukanlah satu majlis yang begitu besar, tetapi biasa dan sederhana yang boleh disifatkan sebagai `Majlis Mesra Keluarga` yang Zulaikha mempunyai perancangan sendiri bertujuan untuk `Membalikkan Pandangan Serong` terhadap dirinya kepada kewajaran yang berlaku pada wanita-manita lain.
Majlis Mesra yang dijadualkan itu tiba, iaitu jemputan ke rumahnya dengan dihadiri sejumlah isteri-isteri pembesar-pembesar Mesir yang menjadi teman rapatnya. Majlis makan-makan itu disediakan dengan jamuan dan puncaknya ialah mengupas buah-buahan yang musim menjadi pada masa itu seperti limau, mangga dan mentimun yang sengaja disediakan sebilah pisau bagi setiap orang tamu bagi mengupas dan memakannya. Setelah selepas jamuan biasa, diedarkan buah-buahan dalam bekas khas beserta dengan pisau, maka tatkala wanita-manita berkenaan sedang mengupas buah-buahan, sebagaimana diatur oleh Zulaikha, Yusuf diminta masuk ke tengah majlis bagi membawa hidangan `desert` tambahan. Semasa Yusuf masuk ke tengah majlis, semua wanita yang sedang mengupas buah-buahan itu terpegun gamam melihat ketampanan Yusuf yang bukan dari manusia biasa, bahkan diibarat sebagai malaikat ! Pada masa itu, tanpa disedari oleh wanita-wanita berkenaan bahawa mereka terpotong jari-jari masing-masing, oleh kerana terlalai lantaran kagum dan asyik memandang wajah Yusuf yang begitu cantik dan tampan itu.
Peristiwa yang bermaksud sedemikian terakam di dalam ayat-ayat Al-Qur`an yang maksudnya sebagaimana berikut;
``Maka apabila ia (Zulaikha) mendengar cacian mereka, ia pun menjemput mereka dan menyediakan satu jamuan untuk mereka, serta memberikan kepada setiap seorang di antara mereka sebilah pisau, dan pada ketika itu berkatalah ia (kepada Yusuf), ``Keluarlah di hadapan mereka``. Maka tatkala mereka melihatnya, mereka tercengang melihat kecantikan parasnya dan mereka dengan tidak sedar melukakan tangan mereka sambil berkata, ``Demi Allah, ini bukan manusia biasa, ini tidak lain dari malaikat yang mulia.`` (12.31).
Dengan episod ini Zulikha dapat menterbalitkan pandangan-pandangan wanita-wanita pembesar  kepada kewajaran mengapa Zulaikha terperangkap di dalam situasi yang dialamainya. Bahkan Zulaikha mengukuhkan pendapat sedemikian sebagaimana kata ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Zulaikha berkata, ``Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya, sebenarnya aku telah memujuknya  berkehendakkan dirinya, tetapi ia menolak dan berpegang teguh pada kesuciannya. Dan demi sesungguhnya kalau ia tidak mau melakukan apa yang aku suruh, tentulah ia akan dipenjarakan dan akan menjadi dari orang-orang yang hina.`` (12.32).
Walaupun Majlis diadakan dan kewajaran dapat diterima, tetapi tidak semudah itu mulut-mulut dapat ditutup. Yusup sendiri berada di dalam keadaan serba salah yang membawa implikasi kepada dirinya – kehidupan baginya sudah tidak menyenangkan dan akan menghadapi ujian-ujian mendatang.

Sekian.

September 26, 2015

Ujian Keimanan


BBB,  11 Zulhijjah 1436 = 25 September 2015 (Jumaat):



 Yusuf sebagai anak angkat bagi keluarga Al-Aziz bersama isterinya Zulaikha adalah dalam keadaan mewah. Bapa angkatnya adalah Penguasa Perbendaharaan Negara. Ketika Yusuf berumur antara 30an, beliau berkembang sebagai pemuda yang sempurna dari segi fizikal dan mental. Pendidikan yang diterima meningkatkan dirinya dari segi keilmuan dan hikmah, termasuk keilmuan yang berhubung dengan ta`wil mimpi dan peristiwa. Beliau juga dilatih dari segi pentadbiran, iaitu bidang kepakaran bapa angkatnya. Selari dengan perkembangan fizikal dan mental begitulah juga dengan ketinggian budi pekerti dan akhlaknya. Yusuf berada di rumah keluarganya secara amanah dan bergaul dengan jiran keliling dan masyarakat secara menyenangkan.
(Muhammad Ahmad Jad al-Maula wa Ashabuhu, Qisas al-Qur`an, Al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Misr. 1389/1969: 90).
Ayat Al-Qur`an menggambarkan secara padat, bermaksud:
``Dan tatkala Yusuf sampai ke peringkat umurnya yang sempurna kekuatannya, Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan demikianlah Kami membalas orang-orang berusaha membaiki amalannya.`` (12: 22).
Sebagai seorang anak, Yusuf bergaul dengan keluarganya secara biasa, tanpa kekok dan kejanggalan. Dengan amanah dan kecerdikannya makin menambah kepercayaan terhadapnya oleh Al-Aziz dan beliau berharap Yusuf akan diangkat kepada kedudukan yang lebih tinggi sebagai anak dari kalangan pembesar. Namun secara sebelah pihak Yusuf diminati ibu angkatnya Zulaikha, dia melihatnya ketika pergaulan pagi dan petang, ketika minum dan makan, gerak dan diam dengan mata yang mempunyai niat yang  tidak ikhlas, tetapi selama ini dia disekat oleh kesedaran bahawa dia adalah isteri seorang pembesar negera yang maruah perlu dipelihara.
Namun ketika sempit dadanya, tertarik pada ketampanan Yusuf, dia terpanggil oleh panggilan nafsunya yang menurunkan diri dari arasy kemuliaan, sedang Yusuf amat insaf bahawa dirinya amat terhutang budi diberi kepercayaan oleh Al-Aziz, bahkan memberi kedudukan terhormat yang tidak mungkin dan amat silap jika ianya merobek kepercayaan diberi oleh Al-Aziz. Maka diluar dari kawalan dan batas normal, terjadilah apa yang digambarkan oleh Al-Qur`an, bermaksud:
``Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya dan perempuan itupun menutup pintu-pintu seraya berkata, ``Marilah ke mari, aku bersedia untukmu ! Yusuf menjawab, ``Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu), sesungguhnya tuanku telah memeliharaku sebaik-baiknya. Sesungguhnya orang-orang zalim tidak akan berjaya.`` (12. 23).
Godaan Zulaikha boleh menjerumus Yusuf ke lembah kehinaan, tetapi cahaya nubuwwah yang ada pada dirinya dan melihat burhan kekuasaan Allah pada dirinya, dia sebagai menerima gerak hati dan jiwa untuk melepas diri dari kepungan ruang yang pintu-pintunya ditutup. Dia berlari menuju ke pintu besar sedang ia dikejar Zulaikha dengan menarik belakang bajunya dari belakang dan ketika sampai ke pintu dan terbuka daun pintu mereka berdepan dengan Tuan  Al-`Aziz.
Di tengah ketegangan suasana, serentak timbul bermunculan kehilangan kepercayaan, tuduhan terhadap Zulaikha yang tidak setia dan terhadap Yusuf yang amanah kepercayaan diberi dikhianati ? dan serta keluar dari mulut Zulaikha bagi membela diri, biarpun suasana memperlihatkan kedustaannya dengan menuduh Yusuf pembuat angkara. Dan terloncat kata-kata spontan bagi membela dirinya sambil berkata sebagaimana dirakam oleh Al-Qur`an bermaksud:
``Berkata (Zulakha kepada Al-Aziz), tidaklah ada balasan bagi orang yang membuat jahat terhadap isterimu, melainkan dipenjara akan dia atau dikenakan azab yang menyiksanya.`` (12.25).
Sedang Yusuf dengan penuh keyakinan mempertahankan dirinya dan menjelaskan yang Zulaikhalah yang membuat angkara. Tanpa tenggelam punca Yusuf dengan bijaksana menjawab dan mengemuka dan menegaskan bukti nyata dengan berkata, sebagaimana maksud ayat Al-Qur`an:
``Yusuf pun berkata, ``Dialah yang memujukku berkehendakkan diriku, sedang (suaminya tercengang mendengarnya) dan seorang dari keluarga perempuan itu (yang ada bersama-sama), tampil memberi pendapatnya dengan berkata, ``Jika baju Yusuf koyak dari depan, maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah Yusuf dari orang-orang yang dusta (12.26), dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah dari orang-orang yang benar.``(12.27). Seterusnya ayat Al-Qur`an menegaskan, bermaksud:
``Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak dari belakang, berkata ia (suaminya), ``Susungguhnya ini adalah dari tipu daya kamu orang-orang perempuan. Sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya.`` (12. 28).
(Tafsir Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur`an, diusahakan oleh Shaykh Abdullah bin Muhammad Basmih, Jabatan Perdana Menteri, Bahagian Hal Ehwal Islam, Kuala Lumpur,1985: 442).
Dilihat hujah yang dikemukakan Yusuf (diperkukuh pembantu) adalah tepat dan membuktikan dia orang yang tidak bersalah. Gambaran yang diberi oleh Al-Qur`an berhubung dengan isu yang boleh membawa kepada elemen sensasi dari segi nafsu, tetapi elemen ini berada di dalam bahasa yang terkawal, bersahaja dan tidak disensasi dan dilebih-lebihkan. Dilihat dari segi cerita, maka episod antara Zulaikha dan Yusuf merupakan antara klimek puncak bagi sebuah cerita.
Secara kawalan juga kita melihat Al-Qur`an memperlihatkan kesabaran mengawal emosi oleh Al-Aziz dalam suasana yang sebenarnya boleh membawa pergaduhan besar, jika emosi tidak terkawal. Demikian pengawalan diri Al-Aziz yang mempercayai terhadap Yusuf yang memanglah telah dinilai selama ini. Ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Wahai Yusuf ! Lupakanlah hal ini dan emgkau (wahai Zulaikha), mintalah ampun dari dosamu. Sesungguhnya engkau dari orang-orang bersalah.`` (12.29).
Tindakan ini adalah merupakan peleraian sementara bagi mengawal suasana. Episod (Zulaikha Yusuf) ini benar-benar menguji keimanan Yusuf. Bagi Yusuf ini adalah konflik besar kedua yang dihadapi dirinya di dalam melalui kehidupan dan ujian yang dihadapinya. Yusuf bersifat sabar dan mempunyai benteng keimanan yang teguh. Dia dapat melangkah dari ujian kedua yang terpaksa dihadapi dan sudah pasti ujian tidak berakhir di sini.

Sekian. 

September 25, 2015

Kejujuran Mendorong Kepada Kejayaan


BBB, 10 Zulhijjah 1436 = 24 September 2015 (Khamis):



Episod kedua yang menjadi tanda tanya ialah, apakah yang terjadi terhadap Yusuf selepas ianya ditinggalkan oleh saudara-saudaranya di dasar perigi (telaga). Dia berada di dalam kegelapan dan bagi Yusuf yang tidak pernah mengalami kesusahan tentulah ini merupakan ujian pahit yang dialami. Dia tidak menyangka saudara-saudaranya yang dikasihi sanggup melakukan tindakan demikian rupa terhadap dirinya. Dia mengingati orang tuanya – Ya`kub bapanya yang enggan melepaskan dirinya untuk bersama dengan saudara-saudaranya. Sekarang dia mengerti, mengapa orang tuanya tidak senang dengan pemergiannya bersama mereka ke tempat itu. Sekarang dia lebih mengerti erti kepayahan dan kelaparan yang kini dia menyambung hayat dari air perigi di mana dia ditinggalkan. Namun ia tetap berdoa kepada Allah semoga ia diselamatkan.
Kawasan telaga di situ adalah merupakan pinggiran lalu lalang bagi musafir, khususnya peniaga-peniaga antara Negeri Kan`an dan Negeri Mesir. Atas kejujuran Yusuf dan menajatnya kepada Allah perigi berkenaan didatangi para musafir dan kalangan peniaga apabila keputusan air. Di tengah doa dan harap Yusuf, juga orang Tuanya yang terus bersedih dan juga berdoa bagi keselamatnnya, perigi dikunjungi oleh rombongan pedagang ke Mesir dan antara mereka ditugaskan untuk mendapatkan air di perigi berkenaan. Mula-mula dari jauh kedengaran suara yang kemudian makin mendekat. Yusuf mengharap ianya suara baik yang akan menolongnya dan bukan sebaliknya. Tiba-tiba dia mendengar timba  dihulurkan ke dalam telaga. Yusuf bersuara, `` Adakah tuan musafir untuk mendapat air ?``.  sambil ia memegang erat tali timba yang dihulurkan dan mengharapkan pengembara itu akan menariknya ke atas bagi menyelamatkannya. Episod ini digambarkan oleh Al-Qur`an bermaksud:
``Dan (semasa Yusuf dalam perigi), datanglah ke tempat itu satu rombongan (ahli perniagaan) yang sedang dalam perjalanan (lalu), mereka menghantarkan seorang pencari air bagi mereka, (setelah sampai ke perigi itu), iapun menghulurkan timbanya (dan manakala ia melihat Yusuf bergantung pada timbanya ia berseru, ``Hai (ini) sungguh menggembirakan. Ini seorang budak lelaki - yang cantik parasnya ! ``. (Setelah mengetahui hai itu, saudara peniaga-peniaga pun datang), serta mereeka menyembunyikan keadaan Yusuf yang sebearnya untuk dijadikan barang perniagaan. Dan Allah Amat Mengetahui akan apa yang mereka lakukan (12.20).
Dapatlah difahami sitiwasi masyarakat pada zaman tradisi, bahkan sejak zaman dahulu sistem perhambaan telah wujud, bahkan mereka menjadi sebahagian dari bahan dagangan yang antaranya boleh dijualbeli di pasar-pasar. Bila Islam datang sistem ini cuba dihapuskan dengan cara berperingkat dan menggalakkan umat Islam  membebaskan mereka secara berperingkat-peringkat. Yusuf yang dibawa oleh kumpulan peniaga-peniaga ke Mesir dan dijadikan barang dagangan di pasar di Mesir. Al-Qur`an dalam hal ini mencatat:
``Dan (setelah berlaku perundingan ! ) Mereka menjualnya dengan harga yang murah, beberapa dirham sahaja bilangannya. Dan mereka adalah dari orang-orang tidak menghargainya). (12.20).
Seorang Yusuf yang begitu tampan, tidak dinilai dan dihargai. Kepada kakitangan dalam rombongan perniagaan, apa yang difikirkan ialah perniagaan dan keuntungan.  Yusuf dijadikan bahan komoditi perniagaan.
Yusuf merupakan anak baik dari keturunan keluarga yang baik terjatuh dalam tipu helah saudara-saudaranya. Sebagai individu yang tidak berdosa  bersikap dan berniat baik, terlepas beliau dari sebarang mara bahaya dan diselamatkan  walau pun oleh orang yang mau menjadikannya barang dagangan, tapi dapat disifatkan beliau menerima rahmat dari Allah sebagai siri pertama balasan  yang diterima di atas amalan kebajikan yang ada pada dirinya.
Kedudukan Yusuf dapat dikatakan bernasib baik, beliau tidak dibeli untuk dijadiakan hamba sahaya yang dikerahkan tenaga dan keringat bagi kepentingan tuan sama ada sebagai pekerja ladang mengurus tanaman adatau ternakan atau buruh kasar perusahaan. Sebaliknya pembelinya seorang berkedudukan, berada dan dia bersama isterinya tidak mempunyai anak. Maka Yusuf yang masih dalam lingkungan budak itu tidak dijadikan hamba, tetapi sebagai anak angkat. Al-Qur`an menggambarkan keadaan bermaksud:
``Dan (setelah Yusuf dijualkan di negeri Mesir), berkatalah orang Mesir yang membeli Yusuf (pegawai tinggi Mesir yang bergelar `Aziz`) kepada isterinya, ``Berilah dia layanan sebaik-baiknya semoga ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak (angkat). Dan demikianlah caranya Kami menetapkan kedudukan Yusuf di bumi (Mesir, untuk dihormati serta disayangi), dan untuk kami mengajarkan kepadanya sebahagian dari ilmu ta`bir mimpi, dan Allah amat berkuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.`` (12.21).
Sekali lagi, sebagai anak yang baik, Yusuf ditakdirkan berada pada tangan yang baik – keluarga dari kalangan pembesar Mesir yang berkedudukan. Sebagai anak angkat bagi keluarga yang tidak mempunyai anak, sudah tentulah Yusuf mendapat keistimewaan sebagai anak orang berada. Sempurna dari segi makan minum, cukup dan lengkap dari segi pakaian dan berada di tempat tinggal yang selesa. Lebih daripada itu, sebagai anak pembesar yang berjaya, tentulah dia juga diberi peluang belajar sebagai bekalan kehidupan dan bagi masa depan. Antara ilmu yang dipelajari, ialah ilmu firasat menta`bir mimpi. Iaitu `mentakwil dan menghuraikan` maksud mimpi – sama ada mimpi benar atau mimpi yang tidak benar. Keilmuan ini dimiliki bapanya Ya`kub yang menta`bir mimpi Yusuf yang melihat sebelas bintang dan matahari sujud kepadanya. Kaedah mentadbir mimpi ini juga diupelajari oleh Yusuf ketika dalam peliharaan keluarga angkatnya di Mesir. Yusuf sudah tentu mempelajari keilmuan semasa pada masa itu, terutama berhubung tulis-menulis, matematik,  geometi dan timbang menimbang, iaitu keilmuan terkenal di Mesir. Sesungguhnya Mesir terkenal berkemampuan menulis pada kertas papyrus sejak 5,000 S.M dan terkenal dari segi ukuran bagi membina piramid yang terkenal di Mesir.
Sebagai anak angkat kepada pembesar Mesir, keberadaan Yusuf di tengah keluarga Mesir tidak membezakan Yusuf dari keturunan Mesir dan lain, kerana sebagai turunan semitik, wajah semitik adalah sebagai keturunan Arab, Yahudi dan Mesir yang berada di kawasan tiga segi benua – Asia, Eropah dan Afrika. Bahkan persoalan keturunan tidak pernah timbul berhubung dengan kedudukan dirinya di tengah masyarakat di Mesir, Yusuf dianggap sebahagian dari masyarakat di Mesir. Bahkan beliau mendapat keistimewaan  sebagai anak pembesar apa lagi dengan wajahnya yang tampan dan menarik. Pendek kata Yusuf berada pada status tinggi masyarakat sebagaimana sebelumnya di dalam keluarga Ya`kub di Kan`an. Yusuf sebenarnya berada pada jalan menuju kepada kejayaan.

Sekian.                                                                                                                                                                                                                                                                  

September 24, 2015

Niat Tidak Baik Menghasilkan Tindakan-Tindakan Tidak Baik


BBB, 09 Zulhijjah 1436 = 23 September 2015 (Rabu)



Niat saudara-saudara Yusuf sebagaimana diputuskan dalam permuafakatan mereka untuk  membuangkan Yusuf ke perigi terasing agar ia ditemui dan dipungut oleh sebarang musafir yang melaluinya, adalah niat yang tidak baik dan songsang. Adalah menjadi prinsip Islam dan juga prinsip alamiah bahawa sesuatu perkara baik dilakukan dengan baik, biasanya bersifat terbuka dan tiada masalah, pelaku dan penerima menerima secara rela dan senang hati. Tetapi jika sesuatu yang hendak dilakukan itu tidak baik dan curang, pelaku atau pelaku-pelakunya merasa tidak selesa dan teragak-agak. Lantaran dari segi psikologinya hakikat dalaman tidak sama dan tidak selari dengan luaran. Maka berlakulah sikap berpura-pura dan tidak natural, kerana pelakunya berusaha menutup hakikat dalaman dengan sikap luaran, bahkan dari `body language` dapat dibaca sikap pura-pura dan tidak real. Demikianlah sikap yang diambil oleh saudara-saudara Yusuf yang boleh disifatkan luar biasa dan pelik tidak selari dengan perlakuan normal dan kebiasaan mereka. Percakapan mereka dengan orang tua mereka bagi meminta izin mendedahkan yang mereka tidak dipercayai sebagaimana di dalam ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Mereka (pun pergi berjumpa dengan bapa mereka) berkata, ``Wahai bapa kami ! Mengapa bapa tidak percaya kepada kami tentang Yusuf. Pada hal sesungguhnya kami sentiasa bertulus ikhlas mengambil berat kepadanya ? (12.11)
``Biarkanlah dia esok, turut serta bersama-sama kami, supaya dia bersukaria makan minum dan bermain-main dengan bebasnya, dan sesungguhnya kami akan menjaganya dengan sebaik-baiknya` (12.12).
Sebenarnya adik beradik Yusuf sendiri telah mendedahkan hakikat sebenarnya yang mereka tidak boleh dipercayai. Dalam kata yang lain `Mereka Adalah Bendusta`. Kedustaan ini adalah hasil atau natijah dari niat mereka yang tidak betul.
Dari suasana, gaya percakapan dan `body language` adalah di dalam firasat dan difahami oleh Ya`kob. Lantas Baginda melahirkan kebimbangan dan ketidakyakinan. Kekhuatiran itu tentulah hasil dari pengalaman dan sikap mereka terhadap Yusuf, lantas Ya`kub melahirkan pendapatnya dengan menjawab:
``Dia berkata, pemergian kamu membawanya bersama, janganlah mendukacitakan daku, dan aku pula memang bimbang ia akan dimakan oleh serigala, ketika kamu lalai dari mengawalnya.`` (12.13).
Mereka sekali lagi berpura-pura dan sekali lagi berdusta apabila menjawab,
``Berkata mereka itu, ``Kalau dia dimakan oleh serigala, sedang kami ramai jumlahnya. Sesungguhnya kami sudah tentu orang-orang yang rugi.`` (12.14).
Jawapan yang diberi oleh saudara-saudara Yusuf, sesungguhnya tidak menunjukkan komitmen yang tinggi di dalam menjaga keselamatan Yusuf.
Kita dapat memahami situasi yang dialami Ya`kub yang pada hakikat Baginda menyayangi semua terhadap anak-anak, tetapi memikirkan sikap anak-anak berkenaan yang kurang boleh dipercayai dan kalau tidak dibenarkan, makin meningkat tuduhan anak-anak bahawa Baginda lebih menyayangi Yusuf daripada mereka semua. Maka di dalam keadaan bimbang Ya`kub terpaksa membenar dan melepaskan Yusuf pergi bersama mereka. Budaya bersosial, termasuk berkelah adalah mencerminkan status sosial keluarga Ya`kob di tengah masyarakat.
Lanjutan dari rancangan jahat yang diatur oleh adik beradik Yusuf, mendedahkan sifat dusa dan bohong mereka terhadap bapa mereka Ya`kub, iaitu melaksanakan rancangan jahat mereka untuk mengasing dan mencampakkan Yusuf ke dalam perigi sebagaimna ayat Al-Qur`an mendedahkan, bermaksud:
``Setelah mereka pergi dengan membawanya bersama dan setelah mereka sekata hendak melepaskan dia ke dasar perigi (mereka memang melakukan sedemikian) – (12.15).
Dalam sesebuah cerita yang menarik dan berjaya, bahawa di dalam cerita berkenaan berlakunya ketegangan-ketegangan yang khalayak turut merasakan ketegngan berkenaan yang dari segi kesannya menimbulkan rasa marah, keciwa atau kesal dan mengharapkan sesuatu balasan  akan berlaku terhadap pelaku yang dianggap di luar kewajaran atau melampau dan mengharapkan balasan yang setimpal akan diterima mereka.
Peristiwa `kehilangan Yusuf` yang pada hakikatnya adalah merupakan siri pendustaan yang dilakukan oleh adik beradik Yusuf adalah merupakan satu dari ketegangan di dalam cerita, khususnya dialami oleh Ya`kub dengan kehilangan Yusuf.
Pendustaan saudara-saudara Yusuf dengan lakonan pura-pura mereka kepada bapa mereka, seperti maksud ayat Al-Qur`an:
``Dan mereka itu datang kepada bapa mereka pada waktu senja sambil pura-pura menangis.`` (12.16)
Sambil berpura-pura menagis itu,
``Mereka berkata, ``Wahai bapa kami ! Sesungguhnya kami telah pergi berlumba-lumba berburu dan kami telah meninggalkan Yusuf menjaga barang-barang kami, lalu ia dimakan oleh serigala dan sudah tentu bapa tidak akan percaya kepada kata-kata kami ini, sekalipun kami adalah orang-orang benar.`` (12.17). Demikian mereka cuba meyakinkan bapa mereka dengan kepura-puraan dan sikap dusta mereka.
Puncak kedustaan yang dilakukan oleh saudara-saudara Yusuf apabila mereka mendustakan tindakan mereka dengan mengemukkan baju berdarah yang tidak berlaku kerosakan pada baju berkenaan. Al-Qur`an menyatakan, bermaksud:
``Dan (bagi mengesahkan dakwaan itu), mereka melumurkan baju Yusuf dengan darah palsu. Bapa  mereka berkata, ``Tidak ! Bahkan nafsu kamu memperelokkan kepada kamu suatu perkara (yang tidak diterima akal). Kalau demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, dan Allah jua yang dipohonkan pertolonganNya mengenai apa yang kamu katakan itu.`` (12.18).
Gambaran tentang keluarga Nabi Ya`kub dengan karinah anak-anaknya  - saudara-saudara Yusuf, merupakan episod pertama dari episod-episod yang juga sebagai plot yang membina penceritaan kisah Yusuf ini yang bertemakan `Irihati Dan Dengki Saudara-Saudara Yusuf Terhadap Yusuf.``

Sekian.

September 23, 2015

Kisah Bermula, Tercetusnya Irihati Dan Dengki Saudara-Saudara Yusuf Terhadapnya


BBB, 09 Zulhijah 1436 = 23 September 2015 (Rabu):



Kisah Nabi Yusuf sebagai `Seindah Kisah` mempunyai jalan cerita yang menarik. Cerita berlatarbelakang sebuah keluarga agung – yang ketua keluarga ialah Ya`kub bin Ishak bin Ibrahim. Keluarga ini tinggal di satu daerah dari negeri Kan`an yang rajanya bernama `Saljam`. Ya`kub mempunyai ramai anak – lebih dari satu ibu dan 12 orang daripada mereka adalah lelaki. Dua dari anaknya yang dari satu ibu (Rahil) melahirkan Yusuf dan Bunyamin. Kedua-dua anak ini amat dikasihi oleh Ya`kub, Yusuf anak yang tampan dan berwajah menarik, sedang Bunyamin sebagai anak bungsu.  Ya`kub berdakwah kepada raja dan penduduk Kan`an. Keengganan mereka menyebabkan berlaku peperangan dan mereka dikalahkan. Nabi Ya`kub mendakwah penduduk kepada agama Allah dan berusaha membentuk keluarganya sebagai keluarga yang salih. Namun tidak semua yang diharap mencapai tujuan murni. Konflik timbul sebagai cetusan awal yang menimbulkan rangkaian episod-episod yang terbina sebagai cerita. (Kisah Nabi Yusuf dan keluarganya lengkap dan layak bertaraf novel yang berasaskan `Kisah Benar` dan bukan cereka semata-mata). Cetusan konflik berlaku oleh kerana:
Anak-anak Nabi Ya`kub, selain dari Yusuf dan Bunyamin menyimpan prasangka buruk terhadap bapa mereka – Ya`kub membezakan kasih. Mereka cemburu terhadap Yusuf yang dianggap mereka anak yang paling dikasihi oleh Ya`kub. Nabi Ya`kub menyedari sikap anak-anaknya. Ayat Al-Qur`an merakamkan cetusan yang bersifat dialog antara Yusuf dengan bapanya Ya`kub bermaksud:
``Bila Yusuf berkata kepada bapanya, ``Wahai bapaku, sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan semuanya tunduk memberi hormat kepadaku.`` Berkata Ya`kub, ``Wahai anakku, janganlah engkau ceritakan mimpimu itu kepada saudara-saudarmu, kerana aku bimbang mereka akan menjalankan suatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.`` (12. 4 -5).
Elemen konflik adalah penting di dalam sesebuah cerita, bahkan tanpa konflik bukan merupakan cerita, bahkan ianya sebagai `berita` atau `makluman`. Dengan konflik menjadikan cerita berkembang, bahkan memancing rasa ingin tahu khalayak. Dengan konflik bagi sebuah cerita dapat dilihat kebijaksanaan pengarang bagaimana dia menampilkan konflik dan mengolah perkembangan dengan unsur-unsur misteri, meningkatkan rasa ingin tahu khalayak, mencetuskan elemen kejutan luar dugaan, mencerakinkan episod dan plot dalam penceritaan secara kreatif dan inovatif, bahkan menyelesaikan cerita secara dramatis atau sebarang teknik yang memberi kelegaan emosi (katarsis).
Selepas intro yang bersifat dialog antara anak dan bapa (Yusuf dan Ya`kub) bunga konflik berlaku sesuai dengan ta`bir mimpi Yusuf oleh bapanya Ya`kub sebagai ayat Al-Qur`n mencatat:
(Kisah itu bermula), tatkala saudara-saudara Yusuf yang irihati, bahkan dengki berkata (sesama sendiri),``Sesungguhnya Yusuf dan adiknya lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, pada hal kita ini satu kumpulan (yang ramai dan berguna). Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata. (12.8).
Hasil dari rundingan adik beradik Yusuf sesama mereka, timbul beberapa cadangan antara mereka. Kata ayat Al-Qur`an bermaksud:
(Ramai antara mereka berkata), ``Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata, dan supaya kamu sesudah itu menjadi golongan orang yang salih (12. 9). Walau bagaimana pendapat di atas tidak diterima semua, sebaliknya ada cadangan alternatif, sebagaimana maksud ayat Al-Qur`an:
``Salah seorang daripada mereka berkata, ``Janganlah kamu membunuh Yusuf, tetapi buanglah dia ke dasar perigi, supaya dia dipungut oleh sebahagian dari orang-orang musafir (yang lalu di situ), kalaulah kamu tetap hendak menjalankan rancangan kamu itu.`` (12.10).
Demikianlah, adik beradik Yusuf lebih didorong oleh sifat irihati dn hasad dengki itu mengatasi kewajaran dan rasional. Mereka digoda syaitan yang membangkit nafsu ammarah yang mendorong kepada perbuatan-perbuatan keji.
Begitulah  cetusan awal telah berkembang yang pada asal bersifat dalaman telah mencurah keluar. Ianya menyuburkan elemen konflik yang mengocakkan suasana yang normal dan tenteram kepada gejolak marah yang dari segi cerita menajamkan konflik yang pada sebelah pihak tidak menyedari yang sebelah pihak lagi membuak dengan rasa tidak puas hati. Dari segi cerita menghidupkan jalan cerita.
Kalau kita lihat pada cerita `Kisah Yusuf` ini ada dua lapisan cerita yang ditampilkan.
Pertama: pertentangan lahir di antara adik beradik Yusuf dengan Yusuf sendiri dan termasuklah ayah mereka – Ya`kob yang membawa kepada tindakan terbuka yang diambil oleh anak-anak Nabi Ya`kub.
Kedua: Mesej tersirat yang disampaikan oleh Al-Qur`an yang sepatutnya menjadi pengajaran bagi khalayak, ialah pertentangan antara lelemen baik dan jahat. Elemen ini berada di dalam diri setiap diri manusia yang sepatutnya disedari. Fungsi pendidikan ialah bagi mendidik dengan nilai-nilai murni dengan menyedari saifat keji yang ada di dalam diri. Melalui tarbiah dan pendidikan berusaha bagi menentang, mengekang bahkan mengalahkan sifat-sifat keji yang `ammarah bi al-sau` - cenderung kepada perkara-perkara keji dan kejahatan ini tidak tumbuh dan berkembang di dalam diri, manakala satu aspek lagi dalam berusaha membasmi sifat keji, ialah berusaha pula menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji, iaitu melalui tarbiah pendidikan dan amalan.
Secara garis kasar Kisah Yusuf, bahawa dalam suasana kasih sayang keluarga, tumbuh dan berkembang dua unsur bertentangan, iaitu kasih sayang itu sendiri – kasih sayang Ya`kub terhadap anak-anak, kasih sayang anak-anak terhadap orang tu – Ya`kub, dan kasih sayang sesama anak-anak. Tetapi dari satu pihak tumbuh rasa tidak senang hati di kalangan sebahagian anak-anak terhadap orang tua mereka – Ya`kub, rasa tidak senang hati terhadap saudara mereka – Yusuf. Elemen negatif ini tidak berjaya di kawal oleh sebahagian dari anak-anak Ya`kub, sehingga mencetuskan usaha untuk memusnahkan Yusuf. Elemen ini menjadi faktor penting di dalam perkembangan cerita yang mencetuskan episod-episod lanjut. Namun pada sebelah pihak lagi elemen kasih sayang berdiri bertarung menentang elemen kebencian di dalam perkembangan cerita di dalam episod-episod yang berkembang.

Sekian.

September 22, 2015

Kisah Nabi Yusuf Cerita Paling Indah: Model Takmilah


BBB, 07 Zulhijah 1436 = 21 September 2015 (Isnin):



Sebagaimana dibicarakan, Al-Qur`an banyak menggunakan cerita sebagai alat dakwah bagi Rasulullah s.a.w. dan juga pendakwah-pendakwah menyampaikan dakwah. Cerita mempunyai daya tarikan tersendiri baik dari segi mesej, estetika dan kesan dari penceritaan itu sendiri baik kepada individu dan khalayak masyarakat. Begitu banyak Al-Qur`an menampilkan cerita di dalam Al-Qur`an baik berfokus kepada watak-watak sebagai tema penceritaan atau peristiwa-peristiwa yang telah berlaku di dalam sejarah dilalui umat-umat dahulu sebagai ibrah dan teladan seperti dinyatakan ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu menjadi Ibrah bagi mereka yang berakal`` (Yusuf 12: 111). Namun di dalam banyak-banyak kisah di dalam Al-Qur`an itu, maka Al-Qur`an sendiri menyatakan, bahawa Kisah Nabi Yusuf adalah seindah-indah kisah. Firman Allah bermaksud:
``Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), seindah-indah cerita dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Qur`an ini, pada hal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya.`` (12. 3).
Dari segi Takmilah Sastera (adabiyyah), maka kisah Nabi Yusuf adalah `Model Sempurna` bagi Takmilah dari segi cerita. Jika dilambangkan dalam bulatan, maka kedudukannya adalah sebagaimana berikut: 
Rajah:  Bulatan
* Dalam rajah ini, bulatan melambangkan `Kesempurnaan.
*Pada titik tengah melambangkan Al-Qur`an Yang Sempurna.
* Takmilah: Bererti tiap aspek adalah berusaha bergerak ke Piawayan Tertinggi Al-Qur`an
* Maksud Piawayan Tertinggi Al-Qur`an secara khusus ialah `Cerita Nabi Yusuf``  yang dibicarakan.
* Pecahan dalaman ialah aspek-aspek yang dilihat dalam Kisah Nabi Yusuf
* Pecahan dalaman boleh ditambah dengan aspek-aspek pembicaraan yang lebih spesifik
* Kisah Nabi Yusuf sempurna, tetapi pembicaraan yang dibuat tidak sempurna
* Bererti masih banyak kekurangan dari segi kualiti pembicaraan dalam menuju Takmilah
Dalam ayat (12.3) di atas Al-Qur`an menyebutkan bahawa Kisah Nabi Yusuf adalah seindah-indah kisah berbanding dengan kisah-kisah yang lain yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. di dalam Al-Qur`an, khususnya dari segi penceritaan. Sememangnya terdapat cerita-cerita yang lain. Surah Yusuf adalah diturunkn di Makkah yang mengandungi 111 ayat. Menurut Wahbah al-Zuhaily dinamakan kisah ini seindah-indah kisah, ialah kisah tentang umat yang lalu lantaran di dalamnya mengandungi ibarat-ibarat, nasihat-nasihat, perjalanan nabi-nabi,, para salihin, malaikat, raja-raja, mamalik, pedagang-pedagang, lelaki dan perempuan dan kerana setiap yang disebut di dalamnya adalah dari kalangan mereka yang berbahagia. Mengenai turunnya wahyu mengenai Kisah Nabi Yusuf. Berkata Ibn Abbas, ``Berkata para sahabat kepada Rasulullah s.a.w.``Kiranya Tuan dapat menceritakan kepada kami ?, Maka diturunkan ayat `Kami menceritakan kepada engkau seindah-indah cerita.``
(Al-Zuhaily, Wahbah, Al-Tafsir al-Wajiz `Ala Hamish Al-Qur`an al-`Azim, Dar al-Fikr, Damshiq, Suriah, 1341H.: 236).
Menurut tafsir Abdullah Yusuf Ali yang diterjemahkan oleh Muhammad `Uthman El-Muhammady, bahawa Surah Yusuf ini dinamakan sebagai `Surah Yang Paling Indah ialah:
1.Ianya berupa kisah yang paling penuh dengan maklumat-maklumat terperinci dalam Al-Qur`an berbanding dengan kisah yang lain lagi.
2. Ianya penuh dengan peristiwa-peristiwa yang menunjukkan naik turun nasib manusia dan oleh itu ianya memang patut dan memang menjadi daya penarik bagi orang lelaki dan perempuan dari semua golongan masyarakat.
3. Kisahnya itu digambarkan dengan warna warni yang ``hidup`` dan berupa sungguh-sungguh berserta dengan isyarat-isyarat maksud rohaniah di sebaliknya, berkenaan dengan pelbagai segi yang berlainan daripada hidup manusia – umur tua ketua keluarga agung itu, serta sifat percaya mempercayai antara baginda dan anak lelakinya yang masih kecil yang paling disayanginya itu, kedangkalan saudara-saudaranya yang lebih tua terhadap anak lelakinya yang kecil ini, komplot tidak baik mereka terhadap adinda mereka itu serta kedukaan ayahanda mereka tentangnya, penjualan anak yang dikasihi oleh ayahandanya (peniaga ?) itu, untuk menjadi hamba abdi dengan harga yang sedikit dan hina, cinta nafsu yang ditunjukkan kelainannya dengan hidup yang murni serta kesucian dalam hidup kekelaminan, tuduhan-tuduhan yang palsu, penjara, takwil mimpi-mimpi, hidup orang bawahan dan hidup dalam kalangan golongan masyarakat yang tinggi-tinggi, orang yang tidak bersalah dan tidak berdusta diangkatkan ke peringkat yang tinggi, ``tuntut bela` yang manis dengan kemaafan dan kebaikan
budi. Urusan-urusan yang tinggi-tinggi dalam hubungan dengan negeri dan pemerintahan dan pentadbiran, sifat berendah diri dalam keadaan mendapat pangkat yang tinggi, kasih sayang ayah dengan anak, peri indahnya ketaqwaan dan kebenaran. (Al-Qur`anu`l-Karim Terjemahan Dan Huraian Maksud, Jil. 2,oleh Abdullah Yusuf Ali, Terjemahan Muhammad `Uthman El-Muhammady, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1992: 1041).
Antara cerita yang lengkap di dalam Al-Qur`an, tapi tidak sedetail Kisah Nabi Yusuf ialah cerita Ashab al-Kahfi,, Aali Imran sebagaimana telah dibicarakan, cerita-cerita para Nabi yang lain dari Nabi Yusuf seperti Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Adam, Nabi Nuh, Sulaiman dan nabi-nabi yang lain, kalangan salihin dan salihat seperti Luqman, Saidatina Maryam, Puteri Balqis, Asiah, Ummu Jamil dan tak kurang dari kalangan watak-watak jahat seperti Fir`aun, Nimrud, `Aad, Thamud, Abu Lahab dan sebagainya. Cerita-cerita ini mempunyai kedudukan dan fungsi tersendiri sebagai contoh teladan yang dapat dicontohi dari segi kebaikan dan dijauhi dari segi kejahatan. Sesungguhnya memetik mutiara-mutiara pengajaran dari sebuah kisah tidak bersifat direct seperti di dalam ayat-ayat ahkam, tetapi adalah ditarik secara halus dan bijaksana dari luhur mesej yang disampaikan.

Sekian.

September 21, 2015

Hud Berdepan Kaumnya -`Aad: Bongkak Dan Derhaka Dibinasa Dengan Angin Kencang


BBB,  06 Zulhijjah 1436 =  20 September 2015 (Ahad):



Hud adalah surah ke 11, selepas Surah Yunus. Sebagaimana Surah Yunus mengambil tema tokoh Rasul – Yunus, maka demikianlah juga dengan Surah Hud. Surah Hud adalah diturunkan di Makkah, mengandungi 123 ayat. Sebagaimana Surah Hud menggunakan pendekatan sastera – cerita, demikianlah dengan Surah Hud. Sebagaimana Surah Yunus, walaupun judul sebagai Surah Yunus, maka kandungannya tidak semuanya menceritakan tentang Nabi Yunus, maka demikianlah dengan Surah Hud, juga sebahagian kecil saja menceritakan tentang Nabi Hud. Namun lebih banyak maklumat tentang Nabi Hud berbanding dengan Nabi Yunus di dalam surah sebelumnya.
Di dalam Surah Hud selepas pendahuluan tentang hikmat-hikmat terkandung dalam Al-Qur`an (11.1) dan dakwah agar menyembah Allah dan memohon keampunanNya (11. 2-3) serta menegaskan bahawa langit dan bumi serta `arasynya dicipta dalam enam hari (11.7) dan insan seharusnya bersyukur dengan nikmat Allah dan tidak kufur (11.9-10) serta menyebut tentang keistimewaan Al-Qur`an dan mencabar sesiapa yang dapat menggubah seumpamanya (11.12-13) dan seharusnya insan beriman dan beramal salih yang melayakkannya ke syurga (11.23-24), maka barulah masuk kepada tajuk cerita yang berhubung dengan kerasulan, tetapi cerita berhubung dengan Nabi Allah Nuh lebih didahulukan dari pada cerita Nabi Yunus (11.25-49).
Cerita tentang Nabi Allah Hud bermula dari ayat (11.50-60). Kemudian diikuti dengan cerita nabi-nabi yang lain seperti Nabi Salih (11.61-68), dituruti cerita Nabi Ibrahim, Lut, Ishaq, Ya`kub (11.69-83), kemudian disebut tentang Nabi Shu`ayb (11.84-85), kemudian dirujuk kembali bersama Nabi Shu`ayb (11.87-95), kaum Nuh, Hud, Salih dan kaum Lut. Berikutnya ialah tentang Nabi Musa (11.96-111).
Kemudian diikuti dengan penutup yang menuntut perhatian Nabi Muhammad s.a.w. tentang kisah-kisah yang dibentang sebagai teladan dan sempadan (11.112-123) sebagaimana kata ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-Rasul itu, Kami ceritakan kepadamu ( wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang beriman`` (11.120).
Gaya memberi judul yang dipetik dari sebahagian dari maklumat dari sesuatu surah, bukan saja bagi Surah Hud, tetapi juga bagi surah-surah yang lain seperti Al-Baqarah, Yunus dan lain-lain lagi.
Dari segi kisahnya Hud adalah berada di tengah kaumnya , iaitu `Aad bertempat di kawasan  tanah kontang antara Yaman dan `Umman. Merentasi zaman wilayah berkenaan dimajukan. Saliran dibina, lantaran itu tanaman subur dan ternakan berkembang biak dan kediaman dibangunkan hingga wilayah mencapai kemakmuran dan kemajuan, rakyat hidup senang. Namun mereka tidak terarah kepada kebenaran tentang hakikat kewujudan dan kejadian. Bagi menumpahkan penghormatan sebagai kesyukuran nikmat hidup yang dialami, mereka membina berhala-berhala bagi disembahkan. Namun dalam kehidupan kemasyarakatan tumbuh sifat angkuh dan tamak akibatnya yang kuat memperhambakan yang lemah dan berlaku penindasan. Bagi memperbaiki keadaan yang pincang Allah membangkitkan dari kalangan mereka Rasul, iaitu Nabi Hud yng menyeru mereka kepada menyembah Allah, melakukan kebaikan dalam masyarakat dan Nabi Hud membawa contoh akhlak yang baik. Dia menghujahkan kepada kaumnya betapa tidak memberi faedah menyembah berhala dan menyeru mereka menyembah Tuhan Yang Esa. Allahlah Tuhan Yang Esa yang memberi kemakmuran, bahkan menghidup dan mematikan. Tetapi dakwah Nabi Hud mendapat tentangan, lantaran beliau dianggap menghina pegangan yang diwarisi dari nenek moyang yang mereka anggap mereka dapat mendekati dengan Tuhan. Mereka menganggap Nabi Hud tidak lebih dari mereka yang dia makan seperti mereka makan dan bekerja seperti mereka kerja, bahkan dianggap lebih rendah kedudukan dari sebahagian dari mereka. Jadi bagaimana mereka mau mengikut apa yang didakwah oleh Nabi Hud., Nabi Hud mengingatkan mereka bahawa kehidupan bukan setakat apa yang dialami, tetapi ada kehidupan masa hadapan yang lebih kekal. Sebab itu tiap seorang mesti bersiap sedia dengan amalan kebajikan dan patuh pada Tuhan dengan amalan-amalan yang disuruh dan menjauhi dari segala larangan. Berkata Hud kepada kaumnya. Ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Wahai kaumku, mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan yang lebat serta menambahkan kamu kekuatan, di samping kekuatan kamu yang sedia ada. Dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa (11. 52).
Sebaliknya kaumnya tidak mendengar apa yang diseru oleh Nabi Hud, bahkan mereka menghujah balik, bermaksud:
``Mereka berkata, ``Wahai Hud, ! Engkau tidak membawakan kepada kami sebarang keterangan yang membuktikan kebenaranmu dan kami tidak akan meninggalkan penyembahan Tuhan-Tuhan kami dengan sebab kata-katamu itu. Dan kami tidak sekali-kali percaya kepadamu (11.53)..
Saudara bagi Hud, iaitu Salih turut dihantar bagi membetulkan pegangan kaum `Aad, tetapi kekerasan mereka tidak dapat dilembut dan diperbaiki. Sebaliknya mereka semakin angkuh dan sombong.
Kesombongan dan keangkuhan mereka dibalas dengan datang ribut kencang, membawa awan hitam dan pasir dan debu berterbangan. Pada mulanya mereka menyangka hujan rahmat, tetapi apabila ternyata ribut taufan yang memusnahkan wilayah asalnya kepada kawasan rosak binasa dan menghilngkan tempat penghunian.
Adapun Nabi Nuh berada dan berlindung pada tempat asalnya yang turut sama berlindung pada tempatnya sahabat-sahabatnya dan mereka yang beriman dengannya - kawasan yang selamat dari angin taufan. Mereka di situ aman dan tenang sehinggalah terhentinya ribut taufan selama 7 malam lapan hari. Apabila keadaan kembali tenang dengan kawasan berlaku kerosakan, Nabi Hud dan pengikut-pengikut berpindah ke Hadramaut. Di situ dia menghabiskan baki dari umurnya beribadat kepada Allah hingga menemui ajal, kembali ke rahmatullah.
(Muhammad Ahmad Jad al-Maula wa Ashabuhu, Al-Maktabat al-Tijariyyah al-Kubra, Misr,1389/1969:23-27).
Dapatlah difahami bahawa cerita-cerita yang diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w. bukan sekadar penyampaian cerita semata-mata, tetapi dengan cerita dapat memaklumkan kepada Rasulullah s.a.w. bahawa sekatan, kesusahan dan cabaran yang dialaminya di dalam menyampaikan dakwah di Makkah, bukan saja dialami oleh Rasulullah s.a.w., tetapi oleh Rasul-Rasul sebelum Baginda. Ini memberi kekuatan dan keyakinan Baginda dalam menyampaikan dakwah. Cerita-cerita yang disampaikan di dalam dakwah menghairankan mereka yang didakwah lantaran kecanggihan maklumat dan cerita yang disampaikan yang selama ini tidak diketahui. Dengan ini lebih menarik minat mereka untuk menerima dakwah yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. Seterusnya dengan cerita ini lebih memberi kefahaman kepada orang Islam tentang aqidah pegangan rukun iman yang salah satu daripadanya mempercayai Rasul-Rasul.

Sekian.

September 20, 2015

Medium Sastera - Bagi Menyampaikan Pendidikan Dan Dakwah: Cerita Nabi Yunus


BBB,  05 Zulhijjah 1436 = 19 September 2015 (Sabtu):



Salah satu pendekatan di dalam menyampaikan pendidikan dan dakwah ialah melalui medium sastera - cerita.  Dengan cerita yang mempunyai daya estetika dapat menarik pendengar/pembaca sebagai khalayak menghayati cerita dan dapat disampaikan pengajaran secara langsung atau tidak langsung kepada mereka. Al-Qur`an sebagai sebuah Kitab Suci juga antaranya menggunakan cerita di dalam menyampaikan perutusan. Bahkan secara kasar dua pertiga kandungan Al-Qur`an adalah bersifat cerita.
Selepas membicarakan 9 surah Al-Qur`an mengenai berbagai tema dan persoalan, maka tiba  kepada surah yang menggunakan `Tokoh` bagi judul surah, iaitu Surah Yunus,. Sebenarnya jika dikirakan Surah Aali Imran sebagai tokoh (Keluarga Aali Imrn), maka Surah Yunus sebagai tokoh kedua. Terdapat 10 surah di dalam Al-Qur`an yang menggunakan nama tokoh, iaitu surah:
1 )  Aali Imran      2)   Yunus       3)  Hud
4)   Yusuf              5)   Ibrahim     6) Maryam
7)   Luqman      8)  Muhammad  9) Nuh
Walau bagaimana tidak semua surah yang mengambil nama tokoh yang kebanyakannya ialah nama-nama Rasul dan nabi  menceritakan  tokoh Rasul atau Nabi secara sepenuhnya. Sebenarnya sebuah surah sahaja yang menceritakan tokoh secara lengkap, iaitu Surah Yusuf. Manakala bagi surah-surah yang cerita-cerita bagi judul nama Rasul hanya sebahagian kecil ayat sahaja dan sempena bahagian ini diberi nama judul bagi surah dengan nama Rasul/Nabi berkenaan. Ada cerita agak panjang, tetapi tidak diberi nama nabi bagi surah seperti Cerita Nabi Musa, Nabi Adam dan Nabi Ibrahim. Terdapat banyak lagi tokoh-tokoh dalam Al-Qur`an tapi tidak diberi nama surah, seperti Nabi Ismail dan Fir`aun. Nama Fir`aun tidak diberi sebagai judul kerana sifat negatifnya, demikian juga dengan beberapa watak negatif yang lain.)
Berhubung dengan Surah Yunus yang dibicarakan tidak banyak maklumat mengenai Nabi Yunus, ianya disebut pada ayat (10. 98), iaitu ayat yang bermaksud:
``(Dengan kisah Fir`aun itu), maka ada baiknya kalau (penduduk)  sesebuah negeri beriman (sebelum mereka ditimpa azab), supaya iman itu mendatangkan manfaat menyelamatkannya. Hanya kaum Nabi Yunus sahaja yang telah berbuat demikian – tatkala mereka beriman, Kami elakkan azab sengsara yang membawa kehinaan dalam kehidupan dunia dari menimpa mereka. Dan Kami berikan mereka menikmati ketenangan sehingga ke suatu masa  (yang Kami tentukan).``
Di samping maklumat di atas terdapat maklumat berhubung dengan Nabi Yunus dalam ayat-ayat yang lain dalam Al-Qur`an seperti dalam surah (Al-Anbiya`87- 88) yang menceritakan Nabi Yunus yang maksudnya seperti dalam ayat di atas.
Terdapat juga ayat dalam surah (Al-Saffat: 139-146) bermaksud:
``Yunus itu utusan Allah. Ketika ia keluar dari kampungnya, iapun menumpang sebuah perahu (kapal) yang penuh sesak muatannya. Kemudian diadakan undian untuk melemparkan salah seorang di antara penumpang-penumpang itu kerana terlampau berat muatannya. Maka adalah Yunus mendapat kekalahan dalam undian itu, lalu dilemparkan ke dalam laut. Kemudian ditelan oleh ikan yu sedang ia kena cerca.. Kalau sekiranya ia tidak bertasbih  (mensucikan Tuhan), nescaya tinggallah ia dalam perut ikan itu sampai hari Berbangkit. Kemudian Kami lemparkan ia ke tepi laut, sedang ia menderita sakit. Kami tumbuhkan baginya tumbuh-tumbuhan yang menjalar.``
(Ny.H.Hadiyah Salim, Qishashul Anbiya` - Sejarah 25 Rasul, PT Alma`arif Bandung, 1988: 180-181).
Menurut Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur`an, bahawa Nabi Yunus a.s. telah diutus oleh Allah Ta`ala kepada kaumnya - penduduk wilayah Nunui (dalam daerah Musul, Negeri Iraq). Mereka ingkar pada mulanya, tetapi setelah mereka melihat tanda-tanda kedatangan azab yang dijanjikan itu, maka mereka insaf lalu beriman.
(Tafsir Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur`an diusahakan oleh Shaykh Abdullah Muhammad Basmih, 1985: 400).
Dari segi ceritanya Yunus yang berada di tengah-tengah kaum yang menyembah berhala di wilayah yang dikenali dengan Ninawai. Dia diutuskan kepada kaumnya yang menyembah berhala. Dia tidak mendapat pengikut, sebaliknya ia dihalau dan mengingatkan mereka akan mengalami bahaya dan kerosakan. Beliau bergerak hingga ke laut dan ditelan oleh ikan, kemudian dia selamat dan kembali ke tempat asal yang dimasa ketiadaannya telah insaf apabila hampir mengalami bencarna. Dia kembali berdakwah dan mendapat peluang memulihkan kaumnya kepada menyembah Allah.
(Muhammad Jad al-Maula wa gharuhu, Qisas al-Qur`an, Al-Maktabat al-Tijariyyah al-Kubra, Misr, 1349/1969: 234-238).
Selain dari pada cerita Nabi Yunus terdapat dalam surah tersebut mengenai aspek-aspek akidah, tentang ciptaan langit, bumi, matahari dan bulan yang dari pergerakan dapat dikira tarikh dan hisab. Semuanya memberi tanda bagi kaum yang bertaqwa,
Dalam surah ini juga  dinyatakan bahawa manusia dijadikan dari turunan yang satu dan mereka berperanan sebagai khalifah dibumi Allah. Allah memberi rezeki dari langit dan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan. Sesungguhnya Allah Pengatur Yang Sempurna dan tidak zalim.
Di samping itu di dalam surah Yunus ini diceritakan kebangkitan beberapa Rasul seperti Nabi Nuh, Musa dan Isa. Al-Qur`an menegaskan apa yang terkandung di dalamnya tidak dusta. Sebaliknya mereka yang kufur dan menentang Islam yang mendustakan Al-Qur`an.
Demikianlah Surah Yunus yang diturunkan di Makkah ini menceritakan tentang peristiwa yang dijalani oleh Rasul-Rasul di dalam menyampaikan dakwah. Mereka tidak sunyi dari menghadapi ujian, termasuk dari tentangan kaum, kesukaran dan uji-ujian, termasuk Nabi Yunus yang menghadapi keingkaran kaumnya dan mereka dingatkan dengan azab Allah dengan penentangan mereka itu. Nabi Yunus terpaksa keluar dari kampung halaman dan mendoakan supaya mereka di dalam hidayah dan selamat. Pertanda bala, bahaya dan siksa disaksikan oleh kaumnya dan mereka beriman sebelum bala itu turun. Nabi Yunus bersyukur kepada Allah di atas keselamatan kaumnya,

Sekian.

September 19, 2015

Tegas Dan Keras Terhadap Musuh Perlu Bagi Menjamin Keselamatan Dan Keamanan


BBB, 04 Zulhijjah 1436 = 18 September 2015 (Jumaat):



Membaca kandungan surah ini dapat dirasai dan difahami tentang amaran tegas dan keras terhadap musuh Islam yang masih berdegil dan keras kepala setelah melalui siri penentangan mereka terhadap Islam. Iaitu bermula dari zaman dakwah Nabi di Makkah, membawa kepada zaman Hijrah dan kepada sekatan mereka terhadap orang Islam yang mau menunaikan umrah yang terpaksa diadakan perjanjian yang dikenali dengan perjanjian Hudaybiah. Mereka tidak berpegang dengan perjanjian yang menyebabkan Rasulullah s.a.w. dan pasukan tentera Islam membuka Makkah pada tahun ke sembilan Hijrah. Dengan pembukaan Kota Makkah penduduk Makkah diberi keampunan dari segi kesalahan mereka terhadap orang Islam sebelumnya. Polisi Rasulullah s.a.w. sedemikian menyebabkan penduduk Makkah yang selama ini menentang Nabi masuk Islam berduyun-duyun, termasuklah pemimpin utama mereka. Iaitu Abu Sufyan.
Surah al-Taubah yang dikenali juga sebagai Surah Bara`ah diturunkan di Madinah selepas setahun pembukaan Kota Makkah, mengandungi 129 ayat. Dinamakan Surah Al-Taubah, ialah perihal golongan salah laku dan bertaubat dan diampunkan dan erti Bara`ah bermaksud, `Pemutusan Tanggungjawab` akibat dari pembatalan perjanjian (Shaykh Abdullah bin Muhammad Basmih, Tafsir Pemimpin Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur`an, 1985: 341).
Surah ini tidak dimulakan dengan basmalah sebagaimana surah-surah yang lain, lantaran kandungan surah berkenaan membawa Tema Perang dan amaran keras terhadap musuh yang masih berdegil menentang Islam. Mereka sepatutnya sudah faham mengenai misi yang dibawa Islam. Jika pada zaman Jahiliyyah mereka lebih tebal dengan budaya tradisi dan merasa tergugat status kedudukan dengan kedatangan Islam. Kini sesudah Islam sudah diterima oleh kebanyakan masyarakat di Makkah-Madinah, tetapi ada sebahagian masih berkeras kepala dan masih menunjukkan penentangan. Lantaran itu mereka seolah-seolah terlepas dari ikatan dan membuka ruang bagi kaum muslimin yang telah mengambil alih tapuk kekuasaan di Madinah-Makkah terlepas dari tanggungjawab sebagai terikat sebelumnya sebagaimana dalam syarat-syarat perjanjian antara orang muslimin dan musyrikin (9.5) .
Ingatan diberi pada musim Haji Al-Akbar yang dipimpin Rasulullah s.a.w. Mereka yang degil diberi tempoh empat bulan untuk menghentikan tindakan bermusuh, iaitu mulai 10 Zulhijjah Hari Haji Akbar tahun 9 Hijrah hingga 10 Rabiul Akhir tahun ke 10H. dalam masa tersebut mereka masih berpeluang menerima Islam. Jika tidak mereka dianggap musuh yang akan diburu. (Al-Zuhaily, Wahbah, Tafsir al-Wajiz, Dar al-Fikr, Beirut, 1431: 188).
Ayat Al-Qur`an menyebut bermaksud:
``Jika mereka itu bertaubat (dari kekufuran)) dan mendirikan solat dan mengeluarkan zakat, maka mereka itu adalah saudara-saudara kamu yang seagama dan kami menjelaskan ayat-ayat Kami satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (9.11).
Kaum kuffar Makkah diberi amaran selepas mereka memutuskan perjanjian oleh kerana, mereka mengkhianati janji, mereka adalah yang mengeluarkan Nabi dari Makkah dan merekalah yang mencetuskan peperangan Badar, Uhud, Khandak dan lain-lain. Orang-orang Islam seharusnya tidak takut kepada mereka, tetapi yang sepatutnya ditakuti ialah kepada Allah sebagai orang Islam yang beriman dengan Allah (Al-Zuhaily, Wahbah, Al-Tafsir al-Wajiz, 189).
Bagi kafir Quraisy, khususnya yang selama ini menjaga Ka`bah, mereka tidak seharusnya bermegah dengan rutin dan tugas biasa mereka menyediakan minuman kepada mereka yang datang menunaikan haji dan mengimarahkan Masjid al-Haram, jika mereka tidak beriman. Al-Qur`an menegaskan bahawa mereka tidak sama berbanding dengan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat – menerima Islam. Mereka berjihad pada jalan Allah dengan diri dan jiwa serta dengan harta benda mereka. Mereka mempunyai kedudukan yang tinggi dan mereka adalah sebenar-benar orang yang berjaya (9.19-20).
Allah juga mengingatkan kepada orang Islam, peranan pada zaman tradisi bagi yang tidak beriman tidak boleh dijadikan ukuran dan perbandingan berbanding dengan keimanan. Peranan dalam zaman tradisi dan harta benda tanpa keimanan tidak boleh dijadikan ukuran. Selama ini orang Islam telah diberi pertolongan oleh Allah adalah kerana iman dan jihad mereka. Allah mengingatkan juga ramainya penyertaan seperti di dalam peperangan Hunain – bertempat di antara Taif dan Makkah juga tidak menjamin kemenangan (tentera Islam 10,000 dan musuh 4,000), bila sebahagian dari mereka berpaling dari memberi tumpuan kepada jihad peperangan berkenaan, tetapi Allah memberi bantuan dengan tentera-tentera tidak kelihatan - malaikat-malaikat (9.26).
Bagi memelihara kesucian Masjid al-Haram, maka pada tahun ke 9H. selepas saiduna Abu Bakar menunaikan haji di Makkah pada tahun tersebut, maka Masjid Al-Haram ditegah dari dimasuki oleh orang musyrik yang disifatkan mereka sebagai najis dari segi akidah dan amalan mereka (9. 28). Sekatan ini menyebabkan kebimbangan setengah pihak, bahawa ianya akan menjejaskan kegiatan perniagaan dan urusan jualbeli yang berlangsung selama ini di sekitar Masjid al-Haram. Kebimbangan ini tidak berasas, oleh karana sebagai pusat ibadat umat Islam dan Islam terus berkembang, maka sebenarnya Makkah, khususnya Masjid al-Haram semakin ramai dikunjungi. Pengharaman terhadap yang bukan Islam memasukinya terus berkuatkuasa hingga kini, Masjid al-Haram yang pernah didoa oleh Nabi Allah Ibrahim a.s. agar ianya terus dikunjungi para ahli yang mau menunaikan haji berterusan dikunjungi hingga hari ini. Masjid sebenarnya terus makmur kerana ianya terus dimakmurkan oleh mereka yang beriman dengan Allah, melakukan ibadat dan berbagai kegiatan keilmuan. Allah menyebutkan tentang masjid yang didirikan oleh golongan munafik di pinggir Madinah yang disifatkan oleh Al-Qur`an sebagai `Masjid Dirar` yang bukan didirikan atas dasar taqwa, tetapi tidak ikhlas bagi memecahbelahkan orang Islam (107-110). Lantaran itu masjid yang dikecam itu tidak mendapat sambutan dan ditinggalkan.
Adalah didapati selepas pembukaan Makkah, khususnya selepas Tahun ke 9H., maka kekuasaan Islam tidak saja di Madinah, tetapi di Makkah. Peraturan-peraturan mulai di atur dan dikenakan kepada penduduk di Makkah dan Baitullah sebagai pusat Qiblat dan ibadat bagi umat Islam dibersih dari amalan syirik, bahkan dilarang bagi yang bukan Islam memasukinya, bagi menjamin kesucian masjid ini dari amaln-malan yang bercanggah dengan Islam.
Wibawa dan kekuatan umat Islam bukan sahaja terhadap dua kota penting ini, tetapi kekuasaan Islam mulai melebar keluar daripada keduanya. Bagi mengukuhkan kekuatan Islam orang-orang Islam diperintah membebaskan kawasan-kawasan berhampiran dengan kawasan Islam sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Wahai orang-orang yang beriman ! Perangilah orang-orang kafir musyrik yang berdekatan dengan kamu, dan biarlah mereka merasai sukap kekerasan (serta ketabahan hati)  yang ada pada kamu; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa (dengan memberikan pertolongan) – (9.123).
Demikianlah strategi bagi keselamatan umat Islam, ketegasan perlu digunakan walaupun kelihatan keras bagi menjamin keselamatan dan keamanan bagi negara dan umat Islam.

Sekian.
y