February 5, 2017

SAMNUN MENGUNGKAPKAN PENGALAMAN SECARA BERPUISI


BBB, 07 Jamadil Awwal 1438H. = 04 Februari 2017M. (Sabtu):
Samnun bin Hamzah, dikatakan juga Samnun bin `Abdullah  kunyahnya Abu al-Hasan al-Khawas*s* dan juga dikatakan Abu al-Qasim. Samnun juga  obses dengan persoalan  `al-hubb`  sebab itu dia juga dipanggil sebagai `Samnun al-Muhibb`.  Dia bersahabat dengan Sari al-Saqati, Aba Muhammad al-Falansi, Muhammad bin `Ali al-Qas*s*ab dan yang lain-lain. Dia bercakap secara mesra seelok kata antaranya dengan berpuisi. Dia dianggap sebagai salah satu shaykh besar di Iraq. Dia meninggal sebelum Al-Junayd.
Riwayat tentangnya:
Aku mendengar `Abdul Wahid bin Bakr berkata, aku mendengar Muhammad bin `Abdul `Aziz berkata, aku mendengar Aba al-Hasan bin Zur`an berkata, ``Aku berada di samping Samnun, maka terdengar satu tempikan dengan kata ``Kalau bertempik manusia dengan sebab wajdinya dan kasihnya, nescaya terpenuh tempikan antara dua  ruang –mashriq dan maghrib``
Ungkapan di atas menggambarkan pengalaman estetika rohani yang dialami oleh Samnun dengan agak ekstrim yang tidak lain dari gambaran dan luahan jiwanya  yang luahannya diibaratkan boleh melimpahi ruang-ruang oleh wadj dan rasa cinta, ia adalah gambaran kontras yang biasanya terkawal dan terpendam di dalam jiwa.
Kata Al-Qusahairy, Aku mendengar Aba Bakr al-Razi berkata, aku mendengar Abu Bakr al-`Ajjan berkata, aku mendengar Samnun berkata:
``Apabila terhampar sifat ketinggian (Al-Jalil) esok, hamparan kelebihan termasuk di bawahnya dosa yang awal dan akhir terangkum di bawah rangkuman keseluruhan. Apabila nyata  terangkum di bawah pandangan yang  bersifat pemurah (al-jud), maka bertalian kesalahan dengan kebaikan.``
Sesungguhnya Allah bersifat Jabbar dan Mutakabbir, tetapi Dia juga bersifat Pengampun lagi bersifat Rahmat. Dia di atas sesuatu Amat berkuasa.
Sebuah cerita, mendengar `Ali bin Sa`id al-Thughri berkata, aku mendengar `Ali bin Ibrahim al-Thaqafi berkata, aku mendengar `Umar bi Ruqail berkata, aku mendegar Aba al-Qasim al-Hashimi berkata, aku mendengar Samnun berkata (bercerita): ``Satu masa aku berada di Baitul Maqdis, cuaca amat sejuk, aku menutup diriku dengan  jubah dan baju (kisa`)ku, sedang salji berguguran. Tiba-tiba seorang anakmuda melalui ruang Baitul Maqdis. Padanya ada dua selimut. Maka kataku kepadanya, Wahai yang dikasihi, kalau dapat sama aku memanaskan diri dengan selimutmu, dapatku mengurangkan kesejukan. Aku terkejut, apabila dia menyebut namaku Akhi Samnun dan menunaikan harapanku.  Dan berpuisi Samnun:
Pemuda tak ku kenal memberi pertolongan
Di tengah kesejukan biarpun tanpa kenalan.
Aku mendengar `Ali bin Sa`id berkata, aku mendengar Ahmad bin `At*a` berkata Ibrahim bin al-Muwallad,  berkata Samnun al-Muhibb, ``Tidak diberi ibarat tentang sesuatu, melainkan ada yang lebih halus dan istimewa  dan tidak ada lebih halus dari mahabbah (kasih sayang dan cinta).
Mempuisi akan daku oleh Abu Bakar al-Razi, berkata, mempuisi akan daku oleh Abu Bakar al-Harbi berkata akandaku oleh Samnun:
Engkau kekasih yang tidak luput dari ingatan
Jika engkau takdir  hilang (mati) kegusaran
Engkau menghubungkan jiwa yang kepupusam
Kupercaya kau demikian gelisah kenikmatan.
Aku mendengar Aba al-`Abbas, Ahmad bin Muhammad Zakariyya, berkata, aku mendengar `Ali bin al-Husain bin T*affan berkata, menasyidkan daku oleh sahabat Samnun bermaksud:
Semalam mengalir air mata menggaris pipi
Keciwa di hati dan kata-kata mengulangi
Sabar di atas musibah terbaik dari mengeji
Musibah itu ujian lebih berkesan di hati.
Aku mendengar Aba Nasr al-T*usi berkata, aku mendengar Aba al-T*ayyib al-Makki berkata, (Disebutkan daku bahawa Samnun duduk di pinggir sungai Dajlah, di tangannya ada pemukul (tongkat). Dia memukul tongkat itu ke pehanya hingga ternampak tulang pahanya dan lengannya dan bersama  rentak pukulan  dia mengungkap puisi:
Dalam diriku kalbu aku hidup dengannya
Tapi hilang dariku oleh bolak baliknya
Tuhanku kembalikan padaku dari hilang
Sempit dadaku kembalikan  ketenangan
Selamatkan daku dari hancur keciwa
Wahai Penolong Dia Penyelamat  semata.
Beberapa puisi lagi terakam yang agak panjang seperti yang diriwayatkan oleh Muhammad bin `Abdullah bin `Abdil `Aziz yang dipuisikan oleh Abu Ja`afar al-Farghani dari puisi Samnun. Juga diriwayatkan oleh `Ali bin Ahmad bin Ja`afar yang dinasyidkan oleh Ibn Firas bagi Samnun yang semuanya bertemakan cinta Ilahi).
Dan terakhir menasyidkan kami oleh Muhammad bin `Abdullah berkata menasyidkan kami Abu Ja`afar berkata menasyidkan kami oleh Samnun:
Aku menangis hingga kering air mata
Tetapi air mata cinta menggugah jiwa
Ingatan kepada  pertemuan lalu itu
Adalah terusan gelombang mengharu
Dia berkata padaku mengapa  diri
Dengan wajdan tiada surut ke tepi
Aku didenda dengan rasa mendamba
Menyelimuti diri bak menanggung dosa.

Samnun seorang sufi yang mendalam dengan pengalaman dan intuisi kepuisian. Dia banyak melahirkan pandangan dengan ungkapan kepuisian, di samping ungkapan bersifat prosa.

Sekian.

No comments:

Post a Comment