BBB, 07 Rabi`ul-Awwal 1439H. = 26 November
2017M. (Ahad):
Kertas keempat yang dibentangkan pada pagi
Selasa 21 November 2017 dalam
Persidangan Antarabangsa – Islam Dan Tokoh,
Dato` Dr. Haron Din ialah:
``AL-Marhum Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din
Dan Dar Al-Shifa``.
Pembentangan dilakukan oleh Ustaz Mohd. Apandi
Hussian Ketua Lajnah Publisiti Dar al-Shifa`. Beliau menggantikan Dato` Rashid
Mat Amin yang tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan. Ustaz Mohd. Apandi
menyampaikan pembentangaa bernada
sentimental dan intuitif. Menurutnya:
Dar al-Shifa` nama besar, dikenali alam
manusia dan jin; dalam negara dan di
luar negara !
Dato` Dr. Haron Din Pengasas Dar al-Shifa`
Tuan Guru berwibawa. Nama Dar al-Shifa` adalah nama besar. Ustaz Haron Din
sangat dihormati. 40 tahun khidmatnya. Terasa masih ada !
Isteri saya kata, ``Bila datang ke Bangi,
terasa dia masih ada; dia keluar membuat rawatan dan masih belum pulang !``
Kata Ustaz Mohd. Apandi,
``Ilmu beliau kita panjangkan dan nasihat
beliau kita amalkan.``
Dirinya digerak oleh kasyaf dan naluri
dalaman. Ketika berada di hospital (IJN), terdetik dalam jiwanya berkeinginan
ziarah teman rapat di dalam keadaan tenat. Tanpa mengira dirinya yang sebenar
juga dalam keadaan tenat dengan wayar berselirat pada tubuhnya. Dia minta izin
dari Doktor untuk menziarah (Al-Marhum Ustaz Othman Khalid). Lantas dia meminta
Salwa (Dr. Salwa anaknya) mengisi borang
minta izin keluar. Keinginannya dipatuhi dan pemergiannya diiringi. Dia
menziarah teman rapatrnya bagai orang sihat melihat orang sakit. Dia membawa
mesej, ``Seorang pesakit melawat orang sakit,
kunjungan dan senyuman menghilangkan kesakitan !``
Dato` Dr. Haron Din amat meraikan
seseorang. Ketika dia terlantar di katil hospital, seorang datang menziarah,
dia bangun meraikan kedatangan bagaikan dia tidak sakit. Pada satu peingkat dia
membuka bajunya memperlihatkan kepada pengunjung rapat dadanya yang penuh
dengan kesan-kesan jahitan !
Sebagai seorang pendakwah yang sering
berceramah. Pernah, tatkala dirasa dirinya sudah sembuh dan dia teringat pada
program ceramahnya, dia memohon dari Doktor untuk keluar beberapa masa untuk menunaikan hajat yang menjemputnya untuk berceramah. Doktor menasihatinya supaya
berihat. Dia menjawab, ``Buat apa nak rihat, Allah beri masa dalam kubur baru
kita rihat !``
Dato` Dr. Haron Din mengingatkan bila kita
berubat, katanya,
``Jangan harap pada manusia; manusia miskin, harap hanya kepada Allah.``
``Ustaz Haron Din synonim sebagai ulama`
synonim juga dengan Dar al-Shifa`. Menyebutnya
tergambar kaitan antara kedua-duanya.`
Ada orang menyebutnya dia sebagai orang
kaya, sebenarnya dia kaya jiwa, bukan kaya harta. Kayanya berada di tangan
bukan dihati. Dia pernah menjanji untuk menderma RM satu juta dengan iringan
insya Allah.
Bila tiba masanya dia teringat pada
sampul-sampul yang dihulurkan kepadanya
yang selama ini belum dibuka, bila dibuka antara sampulnya mengandungi
cek RM satu juta sebagaimana dijanjikan.
Dia tidak pernah liat dari menderma, apa lagi jika wang memang sudah ada di tangan.
Dalam pembentangannya, Ustaz Mohd. Apandi menyinggung tentang pembentangan
Penulis, bahawa Dato` Haron Din memindahkan
jin dan orang bunian ke Bukit Tinggi dengan bas, menurut beliau perkara
itu tidak benar. Walau bagaimana perkara ini pernah heboh diperkatakan pada
peringkat awal kampus UKM di Bangi digunakan dan Penulis sebagai generasi awal
UKM dari kampus jalan Pantai ke Kampus Bangi dan berkhidmat di UKM mengingati
dengan jelas akan peristiwa diperkatakan. Perkara ini harus dijadikan bahan
penyelidikan tentang kebenaran perkara yang diperkatakan, atau apakah ia elemen mitos bagi melegendakan watak
? Tapi apa bezanya dengan wujudnya makhluk halus yang banyak menjadi elemen dalam perubatan Dar
al-Shifa` ?
Kata Ustaz Mohd. Apandi, peranan Dar
al-Shifa1 amatlah besar. Ia memberi rawatan secara kebajikan.
Bagi yang sakit mengharapkan kesembuhan
tapi bagi menyampaikan kepada tujuan tiada
jalan pintas menghalalkan cara yang tidak betul. Sembuh dengan cara yang
tidak betul (maksud berubat) boleh membawa kepada istidraj dan mungkin
antaranya membawa kepada syirik yang mesti dijauhi.
Kaedah rawatan Dar al-Shifa` bersumberkan Al-Qur`an ,
Hadith, bacaan seperti ruqyah dan do`a.
Menurut Ustaz Mohd. Apandi, dari segi
sejarah Dar al-Shifa` bermula dari tahun 1977 dengan lima pelajar.
Hingga
kepada tempoh (2016) jumlah
pelajar 10,000 orang dengan 96 cawangan.
Terdapat
1,500 perawat dengan 2,700
pesakit (2016).
Bagi tahun 2016 kemasukan pelajar pada
tahun itu seramai 1,434 orang dari 12 pusat latihan.
Katanya kita perlu menjaga etika dan amanah
Ustaz Haron dan beliau meninggalkan 5 buah buku untuk dijadikan panduan.
Dari segi pakar herba katanya, ``Kita
mempunyai Dato` Rashid Mat Amin pakar herba dan Bekas Pengarah FRIM.`
Dari segi perubatan perlu kepada latihan
dan mengelak dari kesilapan, misalnya jangan sampai ubat untuk disapu ditulis
sebagai ubat makan.
Lantaran itu Dar al-Shifa` mempunyai S.O.P
pada peringkat pengajian, latihan dan di dalam memberi rawatan.
Kini selepas meninggalnya Tuan Guru Dato`
Dr. Haron Din timbul pertanyaan.
Bagaimanakah dengan kepimpinan Dar al-Shifa`. Bagaimanakah dengan kegiatan
rawatan di Dar al-Shifa` dan juga cawangan-cawangan selepas meninggalnya Tuan
Guru Dato` Dr. Haron Din. Bagaimanakah kursus Dar al-Shifa` di pengajian tinggi
yang telah berlangsung selama ini ?
Inisiatif hendaklah diambil oleh pihak Dar
al-Shifa` memilih kepimpinan bagi meneruskan legasi Tuan Guru. Juga
inisiatif-inisiatif yang lain perlu diambil bagi mengekal, memaju dan
meningkatkan Dar al-Shifa` dan jangan sampai ianya dibawa arus zaman dan tenggelam menghilang. Insha Allah tidak.
Sekian.
No comments:
Post a Comment