November 25, 2017

RUMUSAN: ISLAM DAN KOMITMEN DATO` DR. HARON DIN - CADANGAN


BBB,  05 Rabi`ul-Awwal 1439H. =  24 November 2017M.) (Juma`at):



Penulis telah membicarakan perjuangan dan komitmen keislaman Dato` Dr. Haron Din. Adalah menjadi harapan kita persidangan tidak setakat memperkatakan tentang tokoh semata-mata dan kemudian berakhir begitu sahaja, tetapi adalah diharapkan ada natijah dan keputusan yang dapat disusuli dengan tindakan yang dapat dimanfaatkan.
Ada beberapa pihak yang terlibat dan boleh mengambil manfaat dari resolusi persidangan dan bertindak menurut bidang masing-masing. Pihak yang berkenaan ialah:
1)      Pihak Jabatan Shari`ah, Fakulti Islam, UKM sebagai penganjur persidangan
2)      Pihak Dar al-Shifa` yang bekerjasama  dengan penganjur
3)      Kawasan Seksyen Satu dan Dua Bandar Baru Bangi sebagai `Wadi Ilmu Dato` Dr. Haron Din.`
4)      Keluarga Al-Marhum Dato` Dr. Haron Din.
5)      Pihak-pihak lain.
Adapun pihak yang lain yang memberi kerjasama bagi penganjuran seperti Masjid al-Hasanah dan Pusat Islam, UKM adalah lebih kepada pernyataan sokongan dan tentulah pihak penganjur mengucapkan terima kasih kepada  mereka.
Penulis  menghadiri dan mengikuti  persidangan dari pembukaan hingga penutup – dari pagi hingga ke petang.  Apa yang Penulis dapati:
a)      Sayangnya tiada sesi soal jawab selepas setiap sidang. Jika ada tentulah ada maklumat tambahan dan cadangan dari peserta.
b)      Tiada resolusi atau keputusan yang diambil pada akhir sidang  yang dapat diambil tindakan.
Namun di bawah diperturunkan pendapat dan cadangan yang mungkin sesuai diambil tindakan oleh pihak-pihak berkenaan.

1)      Pihak Jabatan Shari`ah

a)      Mengusaha mewujudkan `Kerusi Profesor Dato` Dr. Haron Din` di jabatan.
b)      Menerbitkan buku-buku  yang berhubung dengan Dato` Dr. Haron Din.
c)       Merangkakan topik-topik penyelidikan yang berhubung dengan Dato` Dr. Haron Din pada peringkat sarjana dan Dr. Falsafah atau penyelidikan semata-mata.
d)      Mengadakan  `Syarahan Haron Din`  secara bersiri dari masa ke semasa.
e)      Mengadakan ` Anugerah  Haron Din` bagi pelajar yang lulus cemerlang dari Jabatan Shari`ah.
`
2)       Pihak Dar al-Shifa`
a)      Tubuh yayasan Dato` Dr. Haron Din bagi  menghimpun dana bagi perkembangan dan naiktaraf Dar al-Shifa`
b)      Mendokumentasikan apa yang berhubung dengan Dato` Dr. Haron Din seperti tulisan,  ucapan, pengajaran, khutbah dan tadzkirah.
c)       Catat pengalaman mereka yang berkhidmat, belajar, berubat – termasuk pada peringkat cawangan-cawangan.
d)      Himpun `Turath Perubatan Melayu-Islam`  untuk  dijadikan panduan
e)      Himpun tenaga akdemik dalam bidang Islam dan perubatan bagi meningkatkan kurikulum pengajian `Perubatan Islam`
f)       Terus dan tingkatkan kursus `Pengajian Perubatan Islam` yang sedang berjalan seperti yang wujud di Universiti Multimedia dan sebagainya.
g)      Mengenalpasti tumbuhan perubatan, antaranya dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Malaysia (FRIM).
h)      Mengeluarkan bahan-bahan perubatan di bawah jenama Farmasi Dar al-Shifa` .
3. Kawasan Seksyen Satu dan Dua Bandar Baru Bangi sebagai `Wadi Ilmu Dato` Dr. Haron Din.`
Ialah kawasan di mana beradanya rumah Dato` Dr. Haron Din, Dar al-Shifa`, Surau al-Nur  dan Masjid Al-Umm. Ianya merupakan kawasan bergiatnya Dato` Dr. Haron Din, Beliau bergiat memajukan Dar al-Shifa`, mengajar di Surau al-Nur dan sama membangunkan Masjid  Al-Umm. Kawasan dari  bukit Dar al-Shifa` ke kaki bukit Masjid al-Umm yang seluas lebih kurang 20 ekar ini dijadikan  sebagai kampus terbuka dan wajar dinamakan dengan `Wadi Ilmu Dato` Dr. Haron Din`. Pada kawasan ini  dipertingkatkan pengajian berinduk Masjid  Al-Umm bertaraf Jami`ah (Universiti) dan surau-surau seperti Surau al-Nur, Surau al-Ehsan dan Surau Damai dan Dar al-Shifa` sendiri sebagai jabatan-jabatan (kuliah-kuliah). Kurikulum hendaklah dirangka dan mempunyai kerjasama universiti-universiti setempat. Mempunyai pelajar sepenuh masa dan yang datang belajar pada hujung-hujung minggu. Mempunyai pensyarah-pensyarah terbaik. Antaranya dari tenaga-tenaga pengajar dari universiti-universiti setempat. Konsep pengajian ini mempromosi `Bangi Bandar Ilmu` yang `Wadi Ilmu Dato` Dr. Haron Din` adalah sebahagian daripadanya.
Untuk meyempurnakan kampus tanah di kawasan `Medan  Selera/Usahawan`  perlu dipohom  dari pihak berkuasa bagi mendirikan Pejabat Pentadbiran, Perpustakaan, bilik-bilik kuliah dan asrama bagi pengajian.  Bangunan mungkin didirikan hingga 15 tingkat dan peruntukan diperlukan melebihi RM100 juta.
4. Keluarga Dato` Haron Din
Adalah diharapkan daripada mereka:
a)      Memberi kerjasama menyimpan dengan baik segala bahan yang berhubung dengan Dato` Haron Din seperti bahan-bahan tulisan tangan, peralatan mengajar dan berubat, berbagai  alat-alat digunakan, bahkan pakaian yang berhubung dengannya sebagai artifek penting berhubung dengan Dato` Haron Din.
b)      Kemungkinan meningkatkan rumah Dato` Dr. Haron Din sebagai galeri, bahkan muzium Dato` Dr. Haron Din yang secara langsung menarik orang datang (khususnya pelancong)  melawat termasuk ke bangunan Dar al-Shifa`, sambil datang berubat bagi yang memerlukan,  serta melawat `Wadi Ilmu Dato` Dr. Haron Din`.
c)       Diharap keluarga Dato` Dr. Haron Din dapat memberi kerjasama kepada penyelidik-penyelidik yang datang membuat kajian dan penyelidikan.
5.  Pihak-Pihak Lain
Dimaksudkan dengan pihak-pihak lain yang ada hubungan dengan Dato` Dr. Haron Din ialah seperti:
Mengkaji pemikiran politik Dato` Haron Din dan mengaplikasikan pada kursus politik  seperti di Kolej Universiti Zulkifli Muhammad bersama dengan pemikir-pemilir politik Pas dan yang lain. Dan menerbitkan buku berkenaan tokoh – Dato` Dr. Haron Din.
Pihak bank-bank yang mendapat khidmat nasihat shari`at Dato` Dr. Haron Din wajar memberi bantuan kepada konsep pengajian di `Wadi Ilmu Dato` Dr. Haron Din`  dan mengeluarkan `Biassiswa-biasiswa Dato` Dr. Haron Din bagi pelajar menyambung pengajian di mana bersesuaian.
Dan berbagai-bagai cadangan yang bersesuaian dapat ditambah.
·         Perlu Tindakan dan Penutup
Akhirnya sebagai penutup, apa jua cadangan walau sebaik mana tidak memberi apa-apa makna, jika hasil cadangan atau resolusi tidak dilaksanakan.
Bagi yang mau melihat apa yang disumbang oleh Dato` Dr. Haron Din berkembang, dapat dimanfaat, maka perlulah pihak-pihak berkenaan seperti Jabatan Shari`ah, Fakulti Islam, UKM, Dar al-Shifa`,  Keluarga Al-Marhum Dato` Dr. Haron Din dan pihak yang berkenaan mengadakan mesyuarat-mesyuarat bagi menilai cadangan-cadangan  dan mengambil tindakan. Tindakan tidak semestinya secara keseluruhan dalam masa singkat, tetapi mungkin bertolak dari aspek-aspek yang mampu dilaksanakan semasa dan memperluaskannya kepada yang lebih besar menurut kemampuan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment