BBB,
09 Rabi`ul-Awwal 1439H. = 28 November 2017M. (Selasa):
Semasa Penulis menjadi ADUN Bangi
(2008-2013), Penulis pernah dijemput menghadiri majlis perasmian dan kegiatan
bagi mengisi dana Pusat Dakwah Serantau. Pusat berkenaan ialah di bangunan yang
pernah seketika dulu menjadi Pusat Kegiatan Pas Hulu Langat, iaitu bertempat di
Sungai Merab (tidak jauh dari jejambat ke Kampung Abu Bakar Baginda dan ke Sungai
Merab Dalam). Pusat Dakwah Serantau ini ditubuh oleh Yayasan Amal Malaysia
sekitar (2012). Yayasan Amal Malaysia ialah sebuah NGO di bawah sayap PAS.
Kelihatan pada peringkat permulaan ini Yayasan masih serba kekurangan.
``Sumbangan Al-Marhum Tuan Guru Dato` Dr.
Haron Din dalam bidang dakwah dan peranannya dalam pembangunan Pusat Dakwah
Serantau``,
Bahawa Pusat Dakwah Serantau yang bertempat
di Sungai Merab ini bermula dengan 15
orang pelajar di bawah pimpinan bekas seorang pesara guru dengan beberapa tenaga penggerak yang lain.
Tujuan Yayasan Dakwah Serantau tidak lain
dari meluaskan dakwah Islam ke rantau ini, khususnya ke Sabah dan Sarawak,
Dakwah ke tempat ini antaranya bagi melanjutkan kerja-kerja dakwah yang telah
dilakukan oleh Tun Mustafa melalui badan dakwah yang dinamakan USIA yang banyak
mengislamkan penduduk di Sabah dan jika di Sarawak ialah kegiatan yang
dilakukan oleh Tun Abdul Rahman Ya`kob di bawah badan dakwah yang dinamakan
BINA yang juga banyak mengislamkan penduduk di Sarawak. Kini 58% penduduk di
Sabah beragama Islam. Manakala di Sarawak masih rendah, iaitu sekadar 30% sahaja beragama Islam. Di samping tumpuan kedua-dua
tempat ini, tentulah tujuan berdakwah ke seluruh kawasan di rantau ini hatta
keluar dari Malaysia seperti ke Filipina, Kamboja dan sebagainya.
Untuk mendapat tenaga penggerak yang
berwibawa dan berpengaruh pihak ahli jawatankuasa perlu mendapat seorang
pimpinan yang benar-benar tokoh dan
berpengaruh di dalam bidang dakwah. Kepimpinan di dalam Badan Dakwah Serantau berpendapat tokoh berkenaan tidak lain dari
Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din. Kata
Ustaz Misbahul Munir ,
``Dato` Dr. Haron Din adalah seorang
`ulama` haraki` yang bergerak di tengah-tengah masyarakat. Dengan susuk tubuh
dan pembawaannya yang tenang, luas ilmunya
dan pemurah dia diktiraf sebagai ulama` murabbi yang pengajaran dan
kuliahnya mendapat perhatian masyarakat dan dia adalah watak dan shakhsiah yang benar-benar layak sebagai pendakwah.
Lantaran itu Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din didekatai oleh jawatankuasa memohon
Dato` Dr. Haron Din terlibat, bahkan memimpin
Pusat Dakwah Serantau. Al-Hamdulillah Tuan Guru menerima tawaran
tersebut. Beliau adalah Pengerusi bagi Pusat Dakwah Serantau sejak 2014.
Penerimaan ini adalah bersesuaian dengan sifatnya sebagai murabbi dan pendakwah ummah.
Kerja-kerja ini memang telah dan sedang beliau lakukan. Penerimaan tugas dakwah
secara berorganisasi ini adalah lebih memberi impak dan kesan yang baik. Ia
adalah kesinambungan dari berbagai-bagai kerja dakwah yang telah
dilakukan. Apakah yang lebih baik bagi
dirinya menumpukan diri dengan kerja-kerja
dakwah ? Firman Allah bermaksud:
``Dan siapakah yang lebih baik kata-katanya
daripada orang orang yang menyeru (berdakwah) kepada Allah dan
beramal salih seraya berkata, sesungguhnya
aku dari kalangan orang muslimin.`` (Fussilat: 33).
Sejak menerima tugas (2014). antara peranan
yang dilakukan oleh Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din ialah membangunkan fizikal
Pusat Dakwah Serantau yang telah mendapat tapak tetapnya di Labuhan Dagang,
Kuala Langat seluas 13 ekar. Kos pembangunan bagi pusat ini ialah RM26 juta.
Prioriti yang paling utama bagi beliau ialah mendirikan masjid sebagai pusat
dakwah di tapak Pusat Dakwah serantau tersebut. Keutamaan membina masjid
ini begitu diberi penekanan oleh Tuan
Guru Dato` Dr. Haron Din, lantaran menurut Tuan Guru, ``Bila Rasulullah s.a.w.
berhijrah ke Madinah, perkara yang paling utama dilakukan oleh Baginda ialah
membina Masjid Madinah yang dikenali sebagai Masjid Nabawai. Masjid menjadi
tempat ibadah, pengajaran, pentadbiran dan berbagai-bagai kegiatan.
Pada majlis pecah tanah dana dihimpunkan.
Dari pengaruh Tuan Guru, kewangan
didapati sebagaimana disebut oleh Ustaz Misbahul Munir Masduki:
Derma spontan RM300,000
Janji pinjaman RM3 juta
Wakaf Selangor RM1.9 juta.
Dengan dana sebanyak ini dan tambahan
membolehkan Pusat Dakwah Serantau memulakan pembinaan.
Kini di samping mendirikan masjid, Blok A
untuk pentadbiran adalah hampir siap. Walau bagaimana kegiatan Pusat Dakwah
Serantau ini masih beroperasi dari tempat lama di Sungai Merab. Tiada kelengkapan
yang melayakkan untuk berpindah. Bagi menyiapkan berbagai pembangunan yang dirancangkan tentulah
memerlukan dana, khususnya sejumlah RM26 juta yang dicadangkan itu.
Sementara itu, selepas tiga tahun Pusat
Dakwah Serantau di bawah pimpinan Dato` Dr. Haron Din hingga 2017 menurut Ustaz Misbahul Munir ribuan pelajar telah
dilatih. Terdapat 150 da`i yang
berdakwah di Sabah dan Sarawak. Sehingga 2017 sebanyak 20 surau dan masjid
telah dibina di Sabah dan Sarawak. Sebuah daripadanya sumbangan Dar al-Shifa
yang dikenali dengan Surau Al-Marhum
Tuan Guru.
Kita bersyukur kepada Allah dan menghormati
Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din yang telah menumpukan seluruh umurnya mendalami
keilmuan Islam dan menyebarkannya, keterlibatanmya di dalam bidang kebajikan dan dakwah serta
istiqamah di atas perjuangan yang berlandaskan Islam. Beliau begitu banyak mencurahkan tenaga, minda, rohani dan
kewangan – begitu pemurah dan dermawan. Beliau telah meletakkan asas untuk
dijejaki dan diikuti. Kita berharap pelajar-pelajarnya yang begitu ramai dan
sesiapa saja dapat meneruskan jejak perjuangan keislamannya bagi meletakkan
Islam dan bidang-bidangnya pada
tempatnya sebagaimana yang diperjuangkan oleh Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din..
Menurut Ustaz Misbahul Munir, ibarat patah
tumbuh hilang berganti. Diharap legasi Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din diteruskan
oleh pengganti dan mereka yang menurut jejak langkah perjuangannya yang suci itu.
Sekian.
No comments:
Post a Comment