BBB, 15 Safar 1439H. = 04 November 2017M.
(Sabtu):
Maqam selalu digandingkan dengan hal – dan hal
telah dibicarakan. Adapun maqam dari segi kata-kata biasa ertinya `Tempat
Berdiri`. Atau `Tempat Di Mana Seorang Berada`. Adapun dari
segi istilah maqam ialah `Tahapan` di mana seorang hamba berada dari maqamat
(maqam-maqam) secara kualiti di dalam menuju kepada Allah. Perjalanan hendaklah
mengikut kaedah yang dikenalpasti. Seorang tidak boleh melintasi atau melangkaui
tahap-tahap maqam yang dilalui.Tahap-tahap makam ialah bermula dengan taubah
dan diikuti, wara`, zuhud, faqr,
qana`ah, sabar, tawakkal dan redha.
Tiap satu di atas mempunyai definisi dan
ciri. Misalnya tentang taubah.
Al-Susi misalnya berkata, `Taubah ialah kembali
daripada tiap-tiap sesuatu yang dikeji oleh ilmu kepada yang dipuji oleh ilmu.``
Dan tentang wara` berkata Ibn Sirin,
``Tidak ada perkara yang lebih mudah bagiku ialah wara`, iaitu apabila ada
keraguan padanya, maka aku tinggalkannya.``
Dan tentang zuhud berkata Al-Junayd, ``
Mengosongkan tangan dari pemilikan dan mengosongkan hati dari tamak.``
Dan tentang faqir berkata Al-Junayd,
`Alamat faqir yang sebenar dia tidak meminta dan dia tidak menunjuk dan jika
dikenali dia diam.``
Dan begitulah dengan maqam-maqam yang lain.
Setiap sufi berada pada maqam yang layak
dengannya
Seorang itu misalnya berada pada maqam wara`
tidal layak bergerak ke tahap zuhud sebelum menyempurnakan tahap wara`.
Demikianlah pergerakan dari tahap yang lain dari bahagian rendah kepada tahap
lebih ke atas.
Manakala tamkin, berasal dari kata `makan`
- tempat dan tamkin bermaksud `pertempatan`.
Menurut Al-Hujwiri, tamkin ialah,
``Menunjukkan keberadaan shaykh-shaykh rohani di tempat kesempurnaan dan pada
darajat tertinggi.
Sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Dan tidaklah daripada kami, melainkan
baginya maqam yang termaklum.`` (Al-SaffatL: 164).
Firmannya lagi bermaksud:
``Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertaqwa
berada pada maqam yang amin (diamanahkan).`` (Al-Dukhan: 51).
Al-Hujwiri memberi contoh kepada mereka
yang bersifat tamkin tahap tinggi, iaitu dari kalangan rasul-rasul seperti:
Adam pada maqam taubat
Nuh pada maqam zuhud
Ibrahim
pada maqam penyerahan (taslim)
Musa pada maqam penyesalan
Da`wud pada maqam kesedihan
`Isa pada maqam raja` (harap)
Yahya pada maqa, takut (khauf)
Muhammad pada maqam dzikr.
Mereka yang masih dalam perubahan maqam
adalah mereka yang belum mencapai tamkin.
Dibarat tamkin sebagai larian air sungai
yang telah tiba ke laut, maka ianya berakhir di sana. Pergerakannya tidak akan
melewati batas laut itu.
Pada peringkat tamkin dia menghilangkan
talwin (kepelbagaian) yang ditumpukan hanya kepada Yang Satu - Allah Ta`ala.
Demikian perbezaan antara maqam dan tamkin.
Sekian.
No comments:
Post a Comment