BBB,
11 Safar 1439H. = 31`Oktober 2017M. (Selasa):
Sahabat boleh juga diertikan sebagai,
kawan, teman, taulan dan sebagainya. Tetapi sahabat membawa erti yang lebih
khusus. Sahabat bererti orang yang
bersama atau berada di dalam masa yang sama. Sahabat dan yang disahabati
mempunyai hubungan yang baik. Ianya diikat oleh kepercayaan yang diperjuangkan
bersama. Persahabatan ini lebih bersifat suci
dan disanjungi.
Contoh saahabat yang utama dan mulia ialah
sahabat antara Rasulullah s.a.w. dengan Sayyiduna Abu Bakar. Mereka diikat erat
dengan prinsip perjuangan kerana menegakkan Islam. Abu Bakar membenar dan
membela perjuangan Rasulullah s.a.w.. Apabila Rasulullah menerima wahyu dan
mendakwah Islam, maka Abu Bakarlah orang yang pertama membenarkan apa tang
dibawa Rasulullah, lantaran itu, kalau Rasulullah s.a.w. terkenal
sebagai`Al-Amin`, maka Abu Bakar digelar `Al-Siidiq`. Abu Bakar mempertahankan
Nabi dan bersamanya di dalam berhijrah ke Madinah dan menegakkan Islam. Ciri persahabatan yang diikat dengan
perjuangan dan kepercayaan bersama ini dapat dilihat antara persahabatan Rasulullah dengan sahabat-sahabat yang lain seperti dengan Sayyiduna `Umar
al-Khattab, `Uthman bin `Affan, Ali bin Abi Talib dan lain-lain lagi
Konsep sahabat yang dikaitkan dengan
Rasulullah adalah luas, iaitu mereka yang sezaman dan mendukung perjuangan
Rasulullah. Contoh Abdullah bin `Abbas, `Abdullah bin `Umar, Zaid bin Thabit
dan lain-lain lagi. Mereka mendukung perjuangan Rasulullah menyebarkan ilmu
keislaman di kalangan masyarakat.
Satu kelompok lagi ialah sahabat-sahabat
yang berjihad, khususnya di dalam
peperangan kerana mempertahankan Islam. Beratus-ratus jumlah mereka. Mereka adalah wira-wira terbilang seperti
Mus* `ab bin `Umair, Salman al-Farisi, Abu
Dzar al-Ghifari,, Bilal bin Rabah, Sa`ad bin Abi Waqqas, S*uhaib bin Abi Sinan,
Mu`adz bin Jabal, Miqdad bin `Amir,, Hudzaifah al-Yamani, `Ammar bin Yasir dan ramai lagi.
Mereka adalah sahabat bukan sebagai sahabat
biasa, tetapi kesan dari persahabatan ada misi dan fungsi yang membawa keberhasilan di dalam menegakkan
perjuangan.
Penjenamaan sahabat adalah sesuatu yang
penting dan besar dari segi kesannya. Sebagai contoh selepas hijrah kaum Muhajirin ke Madinah, maka konsep sahabat
ini menjadi begitu penting di dalam sejarah umat Islam di Madinah. Rasulullah
telah menpersahabat , mempersaudara dan menyatukan kaum muhajirin dari Makkah
dengan kaum Ansar di Madinah. Dari dua kelompok besar dan kaum-kaum lain di
Madinah terbentuknya negara Islam pertama di Madinah. Hasil dari persahabatan
dua kaum umat Islam dapat mempertahankan Madinah dari serangan musuh-musuh
kuffar melalui berbagai-bagai peperangan.
Sesungguhnya gelaran sahabat Rasulullah
satu yang tinggi dan mulia. Dari
kalangan mereka menjadi ilmuan seperti Abdullah bin `Umar, `Abdullah bin `Abbas
dan dari kalangan mereka menjadi
perawi-perawi Hadith yang mewariskan tradisi keilmuan dan hukum-hakam Islam dan
berbagai warisan.
Al-Hujwiri membicarakan sahabat dari
kumpulan khusus, iaitu dari kalangan sufi. Di kalangan sufi ada sahabat-sahabat
di kalangan mereka yang berorientasikan ketasawufan dan berada di dalam suasana
dan nilai yang sama yang menekankan kerohanian. Di dalam tabaqat, Al-Sulami
merakamkan tentang persahabatan di kalangan sufi
Misalnya apabila menceritakan tentang
Ibrahim bin Adham seorang bekas anak raja yang meninggalkan kemegahan dan
bergerak di dalam tasawuf diriwayatkan bahawa:
``Selepas meninggalkan keduniaan dan menjadi
Ahli Zuhud dan Wara` dia menuju ke Makkah di sana dia bersahabat dengan Sufyan
al-Thauri dan Al-Fudhail bin `Iyadh. Dia juga ke Sham dan sudah tentulah
mempunyai sahabat-sahabat yang lain di sana.
Bila meriwayatkan tentang Sari al-Saqati,
dia dikatakan bersahabat dengan Ma`ruf al-Karkhi
Bila meriwayatkan tentang Shaqiq al-Balkh –
orang mula bercakap tentang ahwal, dia dikatakan bersahabat dengan Ibrahim bin
Adham.
Meriwayatkan tentang Al-Bistami, dia
dikatakan bersahabat dengan Al-Husain bin Yahya.
Meriwayatkan tentang Ahmad bin Abi
al-Hawari, dia dikatakan bersahabat dengan Abi Sulaiman al-Darani, Sufyan bin
`Uyaynmah, Marwan bin Mu`awiyah al-Qazari, Madha` bin `Isa, Bishr Ibn al-Sari
dan Abu `Abdullah bin al-Nabaji dan lain-lain lagi.
Bila bersahabat baik dari apa juga
kalangan, khususnya kalangan sufi seorang sahabat itu mestilah menghormati
sahabat, meletakkan dirinya lebih tinggi dari diri sendiri, berbincang tentang
ilmu secara beradab dan mengamalkan keilmuan yang dipelajari serta berbincang secara bersama.
Seorang sahabat seharusnya menjaga rahsia sahabat dan melindungnya dari
sebarang keaiban.
Al-Hujwiri membicarakan tentang sahabat
kesufian ini dengan agak detail.
Dia menyebut bahawa di dalambersahabat hendaklah menjaga adab-adab persahabatan. Misalnya jujur dan
bercakap benar berkasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain.
Seorang sahabat hendaklah menjaga kedudukan dan martabat seseorang, tidak
lokek, bahkan hendaklah berbuat kebajikan terhadap sahabat.
Al-Hujwiri juga menyebut adab bersahabat di
dalam musafir yang memerlu kepada tolong menolong dan tidak mementingkan diri. Mengambil berat
terhadap sahabat,khususnya apabila jatuh sakit. Menurutnya di dalam musafir
hendaklah tidak lalai dari menunaikan ibadah dan sentiasa berdo`a untuk
keselamatan bersama kepada Allah.
Al-Hujwiri juga menyebut adab makan. Misalnya
tidak makan secara bersendirian dalam bersahabat bila ada makanan dan tidak
wajar menyembunyikan makanan daripada sahabat. Beliau juga menyebut adab tidur
semasa bersahabat.
Pendek kata di dalam bersahabat hendaklah
menjaga hubungan baik antara satu sama lain agar hubungan sahabat terus kukuh
dan berkekalan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment