BBB,
10 Safar 1439H. = 30 Oktober 2017M. (Isnin):
Sebagaimana maklum Haji adalah rukun Islam
yang kelima sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Adalah berkewajipan bagi manusia
menunaikan haji bagi saiapa yang berkemampuan perjalanan kepadanya.`` (Ali `Imran:
97).
Al-Hujwiri membicarakan haji menurut
seturut sebagai rukun Islam yang kelima.
Menunaikan haji melibatkan perjalanan
jasmani dan perjalanan rohani yang berkait dengan pesoalan tasawuf.
Perjalanan jasmani melibatkan dua
pengalaman, iaitu yang bersifat ilmu dan yang bersifat jejak realiti
(pengalaman) .
Maksud melibatkan ilmu, bahawa bagi seorang
Islam, khususnya yang berilmu dan mengetahui latarbelakang sejarah, walaupun
sebelum pergi ke tanah suci dia tahu bahawa Makkah adalah Tanah Suci yang ada
hubungan dengan Nabi Allah Ibrahim, bahkan dikaitkan dengan Nabi Adam a.s. yang
bertemu dengan Saidatina Hawa di Arafah, selepas mereka diturunkan di dunia dan
dari sini berkembangnya keturunan Adam-Hawa
yang akhirnya memenuhi dunia sebagaimana
kini.
Manakala Nabi Ibrahim a.s. menempatkan
isterinya Saydatuna Hajar dan anak mereka Ismail di Baitullah. Peristiwa Hajar
mencari air untuk anaknya Ismail menjadi lambang ibadat (haji) kemudian, dalam mana Hajar berlari berulang alik di antara Safa
dan Marwah yang kemudian mengalir air zamazam sebagaimana ada sampai sekarang.
Kewujudan air ini membawa kemakmuran kepada bumi Makkah sebagaimana dido`akan
oleh Nabi Ibrahim bermaksud:
``Dan berkata Ibrahim, (wahai Tuhanku)
jadikanlah negeri ini aman. Dan
jauhkanlah diriku dan anakku daripada menyembah berhala.``(Ibrahim: 35).
Seterusnya kata Ibrahim:
``Wahai Tuhanku bahawa aku mendiami dan
zuriatku di lembah yang tiada tumbuhan di sisi rumah Engkau – Baitil Haram.
Tuhanku jadikan mereka menunaikan solat, maka jadilah hati manusia cenderung
datang kepadanya dan berilah mereka rezeki daripada buah-buahan, semoga mereka
bersyukur.`` (Ibrahim: 37).
Di Tanah Suci ini Ibrahim diperintah agar
mengorban anaknya Ismail yang patuh kepadanya, tetapi kemudian digantikan
dengan kibasy. Ianya menjadi lambang ibadat korban.
Di Tanah Makkah ini juga menjadi tapak
jihad bagi Rasulullah s.a.w. mendakwah Islam selama 13 tahun. Di sini dapat dilihat Gua Hira`,
tempat Baginda mula-mula menerima wahyu. Di Makkah ini Baginda menghadapi berbagai
halangan, sekatan dan kepungan, bahkan pada satu peringkat kafir Qurasy
berusaha membunuh Baginda, sehingga baginda mengambil keputusan berhijrah ke
Masdinah dengan diiringi sahabat setianya Abu Bakar al-S*iddiq. Dari Madinah
Baginda berdakwah meluaskan agama Islam sehingga dapat pula membuka Makkah dan
Islam berkembang ke seluruh alam.
Menunaikan haji sebagai rukun Islam yang
kelima adalah melalui proses perjalanan jasmani dan rohani. Seorang Islam yang
mau menunaikan haji, khususnya bagi yang menunaikannya bagi pertama kali, bukan
setakat digerak rasa ta`abbudiyyah untuk pergi menunaikan haji, tapi selama ini
menyimpan keinginan dan rindu untuk ke Tanah Suci, lantaran didesak oleh
kepatuhan dan kerinduan ini, hamba Allah bekerja dan menghimpunkan duit dan
bekalan untuk ke Tanah Suci. Hamba yang diberi peluang bersama jama`ah yang
lain yang selama ini bersabar, begitu gembira dan bersyukur di atas kurniaan
dan izin Allah dapat ke Tanah Suci.
Di Makkah bila menunaikan Haji dan Juga
`Umrah, mengamalkan ibadat itu dia sebenarnya secara tidak langsung menjejaki
sejarah dan amalan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim, Hajar dan Nabi Ismail.
Mereka bertawaf mengelilingi binaan yang telah dibina oleh Nabi Ibrahim dan
anaknya Ismail dan juga menelusuri peristiwa yang dialami oleh Hajar dan
anaknya Ismail seperti sa`i antara Safa dan Maruah. Mereka juga mengikuti
perlakuan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. bila Baginda menunaikan haji
dan juga umrah. Begitu juga bila bergerak ke Arafah, tempat lambang pertemuan
Adam dan Hawa dan juga sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Muhammad dalam mana
di sana juga baginda menyampaikan khutbah Baginda,. Begitu juga jejak
diteruskan ketika ke Muzdalifah bermalam di Mina dan seterusnya apa yang
dilakukan ibadat haji itu, secara tidak langsung adalah menurut jejak yang
dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.
Pemergian ke Madinah adalah sebagai menurut
jejak Baginda yang berhijrah ke Madinah dan di Madinah ini dapat dihayati kesan
perjalanan sejarah yang didepani oleh Rasulullah dan sahabat-sahabat dalam
perjuangan menegakkan Islam. Di Madinah dapat dilihat dan dihayati misanya
Masjid Quba` yang pertama dibina Baginda, Masjid Nabawi yang dibina Baginda,
tempat baginda menyebarkan Islam, bahkan menjadi pusat pentadbiran dan
pengajaran. Bahkan di masjid dapat diziarahi maqam Rasulullah dan
sahabat-sahabat.
Selain dari itu dapat ditelusuri jihad
perjuangan Rasulullah dan sahabat-sahabat seperti kawasan peperangan Badar,
Bukit Uhud dan kesan-kesan sejarah yang lain.
Menunaikan haji dalam kata lain bersama tujuan
utama bagi beribadat kepada Allah melalui haji, sebenarnya mendekatkan
kefahaman kita dengan bukti-bukti sejarah berhubung dengan perkembangan Islam
sama ada di Makkah dan di Madinah. Selain dari kesan perhatian luaran, ianya
resap ke dalam hati mengenai perjuangan Rasulullah. Daripada ibadat haji
tentulah memberi kesan yang lebih mendalam dari segi rohani, bahawa apa yang
dipelajari selama ini, kini berdepan dengan mata kepala dan meresap ke dalam
jiwa. Dapat juga difahami bahawa Islam yang kita terima adalah berkesinambungan
di dalam sejarah peradaban manusia dan sejarah kerohanian itu berkesinambungan dari Nabi Adam moyang bagi
semua manusia, membawalah kepada Nabi Ibrahim dan nabi-nabi lain, membawa
kepada Nabi Ismail dan turun kepada Nabi Muhammad s,a,w. bahawa apa yang kita
ikut adalah dari tradisi keagamaan dan kerohanian yang kukuh. Tradisi yang
bersifat ilmu, rohani dan insani terus berkesinambungan hingga kini.
Umumnya
berpendapat dan bukti-bukti memperlihatkan, mengerjakan haji mentransformkan
seorang hamba dari watak biasa kepada seorang yang patuh pada perintah Allah
dan watak juga bertukar dari watak biasa kepada seorang haji yang jiwanya lebih
murni yang menandakan hajinya adalah haji yang mabrur.
Sekian.
No comments:
Post a Comment