October 16, 2017

DOKTRIN AL-HAKIMIYYAH


BBB, 25 Muharram 1439H. =  15 Oktober 2017M. (AHAD):
Doktrin Al-Hakimiyyah adalah dinisbahkan kepada pendukung atau pengikut Abu  `Abdullah Muhammad bin `Ali al-Hakim al-Tirmidzi. Kunyahnya ialah Abu `Abdullah. Seorang pemimpin terkenal dan banyak ilmunya dan banyak karya yang dihasilkan berkait dengan  bt*iniyyah dan lahiriyyah.
Abu `Abdullah bersahabat dengan Abi Turab al-Nakhshabi dan bersahabat dengan Yahya al-Jala` dan Ahmad bin Khadhrawayh. Dia dianggap dari kalangan ulama` besar Khurasan.
Doktrin yang dikaitkan dengan Abi `Abdillah al-Tirmidzi  ialah tentang kewalian.
Menurut pendapat ini Allah mempunyai wali-wali yang khusus yang dipilih. Wali-wali ini lepas dari ikatan dunia, bebas dari gangguan nafsu syaitan, mereka berkedudukan khusus dan dibuka rahsia bagi mereka. Para shaykh mengakui tentang wali sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Ingatlah sesungguhnya wali-wali Allah, mereka tidak takut dan mereka tidak berdukacita.`` (Yunus : 62).
Berikut dari wujudnya kewalian, maka terdapat atau berlaku di kalangan wali ini `karamat`, iaitu kejadian atau peristiwa atau perlakuan yang luar biasa berlaku pada wali-wali berkenaan.
Mereka berpendapat kelebihan yang diberi kepada nabi dan rasul dengan mu`jizat, maka bagi wali-wali ialah karamat. Dengan demikian kedudukan mereka tinggi selepas kedudukan nabi-nabi dan rasul-rasul. Pandangan ini tidak menyenangkan setengah pihak, apakah sebenarnya kalangan sufi sahaja berada pada kedudukan selepas rasul dan nabi ?
Kalangan sufi sendiri tidak menyetujui pendapat sedemikian dan tidak membicarakan tentang konsep wali dan karamat.
Karamat sesuatu yang tidak dinafikan, tetapi tidak khusus kepada satu pihak, bahkan yang mengetahui dan memberi kemuliaan kedudukan  adalah Allah Ta`ala semata-mata.
Lagi pula konsep awliya` bukan semestinya bermaksud wali-wali  dari segi kerohaniam, ianya merujuk kepada mereka yang berkuasa atau diberi kekuasaan. Sebagai contoh ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Bahawa wali-wali Allah adalah orang-orang bertaqwa, akan tetapi kebanyakan mereka itu tidak mengetahui.` (Al-Anfal: 34).
Asal ayat ini merujuk kepada mereka yang layak menjaga Baitullah ialah dari kalangan wali-wali Allah – penguasa-penguasa kalangan orang Islam, yang bererti mereka tidak semestinya dari kalangan sufi.
Berhubung dengan konsep wali dari kalangan sufi yang dirujuk kepada pendapat `Abdul Hakimi ini, Al-Sulami di dalam al-Tabaqat, dan Al-Qushairy di dalam  al-Risalat al-Qushairiyyah yang kedua-kedua pengarang ini membicarakan tentang Abdullah al-Hakimi di dalam karya-karya mereka  tidak membicarak aspek  wali  dan karamah di dalam karya-karya mereka.
Antara ungkapan-ungkapan yang dipetik Al-Sulami tentang `Abdullah al-Hakimi:
Aku mendengar Mansur bin `Abdullah berkata, berkata Muhammad bin `Ali al-Tirmidzi,
``Tidaklah kejayaan dengan banyaknya amalan, sesungguhnya kejayaan di sana dengan ikhlas dan mengelokkannya.``
Dengan sanad yang sama, berkata Muhammad bin `Ali,`` Daripada syarat menjadi khadam ialah tawadhu` dan penyerahan.``
Dan dengan sanad yang sama berkata Muhammad bin `Ali,
``Manusia dari segi mendengar hikmah ada dua jenis,  yang berakal dan yang bekerja. Yang berakal taajjub. Dia menggemari apa yang didengarnya dan yang bekerja berbolak-balik seolah-olah hatinya seperti ular yang berkelok-kelok.``
Dan dengan sanad yang sama berkata Muhammad bin `Ali, ``Tiadalah di dunia ini bagi pihak tertentu- beban yang lebih berat dari melakukan kebajikan, kerana siapa yang melakukan kebajikan dia dibeban dengan kepercayaan,  siapa yang merenggangkan dia menolak engkau.``
Dan dengan sanad yang sama kata Muhammad bin `Ali, ``Cukuplah bagi seseorang merasa aib  menggembirakannya dengan apa yang memudharatkannya.``
Aku mendengar Aba al-Husain al-T*usi berkata, aku mendengar al-Hasan bin `Ali berkata, aku mendengar Muhammad bin `Ali al-Tirmidzi berkata, ``Mendoa oleh orang yang muwahhidin di dalam solat lima waktu, mohon rahmat ke atas mereka, maka disediakan bagi mereka berbagai kunjungan supaya dicapai oleh hamba daripada apa yang dikatakan dan apa yang dilakukan, sebagai sesuatu dari pemberian, maka perbuatan seperti makan, dan kata-kata seperti minuman. Dia adalah kurniaan bagi muwahhidin.``
Dengan sanad yang sama berkata Muhammad bin `Ali, ``Yang berakal ialah yang bertaqwa kepada Allah dan memuhasabahkan dirinya.`        `
Dan dengan sanad yang sama berkata Muhammad bin `Ali, ``Allah Ta`ala  menjamin bagi hambanya rezeki dan difadhukan ke atas mereka itu bertawakkal.``
Dan dengan sanad yang sama berkata Muhammad bin `Ali, ``Hakikat mahabbah hendaklah berterusan bersifat `al-uns` dengan dzikir kepadaNya.``
Dan dengan sanad yang sama berkata Muhammad bin `Ali,  ``Kawal hati menyempurnakan khashyah (takut) dan kawal diri menyempurnakan taqwa.``
Demikianlah ungkapan Abu `Abdullah Muhammad bin `Ali al-Hakimi al-Tirmidzi sebagaimana yang dihimpun oleh Al-Sulami dan tiada kedapatan persoalan  wali dan karamah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment