October 29, 2017

TAKLIMAT KEMAJUAN MASJID AL-UMM KEPADA PENDUDUK


Masjid al-Umm, BBB,  08 Safar 1439H. = 28 Oktober 2017M. (Sabtu):
Jam 3.00 petang hari ini 

Jawatankuasa Pembangunan dan Pengimarahan Masjid al-Umm mengadakan taklimat kemajuan pembangunan Masjid Al-Umm bertempat di anjung, bahagian hadapan masjid berkenaan. Hadir ke taklimat berkenaan ialah Profesor Dato` Dr. Abdul Halim Tamuri Penaung Jawatankuasa Masjid, Pengerusi Dr. Shafie Abu Bakar, Timbalan Pengerus Ir. Haji Ishak Arshad, jawatankuasa-jawatankuasa dan penduduk yang  berjumlah lebihkurang  400 orang.


Pengacara  Majlis Dr. Sobri Harun, dalam ucapan memulakan majlis  jam 3.00 petang itu mengajak para hadirin membaca al-fatihah kepada dua orang berjasa kepada masjid dan telah pulang ke rahmatullah, iaitu Al-Marhum Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din selaku Penaung dan Penasihat Jawatankuasa Masjid Al-Umm dan  Al-Mahum  Ir. Tuan Haji Ghazali Husin ahli jawatankuasa, Dr. Sobri mengucap terima kasih kepada Dato` Dr. Abdul Halim Tamuri yang baru dilantik menggantikan Al-Marhum Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din kerana dapat datang. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Tuan Haji Marzuki bin Haji Che Omar dari Tekad Nusantara Sdn. Bhd. yang turut datang selaku Kontrektor Utama, kerana membenarkan penggunaan Bangunan masjid.
 Dr.Shafie Abu Bakar di dalam yang menyampaikan ucapan alu-aluan  berhubung dengan  Taklimat Kemajuan Pembangunan Masjid Al-Umm  menyatakan, dapat dikatakan pertemuan hari ini adalah merupakan lanjutan dari taklimat yang diadakan kepada pengerusi-pengerusi surau dan juga penduduk  dua minggu lepas bertempat di Kompleks Pendidikan Islam (KPI) pada Sabtu 14 Oktober  2017 lepas. Tetapi taklimat hari ini lebih istimewa dengan kehadiran Penaung buat kali pertama, juga ahli-ahli jawatankuasa yang baru dilantik dan penduduk sekeliling, lelaki perempuan dan anak-anak.
Kata Dr. Shafie, ``Orang ramai termasuk tuan-tuan dan puan-puan tentulah tertanya-tanya mengapakah hingga sekarang masjid Al-Umm yang kelihatan seperti telah siap masih belum dapat digunakan``. Kata Dr. Shafie sememangnya  dari segi pembinaan fizikal Masjid Al-Umm adalah 98% siap dan pada dasarnya sudah dapat digunakan. Namun ada halangan dari segi teknikal dan procedure. Iaitu perlu mendapat certificatekelulusan  (CPC) dari pihak kontrektor dan arkitek dan (CCC) dari MPKj dan jabatan-jabatan berkenaan  (21 borang perelu lulus).Usaha sedang dilakukan bagi mendapat CPC dan seterusnya CCC. Masalah yang lain, bahawa pihak masjid menanggug hutang yang perlu dilunaskan bagi memudahkan bagi mendapat CPC dan CCC.
Pembinaan Masjid al-Umm yang bermula dari masuk tapak pada 10 Disember  2013 hingga kini hampir 4 tahun. Dari segi pentadbiran, pembangunan dan pengimarahan menurut Dr. Shafie adalah ditadbirkan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Pentadbiran yang di Pengerusikan oleh Dr. Shafie Abu Bakar dengan Timbalan ialah Ir. Haji Ishak Arshad, dan jawatan-jawatankuasa. Sebuah jawatakuasa Teknikal ditubuhkan  di bawah jawatankuasa Induk berkenaan yang diketuai oleh Ir. Haji  Ishak Arshad dan dibawah jawatankuasa ini terdapat jawatankuasa Tapak. Kontrektor utama ialah Tekad Nusantara Sdn. Bhd. diketuai  oleh Tuan Haji Marzuki bin Haji Che Omar, manakala arkitek ialah Arkitek Urusbina dibawah tadbiran Ar. Haji Raja Fuaddin bin Raja Ahmad,
Seterusnya Pengerusi mengucapkan terma kasih kepada orang ramai yang telah bermurah hati menderma di samping pihak kerajaan negeri Selangor dan beberapa agensi yang lain.
Jumlah derma yang dilaporkan oleh Bendahari sehingga akhir September 2017 ialah,
RM20, 326, 380.45 dan perbelanjaan yang dilakukan hingga akhir September 2017 ialah sebanyak RM20, 232, 299.56. Baki sekadar untuk urusan pentadbiran dan pembayarean elaun pekerja-pekerja. Terima kasih kepada semua penderma yang selama ini terus menderma dan sesungguhnya 80% derma yang didapati  adalah dari orang ramai. Hasil derma inilah kita melihat bangunan masjid yang tersergam indah ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Pengimarahan Masjid al-Umm itu dari segi pengimarahan masjid, pihak AJK telah menyusun kegiatan pengimarahan masjid dan memilih pegawai-pegawai masjid dan bersedia beroperasi apabila masjid mulai digunakan.
Menurutnya sesungguhnya pihak masjid memerlukan kerjasama semua pihak  bagi mengimarahkan masjid dari segi berjama`ah, menyertai berbagai pengajian dan program yang diaturkan, memberi idea-idea bernas bagi kemajuan masjid dan mengharapkan pemimpin-pemimpin pelapis akan mengambilalih pentadbiran bila tiba masanya.


Ybhg.  Prof. Dato` Dr. Andul Halim Tamuri Penaung Masjid yang juga Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Bangi yang pertama kali berucap selepas dilantik menggantikan Al-Marhum Tuan Guru Dato` Dr. Harun Din menyampaikan beberapa pandangan dan cadangan bagi menjadikan masjid berdaya maju, bukan saja sebagai tempat ibadat, tetapi masjid sebagai Pusat Pendidikan. Fokus, katanya  adalah terhadap golongan muda, terutama anak-anak dari sekolah menengah dan rendah yang berdekatan dengan masjid. Mereka adalah generasi pelapis. Jika kita gagal mendidik mereka, kita gagal menyediakan pimpinan setempat pada masa hadapan
Dato` Dr. Abdul Halim juga berharap pihak masjid menjalin kerjasama dengan 15 surau di bawah masjid al-Umm, terutama dari segi pengajian dan pengimarahan. Menurutnya masjid dapat mengadakan kerjasama dengan pengajian-pengajian tinggi di sekitar Bangi menawarkan kursus bertaraf diploma yang berkelulusan kelak dapat menyambung pengajian pada peringkat yang lebih tinggi.
Di samping pengajian di atas, beliau mencadangkan agar diadakan pengajian secara talaqqi secara moden di dalam pengajian Al-Qur`an dan juga keilmuan-keilmuan yang berasaskan kitab-kitab tradisional seperti di dalam bidang fiqh, akidah, tafsir, hadith dan sebagainya. Beliau berharap dari pengajian sedemikian akan dapat mengeluarkan ulama yang diperlukan dalam keadaan semasa.
Walau bagaimana bagi mencapai hasrat menjadikan Masjid Al-Umm sebagai Masjid Pendidikan, katanya,  kita perlu merancang pengajian  secara teratur dengan menjemput pakar-pakar di dalam berbagai-bagai bidang berkenaan  bagi menyusun rangka pengajian dan kurikulum yang mantap, mendapat tenaga pengajar yang hebat yang dapat diikuti pengajain bukan saja dari kalangan setempat, tetapi juga dari luar dari kawasan surau-surau di bawah Masjid al-Umm, bahkan di luar dari Bangi.


Menurut Penaung itu Masjid Al-Umm yang berkedudukan agak terpinggir dari laluan utama dan  orang  ramai di Bangi perlu membina kekuatan dan jati diri, terutama di dalam bidang pengajian agar ianya dapat menarik minat orang ramai bagi menyertai kegiatan-kegiatan dan kemudahan yang disediakan oleh masjid.
Bersambung .....

Sekian.

No comments:

Post a Comment