October 19, 2017

DOKTRIN SAYYARIYYAH

 BBB, 28 Muharram 1439H. =  18 Oktober 2017M. (Rabu):
Doktrin Sayyariyyah dinisbbahkan kepada pengikut-pengikut Abu al-`Abbas al-Sayyari yang namanya Al-Qasim bin al-Qasim bin Mahdi ibn Bint Ahmad bin Sayyar.
Dia adalah berasal dari Marwi dan shaykh bagi mereka itu. Dan dia adalah jurucakap mereka itu tentang hakikat ahwal. Dia bersahabat dengan Abi Bakr Muhammad bin Musa al-Farghani al-Wasit*i dan kepadanya dinisbahkan ilmu-ilmu bagi golongan  ini.  Dia adalah sebaik-baik jurucakap pada waktunya. Dia bercakap tentang ilmu tauhid menurut Ahl al-Sunnah. Dia juga mendalam dalam ilmu fiqh. Dia menyalin Hadith dan meriwayatkannya. Dia meninggal tahun 342H.
Dari segi doktrin Abu al-`Abbas al-Sayyari mengemukakan Doktrin `Jama` dan Tafriq` bermaksud `Menghimpun dan Memecahkan.``
Jama` juga memberi makna ``Pertambahan dan berkeselarasan` ` dan tafriq ` bereti `Pecah dan Perbedaan.``
Doktrin ini bergantung dengan angka, jumlah dan bilangan dan juga disebut dengan ilmu.
Konsep jama` lebih bermaksud kepada perkara yang baik. Misalnya  sesuatu pendapat yang benar, adalah semakin kukuh dengan ramai dan samanya pendapat dan ianya makin berkembang. Ini dapat dicontahi dari konsep `Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah`. Asas dan pendapat benar Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah` didukung ramai oleh pendukung semasa, tetapi kebenaran dan kebaikannya terus diolah dan berkembang berterusan dan secara jama` ianya terus hidup dan berkembang. Kebenaran ini ditegak oleh ilmu yang memperkembang dan yang mendukungnya.
Adapun `tafriq` yang bermaksud, pemecahan, penyimpangan, kelainan terjadi sebalik dari jama`. Penyimpangan terus berlaku, antaranya dalam batas kawalan, maksudnya dikawal oleh ilmu yang membendungnya jika bersifat menyeleweng dan jika betul, ianya boleh diterima. Ini antara maksud dalam setengah hal, ikhtilaf sebagai rahmat. Namun maksud tafriq di sini lebih kepada pentyelewengan. Tafriq pada dasarnya sesuatu yang makin mengecil, lantaran ia adalah sebahagian yang pada awalnya jama`. Penyimpangan yang menyeleweng akan ditentang dengan ilmu oleh pihak jama` sehingga akhirnya ia pupus dan ditolak. Jadi pada hakikatnya proses jama` dan tafriq ini berterusan berlaku. Yang benar terus hidup dipertahan dan diperkembangkan, manakala yang bersifat tafriq ditentang dan dibasmikan melalui ilmu.
Antara pendapat  Abu al-`Abbas al-Sayyari:
Berkata Abu al-`Abbas, bahawa hakikat ma`rifat ialah tidak terlintas di hati selain daripadaNya.
Berkata Abu al-`Abbas,  ``Siapa mengenal Allah tunduklah kepadaNya segala sesuatu, kerana Dialah yang menjaga dan memiliki semua.``
Berkata Abu  al-`Abbas, ``Tidak bercakap seseorang tentang `Al-Haqq`, melainkan sesuatu yang sebelumnya terlindung.``
Berkata Abu al-`Abbas, ``Siapa yang dsipelihara hatinya bersama Allah tentang kebenaran, maka mengalirlah dari hatinya hikmat-hikmat kalam.``
Berkata Abu al-`Abbas, ``Al-Khat*rah (lintasan) bagi para anbiya`, dan al-waswasah bagi awliya, dan al-fikrah bagi awam dan azam bagi pemuda.``
Disoal Abu al-`Abbas  firman Allah bermaksud: ``Dia melazimkan mereka itu dengan kalimah taqwa dan merekalah berhak dengannya dan ahlinya`` (Al-Fath*: 28).
 Maka katanya, merekalah ahli sejak azali dengan taqwa, maka zahir pada  mereka pada waktu itu kalimah iman dan ikhlas.``
Berkata Abu al-`Abbas, ``Tidak istiqamah iman seorang hamba sehingga dia sabar dengan kehinaan seperti dia sabar di atas kebaikan.
Didengar `Abdul Wahid bin `Ali berkata, `` barkata Abu al-`Abbas, ``Al-Rububiyyah meluluskan  perkara, kemahuan, taqdir dan qadhiyyah dan Al-`Ubudiyyah ialah mengetahui yang disembah dan menunaikan apa yang dijanjikan.``
Berkata Abu al-`Abbas, ``Pakaian hidayah bagi am, pakaian haibat bagi `arifin, pakaian hiasan bagi ahli dunia, pakaian pertemuan bagi para awliya` dan pakaian taqwa bagi ahli al-hudhur. Firman Allah Ta`ala bermaksud, ``Dan palaian taqwa yang sedemikian lebih baik``. (Al-A`raf: 26)
Berkata Abu al-`Abbas,  dikatakan bagi setengah hukama`, ``Dari mana sumber kehidupan engkau ? Katanya, ``Daripada orang sempit kehidupan diberi kepada yang dikehendaki tanpa `illah dan Dia meluaskan kepada sesiapa yang dikehendaki tanpa `illah.``
Berkata Abu al-`Abbas, ``Siapa yang teliti pandangan tentang perkara agamanya Allah meluaskan jalan baginya, siapa yang meluaskan pandangan pada perkara agamanya disempitkan jalan pada waktunya, siapa yang cuai hak-haknya terhadap hak Allah dia menerima  kesusahan dan akibat.
Dan berkata Abu al-`Abbas al-Sayyari,
``Tidaklah Allah Ta`ala menzahirkan sesuatu, melainkan sesuatu yang tersembunyi dan Dia melindungi keburukan sesuatu daripada sesuatu hingga tidak sama dua makluman dan tidak dua ma`rifat dan tidak dua qudrat.``
Demikian pendapat Abu al-`Abbas al-Sayyari yang dapat direnungi.

Sekian.

No comments:

Post a Comment