BBB, 23 Muharram 1439H. = 13 Oktober 2017M.
(Juma`at):
Abu al-Husain al-Nuri – Nama penuh baginya
ialah Ahmad bin Muhammad, dilahir dan terdidik di Baghdad, keturunan asal dari
Khurasan, iaitu satu kampung di antara
Hirat dan Marwi al-Rudz yang dipanggil Bu`thur, lantaran itu kata Al-Sulami dia
juga dikenali dengan panggilan `Ibn
al-Baghawi.``
Abu al-Hasan al-Nuri adalah dari kalangan
shaykh dan `ulama` terkenal yang tiada tanding pada zamannya. Dia mempunyai t*ariqat
yang elok dan kalam yang lembut. Dia bersahabat dengan Sari al-Saqat*i,
Muhammad bin`Ali al-Qas*s*ab dan berkesempatan dengan Ahmad al-Hawari. Dia
meninggal pada tahun 295H.
Menurut Al-Hujwiri dua prinsip utama bagi
Doktrin Nuri, iaitu `Tasawuf dan Persahabatan.`
Dari segi tasawuf Nuri berkata, ``Tasawuf
ialah meninggalkan sesuatu yang berkepentingan diri.`` Ianya juga mengutamakan
orang lain, termasuklah kawan.
Menurut Al-Hujwiri berkata Al-Nuri lagi, Tasawuf adalah lebih unggul dari
kefaqiran.`` Al-Nuri juga tidak bersetuju dengan konsep `uzlah, sebaliknya
menekankan persahabatan.
`Uzlah dengan maksud pengasingan diri,
beramal secara perseorangan, kemungkinan disusupi oleh syaitan yang
mnenyelewengkan seseorang, sebaliknya dengan persahabatan yang ikhlas, bukan
saja dapat membantu antara satu sama lain, tetapi lebih penting menegur dan
memperbaiki kesilapan antara satu sama lain. Sebagaimana disebut di atas dalam
persahabatan keutamaan harus diberi kepada kawan dan orang lain dari diri
sendiri.
Model yang paling utama ialah persahabatan
kaum Ansar yang mengutamakan kepentingan kaum Muhajirin dari kaum Ansar
sendiri, sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Dan mereka yang terdahulu yang awal
daripada orang Muhajirin dan Ansar yang mengikut mereka itu dengan ihsan .
Allah redha terhadap mereka dan mereka meredha daripadanya.`` (Al-Taubah: 100).
Orang-orang Ansar pada peringkat permulaan
Hijrah memberi bantuan kepada orang
Muhajirin hasil dari kukuhnya
persahabatan di kalangan mereka.
Sesungguhnya konsep sahabat amat penting di
dalam Islam. Sejarah memperlihatkan peranan sahabat antara Rasulullah s.a.w.
dengan Sayyiduna Abu Bakar dan sahabat-sahabat yang lain berjaya memperkukuhkan
Islam. Sahabat-sahabat juga meningkatkan keilmuan dan kekuatan umat Islam.
Konsep sahabat Al-Nuri adalah terkesan dari
riwayat sebuah Hadith:
Mengkhabarkan kami Abu al-Qasim, `Abdul
Rahim bin `Ali, al-Bazzar al-Hafiz* di Baghdad berkata, bercakap kepada kami
Abu `Abdullah, Muhammad bin `Umar bin al-Fdhl, bercakap kepada kami Muhammad
bin `Isa al-Dihqan, katanya, adalah aku berjalan bersama Abi al-Husain, Ahmad
bin Muhammad terkenal dengan Ibn al-Baghawi al-Sufi, maka kataku kepadanya,
``Apa yang memelihara Al-Sari Saqat*i, maka katanya bercakap kepada kami
Al-Sari, daripada Ma`ruf al-Karkhi daripada Ibn al-Samak, daripada Al-Thauri
daripada Al-A`mash daripada Anas r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda (bermaksud):
``Siapa yang menunaikan kepada saudaranya
yang muslim satu hajat, adalah baginya pahala seperti orang yang berkhidmat
kepada Allah di dalam menunaikan `umrahnya.``
Berkata Muhammad bin `Isa al-Dihqan, aku
pergi kepada Sari al-Saqat*i, maka aku
bertanya kepadanya, maka katanya, aku mendengar Ma`ruf bi Fairuz al-Karkhi
berkata, ``Aku keluar daripada Kufah, maka aku melihat seorang lelaki zuhud
yang dipanggil Ibn al-Samak, kami
bermuzakarah tentang ilmu. Maka katanya bercakap kepada kami Al-Thauri daripada
Al-A`mash seumpamanya.``
Disoal lagi Nuri tentang tasawuf, maka
katanya, ``Tiadalah tasawuf itu pada tulisan dan bukan pada ilmu yang banyak,
tetapi adalah pada akhlak.``
Didengar daripada `Abd al-Wahid bin Abi
Bakr berkata, aku mendengar `Ali al-Fata berkata, aku mendengar Aba al-Husain
al-Nuri berkata, ``Ahli agama berdiri
(menunaikan kewajipan), ahli tauhid berjalan, ahlu al-redha di dalam kerehatan,
orang terputus dalam keheranan. Kemudian dia berkata, ``Sesungguhnya yang haqq
apabila zahir, hancurlah tiap yang tertutup dan terlindung.``
Berkata Al-Nuri, ``Semulia-mulia perkara
pada zaman kita dua, orang alim yang
beramal dengan ilmunya dan orang `arif
yang bercakap tentang hakikat.``
Disoal Al-Nuri tentang faqir yang sebenar,
maka katanya, ``Ialah yang tidak menuduh (tohmoh) Allah Ta`ala dengan
sebab-sebab dan dia tenang dalam segala hal.``
Menurut Al-Sarraj Al-Nuri adalah dari kalangan
al-wajidin, berintuisi dan berestetik. Dia sering berpuisi. Antaranya katanya:
Renungilah dengan mata kebenaran, jika kau
perhatikan
Kepada keindahan pada langit bumi mengkagumkan
Jangan utamakan kepentingan diri ambil
kesempatan
Jadilah pemerhati kebenaran pada kekuasaan
Tuhan.
Dikatakan pada suatu hari Al-Nuri
mengungkapkan, ``Aku mencintai Allah dan Dia mencintaiku.`` Dengan ungkapan itu
dia dianggap zindiq dan dibawa kepada pengetahuan Khalifah Al-Muwaffiq pada
zamannya untuk dihukum. Bila ditanya, dia membaca ayat Al-Qur`an:
``Yuhibbuhum wa yuhibbunahu` (Al-Ma`idah: 54),
bermaksud:
``Dia mencintai mereka itu dan mereka itu
mencintaiNya .``
Dia meneragkannya kepada Khalifah dengan
lembut, halus dan teliti sehingga Sultan terpegun dan mengalir air mata
membenarkan. !
Satu pendapat bernas Al-Nuri sebagaimana dicatat oleh Al-Hujwiri, bahawa terdapat sepuluh doktrin tasawuf
yang diterima – tidak termasuk yang ditolak dan kita sedang membincangkan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment