October 25, 2017

KONSEP KEBERSIHAN


BBB, 04 Safar 1439H. = 214 Oktober 2017M. Selasa:
Pada penghujung bagi kitab Kashf al-Mahjub oleh Al-Hujwiri ini dibicarakan persoalan yang berhubung dengan kebersihan. Persoalan bersih ini  sebenarnya telah dibicarakan pada permulaan membicarakan soal tasawuf, termasuk oleh Al-Hujwiri. Persoalan kebersihan ini berkait rapat dengan  istilah dan konsep tasawuf, iaitu menekankan kebersihan dan kemurniaan jiwa, bahkan dari satu segi dilihat bahawa bertasawuf itu pada keseluruhannya ialah sebagai pendekatan dan usaha bagi membersih diri bagi mendekati Ilahi. Namun pembicaraan kali ini ialah bagi mengaitkannya dengan amalan ibadat.
Dilihat dari satu segi bahawa amalan-amalan ibadat juga berhubung rapat dengan  maksud bersih. Sebagai contoh mengeluarkan zakat adalah  amalan ibadat yang membersihkan jiwa dan harta yang dikeluarkan zakat apabila cukup syarat, nisab dan haul. Puasa juga dilihat sebagai ibadat yang membersih jiwa dan  ibadat-ibadat yang dikerjakan pada bulan Ramadhan itu adalah sama bertujuan membersih diri dan jiwa. Demikian dapat dilihat  aspek kebersihan pada amalan Haji.
Walau bagaimana tumpuan pembicaraan tentang bersih dilihat dari amalan ibadat solat. yang dapat dilihat aspek kebersihan adalah dari segi lahir dan juga dari segi rohani.  Al-Hujwiri menerangkan bahawa untuk mendirikan solat, maka sebelum mendirikan solat seorang itu perlu membersihkan dirinya. Untuk bersolat hendaklah bermula membersih diri dengan mengambil wudhu`. Sebelum mengambil wudhu` dipastiakan kebersihan air. Juga dipastikan air yang boleh digunakan untuk mengangkat wudhu` dan yang tidak boleh digunakan.
Juga dipastikan bersih daripada najis dan mengenal tentang najis dan konsep membersih dan istinja`, juga dibicarakan asbab hadath dan jenis-jenis hadath  dan bagaimana  membersihkan daripada hadath besar dan kecil. Bagi orang perempuan dikenalpasti dari segi haidh, nifas dan istihadhah. Dengan mengenali semua aspek demikian kaedah bagi menunaikan ibadat, walaupun kecil dapat dipastikan betul dan dapat dipastikan kaedah mengambil wudhu` menepati dengan kehendak taharah. Ini dimaksudkan oleh Al-Hujwiri keperluan kepada kebersihan zahir dan keperluan sebelum seseorang mendirikan solat. Sebenarnya walaupun ini dikatakan sebagai kebersihan zahir, ianya juga merupakan sebagai kebersihan batin. Iamya bersih dari niat, kejiwaan yang bersifat ta`abbudiyyah, keikhlasan dan berbagai-bagai sifat kejiwaan yang terserta di dalam  kebersihan dan lebih-lebih lagi di dalam solat.
Al-Hujwiri seterusnya yang melihat kepada contoh pembrsihan lahir seperti keperluan t*aharah sebelum solat seterusnya  membawa perbandingan bahawa demikian juga bagi tasawuf, bagi memasuki tasawuf juga perlu kepada pembersihan dalaman. Permbersihan dalkaman yang dimaksudkan ialah taubat. Ia adalah cara bagi membersihkan dosa. Taubat adalah dituntut sebagaimana firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Sesungguhnya Allah suka kepada mereka yang bertaubat dan suka kepada orang yang bersih.` (Al-Baqarah: 222).
Tentang taubat berkata Abu Ya`kub Yusof bin Hamdan al-Susi:
``Taubat ialah kembali daripada sesuatu yang dikeji oleh ilmu kepada sesuatu yang dipuji oleh ilmu.``
Ditanyai Sahl bin `Abdullah tentang taubat, katanya, ``Engkau  tidak lupa akan dosa engkau.`` Bermaksud dengan ingatan ianya sebagai pengajaran dan sempadan agar tidak diulangi kesalahan.
Sebaliknya Al-Junayd apabila disoal tentang taubat, maka katanya, ``Engkau lupakan akan dosa engkau.`` Bermaksud kesal dan tidak mau diingati dan berazam tidak mau dulangi perbuatan berdosa sedemikian.
Berkata Al-Nuri, taubat ialah engkau lupa daripada segala kecuali Allah.
Bagi Dzu al-Nun al-Misri, taubat ada beberapa peringkat:
Taubat bagi kalangan awam adalah taubat daripada dosa.
Taubat bagi kalangan khas ialah taubat daripada lupa dan
Taubat anbiya` daripada melihat lemahnya mereka daripada menyampaikan apa yang telah dicapai oleh yang lain.``
Sebagaimana solat perlu kepada taharah dan tanpanya tidak sempurna solat dan jika dilakukan sia-sia dan tertolak, maka demikianlah dilihat di dalam tasawuf yang perjalanan kualitinya begitu jauh, maka ianya perlu kepada persiapan yang teliti dan melengkapi. Taubah adalah asas bagi permulaan dan pra-syarat bagi tasawuf.
Bayangkan bagaimana seorang hendak melibatkan diri dalam tasawuf sedangkan seorang itu masih meneruskan amalan buruknya yang berdosa. Tentulah berlaku campur-aduk dari segi amalan yang sebenarnya bersifat sia-sia, tertolak dan tidak diterima. Taubat ertinya sudah meninggalkan kesalahan dan mau mengosongkan diri dengan bertaubat dan memulai tahap baru di dalam hidup.
Al-Hujwiri membicarakan tentang kebersihan lahir seperti perlunya taharah sebelum dan di dalam melakukan solat, bukan setakat bandingan terhadap keperluan taharah bagi solat, tetapi perlu kepada taharah bagi solat dan keperluan taubat bagi tasawuf adalah merupakan kesatuan di dalam amalan tasawuf. Bermaksud diri perlu bersih di dalam beribadat juga bersih dari segi tasawuf. Bahkan diri perlu bersih di dalam ibadat – tidak terhad kepada solat sahaja, tetapi bersih dari segi  mu`amalat, makan minum,  dari segi halal, bahkan dari segi akhlak pergaulan.
Bersih dari permulaan, bersih perjalanan dan bersih penyampaian.

Sekian.

No comments:

Post a Comment