October 20, 2017

DOKTRIN HULULIYYAH


BBB, 29 Muharram 1439H. = 19 Oktober 2017M. (Khamis):
Doktrin Hululiyyah (Penjelmaan atau Inkarnasi) adalah dinisbahkan kepada Husain bin Mansur al-Hallaj dan pengikut-pengikutnya. Kunyahnya Abu al-Mughith. Dia berasal dari Baydha`, Parsi. Dia terdidik di Wasit* dan Iraq. Dia bersahabat dengan Al-Junayd, Abi al-Husain al-Nuri, `Umar al-Makki dan al-Fut*i  dan lain-lain.
Dari segi doktrin, bahawa Al-Hallaj membawa  `Doktrin  al-Hulul` , dalam mana pihak Tertinggi (Tuhan) boleh turun menjelma di dalam makhluk, terutamanya manusia. Perbahasan penjelmaan ini ada berkaitan dengan roh sebagai mekanisma penjelmaan. Dan soal roh ini diperbahaskan adakah abadi  atau makhluk. Hujjah yang dipegang berkait dengan firman Allah bermaksud:
`` Engkau ya Muhammad akan ditanya berhubung dengan roh, katakanlah roh adalah dari perkara Tuhanku.`` (Al-Isra`: 85).
Dipersoalkan apakah roh itu kekal atau baharu.
Jika dikatakan kekal, maka ada yang kekal lebih dari satu. Jika berlaku penerunan ertinya lebih dari satu. Ianya tidak mungkin.
Dan dari segi akidah, tidak mungkin Yang Kekal turun menjelma di dalam yang baharu.
Antara kata-kata Al-Hallaj yang dipersoalkan,  ``Bahawa Al-Hallaj masuk ke Makkah dan menemui `Amrin bin `Uthman, seorang pemuda menayakan Al-Hallaj, ``Dari mana ?``Maka berkata Al-Hallaj, ``Kalaulah penglihatan engkau dengan Allah, nescaya engkau melihat tiap-tiap suatu pada tempatNya dan adalah Allah melihat tiap-tiap sesuatu.`` Kata-kata ini amat tidak disenangi oleh `Amru Ibn `Uthman. Dia tidak bersamanya lagi.
Begitu juga  pada satu hari Al-Hallaj masuk ke Is*fahan, dia diterima oleh `Ali bin Sahl. Ali bersama Al-Hallaj bercakap tentang ma`rifah. Maka berkata Husain bin Mansur (Al-Hallaj),
``Wahai Sufi, ``Engkau bercakap tentang ma`rifat sedangkan aku hidup !
Maka berkata `Ali bin Sahl, ``Ini  adalah zindiq. Lantas orang ramai berhimpun dan mengeluarkannya.
Dan beberapa contoh yang lain (Jamharat al-Awliya` Jil 2,,1387H.’1967: 165).
Dengan berbagai-bagai bukti kezindiqannya dia telah dihukum bunuh pada zaman Khalifah Ja`far bin al-Mu`tadhid  pada tahun  309H.
Dengan pegangan Husain bin Mansur yang memberi  makna Hulul, pegangannya ditolak oleh kebanyakan shaykh sufi. Mereka tidak menerimanya  sebagai sufi. Namun menurut Al-Sulami di dalam Tabaqat al-Sufiyyah antara sufi menerimanya  seperti Abu al-Abbas bin `At*a`, Abu `Abdullah Muhammad Khafif, Abu al-Qasim  Ibrahim bin Muhammad  al-Nas*r Abadzi. Mereka memujinya, sehingga Muhammad bin Khafif mengatakan, ``Al-Husain bin Mansur `alim Rabbani``. Menurut Al-Hujwiri  Al-Hallaj mempunyai pengikut yang memperkembangkan doktrinnya seperti Faris dan Abu Ja`far Shaydalani dan Abu Hulman  yang masing-masing mempunyai pengikut-pengikut.
Antara kata-kata Al-Hallaj yang dihimpun oleh Al-Sulami.
Aku mendengar `Abdul Wahid bin Bakar berkata, aku mendengar Ahmad bin Faris berkata, aku mendengar Al-Husain bin Mansur berkata, ``Dilindungi dengan nama, maka mereka itu hidup, kalau dizahirkan kepada mereka itu ilmu-ilmu qudrat nescaya luluh-cair mereka, kalau dibukakan kepada mereka hijab tentang hakikat nescaya mereka mati.``
Katanya, dan adalah Al-Hallaj berkata, ``Ilahi, Engkau mengetahui kelemahanku daripada berbagai tempat kesyukuranku kepada Engkau, maka bersyukurlah akan diri Engkau daripadaku, kerana syukur tidak ada yang lain.``
Katanya berkata Al-Hallaj, ``Siapa yang memerhati pekerjaan dilindung daripada yang kena amal baginya dan siapa yang memerhati yang kena amal baginya, terlindung daripada melihat amalan.``
Aku mendengar `Abdul Wahid berkata, aku mendengar Ahmad bin Faris berkata, aku mendengar Al-Husain bin Mansur berkata, ``Nama-nama Allah Ta`ala  daripada sekira-kira dapatan tentang nama dan daripada sekira-kira haqq ialah hakikat.``
Katanya, aku mendengar Al-Husain berkata, ``Lintasan haqq ialah yang tidak menghalanginya sesuatu.``
Katanya, aku mendengar Al-Husain berkata, ``Apabila diberi kepada manusia maqam ma`rifat Allah mewahyukan kepadanya lintasan-lintasan baginya dan dijaga rahsianya hingga tidak dimasuki lintasan yang tidak benar.``
Katanya aku mendengar Al-Husain bin Mansur berkata, ``Al-Haqq dialah menjadi maksud kepadanya dengan beribadat, dan maksud kepadanya ialah dengan taat, tidak disaksi dengan yang lain dan tidak didapati selainnya dengan menjaga berdirinya sifat-sifat dan dengan semuanbya didsapati kerehatan.``
Katanya, aku mendengar Al-Husain bin Mansur berkata, ``Siapa yang dimabuki oleh cahaya tauhid, terlindung daripadanya ibarat tajrid,  bahkan siapa yang dimabukkan oleh cahaya tajrid, dia bertcakap daripada hakikat tauhid, kerana kemabukan  dialah bercakap dengan sesuatu yang tersembunyi.``
Katanya, aku mendengar Al-Husain bin Mansur berkata, ``Siapa yang mencari kebenaran dengan nur iman adalah seumpama orang menuntut matahari dengan cahaya planet-planet.``
Demikian antara ungkapan Al-Husain bin Mansur yang kontroversi dari segi tasawuf. Kebanyakan kalangan sufi menolaknya, namun ada yang mempertahankannya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment