October 23, 2017

KONSEP TAUHID : RASIONAL DAN WIJDAN


BBB, 02 Safar 1439H. = 22 Oktober 2017M. (Ahad):
Seterusnya perkara yang dibicarakan oleh Al-Hujwiri ialah tentang konsep tauhid. Tauhid bererti `Mengesakan` yakni mengesakan Tuhan. Ilmu ini dikenali juga sebagai, ilmu `aqidah,  usuluddin atau yang lebih tinggfi pembicaraannya dikenali dengan `Ilmu al-Kalam`.
Ilmu tauhid adalah ilmu yang penting dan merupakan kewajipan utama yang harus dipelajari oleh seorang Islam,.  Sebagaimana kata-kata di dalam keilmuan yang berkenaan:
``Seawal-awal kewajipan di atas sesaeorang Islam ialah ma`rifat Allah.``
Ayat  Al-Qur`an yang menekankan  tentang  mengesakan Allah seperti ayat bermaksud:
``Katakanlah (ya Muhammad)  Dia Allah yang Tunggal (Esa) (Al-Ikhlas: 1).
Ilmu tauhid dibicarakan di dalam ilmu `aqidah dan turut dibicarakan juga di dalam ilmu tasawuf. Pengajian ilmu tauhid atau `aqidah mempunyai pendekatan yang sistematik dan teratur, manakala pendekatan di dalam tasawuf lebih bersifat dzauq dan wijdan, intuisi dan kerohanian.
Pendekatan ilmu tauhid bertolak dari mengenali  hukum akal yang terdiri dari wajib, mustahil dan harus bagi memahami tentang Allah. Seperti mengenali sifat-sifat yang wajib bagi Allah. Antaranya sifat yang wajib bagi Allah dua puluh, yang mustahil juga dua puluh dan yang harus satu. Juga mengenali sifat wajib bagi Rasul empat,  mustahil empat dan harus baginya satu menjadikan mengetahui tentang Allah dan Rasul melalui sebanyak 50 sifat.  Juga dipelajari maksud iman dan islam. Secara lebih lanjut dibahaskan  sifat-sifat Allah bagi wajib, mustahil,  dan harus berdasarkan dalil dan burhan bagi memahami dengan mendalam.
Walaupun ilmu tauhid adalah lebih berfokus pada pembicaraan tentang Allah dan Rasulullah, tetapi secara lebih lengkap dipelajari kesemua rukun iman yang enam agar kefahaman tentang  rukun iman, keimanan dan ketauhidan lebih menyeluruh.
Tauhid dari segi tasawuf, sebagaimana telah disebut tidak ada kaedah yang teratur yang dapat diikuti bahagian demi bahagian.  Pandangan tauhid kesufian diambil dari kalangan sufi terkenal. Oleh kerana ianya diungkap oleh sufi berdasarkan dzauq dan wijdan, maka antara seorang sufi dengan sufi yang lain bnerlainan ungkapan, walaupun tujuan sama, tetapi  tidak sama dari segi ungkapan.
Menurut Al-Hujwiri, menerangkan erti tauhid dalam ungkapan dan nada biasa, bahawa:
``Tauhid itu menyatakan tentang keesaan sesuatu dan memiliki pengetahuan yang sempurna tentang keesaannya, kerana Tuhan itu esa tanpa ada sekutu dalam tindakan-tindakannya.``
Manakala tauhid di kalangan sufi diungkapkan secara dzauq dan wijdan, umpamnya:
``Berkata Yusof bin al-Husain al-Razi, seorang berdiri berdepan dengan Dzu al-Nun al-Mis*ri dan berkata, ``Khabarkan daku tentang tauhid, apa dia ?``Maka kata Dzu al-Nun al-Mis*ri,
``Engkau mengetahui bahawa qudrat Allah Ta`ala pada sesuatu tidak ada percampuran dan perbuatanNya tentang sesusuatu tanpa `ilaj dan tiada `illah di atas sesuatu yang dibuatNya dan tiada `illah  bagi perbuatanNya. Dan tidak ada di langit tinggi dan di bumi rendah Pentadbir yang lain daripada Allah. Apa jua yang tergambar di dalam waham engkau, maka Allah bersalahan dari yang demikian.
Dan berkata Al-Junayd, tatkala disoal tentang tauhid, katanya, ``Tauhid ialah menunggalkan Yang Esa dengan tahqiq wahdaniyyahNya dengan sempurna keesaanNya, dengan bahawasanya  Dialah Yang Esa yang tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dengan menafikan lawan dan keserupaan dan tidak  perbandingan dan tidak disembah selain daripadaNya. Tiada umpama dan bagaimana, tiada gambaran dan tamsilan, bahawasanya Ia Esa lagi S*amad tunggal dan tiada seumpamaNya  sesuatu dan Dia Amat Mendengar lagi Amat  Melihat.``
Dan disoal  Junayd sekali lagi tentang tauhid, maka katanya, terhapus garisan, hilang makluman, maka Allah sentiasa selama-lamanya.
Dan disoal pula Al-Junayd tentang tauhid khas, maka katanya, ``Adalah hamba bayangan (Shabhan) berdepan dengan Allah `Azza wa Jalla, berlari di atasnya larian tadbirNya menurut larian hukum qudratNya di dalam gelombang laut tauhidNya dengan fana` selain dariNya, tanpa sebarang dakwaan (pengakuan) makhluk dan mustajabnya, dengan hakikat wujud keesaanNya pada hakikat kedekatanNya dengan hilang rasa dan gerak  dengan berdiri hak sebagaimana dikehendakiNya. Dan kembali akhir hamba kepada awalnya. Maka dia sekarang sebagaimana dia setelah lalu sebagaimana sekarang. Dan dikatakan juga, `Tauhid`  ialah, ``Keluar dari kesempitan garisan zaman kepada keluasan fana` yang sarmadani.``
Mencatat Al-Kalabadzi  di dalam Al-Ta`arruf, tauhid bahawa Allah itu esa lagi tunggal, lagi S*amad, qadim, mengetahui lagi berkuasa, hidup mendengar, melihat ... seterusnya dengan segala sifat kesempurnaan.
Seterusnya dinafikan dariNya, ``Tidak berjisim, tidak bayangan,, tidak gambaran, tidak perorangan, tidak jauhar dan tidak sifat ... seterusnya menafikan segala yang tidak layak bagiNya.
 Dan  Al-Kalabadzi merumuskan, ``
``Dan secara jamaah para sufi berpendapat, bahawasanya Dia tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan mata seni, sifat-sifatNya tidak berubah dan tidak bertukar namaNya. Dia berterusan. Dia awal dan akhir, zahir dan batin. Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu. Dan tiada diumpamakan sepertiNya dan Dia adalah Amat Mendengar lagi Amat melihat.
Demikian perbedaan tentang tauhid. Ilmu tauhid bagi usuluddin mempunyai penbdekatan teratur dan rasional berdasarkan hujah dan dalil naqli dan akli, manakala tauhid menurut sufi adalah berdasarkan tanggapan tokoh-tokoh sufi secara rohani, imtuitif, dzauq dan wijdan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment