October 30, 2017

LANJUTAN TAKLIMAT DAN PERTAMA SOLAT BERJAMAAH


Masjid Al-Umm, BBB, 08 Safar 1439H. = 28 Oktober 2017M. (Sabtu):
Sambungan:



Taklimat seterusnya disampaikan oleh Ir. Haji Ishak bin Haji Arshad selaku Timbalan Pengerusi Pembangunan dan Pengimarahan  dan Pengerusi Bahagian teknikal Masjid al-Umm, beliau memaklumkan bahawa cadangan siap pembinaan Masjid Al-Umm oleh Tekad Nusantara  telah beberapa kali tertangguh dari jangka tarikh penyiapan awal dalam tempoh 76 minggu (20 Mei  2015) hingga Ramadhan 1438H. (Jun 2017M.), tetapi hingga kini masih belum dapat digunakan, walaupun hampir siap, tertangguh oleh faktor teknikal dan kewangan.
Menurut Tuan Haji Ishak faktor kelewatan antaranya berlaku perubahan dari plan asal. Misalnya perubahan plan masjid dari dua tingkat, kepada tiga tingkat dengan penambahan bahagian bawah tanah yang pada asalnya dijangkan untuk parkir, tetapi difikirkan sesuai dan lebih menguntungkan dalam masa jangka panjang dijadikan tingkat bawah tanah sebagai dewan serbaguna. Plan kubah di bawah Majleza kepada bentuk yang lebih besar dan menarik. Perubahan plan juga berlaku terhadap dua menara masjid kepada bentuk menara seperti menara di Masjid al-Haram. Begitu juga penutupan beberapa bahagian tempias dan perubahan-perubahan yang lain. Dengan berbagai perubahan yang dilakukan menyebabkan berlakunya peningkatan kos dari kos asal di dalam butiran projek RM10,556,800.00 meningkat antaranya dari kenaikan harga barang, cukai GST (RM800,00) kepada beberapa kali anggaran kenaikan, iaitu kepada RM12 juta, RM15 juta, RM18 juta dan terakhir kepada RM21 juta.
Menurut  Ir.Tuan Haji Arshad  ruang masjid dapat menampung jamaah
Ruang Utama  2,000 orang
Ruang lempah (sayap)  kiri-kanan  1,000 orang
Ruang Anjung hadapan   500 orang
Ruang Muslimat di atas       500 orang
Manakala ruang tingkat bawah tanah 600 orang (ruang serbaguna).
Terdapat dua bilik (mesyuarat dan persidangan  pada tingkat atas dan dua bilik (IT dan tahfiz) pada tingkat ini. Manakala pada ruang utama terdapat satu bilik pentadbiran dan bilik tarbiah dan juga  bilik bagi pengurusan jenazah.
Menurut Ir. Haji Ishak, kesemua ruang telah siap, kini dalam proses testing and commissioning , khususnya mengenai M & E. Dan sebahagian besar telah mendapat kelulusan pihak berkenaan. Beliau berharap masjid dapat digunakan dalam masa terdekat.
Sesi terakhir taklimat disampaikan oleh Tuan Haji Mohd. Noor bin Hj. Yasin selaku Bendahari Jawatankuasa Pembangunan dan pengimarahan masjid. Beliau menyatakan bahawa beliau amat terhutang budi terhadap kemurahan hati penduduk yang di dalam empat tahun terhimpun lebih dari RM20 juta. Jika dikira setiap tahun kita menerima derma sebanyak RM5 juta,dan hitung panjang setiap bulan derma yang didapati adalah sebanyaak RM450,000. satu jumlah yang amat menggalakkan. Beliau mengucapkan terima kasih. Beliau percaya masjid akan terus menerima sumbangan untuk kegiatan dan pengimarahan akan datang.



Tuan Haji Mohd. Noor turut menyebut tentang penambahan kos kerana perubahan plan, kenaikan harga baang dan GST. Selain dari perubahan plan, perkara yang tidak dijangka, berlakunya tempias yang terpaksa dilakukan penutupan ruang secara bersesuaian. Beliau juga menyebut tentang pertambahan tingkat bawah tanah yang walaupun memerlukan peruntukan tambahan, tapi menguntungkan dan menjadi sumber bagi kewangan masjid bila ditempah untuk disewa..
Tuan Haji Mohd. Noor juga menyebut meskipun pembangunan fizikal 98%  siap, tetapi dari segi pembayaran yang telah dibuat hanya  86% dan kita sedang berhutang adalah sebanyak 14%. Jumlah ini yang kita sedang usaha mencarinya. Beliau menyebut walaupun andainya pembayaran dapat dilunaskan, namun masjid memerlukan peruntukan berterusan untuk menampung kegiatan dan pengimarahan berterusan. Beliau percaya apabila masjid beroperasi, dengan kegiatan-kegiatan yang akan dilakukan orang ramai insha Allah akan terus memberi derma dan sokongan.



Majlis taklimat rapat hingga waktu `Asar. Taklimat berakhir tanpa soal jawab. Para hadirin begitu teroja  mengambil kesempatan untuk pertama kali menunaikan solat secara berjamaah di Masjid Al-Umm. Bahkan sebelum azan Asar dikumandangkan masing-masing bersolat tahiyyat al-Masjid  (sebahagian mereka membawa sajadah bersendirian, di samping sebahagian disediakan) dan apabila  azan `Asar dikumandangkan oleh Ustaz Hj. Ya`kob Mat Nor sebagai  azan permulaan, jamaah mengambil kesempatan solat sunat qabliyyah. Jama`ah lelaki yang berjumlah lebih  kurang 200 orang itu memenuhi saf-saf hadapan dan jamaah muslimat yang juga berjumlah lebih kurang 200 orang itu memenuhi saf-saf di belakang saf-saf lelaki (tidak naik ke tingkat atas). Solat `Asar berjamaah iaitu solat permulaan di Masjid al-Umm diimami oleh Al-Ustaz Nabil Fikri, Imam Rasmi yang dipilih oleh Jawatankuasa Masjid Al-Umm. Segala peralatan dari pili air,  penghawa dingin, kipas, lampu dan pembesar suara berfungsi dengan baik.



Selesai solat `Asar semua  hadirin dijemput minum petang, namun sebahagian dari jama`ah, terutama yang pertama kali datang kelihatan teroja dan terpesona dengan ciri seni bina Masjid Al-Umm yang dianggap indah. Sebahagian mereka selepas bersalam meninjau-ninjau ke hadapan dan ke kanan ke kiri bangunan, lebih-lebih lagi terpesona melihat ke bahagian atas – kubah dan hiasan-hiasan keliling. Tidak kurang pula yang mengambil gambar objek-objek yang menarik dan mengambil gambar secara beramai-ramai berlatanrbelakangkan objek-objek yang dianggap menarik.
Sesi minum petang ini agak meriah. Peruntukan kuih-kuih yang disediakan oleh masjid adalah untuk jangkaan 200 orang tamu sahaja, tetapi di luar jangka, yang hadir adalah lebih kurang 400 orang, namun adalah difahamkan ramai muslimat yang membawa kuih-kuih sebagai tambahan bagi kuih-kuih yang disediakan  -  Hidangan pada sebelah kiri (untuk muslimat) dan kanan (untuk muslimin), lantaran itu kuih-kuih yang disediakan adalah mencukupi.
Pihak Jawatan kuasa merasa gembira dan berpuashati di atas sambutan yang diberi oleh penduduk. Terima kasih di atas kehadiran mereka. Mereka juga turut menderma yang jumlahnya mendekati angka RM10,000. Terima kasih.

Sekian.

No comments:

Post a Comment