BBB, 17 Muharram 1439H. = 17 Oktober
20017M. (Sabtu):
Di dalam membicarakan tentang doktrin
atau faham `Muhasibisme` Al-Hujwiri membicarakan tentang persoalan maqam dan hal yang Al-Hujwiri sedar
bahawa maqam dan hal tidaklah termasuk di bawah doktrin atau faham yang
dibicarakan. Al-Hujwiri mengaitkan maqam dan hal ini kepada pendapat Al-Harith
bin Asad al-Muhasibi.
Kata Al-Hujwiri, bahawa kedua istilah itu
biasa digunakan sebagai istilah kesufian,
``Maqam menunjukkan keberadaan seseorang di
jalan Allah yang dipenuhi seseorang itu
akan kewajipan-kewajipan yang berkaitan dengan maqam itu dan
penjagaannya sehingga dia mencapai kesempurnaan dari segi maqam berkenaan.``
Manakala hal menurut Al-Hujwiri adalah
suasana yang turun dari Tuhan ke dalam hati manusia tanpa mampu menolaknya bila
dia datang dan tiada mampu mendapatrnya bila dia pergi.
Konsep maqam dan hal di dalam tasawuf
adalah penting. Dia adalah merupakan skema pendekatan utama yang seharusnya
dilalui oleh seorang sufi dalam perjalanan meningkatkan kualiti diri dalam
menuju Ilahi.
Maqam bererti hentian, ianya diibaratkan
dalam perjalanan yang jauh, maka untuk sampai perlu melalui hentian-hentian. Misalnya
untuk ke Makkah bertolak dari rumah,
kemudian ke bandar , menaiki kenderaan ke lapangan terbang, ke Kuala Lumpur dan
menaiki kapal terbang ke Jeddah dan kemudian sampai ke Makkah tempat yang
dituju. Adapun hal ialah suasana yang berlaku pada diri dari segi peribadi dan
kerohanian. Sepatutnya hal akan terus berubah dari baik kepada yang lebih baik
dan terbaik di dalam menuju kepada Ilahi.
Shaykh sufi yang paling berwibawa dan
mendahului yang lain di dalam membicara persoalan maqam dan hal ini secara
teratur ialah Shaykh Abu Nas*r al-Sarraj (m. 378H.) di dalam kitabnya yang
berjudul `Al-Luma`.
Al-Sarraj memberi takrif dari segi maqam
katanya, ``Makna maqam ialah maqam hamba berdepan dengan Allah Subhanahu wa
Ta`ala dengan apa yang didirikannya daripada ibadat, mujahadah dan riyadhiyat
untuk menuju kepada Allah Ta`ala, sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
``Yang demikian bagi siapa yang takut,
maqamku dan siapa yang takut kepada janjiku.`` (Ibrahim : 14).
Dan firmanNya lagi bermaksud:
``Dan tidaklah bagi Kami, melainkan baginya
maqam yang termaklum.`` (Al-Safat : 164).
Adapun aspek-aspek maqam bagi Al-Sarraj
ialah:
a) Taubah
Merupakan seawal maqam
dalam menuju Allah, bermaksud bertaubat dari segala dosa yang lepas dan tidak
melibatkan dosa akan datang.
Berkata Al-Susi, taubat
ialah engkau tinggalkan daripada tiap-tiap yang dikeji ilmu kepada yang dipuji
ilmu. Atau sebagaimana dikata oleh Sahl bin `Abdullah , ``Engkau tidak lupa
daripada dosa engkau, sebaliknya Al-Junayd bekata ``Engkau lupa daripada dosa engkau.``.
Daripada maqam taubat
meningkat kepada:
b) Maqam al-Wara`
Bermaksud berwaspada diri,
seperti tidak terjatuh kepada shubhah
dan mempastikan diri menggunakan yang halal. Berusaha bersih dalam perjalanan
diri.
c) Maqam Zuhud
Maksud zuhud sebagaimana
kata Al-Junayd:
``Mengosongkan tangan dari
pemilikan dan mengosongkan hati daripada tamak.``
Daripada zuhud menuju
kepada faqr.
d) Maqam Faqr
Faqr menurut Ibrahim
al-Khawass, ``Meninggalkan aduan, menyembunyikan kesan balwa,
Dia adalah maqam al-s*iddiqin. Firman Allah tentang faqr bermaksud:
``Orang-orang faqir itu
menumpukan diri berjuang pada jalan Allah.`` (Al-Baqarah: 273).
Dari faqr menuju kepada:
e) Maqam Sabar
Berkata Al-Junayd, ``Sabar
ialah menanggung ujian Allah hingga tak tertanggung oleh waktu
Firman Allah tentang sabar
bermaksud:
``Sesungguhnya dibalas
orang-orang sabar itu pahala mereka tanpa hisab (tidak terhisab).``(Al-Zumar:
10). Dari sabar meningkat kepada:
f) Maqam Tawakkal
Berkata Abu Turab
al-Nakhshabi, ``Tawakkal ialah mematuhi badan dari segi ubudiyyah, menyangkut
hati dengan rububiyyah dan tama`ninah kepada yang kifayah, jika dikurnia dia
syukur, jika tersekat dia sabar redha serta muwafaqat dengan qadar.
Firman Allah bermaksud,
``Kepada Allah bertawakkal orang-orang yang bertawakkal.`` (Ibrahim: 11). Dan
daripada tawakkal menuju kepada:
g) Maqam Redha
Berkata Al-Qanad, ``Redha
ialah tenang hati dengan larian qadha`.``
Firman Allah bermaksud,
``Allah meredhai mereka itu dan mereka meredhakanNya.``
(Al-Ma`idah: 119).
Demikianlah aspek-aspek maqam yang disebut
oleh Al-Sarraj di dalam Al-Luma`.
Kesempurnaan maqam hendaklah disertai
dengan hal atau ahwal yang akan dibicarakan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment