October 12, 2017

DOKTRIN ABU YAZID AL-BIST*AMI: KEMABUKAN DAN KESEDARAN


BBB,  21 Muharram 1439H. = 11 Oktober 2017M. (Rabu):
Nama lengkap bagi tokoh yang dibicarakan ialah Abu Yazid T*ayfur bin `Isa bin Sarushan. Dan adalah datuknya – Sarushan ini asalnya majusi, dan memeluk agama Islam. T*ayfur bertiga beradik, iaitu Adam, T*ayfur sendiri dan adiknya `Ali, ketiga-tiga mereka adalah para zuhhad dan `ubbad dan ahli ahwal. Mereka adalah berasal dari Bist*am. Abu Yazid al-Bistami kalangan awal sufi dan meninggal tahun 261H.
Menurut Al-Hujwiri, Abu Yazid adalah shaykh sufi yang mempunyai aliran  tersendiri yang dikenali `Mabuk Cinta Ilahi` .  Al-Bist*ami menyukai kemabukan.  Dengan kemabukan adalah pelenyapan dan kebinasaan sifat manusiawi. Ia adalah bertentang dengan `Ketidakmabukan`. Al-Junayd tidak menyetujui kemabukan dan  berpegang pada Ketidakmabukan `Sedar`. Ini adalah pegangan kebanyakan sufi. Yang tidak menyetujui kemabukan lantaran ia adalah  merupakan keadaan manusia di dalam kemabukan tersebut terputus dari kesedaran dan di luar dari kawalan yang boleh menjerumuskan  kepada sesuatu yang boleh merosak dan membahayakan, kerana berada di luar sedar dan di luar rasional. Walau bagaimana ada yang mempertahankan situasi sufi yang berada di dalam ketidaksedaran atau kemabukan – mabuk kecintaan dan dilihat kata-kata yang terkeluar di dalam ketidaksedaran – mabuk sebagai kata-kata sat*hiyyat – permukaan yang diberi takwilan.
Dari satu segi dilihat bahawa yang berada pada peringkat kemabukan ini mengalami apa yang diistilahkan sebagai fana` dengan Allah dan satu lagi ialah baqa` dengan Allah. Peringkat fana`, melihat manusia dan alam ini adalah sesutu yang binasa dan pada peringkat fana`  tidak wujud dan wujud hanya Allah, sebaliknya pada peringkat baqa` bi Allah, ialah melihat dari segi hakikat yang wujud sebenarnya ialah Allah.
Daripada kata sat*hiyyat seperti ungkapan di dalam al-Luma`:
Aku orang yang dirindui dan yang dirindui ialah aku
Apabila engkau melihat daku kau melihat kami
Kami dua roh sama pada satu jasad
Dipakailkan oleh Allah kepada kami badan
(Al-Luma`, 1380/1960  hlm.  463).
Berkata Al-Junayd kata-kata sat*hiyyat yang dikaitkan dengan Abi Yazid seperti di atas:
``Hikayat tentang Abi Yazid bermacam-macam, mereka yang memetik katanya berbagai-bagai sebagai dalam jangkaan (iqtaraf). Wallahu a`lam.
Pada kali lain Al-Junayd berkata:
``Dan adalah daripada kalam Abi Yazid  r.h.a. itu, kerana kekuatan,, keterlibatan, puncak maknanya. Dia mengharungi laut cintanya secara berseorangan, yang demikian laut harungannya adalah secara keseorangannya.``  (Al-Luma`: 459).
Berkata Al-Junayd lagi:
``Aku dapati hikayat-hikayat tentang Abi Yazid r.a. hal yang sedikit yang memahami tentangnya atau apa yang dita`bir tentangnya ketika mendengarnya, kerana tiada mampu yang membawanya, melainkan yang mengetahui maknanya dan mampu dengan maksud tertentunya, siapa yang tidak mampu dengan  apa yang dibawanya, ketika mendengar  keseluruhannya, maka bagi mereka menolaknya.``
Tambah Al-Junayd, ``Abu Yazid tenggelam pada apa yang didapati daripadanya dan dia pergi dengan hakikat hak, jika tidak mampu dicapai dengan makna yang dia tenggelam dengannya, maka tidaklah tepat dengan maksudnya. (Al-Luma`: 459).
Apa yang aku sebut kata al-Jumayd, bukan tertulis dalam karangan-karangan, kerana dia bukan ilmu yang ditetapkan di kalangan ulama`, tapi ada yang sengaja mengharungi pada maknanya dan dijadikan hujah yang bat*il, ada yang berpendapat  kufur dari segi i`tiqad, sedang ramai yang tersalah arah dengan apa yang mereka pergi dengannya. (Al-Luma`: 460).
Daripada apa yang dicatat al-Sulami di dalam Tabaqat al-Sufiyyah, antaranya,
``Disoal Abu Yazid tentang darajah al-`arif, maka katanya, ``Tiada di sana darajah,, bahkan setinggi faedah bagi yang `arif ialah wujud apa yang diketahuinya.``
Berkata Abu Yazid, ``Al-`abid menyembahNya dengan hal, sedang al-`arif yang was*il  menyembahnya di dalam hal.``
Disoal Abu Yazid, ``Apa yang menolong dari segi ibadat ? Maka katanya, ``Allah kalau engkau ma`rifat tentangNya.``
Berkata Abu Yazid, ``Aku beramal di dalam mujahadah selama tiga puluh tahun,, maka aku tidak dapati sesuautu yang lebih sukar, melainkan ilmu dan mengikutinya, kalau tidak ada khilaf `ulama` dia kekal. Dan ikhtilaf `ulama` adalah rahmat, kecuali pada mentajridkan tauhid.``
Kata Abu Yazid, ``Tidak mengetahui akan dirinya siapa yang bersahabat dengan nafsunya.``
Berkata Abu Yazid, ``Allah memerhati hati para awliya`nya, Antara mereka itu tidak layak menerima ma`rifat untuk dibawa, maka dia tertumpu kepada ibadat.``
Adalah didengar Abu Yazid berkata, ``Ya Tuhanku fahamilah akan daku tentang Engkau, kerana aku tidak memahami tentang Engkau melainkan dengan Engkau.`` (Tabaqat al-Sufiyyah: 1389/1969: 67-74).
Demikianlah kontroversi tentang Abu Yazid al-Bist*ami, di dalam keadaan biasa, ungkapan-ungkapannya adalah tidak terkeluar dari kewajaran.

Sekian.

No comments:

Post a Comment