BBB, 01 Safar 1429H. = 21 Oktober 2017M. (Sabtu):
Satu dari keistimewaan kitab Kashf
al-Mahjub oleh Al-Hujwiri, bahawa selain
dari membicarakan tentang tokoh-tokoh sufi yang pembicaraan sedemikian banyak
dilakukan oleh penagarang-penagarang tabaqat dan bukan tabaqat, ialah
Al-Hujwiri membicarakan tentang doktrin-doktrin kesufian sebagaimana telah
dibicarakan. Berikut dari itu Al-Hujwiri membicarakan tentang konsep-konsep,
istilah-istilah termasuk juga tentang pengibadatan.
Ma`rifat adalah istilah yang paling rapat
dengan kesufian. Ma`rifat dari segi bahasa bermakna kenal, sebagaimana istilah
yang dekat dengannya iaitu `ilmu` bererti `tahu..
Menurut Al-Hujwiri mengenal Allah ialah dengan dua cara, iaitu
dengan ilmu pengetahuan (akal) dan dengan hati.
Al-Hujwiri lebih membesarkan `ma`rifat
(hati) dari ilmu (akal). Beliau berkata,
``Tidak ada theologi tanpa ma`rifat.``
Bermaksud ilmu theologi adalah bergantung
pada rasional akal. Baginya ma`rifat lebih utama dari ilmu pengetahuan.
Beliau tidak bersimpati dengan akal, oleh
kerana hujah-hujah Mu`tazilah berasaskan akal, dan berpendapat (Mu`tazilah) kebenaran dapat dicapai oleh
akal, walaupun misalnya tidak disampaikan wahyu.`
Kita berpendapat persoalan akai dan
ma`rifat dalam pembicaraan ini tidak ada
hubungannya dengan Mu`tazilah.
Akal adalah satu alat yang dapat digunakan
bagi mencapai kebenaran, sebagaimana pancaindera juga sebagai alat mencapai
kebenaran di dalam had dan batasnya tertentu. Sementara akal dapat digunakan
bagi mencapai kebenaran sebagaimana digunakan kaedah dalil dan burhan di dalam
keilmuan theologi, namun Al-Hujwiri berpendapat kebenaran dapat dicapai dengan hati, iaitu melalui
mekanisme ilham, iaitu taraf di bawah daripada wahyu, tapi Al-Hujwiri tidak
dapat menunjukkan mekanism, hati yang dapat mencapai ilham berkenaan seterusnya
kepada kebenaran.
Bagi mengukuhkan pendapat tentang ma`rifat,
Al-Hujwiri memetik berbagai pendapat sufi, antaranya pendapat `Abdullah al-Mubarak,
iaitu sufi peringkat awal yang menulis tentang tasawuf. Menurut `Abdullah
al-Mubarak,
``Ma`rifat
ialah kurniaan yang menakjubkan dari Allah kepada `arif yang dikehendaki
tentang sesuatu persoalan yang bersifat ma`rifat.``
Manakala Shibli berpendapat, ``Ma`rifat
adalah kekaguman yang terus menerus sama ada pada persoalan ma`rifat atau nilai
yang terhasil darinya.``
Abu Nas*r al-Sarraj al-T*usi di dalam bukunya `Al-Luma`` banyak menampilkan pendapat tentang
ma`rifat:
Kata Abu Sa`id al-Kharraz, Ma`rifat datang
dengan dua wajah, dengan `ayn yang lembut (al-jud) dan secara usaha yang sungguh-sungguh.``
Disoal Abu Turab al-Nakhshabi tentang
`arif, maka katanya, ``
Dia adalah yang tidak dikeruhi oleh sesuatu
dan bersih dengannya oleh sesuatu.``
Dan berkata Ahmad bin`Ata`, ``Ma`rifat ada
dua jenis ma`rifat, ma`rifat haqq dan
ma`rifat hakikat ma`rifat haqq. Ma`rifat wahdaniyyahNya di atas apa yang nyata
dari makhluk dari segi nama-nama dan sifat-sifat. Dan ma`rifat hakikat, bahawa
tiada jalan kepadaNya kerana tertegahnya secara s*amadiyyah dan tahqiq Rububiyyah, kerana maksud firman
Allah
(Wala yuhit*una bihi `ilma.`` (Taha: 110)
bermaksud:
``Dan tidak meliputi dengannya keilmuan.``
Menurut Abu Nas*r al-Sarraj al-T*usi, maksud``tiada
jalan kepadanya` di atas, yakni kepada ma`rifat secara hakikat kerana
Allah Ta`ala menzahirkan kepada makhlukNya daripada nama-nama dan sifat-sifatNya
daripada apa yang dikatahui untuk dicakapkannya, yang demikian kerana hakikat
ma`rifat, tidak mampu bagi makhluk dan
tidak sezarrah daripadanya, kerana alam dan kandungan akan lebur melalui zarrah
terawal dari nyata kebesaranNya, siapa yang mampu ma`ririfat dengan yang
bersifat dengan sifat-sifat sedemikian ?
Sebab itu adalah dikatakan, ``Aku tidak
mengenal yang lain dan aku tidak mencintai selain dariNya, kerana S*amadiyyah tertegah dariNya dilitupi ilmu
dan dari idrak, kerana firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Dan tidak meliputi dengan sesuatu dengan
ilmunya.`` (Al-Baqarah: 255).
Adalah dihikayatkan dari Sayyidina Abu Bakar al-S*iddiq, bahawa
beliau berkata (bertasbih),
``Mahasuci siapa yang tidak menjadikan bagi
makhluk jalan kepada ma`rifatNya, melainkan lemah daripada ma`rifatNya.``
Dan disoal Shibli, ``Bilakah seorang `arif
menyaksikan Yang Haqq ?`` Katanya
``Apabila nyata yang menyaksi,dan fana
segala saksian, hilang segala pancaindera, hancur segala rasa.``
Ditanya lagi, Bila bermula perkara ini dan
bila berakhirnya ?`` Maka katanya,
``Permulaan ialah ma`rifatNya dan
pengakhiran adalah tauhidNya.``
Dan daripada alamat ma`rifat, bahawa dia
melihat dirinya dalam genggaman Al-`Izzah dan berlari di atasnya larian qudrah.
Dan daripada alamat ma`rifat ialah mahabbah, kerana siapa yang mengenalNya
mengasihiNya.
Demikian antara pendapat tentang ma`rifat
yang dicatat oleh Abu Nas*ral-Sarraj di dalam Al-Luma` yang lebih jelas
daripada apa yang dicatat oleh
Al-Hujwiri.
Ilmu dan ma`rifat adalah mekanisme ketahuan dan ma`rifat.
Sekian.
No comments:
Post a Comment