BBB, 16 Muharram 1439H. = 06 Oktober 2017M.
(Khamis):
Menghampiri separuh dari buku Al-Hujwiri
membicarakan tentang tokoh-tokoh sufi. Persoalan tokoh ini sebenarnya telah
dibicarakan ramai dari penulis-penulis seperti Al-Sulami dengan Tabaqat
al-Sufiyyah, Al-Qushayri dengan Al-Risalat al-Qushayriyyah, Mahmud al-Faydh
dengan Jamharat al-Awliya`, Al-Sha`rani
dengan Al-Tabaqat al-Kubra dan lain-lain lagi., Antara mereka ada yang
membicarakan tokoh-tokoh yang sama dengan penambahan dan kelainan bahan di sana
sini. Ada yang membicarakan konsep sufi secara khusus, maksudnya bagi kalangan
yang disifatkan sebagai sufi yang rohaniyah semata-mata, tapi ada yang lebih
terbuka dan tidak rigid sifatmua.
Satu yang agak kelainan dari kandungan
pembicaraan tentang tasawuf ini, selepas
Al-Hujwiri membicarakan tentang tokoh-tokoh beliau membicarakan tentang doktrin
bagi madzhab-madzhab tasawuf.
Doktrin dapat dikatakan sebagai, prinsip,
falsafah, aliran, pendekatan yang diikuti secara teratur oleh golongan atau pihak-pihak tertentu di dalam
tasawuf. Ini merupakan kelainan dan keistimewaan pendekatan pembicaraan oleh
Al-Hujwiri. Sebagai di dalam keilmuan-keilmuan Islam yang lain ada pecahan
pendapat, seperti dalam bidang fiqh ada empat madzhab yang terkenal, iaitu
Maliki, Shafie, Hanbali dan Hanafi, demikian juga di dalam bidang aqidah ada
seperti Ash`ari, Maturid, al-Tahawi dan ada aliran-aliran falsafah seperti Ahlu
al-Sunnah wa al-Jama`h, Mu`tazilah, Qadariyyah dan Jabariyyah dan sebagainya.
Keadaan yang sama berlaku di dalam tasawuf.
Persoalan tasawuf sebenarnya lebih halus
dan rumit. Ia tidak bersifat dan melibatkan perkara-perkara nyata, tetapi ianya
mendekati persoalan akidah. Namun akidah dapat didekati secara jelas dan berasaskan
rasional akal dari segi perbahasan dan berkait juga dengan logik. Berlainan
dengan tasawuf yang lebih bersifat subjektif, dalaman, rohani, intuitif dan estetik sifatnya. Dia tidak mempunyai skema pendekatan
secara konkrit seperti akidah dan fiqh yang dapat diikuti dengan jelas.
Oleh kerana tasawuf bersifat subjektif dan
rohani dan cair, maka bertolak dari `Ihsan`
berlaku kepelbagaian pendekatan, pengolaham, pembawaan, aliran, doktrin dan falsafah.
Misaalnya ada yang dikenali sebagai
akhlak, wujudiyyah, hululiyyah, ittihad dan sebagainya. Ada yang mengambil
pendekatan, muhasabah, cinta, `ubudiyyah, fana` dan sebagainya.
Oleh kerana cair dan kepelbagaian, tasawuf
walaupun dimesrai bagi yang meminati, tidak kurang pula yang bimbang dengan
kepelbagaian yang tidak mendapat kepastian yang jelas. Antaranya yang merasa ianya adalah cara meneroka jiwa,
ada yang melihatnya sebagai estetika rohani, bahkan dirasa sebagai pecahan dari
akidah, bahkan ada yang melihatnya sebagai satu kepastian dan keperluan yang
perlu dipelajari bagi melengkapkan pegangan agama.
Di dalam hal ini Al-Hujwiri
mendekatinya dan melihatnya secara
doktrin yang terdapat di dalam tasawuf itu. Al-Hujwiri bukan pemula pembicara
tentang hal ini, lantaran aliran, pemikiran dan doktrin itu, walaupun ada yang
tidak menyebut doktrin telah dibicarakan oleh penulis-penulisa tasawuf yang
lebih mendahulu Al-Hujwiri, misalnya oleh Al-Sarraj al-Tusi di dalam Al-Lumaa –
apabila membicarakan tentang Abu Yazid
al-Bistami, bahkan Al-Hujwiri sendiri membicarakan tentang Al-Hallaj – Tokoh sufi
komtroversi itu.
Al-Hujwiri cuba menyusun doktrin-doktrin
yang terdapat di dalam tasawuf. Namun pembahagian yang dibuat bukan atas inisiatif
yang diusahakannya sendiri, sebaliknya ialah berasaskan kepada pendapat seorang
tokoh sufi, iaitu Abu Hasan al-Nuri (Al-Luma` & al-Tabaqat al-Sufiyyat –
Abu al-Husain). Abu al-Husain al-Nuri
Nama sebenarnya ialah Ahmad bin Muhammad,
lahir dan mendapat pendidikan di Baghdad, berketurunan Khurasan. Shaykh yang
tinggi kedudukan, baginya sebaik tariqat dan seelok kalam. Dia bersahabat
dengan Sari al-Saqati , Muhammad bin`Ali al-Qas*s*ab dan Abi al-Hawari.
Meninggal tahun 295H.
Al-Hujwiri mengambil pendapat Al-Nuri
bahawa:
Terdapat 12 madzhab di dalam tasawuf.
Menurutnya daripada dua belas itu, diterima sepuluh dan dula lagi ditolak. Menurutnya setiap satu
mempunyai kaedah penyucian diri, pengekangan hawa nafsu dan kaedah
berkontemplasi. Mereka berbeza dari segi praktik dan beribadat dan disiplin
estetik. Namun semua yang diterima (sepuluh) adalah sepakat dari segi pegangan
tauhid dan pematuhan kepada hukum shari`at.
Menurut Al-Hujwiri, dari segi perbezaan ini diterima berdasarkan konsep, bahawa `Ikhtilaf
umat itu rahmat` - Kecualki yang menyimpang dari akidah dan shari`ah.
Berikutnya Al-Hujwiri membicarakan madzhab
dan doktrin tasawuf itu secara satu persatu.
Sekian.
No comments:
Post a Comment