BBB, 26 Muharram 1439H. = 16 Oktober 201`7M. (Isnin):
Doktrin Kharraziyyah dinisbahkan kepada
pengikut-pengikut bagi faham berkenaan yang dinisbahkan kepada Abu Sa`id al-Kharraz. Namanya Ahmad bin `Isa. Dia adalah
dari ahli Baghdad, bersahabat dengan Dzul al-Nun al-Mis*ri dan Abu `Abdullah
al-Nabaji dan Abu `Ubaid al-Bisri. Juga bersahabat dengan Sari al-Saqat*i dan
Bish bin al-Harith al-Hafi dan lain daripada mereka itu. Dia daripada imam
tertinggi dan shaykh kesufian utama mereka. Beliau meinggal pada tahun 279H.
Abu Sa`id al-Kharraz dikatakan bahawa
beliau adalah dari kalangan mereka terawal bercakap tentang `Ilmu al-Fana` dan
Ilmu al-Baqa`.
Konsep fana dari segi akidah, bahawa selain
daripada Allah Ta`ala adalah tertakluk di bawah fana, tidak kekal dan akan
binasa. Bukti kefanaan adalah jelas berlaku kerosakan, kematian dan puncak
kefanaan apabila berlaku kerosakan besar yang dikenali dengan kiamat.
Adapun yang baqa` adalah Allah Subhanahu wa
Ta`ala yang bersifat baqa` tiada dahulu dan tiada akhir atau diibaratkan juga
Dia Yang Awal dan Dia juga Yang Akhir.
Abu Sa`id mengarang karya cemerlang dan membicarakan tentang fana` dan baqa`.
Menurutnya ada tiga kategori baqa`.
Pertama:
baqa` yang bermula dan berakhir dalam fana contohnya dunia ini.
Kedua:
Baqa` yang sesuatu sudah berwujud dan tidak akan pernah fana`, ya`ni
syurga dan neraka, dan akhirat serta penghuninya.
Ketiga: Baqa` yang sentiasa ada dan akan selalu ada
ya`ni kelangsungan Tuhan dan sifat-sifatNya yang azali-abadi.
Menurut Al-Hujwiri Abu Sa`id al-Kharraz menampilkan konsep fana dan baqa` yang
dikaitkan dengan hal, iaitu dengan bertukar dari satu hal kepada hal yang lain
yang dia berubah, maka dia kekal (baqa`)
dengan hal yang baharu itu. Contoh yang dibawa, kebodohan lenyap dengan
perubahan berpengetahuan. Dosa lenyap dengan wujudnya taqwa dan kelalaian
lenyap dengan adanya ingat – dzikir. Ini
dimaksudkan mencapai kebaqaan dan fana
hilang dari satu sifat dengan kebaqaan sifat yang lain. Namun konsep fana dan baqa` secara hal ini, bukanlah erti
fana` dan baqa` sebenarnya. Ianya merupakan perubahan dari satu hal kepada hal
baru yang dianggap kekal atau baqa` dengan baqa` yang berkenaan. Pada
hakikatnya bukan fana dan baqa`, sebaliknya perubahan keadaan yang pada
hakikatnya tidak tepat dan tidak sesuai menggunakan istilah fana` dan baqa`,
sebaliknya lebih membawa kepada kekeliruan.
Kita kira apa yang dapat diterima sebagai
doktrin al-Kharraz ialah apa yang
diungkapkan oleh Abu Sa`id al-Kharraz,
bahawa konsep fana` dan baqa` yang diutarakan itu bahawa,
``Fana` itu
adalah lenyapnya kesedaran tentang manusia dan baqa` adalah kelangsungan
dalam tafakkur tentang Tuhan.``
Yakni fana` adalah ketibaan pada peringkat
sedar akan hakikat fana` diri dan alam, bahkan kewujudan selain daripada Tuhan
hingga mencapai peringkat kesedaran tertinggi yang ada ialah Tuhan yang baqa`,
di atas kesedaran ini berlangsungnya
tafakkur tentang Tuhan.``
Walau bagaimana ketibaan pada peringkat di
atas adalah pada peringkat intuitif dan wujdan, kewujudan diri dan alam tetap
wujud walaupun pada peringkat relatif, atau dalam istilah akidah wujud yang
baharu. Konsep fana` dan baqa` dari segi realiti biasa tetap menjadi pegangan.
Manusia dan alam tetap di dalam batas fana` dan tak mungkin menginjak kepada
tahap baqa` seperti baqa` Tuhan !
Antara ungkapan Abu Sa`id al-Kharraz yang
mencerminkan tentang doktrinnya:
Aku mendengar `Umar bin `Abdullah
al-Farghani berkata, aku mendengar Ibn al-Katib berkata, aku mendengar Aba
Sa`id al-Kharraz berkata, ``Sesungguhnya Allah Ta`ala menjadikan roh-roh para
auliya`nya lazat mendzikiriNya dan sampai kepada kedekatan denganNya dan
menjadikan diri (badan) mereka ne`mat daripada yang mereka capai bagi kebaikan
mereka. Allah memberi ganjaran kepada mereka pada setiap keadaan, maka hidup
badan mereka dengan kene`matan, dan hidup mereka dalam kehidupan dipelihara
oleh al-Rabb. Bagi mereka dua lisan. Lisan
pada batin. Dia mengenal Pencipta yang mencipta dan lisan zahir yang dia
mengetahui dari segi kemakhlukan dan bertindak seperti biasa dan lisan batin
dengan munajat roh-roh mereka.
Katanya disoal Abu Sa`id tentang al-uns,
apa dia ? Maka katanya,
``Gembira hati dengan kedekatan kepada
Allah Ta`ala dan sukacita dengannya, tenamg dalam heningnya denganNya dan aman
dengannya dengan segala keindahan, segalanya menunjukkan ke arahNya. Dia merasa
ne`mat dan tiada kekosongan denganNya.
Aku mendengar Aba al-Husain al-T*usi
berkata, aku mendengar Aba Muhammad al-Jariri berkata, aku mendengar Aba Sa`id al-Kharraz
berkata, pada makna sabda Nabi s.a.w.
``Terpaut hati mengasihi terhadap siapa yang membuat baik
kepadanya``. Wahai hairan siapa yang tidak melihat kebaikan terhadap lain dari
Allah. Bagaimana boleh dia sedar keseluruhan adalah kebaikan dari Allah ?
Aku mendengar Qas*r bin Abi Nas*r berkata,
aku mendengar Qasim ghulam al-Zaqqaq
berkata, aku mendengar Aba Sa`id al-Bakri berkata, aku mendengar Aba Sa`id
al-Kharraz berkata, ``Tiap-tiap batin yang menyalahi zahir, maka dia adalah
batal.``
Aku mendengar Ahmad bin `Ali bin Ja`far
berkata, aku mendengar Muhammad bin `Ali al-Kattani berkata, aku mendengar Aba
Sa`id al-Kharraz berkata,
``Bagi kalangan `arifin ada perbendaharaan,
disimpannya ilmu-ilmu yang berharga dan berita-berita yang pelik, mereka
bercakap dengan lisan abadi dan memberitakannya dengan ibarat-ibarat yang
azali.``
Apa yang diperkatakan oleh Abu Sa`id
al-Kharraz, selain dari ungkapan biasa terluah sama ibarat-ibarat yang intutif,
wujdan dan rohani.
Sekian.
No comments:
Post a Comment