BBB, 03 Safar 1439H. = 23 Oktober 2017M. (Isnin):
Seterusnya Al-Hujwiri membicarakan tentang
iman. Iman adalah perkara penting di
dalam Islam. Dengan beriman menentukan keislaman seseorang, tanpa iman tidak Islam
seseorang. Iman ertinya percaya, bermaksud percaya dengan rukun iman yang enam dan yang berhubungan dengannya tentang
kewujudan, iaitu percaya kepada Allah, Rasul, Malaikat, Kitab, Hari Kiamat dan
qadha` dan qadar. Dengan keimanan memberi ketenangan , keamanan dan
ketenteraman.
Iman
mempunyai hubungan yang rapat dengan
Islam. Perkataan Islam bererti
selamat, patuh, taat dan khudhu`. Islam adalah selari maksudnya dengan
keseluruhan kejadian. Misalnya bumi dan
planet-planet yang lain patuh pada aturan Tuhan bergerak di atas orbit
masing-masing yang dengan kepatuhan menjadikan semua aman dan selamat. Bumi
juga aman dan selamat kerana menurut
perntah Allah bergerak di atas paksi (ornit), menurut edaran musim yang
ditentukan menjadikan penghuni bumi turut patuh dan selamat, bahkan diri
individu patuh pada aturan, seperti makan, minum, tidur bangun dan bekerja yang
dengan kepatuhan pada aturan ini menjadi semua Islam
yang memberi erti selamat dan mempunyai kaitan dengan iman yang dengan
mengikut aturan selamat, aman dan sejahtera. Dari segi Islam seorang Islam
patuh menurut rukun-rukun Islam yang menjadikannya selamat bukan saja di dunia,
tetapi juga di akhirat.
Tentang iman menurut Al-Hujwiri ada yang
berpendapat:
Iman adalah pengakuan dengan lisan, ada
yang mengatakan,
Iman ialah pengetahuan tentang Tuhan dan
menurut dari segi Sunni,
Iman adalah pembenaran.
Namun takrif selengkapnya menurut
Al-Kalabadzi di dalam Al-Ta`arruf berdasarkan kepada Hadith daripada Ja`far bin
Muhammad dari bapanya dari Nabi s.a.w. Baginda bersabda bermaksud:
``Iman ialah iqrar dengan lisan dan tas*diq
dengan hati dan beramal dengan arkan.``
Beriman juga berkait dengan ma`rifat –
kenal, faham dan beramal dengan apa yang diimani.
Mereka berpendapat: Iman seharusnya
berma`rifat.
Sempurna ma`rifat keimanan
dengan amalan, tetapi dengan ma`rifat bukan bererti ketaatan.
Namun ta`at tanpa ma`rifat tidak berguna. Yang
berma`rifat, tetapi tidak beramal adalah berdosa dan terpulang kepada Tuhan
untuk membalasnya.
Mereka berpendapat iman adalah pada zahir
dan batin dan batin adalah sesuatu yang satu iaitu hati dan zahir adalah
sesuatu yang berlainan.
Mereka juga berkata bahawa iman bertambah
dan berkurang.
Dan berkata Al-Junayd dan Sahl dan selain
daripada keduanya dari kalangan sufi peringkat awal (al-mutaqaddimin), bahawa tas*diq
adalah bertambah dan tidak berkurang, berkurangnya tas*diq bererti keluar dari
iman, kerana tas*diq dengan khabar Allah Ta`ala dan janji-janjinya, jika ada
syak padanya boleh membawa kepada kufur.. Dan bertambah dari segi kuat dan
keyakinan dan iqrar lisan tidak bertambah dan berkurang. Adapun amal dengan
rukun-rukun bertambah dan berkurang.
Dan berkata setengah daripada mereka itu,
bertambah iman dan berkurangnya adalah dari sudut sifat, bukan dari sudut `ayn
(benda), maka bertambah iman oleh kerana kemurahan, kebaikan dan kekuatan dan
berkurangnya dari berkurangnya aspek-aspek berkenaan dan bukan dari `aynnya.
Disoal setengah pembesar-pembesar tentang
iman, maka katanya, ``Iman daripada Allah tidak bertambah dan tidak berkurang,
dan daripada anbiya` bertambah dan tidak berkurang dan daripada yang lainnya
bertambah dan berkurang.
Menurut Al-Kalabadzi, iman di sisi Allah
tidak bertambah dan tidak berkurang, kerana iman adalah sifat bagi Allah Ta`ala
dan Dia disifatkan dengannya sebagaimana firmannya bermaksud: ``Dia bersifat
salam yang mu`min lagi muhaimin` (Al-Hashr: 23). Dan sifat Allah tidak bersifat
dengan bertambah dan berkurang.
Dan harus bahawa iman daripada Allah `Azza
wa Jalla, kerana Dialah yang membahaginya kepada hamba sejak sebelumnya di
dalam ilmuNya, tidak bertambah waktu dizahirkannya dan tidak berkurang dari
ilmuNya dan dari pembahagiannya.
Dan daripada pihak anbiya` adalah pada
maqam bertambah daripada Allah Ta`ala dari segi kekuatan iman, keyakinan dan
mushahadah hal-hal yang ghaib, sebagaimana firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Demikianlah kami perlihatkan kepada Ibrahim malakut di langit dan di bumi supaya
dia bertambah yakin.`` ((Al-An`am: 75).
Adapun bagi sekalian orang mu`min bertambah
iman di dalam batin dengan kekuatan dan keyakinan dan berkurang dari
cabangannya dengan taqsir dari amalan fadhu dan terjatuh pada perkara yang
dilarang.
Dan para anbiya` adalah ma`sum dari
terjatuh kepada perkara-perkara yang ditegah, mereka memelihara dari segala
kefadhuan tanpa taqsir. Mereka tidak disifatkan dengan berkurang pada sesuatu
daripada sifat mereka dari segi hakikat keimanan.
Demikian berbagai pendapat tentang
keimanan.
Iman adalah iqrar dengan lisan, tas*diq dengan hati, dan amal dengan arkan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment