October 28, 2017

PUASA : PENGALAMAN LAHIRI KEPADA ROHANI MENDEKATI ILAHI


BBB, 07 Safar 1439H. = 27 Oktober 2017M. (Juma`at):
Sebagaimana seturut rukun Islam selepas  zakat, maka dibicarakan oleh Al-Hujwiri tentang puasa (al-s*iyam). Ayat Al-Qur`an yang memerintah berpuasa bermaksud:
``Wahai orang-orang yang beriman difardhukan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana difardhukan ke atas mereka yang sebelum daripada kamu, semoga kamu bertaqwa.`` (Al-Baqarah: 183).
Manakala Hadith pula sebagaimana diriwayatkan daripada Abi `Abd al-Rahman `Abdillah bin `Umar bin al-Khattab r.`anhuma berkata: ``Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda  (bermaksud):
``Dibinakan Islam di atas lima perkara, shahadah bahawa tidak ada Tuhan, melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasulullah, dan mendirikan solat, dan mengeluarkan zakat, dan menunaikan haji ke al-Bayt (illah al-Haram) dan puasa Ramadhan.`` Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
 Sebagaimana solat melibatkan amalan fizikal, demikian puasa, bermaksud puasa menahan diri dari perkara-perkara membatalkan puasa seperti makan dan minum, maka ianya juga melibatkan yang bersifat rohani seperti menahani diri dari sifat-sifat keji seperti menjaga panca indera daripada perkara-perkara yang haram dan keji. Lebih daripada itu dituntut supaya menggandakan ibadat dan meningkatkan kualiti diri di dalam mendekati Ilahi.
Tidak ada ibadat yang lain yang menyediakan peluang dan ruang – nyata dan rohani yang bersifat `marathon` sebulan Ramadhan yang menyediakan peluang-peluang untuk meningkatkan ibadat dan kualiti rohani.
Tidakkah berciri dan bersifat tasawuf apa yang ditawarkan oleh bulan Ramadhan ?
Misalnya sebelum Ramadhan tiba masjid dan surau menganjurkan pengajaran bagi mendalami ibadah Ramadhan, agar Ramadhan yang ditunaikan lebih baik dari tahun-tahun yang lepas. Dan mulai petang Ramadhan pertama, masyarakat setempat kecil besar, tua muda, lelaki perempuan memenuhi masjid dan surau dengan penuh ceria dan mesra serta rasa kudus mereka menunaikan solat berjamaah dari maghrib  ke Isya` dan kemudian diikuti dengan solat tarawih yang setiap  dua rakaat bergema dengan tasbih dan tahmid memuji Allah dan salawat kepada Rasulullah  juga  membesarkan para sahabat empat. Diikuti dengan do`a-do`a. Sesungguhnya semua ini adalah manifestasi pengagungan, kesyukuran dan rasa kudus mesra terhadap Allah dan Rasulullah. Tidakkah ini semua  adalah mesra jiwa dan kasih cinta terhadap Allah. Sesungguhnya ini adalah manifestasi tasawuf yang nyata.
Tidakkah mencerminkan jiwa mesra dan rohani terhadap Kalam Allah (Al-Qur`an), bahawa pada malam dan sepanjang Ramadhan adalah digalakkan setiap orang Islam membaca Al-Qur`an. Sesungguhnya Al-Qur`an diturunkan pada malam bulan Ramadhan. Firman Allah bermaksud:
Pada bulan Ramadhan diturunkan Al-Qur`an, memberi pertunjuk kepada manusia dan menjelaskan penerangan-penerangan.`` (Al-Baqarah: 185).
Sesungguhnya adalah amat dekat dengan hati setiap muslimin, ianya bukan saja dibaca di dalam raka`at-raka`at solat, khususnya di dalam raka`at-raka`at solat tarawih – melengkapi 30 juzu`  sebulan Ramadhan. Lebih dari itu dibaca, sepanjang Ramadhan. Apa yang lebih khusyu` dan mesra dari bertilawah Al-Qur`an yang diturunkan pada bulan Ramadhan itu ?.
Manakala sepanjang Ramadhan setiap orang Islam selain dari siang bekerja – juga bersifat ibadat, mereka digalak meningkatkan ibadat. Misalnya pada pertengahan malam mereka bangun mendirikan solat tahajud dan solat-solat sunat yang lain bagi mendekati diri kepada Allah. Ramadhan adalah bulan berkat yang digandakan pahala segala ibadat yang dilakukan di dalamnya. Satu ibadat yang digalakkan pada bulan Ramadhan ialah bersedekah. Lantaran pada bulan Ramadhan ini digandakan pahala bagi mereka yang memberi sadaqah, lantaran itu kita dapati pada bulan ini orang-orang Islam menderma, baik kepada institusi-institusi seperti masjid, surau, rumah-rumah kebajikan, pusat-pusat pengajian dan berbagai yayasan yang menjalankan kegiatan bagi kebajikan masyarakat. Pada bulan ini orang Islam juga menderma kepada anak yatim, faq ir, miskin, pesakit yang mnemerlukan bantuan dan berbagai-bagai individu yang memerlukan bantuan.
Selain daripada itu berlaku pemupukan mesra antara jiran tetangga, misalnya   unjuk-mengunjuk juadah dan makanan untuk berbuka. Dengan demikian memupuk kemesraan di kalangan jiran tetangga dan mengeratkan hubungan di kalangan mereka.
Pada bulan Ramadhan ini juga setiap orang Islam diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah, zakat yang berhubung dengan diri. Antara fungsi mengeluarkan zakat fitrah ini ialah membantu dan menggembirakan mereka yang tidak berkeupayaan, untuk diberi bantuan, agar mereka sama dapat menikmati keberkatan Ramadhan dan sama menikmati kegembiraan dan kesyukuran pada hari raya.
Sesungguhnya puasa adalah ibadat yang melibatkan jasmani dan rohani. Ibadat yang bukan saja diamalkan oleh umat Nabi Muhammad s.a.w., tetapi sebagaimana yang ditegaskan oleh  Al-Qur`an diamalkan juga oleh umat-umat sebelum Nabi Muhammad s.a.w. Melalui pengalaman jasmani puasa memberi keinsafan betapa menderita orang-orang yang lapar dan di dalam kesusahan. Ini memberi keinsafan dan menggerakkan seseorang kepada memberi pertolongan dengan berbagai-bagai bantuan. Lebih daripada itu ia  bersifat pendidikan terhadap jiwa, melalui pembersihan diri lahiri dan rohani di dalam mendekati Ilahi.  
Roh tasawuf melalui puasa dapat diamali dan dihayati oleh semua pihak. Puasa bukan setakat tuntutan  wajib  Ramadhan, tetapi dapat ditambah dengan berbagai-bagai sunat puasa. Puasa juga merupakan tarapi bagi jasmani sebagaimana  dari aspek  rohani.
Sesungguhnya sebagaimana solat maka demikian puisa adalah amalan fizikal dan jiwa yang meningkatkan diri dari pengujian alamiah meningkat kepada pengalaman rohaniah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment