BBB, 22 Muharram 1439H. = 12 Oktober 2017M.
(Khamis):
Doktrin Al-Junaydiyyah adalah dinisbahkan
kepada Al-Junayd bin Muhammad, Abu al-Qasim al-Kharraz. Ayahnya seorang peniaga
barang-barang kaca, oleh kerana itu dia juga dipanggil `Al-Qawaririyy`. Dia
berasal dari Nahawand, tapi berkelahiran dan mendapat pendidikan di `Iraq. Dia
seorang yang mendalam dalam bidang fiqh dan mempelajari ilmu fiqh dari Abi
Thaur. Dia bersahabat dengan Al-Imam al-Shafi`e, Sari al-Saqat*i, al-Harith
al-Muhasibi, Muhammad al-Qas*s*ab al-Baghdadi dan lain daripada mereka itu. Dia
adalah imam kaum dan menjadi pemimpin mereka itu. Dia diterima oleh semua
pihak. Dia meninggal pada tahun 297H.
Menurut Mahmud Abu al-Faydh di dalam
Jamharat al-Awliya`,
Al-Junayd sebagaimana disebut mendalam di
dalam keilmuan shari`at dan mmpunyai persediaan sempurna dari segi keilmuan
zahir dan batin.
Al-Junayd dikatakan berkata, ``Semua jalan
(al-t*uruq) adalah tertutup bagi makhluk, kecuali mengikut jalan Rasulullah
s.a.w. dari segi shai`atnya, mengikut sunnahnya dan melazimi t*ariqatnya. Kerana
jalan kebaikan adalah sentiasa terbuka.``
Al-Junayd juga berkata, ``Ilmu kami
bergantung pada al-Kitab (Al-Qur`an) dan Al-Sunnah.``
Berlainan dengan Al-Bistami yang berpegang
kepada Doktrin `Kemabukan`, maka doktrin Al-Junayd ialah `Ketidakmabukan`
(Kesedaran).
Al-Junayd ditanya, ``Bagaimanakah t*ariq
(jalan) kepada Allah ?``. Dia menjawab,
``Berterusan taubat, takut, menghilangkan kesombongan dan raja` yang boleh
mebangkingkatkan kepada perbuatan kebajikan dan muraqabah pada setiap lintasan
hati.``
Antara pendapatnya tentang tasawuf,
``Bahawa tasawuf ialah bersih mu`amalah bersama Allah Ta`ala. Asalnya ialah berpaling
dari cintakan dunia.``
Berkata Al-Junayd, ``Bahawa tasawuf adalah
terbina atas akhlak lapan para anbiya` a.s. , iaitu:
Bersifat pemurah seperti Nabi Ibrahim, redha seperti Isma`il,
sabar seperti Ayyub,
Bermanis muka seperti Zakariyya, ghurbah seperti
Yahya, memakai baju bulu seperti Musa,
Al-sibahah seperti `Isa dan faqr seperti Nabi Muhammad s.a.w.``
Al-Junayd ditanya, ``Tidakkah kalam anbiya`
isyarat tentang mushahadat ?``
Maka dia tersenyum dan menjawab, ``Kalam
anbiya` dibina di atas kehadhiran wahyu dan kalam s*iddiqin ialah isyarat
daripada mushahadah yang membangkitkan daripadanya ilham.``
Disoal Al-Junayd tentang siapa dikatakan
al-`arif ?, katanya,
``Warna air seperti warna bekasnya.`` (ya`ni zahir dengan warna bekasnya dan mengetahui
tiap manusia akan minuman mereka).
Dan dia ditanya lagi tentang al-`arif, maka
katanya,
``Siapa yang bercakap tentang rahsia engkau
dan engkan terdiam, bahawa dia membukakan halnya akan hal engkau. Dan ini tidak
perlu dicakapkan. (Jamharat al-Awliya`, Juz` 2, 1387/1967: 149- 152).
Menurut Abu Nas*r al-Sarraj al-T*usi bahawa
Al-Junayd ditanya tentang tauhid, maka katanya,
``Menunggalkan yang mengesa dengan
tahqiqkan wahdaniyyatNya dengan sempurna keesaanNya, bahawasnya Dialah yang Esa
yang tidak beranak dan tidak diperanakkan, tidak ada lawan dan persamaan dan
penyerupaan, tidak disembah selain daipadanya. Tidak tashbih dan tidak
bagaimana, tidak ada gambaran dan tidak ada tamthil. Tuhan yang Esa, S*amad,
tunggal dan tidak ada bandingan dengan sesuatu dan Dia Amat Mendengar lagi Amat
Melihat.``
Dia disoal sekali lagi tentang tauhid, maka
katanya, ``Hilang garis tulisan dan bertingkat keilmuan dan Allah Ta`ala
berterusan (lam yazal).
Dan disoal Al-Junayd tentang tauhid khas, maka katanya,
``Adalah hamba sebagai bayangan di hadapan
Allah `Azza wa Jalla berlari di atasnya larian tadbirNya, di dalam larian hukum
qudratNya di dalam kancah lautan tauhidNya dengan fana` hamba daripada dirinya
dan daripada dakwaan makhluk bagi dan daripada istijabahnya dengan haqiqat
wujud wahdaniyyatNya pada haqiqat kedekatanNya dengan hilang rasa dan geraknya,
bagi mendirikan haqq bagiNYa dengan apa yang dikehendaki daripadanya. Dan dia
adalah kembali akhir hamba kepada awalnya, maka adanya sebagaimana telah ada
sebelum ada kini.``
Katanya lagi,``Tauhid ialah keluar dari
kesempitan garisan zaman kepada keluasan fana` yang sarmadaniyyah.`` (Al-Luma`,
1380/1960: 49).
Mencatat Al-Sulami yang mendengar Muhammad
bin `Abdullah bin Shadzan berkata, berkata Al-Junayd, ``Mendekatkan wajdan
ialah himpunan dan ghaib dari keinsanan adalah pecahan.``
Berkata Al-Junayd, ``Kejayaan menunaikan tiap-tiap hajat daripada dunia ialah
meninggalkannya.``
Berkata Al-Junayd, ``Waktu apabila luput
tidak boleh didapati kembali dan tiada sesuatu lebih mulia daripada waktu.``
Berkata juga Al-Junayd, ``Membuka sesuatu
`pintu` ialah dengan usaha.``
(Al-Sulami, T*abaqat al-Sufiyyah,
1389/1969: 155-163).
Demikianlah ungkapan Al-Junayd dengan
berbagai persoalan dari cara yang mudah kepada secara mendalam, namun dia
berada pada batas akidah dan shari`ah yang dia tergolong di bawah doktrin
Kesedaran. Dia adalah menjadi imam bagi segala aliran.
Sekian.
No comments:
Post a Comment